Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Ajal ditimpa pokok

Posted:

Kuala Lumpur: Seorang wanita warga Indonesia yang sedang tidur, maut apabila bilik dihuni di sebuah rumah di kawasan setinggan Jalan Dewan Sulaiman 1, Kampung Baru, di sini, dihempap sebatang pokok yang tumbang dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang, semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa dikenali sebagai Ro'a, 52, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di seluruh tubuh.


Manakala, seorang lagi lelaki dikenali sebagai Audi Mohd, 45, cedera di dada dipercayai patah tulang rusuk dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad, mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian itu dan mayat mangsa dibawa ke HKL untuk bedah siasat.


Sementara itu, hujan lebat dan angin kencang di ibu kota hampir dua jam mengakibatkan 29 lokasi terbabit dengan kejadian pokok tumbang menghempap rumah dan kenderaan.


Datuk Bandar Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, angin kencang dan ribut kuat juga menyebabkan dahan menimpa laluan monorel dekat Jalan Sultan Ismail berhampiran persimpangan pusat beli-belah Maju Junction, di sini.

Foto

ANGGOTA penyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa.

"Ini menyebabkan perkhidmatan monorel terganggu dan terhenti selama 30 minit sebelum kawasan itu dibersihkan.


"Manakala sebanyak 20 kenderaan yang diletakkan di tempat letak kereta swasta berdekatan Bangunan AIA di Jalan Ampang rosak teruk apabila sebatang pokok besar tumbang," katanya yang melawat tempat kejadian.

Katanya, sebanyak enam kenderaan di Jalan Haji Taib 4 dan sebuah kereta di Jalan Ipoh serta tiga lagi kenderaan di Jalan Bunos turut rosak dihempap pokok tumbang.


"Kejadian ribut itu juga menyebabkan bumbung sebuah restoran di Jalan Kampung Baru ranap.


"Namun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berikutan premis itu belum memulakan operasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13

2 maut van melayang

Posted:

Kuala Lumpur: "Saya dengar bunyi dentuman kuat dan sebaik saya toleh ke arah bunyi itu saya nampak sebuah van melayang di udara sebelum hilang ke arah sungai," kata Hasnah Nurul Amin, 38, saksi kejadian kemalangan maut di Kilometer 8.1 Lebuhraya DUKE, di sini, semalam.

Menurut Hasnah, kejadian itu berlaku jam 1.40 tengah hari ketika dia sibuk melayan pelanggan di gerainya yang terletak 100 meter dari tempat kejadian.


"Saya bergegas ke tempat kejadian dan ternampak darah mengalir ke dalam sungai berkenaan dari bahagian bawah van yang terbalik," katanya yang menghubungi rakan dan talian kecemasan untuk meminta bantuan.

Dalam kejadian itu, pemandu dan seorang penumpang van yang dalam perjalanan dari Ulu Klang ke pusat bandar disahkan maut di tempat kejadian.


Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju dan Jalan Hang Tuah dikejarkan ke tempat kejadian dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit akibat dihempap van.


Mangsa yang maut adalah pemandu van G Logesvaran, 21, dari Pandan Perdana, Ampang manakala penumpang wanita G Nirmaladevi, 41, berasal dari Sungkai, Perak. Mayat kedua-duanya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13

Keputusan STPM diumum Isnin

Posted:

KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 akan diumumkan Isnin depan.

Menurut kenyataan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) semalam, calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai jam 12 tengah hari manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos. Calon juga boleh menyemak keputusan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM RESULT <jarak> No.Kad Pengenalan dan hantar ke 15888.


Keputusan juga boleh diperoleh dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my mulai 12 tengah hari, hari yang sama.

Satu sidang media mengenai analisis keputusan peperiksaan akan diadakan jam 12 tengah hari pada hari sama di Dewan Besar, MPM, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor. Pada 2012, seramai 51,673 calon menduduki peperiksaan STPM di 760 pusat pemeriksaan pada 2012 dan daripada jumlah itu, 47,708 calon sekolah kerajaan, 1,112 sekolah swasta, 2,795 persendirian dan 58 calon sekolah kerajaan negeri. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13

Petanda rasa tak sedap hati tinggalkan rumah

Posted:

Kuala Terengganu: "Saya tidak sangka rasa tidak sedap hati sebelum keluar meninggalkan rumah untuk menjemput anak di Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu berakhir kebakaran rumah yang didiami," kata Norafedah Katmin, 49, mangsa kebakaran di Jalan Pasir Panjang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, Norafedah bersama suami, Pepak Jalil, 56, bersama lima anak mereka berusia antara 13 hingga 22 tahun hilang tempat berteduh selepas rumah didiami hampir 30 tahun musnah.


Ketika kejadian, suami Norafedah yang bekerja sebagai pengurus ladang tidak berada di rumah, manakala anak pula masih berada di sekolah.

Menurut suri rumah itu, dia keluar dari rumahnya kira-kira jam 2.45 petang untuk mengambil anaknya, Nur Fatinah Pepak, 19, yang bekerja di kantin sekolah berkenaan.


"Ketika hendak keluar, saya ada rasa tidak sedap hati dan berat mahu meninggalkan rumah. Namun, tidak mengendahkan perasaan itu sebelum segera mengambil anak kerana bimbang terlewat.


"Sebelum pulang, kami singgah di kedai berhampiran untuk membeli barang keperluan dan sebaik sampai di hadapan rumah, saya nampak asap dari arah rumah.

"Saya tidak sempat berbuat apa-apa termasuk menyelamatkan barang berharga termasuk wang, barang kemas dan dokumen penting lain kerana ketika kejadian api sudah marak," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Kamerul Bieza Mohd Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.06 petang sebelum tiga jentera dengan kekuatan 15 anggota dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadamkan api.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13

'Tak patut dipersoal'

Posted:

Kuala Lumpur: "Insiden pencerobohan di Sabah adalah amaran kepada kita bahawa terdapat jurang dalam keupayaan keselamatan negara, kita mahu kurangkan jurang berkenaan.

"Selama ini kita aman tapi kita akui adanya ancaman asing khususnya di Sabah tapi kita mesti bersedia dan berdepan dengan ancaman itu kerana itulah kita perlukan pasukan keselamatan cukup terlatih dengan kelengkapan yang cukup, kerana itu jika kita berbelanja untuk tujuan pembelian aset mempertahankan negara maka ia tidak sepatutnya dipersoalkan oleh sesiapa." Itu tegas Datuk Seri Najib Razak semasa menjawab persoalan dalam program Bual Bicara Bersama Perdana Menteri yang dibawa oleh akhbar New Straits Times (NST) yang disiarkan TV3 malam tadi mengenai keupayaan pasukan keselamatan negara khususnya di Sabah dalam menghadapi ancaman musuh seperti yang berlaku sekarang.


Perdana Menteri menegaskan, aset ketenteraan negara mencukupi dan proses penambahbaikan yang berterusan dilakukan kerajaan membabitkan kawasan sepanjang pesisiran pantai Sabah.

"Wilayah timur Sabah pesisiran pantainya seluas 1,500 kilometer (km) untuk dilindungi yang sememangnya memerlukan lebih banyak aset dan kelengkapan serta kawalan lebih rapi," katanya dalam program bual bicara yang dihoskan Hamdan Ahmir itu di sini.


Pada program berkenaan, pembaca akhbar NST, Harian Metro dan Berita Harian yang terpilih berpeluang bertanya terus kepada Perdana Menteri mengenai isu-isu semasa terutamanya berkaitan Pilihan Raya Umum yang akan diadakan tidak lama lagi.


Pada Khamis lalu, Najib mengumumkan pembentukan Kawasan Keselamatan Khas yang kemudian dikenali sebagai Pemerintahan Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM) membabitkan enam daerah di Sabah bagi memelihara kedaulatan negeri ini dan negara daripada sebarang pencerobohan pada masa depan.

Kawasan Keselamatan Khas dari Kudat ke Tawau itu merangkumi Sandakan, Semporna, Lahad Datu dan Kunak membabitkan kawasan pantai sepanjang 1,500 kilometer di pantai timur Sabah.


Lima batalion tambahan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia akan ditempatkan di lokasi strategik sepanjang kawasan berkenaan dengan pusat pemerintahannya di bandar ini.

Najib berkata, sebelum ini beliau kerap menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi membabitkan soal kedaulatan negara.


Kata beliau, kerajaan akan sentiasa memastikan bahawa seluruh rakyat di mana saja berada dalam keadaan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13

No comments:

Post a Comment