Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Gegar velodrom New Delhi

Posted:

Kuala Lumpur: Skuad trek negara mempamerkan kemampuan sebagai jaguh Asia apabila menggegar di hari terakhir Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di India semalam dengan meraih lima pingat emas.

Saingan di Velodrom Kompleks Sukan Indira Gandhi di New Delhi itu menyaksikan dua pelumba elit negara, Josiah Ng mencuri tumpuan dengan memenangi acara keirin dan 200 meter pecut lelaki manakala Fatehah memenangi acara 200 meter pecut wanita. Turut perlu diberi perhatian adalah pelumba berusia 16 tahun yang memenangi acara satu kilometer ujian masa sebelum ini, Muhammad Firdaus Mohd Zonis yang menguasai acara pecut 200 meter dan keirin remaja sekali gus mengumpul tiga pingat emas.


Pada aksi terakhir semalam, tuaian emas negara dimulakan Fatehah yang menyambut hari lahirnya ke-24 hari ini apabila memenangi pecut 200 meter menewaskan pelumba China, Shi Jingjing pada aksi yang membabitkan tiga perlumbaan namun terpaksa berpuas hati apabila sekadar memenangi perak dalam final keirin.

Namun Josiah sebaliknya mengungguli acara keirin sekali gus mempertahankan pingat emas dimenanginya di Kuala Lumpur pada tahun lalu selepas terlebih dulu turun dalam acara akhir 200 meter pecut lelaki untuk menafikan kelibat pelumba Iran, Hassanali Varposhti dalam dua perlumbaan saja.


"Ini sangat indah. Sudah lama saya menanti detik ini," kata Josiah yang gembira dengan kejayaan mengungguli dua acara utama itu.


Kejayaan terbabit turut menggembirakan pengurus pasukan negara, Ibrahim Mustafa yang puas hati dengan prestasi dipamer pelumba negara sama ada elit atau pelapis.

Foto

JOSIAH (tengah) bersama pingat emas acara keirin.

"Tujuh pingat emas diraih sesuatu yang di luar jangkaan. Kita meraih dua pingat emas pada hari pertama acara trek dan lima pingat emas pada hari terakhir. Namun yang pasti ia amat membanggakan," katanya.


Mengenai prestasi skuad elit negara yang meraih tiga pingat emas, Ibrahim berkata, mereka mencapai tahap diharapkan selaku pelumba yang mampu beraksi di pentas lebih tinggi.

"Josiah dan Fatehah menepati tahap sebenar, Azizulhasni (Awang) mungkin berdepan masalah yang membataskan prestasinya di ACC," katanya.


Saingan acara trek ditutup semalam dengan tumpuan kini beralih kepada pelumba acara lebuh raya negara yang menyertai beberapa acara dipertandingkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

MSN tak keluar larangan

Posted:

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) belum mengeluarkan larangan untuk mana-mana atlet negara menyertai sebarang kejohanan yang berlangsung di Filipina.

Perkara terbabit mendapat perhatian MSN susulan tindakan Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) yang membuat keputusan menarik diri daripada menyertai Kejohanan Remaja Asia yang berlangsung di negara itu dengan alasan keselamatan berikutan pencerobohan pengganas Sulu dari Filipina ke Sabah yang belum menemui jalan penyelesaiannya.


Malah terdapat laporan media asing mendakwa tindakan menarik diri terbabit adalah atas arahan MSN tapi Ketua Pengarah, Datuk Seri Zolkples Embong (gambar) menafikannya dan menjelaskan tidak pernah mengeluarkan arahan terbabit.

"Kami tidak boleh membuat keputusan berdasarkan persepsi semata-mata kerana ia turut membabitkan hubungan dua negara. Malah setahu saya, hingga kini Filipina tidak pernah mengeluarkan kenyataan rakyat Malaysia tidak boleh bertandang ke negara itu," katanya. Zolkples turut menjelaskan keputusan dan tindakan seharusnya dirujuk kepada Wisma Putra bagi mendapatkan kepastian sewajarnya.


Selain Kejohanan Remaja Asia, atlet karate negara turut dijadual mengambil bahagian pada Kejohanan Karate Asia Tenggara edisi kedua yang turut berlangsung di negara itu pada bulan depan.


Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Pengarah Cawangan Pelapis MSN Jefri Ngadirin berkata, beliau sudah mendapatkan maklum balas Wisma Putra semalam yang mengesahkan masih belum terdapat sebarang sekatan perjalanan dan sebagainya membabitkan kedua-dua negara.

"Malah saya difahamkan tiada situasi berbentuk sentimen berlaku di negara itu namun saya akan menulis surat kepada kedutaan Malaysia di sana bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai keadaan sebenar sebelum menghantar atlet negara. Ingin saya tegaskan penghantaran atlet karate bergantung kepada situasi semasa," katanya.


Difahamkan Persekutuan Karate Malaysia bercadang menghantar kira-kira 40 atlet bagi menyertai kejohanan dijadual berlangsung dari 17 hingga 21 April di bandar Clark yang membabitkan kategori elit, pelapis dan peserta berusia 14 hingga 16 tahun menyertai kategori kadet.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Sukan perpaduan Islam pemanas badan ke Sukan SEA

Posted:

Kuala Lumpur: Temasya Sukan Perpaduan Islam Ketiga dijadual berlangsung di Riau, Indonesia awal Jun ini menjadi medan pemanas badan buat atlet negara sebelum beraksi di Sukan SEA Myanmar, Disember ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berkata, kejohanan di Riau itu platform terbaik bagi atlet negara sama ada elit atau pelapis mempersiapkan diri menghadapi Sukan SEA serta kejohanan lain tahun depan.


"Disebabkan tidak banyak kejohanan kompetitif tahun ini, atlet negara perlu menggunakan sebaik mungkin peluang ini bagi memastikan mereka benar-benar bersedia menghadapi kejohanan akan datang.

"Mereka (atlet) juga perlu berusaha bersungguh-sungguh memantapkan diri apabila diberi kepercayaan menyertai mana-mana kejohanan," katanya semalam.


Zolkples berkata, MSN belum menetapkan jumlah atlet yang akan dihantar ke Riau, namun kontinjen negara kali ini dianggarkan hampir sama atau lebih ramai berbanding edisi pertama di Arab Saudi pada 2005.


Di Arab Saudi, Malaysia menghantar 128 atlet dan pegawai untuk menyertai lapan daripada 16 sukan dan berjaya membawa pulang lima pingat emas, lima perak dan enam gangsa untuk menduduki tempat ketujuh.

"Selain menghantar atlet pelapis sebagai pendedahan (ke Riau), kita juga akan menghantar atlet elit bagi mempertahankan lima pingat emas dimenangi di Arab Saudi," kata Zolkples.


Beliau berkata, MSN juga belum menetapkan acara sukan yang akan disertai, namun persatuan sukan badminton, olahraga dan akuatik sudah menyatakan kesediaan menghantar atlet ke temasya itu.

Antara sukan dipertandingkan di Riau ialah memanah, bola keranjang, gimnastik, sepak takraw, taekwondo, renang, angkat berat, badminton, bola sepak, pencak silat dan wushu. Penganjuran Sukan Perpaduan Islam Kedua di Tehran, Iran pada 2010 dibatalkan Persekutuan Sukan Perpaduan Islam (ISSF) apabila tuan rumah gagal menyediakan kemudahan sewajarnya.


Idea penganjuran temasya itu tercetus semasa Sidang Kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) (kini Pertubuhan Kerjasama Islam) di Putrajaya pada 2003 yang dipersetujui semua 57 negara anggota. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Tinggalkan Seladang!

Posted:

Ipoh: Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) Datuk Zainol Fadzi Paharuddin mencabar pemain yang tidak bersemangat untuk mewakili negeri itu supaya meninggalkan pasukan Seladang.

"Lebih baik mereka tinggalkan Perak dan sertai pasukan lain apabila tingkap perpindahan dibuka bulan depan. Saya lebih rela mereka yang bergelar 'bintang' ini tiada dalam pasukan agar kami dapat menurunkan pemain lebih komited," katanya.


Zainol membuat teguran itu gara-gara belum puas hati dengan pencapaian Seladang dalam kancah Liga Super 2013 setakat ini.

"Secara peribadi, saya tidak puas hati dengan persembahan Perak dan berharap usaha dilakukan untuk meningkatkan keupayaan pasukan.


"Pemain nampak kurang bersemangat dan tidak menunjukkan kesungguhan sepatutnya," katanya selepas majlis penyerahan cek RM20,000 kepada Tabung Wira Lahad Datu Media Prima kepada Ketua Biro Berita Harian Perak, Jalal Ali Abd Rahim di pejabat persatuan itu, pagi semalam.


Jumlah itu hasil kutipan jualan tiket perlawanan Perak dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Lumut, Jumaat lalu.

Justeru, Zainol yang juga Pengerusi jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri memberi amaran kepada pemain skuad Liga Super negeri itu supaya menunjukkan perubahan jika tidak mahu tersingkir.


"Mereka dibayar gaji lumayan, tapi tidak memberi pulangan berbaloi setakat ini. Saya harap mereka contohi adik-adik mereka daripada skuad Piala Presiden yang mempamer semangat kental dan jitu hingga tidak kalah dalam sembilan perlawanan setakat ini.

"Mereka tidak menerima bayaran tinggi, tapi bermain mati-matian pada setiap perlawanan.


"Setakat ini Pafa masih boleh bersabar, tapi kami tidak teragak-agak membenarkan pemain skuad Piala Presiden menggantikan pemain senior jika keadaan tidak berubah," katanya yang turut menerima tajaan RM100,000 daripada Amanjaya Holdings & Ventures untuk skuad Pelapis Perak bimbingan Abu Bakar Fadzim itu.


Zainol juga membidas sikap segelintir peminat yang mengecam dan mengkritik PAFA melalui twitter setiap kali Perak kalah.


"Bila kalah macam-macam kritikan dan kecaman dilemparkan. Pelbagai tuduhan dibuat terhadap pengurusan pasukan dan kepimpinan PAFA seolah-olah kami yang bertanggungjawab terhadap kekalahan itu." Lebih mengecewakan beliau apabila ada pihak cuba mempolitikkan isu bola sepak dengan mengaitkannya dengan kerajaan yang memerintah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Tiada 'jeneral' punca hilang sengat

Posted:

Seremban: Ketiadaan pemain yang mempunyai karisma dan mampu menggalas tanggungjawab selaku 'jeneral' di padang mungkin antara faktor menyebabkan persembahan skuad Negeri Sembilan dalam Liga Super terus hambar apabila masih gagal mencatat kemenangan selepas 10 perlawanan.

Itu pandangan seorang pemain dalam skuad itu yang enggan namanya disiarkan selepas menyaksikan skuad Hoben Jang Hoben terus buntu meraih tiga mata apabila sekadar mencatat lima seri.


"Saya dapat rasakan ketika ini tiada seorang pemain dalam pasukan mampu bertindak sebagai jeneral menyebabkan persembahan pasukan serba tidak menjadi, malah tidak menampakkan peningkatan.

"Berdasarkan pengalaman beraksi dengan pasukan lain sebelum ini, saya rasa mungkin ini antara faktor menyebabkan pemain tidak mendapat rentak terbaik dalam mengimbangi kekuatan lawan sedangkan ramai pemain berpengalaman dalam pasukan.


"Saya berpendapat perkara ini harus diberi perhatian pengurusan pasukan kerana impian saya sebaik menyertai Negeri Sembilan musim ini adalah memberikan persembahan terbaik dan membantu pasukan mencapai kejayaan dalam liga tapi sehingga kini prestasi serba tidak menjadi.


"Walaupun saya dan rakan sepasukan sudah berusaha sebaik mungkin tapi jelas kemenangan dicari gagal dikecapi," katanya.

Ketika ini skuad bimbingan Divaldo Alves meletakkan Abdul Rashid Mahmud sebagai kapten sementara bagi menggantikan Norhafiz Zamani Misbah yang belum cergas 100 peratus.


Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) sudah membayangkan bakal menggantikan penyerang import, Emanuel Matias De Porras dengan penyerang lain berikutan prestasi tidak memuaskan dipamer pemain dari Argentina itu.

Menteri Besar yang juga Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan, sebelum ini mengaku ketumpulan barisan depan menjadi masalah utama pasukan hingga menyebabkan Negeri Sembilan terperosok di tangga tercorot liga.


Beliau berkata, PBNS menunggu tempoh pendaftaran pemain baru yang akan dibuka Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bulan depan bagi membuat rombakan kecil dalam usaha mengembalikan semula reputasi pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

'Owona parasit'

Posted:

Kuala Terengganu: Di sebalik kejayaan Terengganu mencatat empat kemenangan berturut-turut termasuk saingan Piala FA, timbul perasaan kurang senang penyokong mengenai prestasi tidak konsisten penyerang import dari Cameroon, Jean Emmanuel Effa Owona yang boleh dianggap 'parasit' dalam kesebelasan utama skuad Penyu.

Malah, pemain yang mencetuskan kontroversi di awal musim antara Terengganu dan Negeri Sembilan berhubung isu perpindahan itu juga dilihat kurang menyengat.


Ketika berdepan T-Team Jumaat lalu, tidak kurang tiga peluang keemasan gagal disempurnakan pemain berusia 29 tahun itu.

Corak permainan tidak konsisten itu jelas mengecewakan kira-kira 10,000 penonton yang hadir untuk menyaksikan penyerang meledak jaringan seperti aksinya ketika menyarung jersi Rusa musim lalu.


Sementara itu Presiden PBSNT Datuk Che Mat Jusoh berkata, prestasi Owona akan dipantau bagi memastikan dia terus menjadi senjata pemusnah pasukan.


"Setakat ini saya belum mendapat laporan bertulis berhubung prestasinya tapi Owona dan pemain lain perlu meningkatkan prestasi.

"Saya turut mengingatkan jurulatih perlu mengambil perhatian serius terhadap pemain yang gagal meningkatkan prestasi sebelum amaran dikeluarkan PBSNT," katanya.


Seorang peminat dari Gong Badak, Amaliza Ismail berkata, dia mengharapkan PBSNT melakukan sesuatu ke atas pemain itu supaya pasukan tidak ketandusan jaringan kerana saingan liga masih panjang selain skuad Penyu berjaya melangkah ke suku akhir Piala FA bertemu Negeri Sembilan.

"Saya hairan kenapa pemain itu musim ini tidak berbisa, musim lalu ketika mewakili Negeri Sembilan, dia muncul pemenang kasut emas bersama penyerang import Terengganu, Francis Forkey Doe dengan 14 gol tapi kini baru empat jaringan dihasilkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Johor DT sedia buat perubahan

Posted:

Johor Bahru: Johor Darul Takzim (DT) bakal berwajah baru pada pusingan kedua saingan Liga Super apabila mendapat khidmat empat pemain Johor yang beraksi dalam kancah Liga Perdana dan semua urusan perpindahan itu diselesaikan April ini mengikut peraturan ditetapkan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM).

Difahamkan empat pemain itu adalah, kapten Mohd Farid Ramli, Muhammad Nazri Ahmad, Jasazrin Jamaludin dan pemain import, Andre Francisco Da Silva dan mereka akan memulakan latihan pertama skuad Harimau Selatan, Khamis ini.


Pemain Johor DT yang akan mewarnai cabaran Johor pada saingan Liga Perdana pula adalah Mohd Ezaidy Khadar, K Sathiya, Azmi Muslim dan kemungkinan Simone Del Nero namun semua keputusan itu hanya akan diputuskan pengurusan Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ).

Syarat ditetapkan FAM berhubung perpindahan pemain berkuatkuasa April ini membabitkan tiga pemain tempatan dan seorang pemain import dan jika diluluskan sudah pasti Johor DT di bawah kendalian Fandi Ahmad bakal merebut peluang itu. Apapun status Del Nero sama ada sanggup diturunkan pangkat beraksi dalam saingan Liga Perdana menjadi tanda tanya namun pengurusan PBNJ harus bijak menyelesaikan isu itu ketika mereka tidak memiliki pemain tengah berkualiti.


Malah bekas pemain Lazio itu masih belum mampu menonjolkan diri sebagai pemain yang memiliki sentuhan tepat.


Kehadiran Andre Francisco di posisi tengah bakal merungkai masalah pasukan ketika pemain dari Brazil itu memiliki karektor menarik sebagai perancang utama dan mampu bertindak selaku 'jeneral padang' selepas Safiq Rahim masih terkial-kial menguasai posisi itu sepanjang 10 perlawanan lalu.

Kelibat Mohd Farid dan Muhammad Nazri menguatkan posisi bek kiri dan kanan bagi menggantikan Azmi dan Irfan Abd Ghani yang belum menunjukkan permainan konsisten dan sering gagal menyekat larian pantas pemain lawan hingga mudah ditewaskan manakala Jasazrin mengukuhkan jentera tengah bagi mengambil alih tugas Ahmad Ezrie Shafize.


Andai rombakan pemain menjadi kenyataan dengan kehadiran muka baru itu, ia pasti memberi nafas baru buat barisan Fandi menjelang perlawanan berdepan Terengganu di laman sendiri, 30 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Fauzi tekad ledak jaringan

Posted:

Kuantan: Penyerang pahang Mohd Fauzi Rozlan mengaku gagal membantu pasukan sepanjang lima perlawanan yang menyaksikan hanya satu gol berjaya dijaringkan.

Jika dilihat prestasi pada awal Liga Super, pemain kelahiran Pekan, Pahang itu menjaringkan tujuh gol, termasuk dua dalam saingan Piala FA tetapi gagal meneruskan kecemerlangan itu.


Namun, Mohd Fauzi percaya kemarau gol dihadapi tidak akan berpanjangan kerana tempoh rehat tiga minggu saingan liga akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menajamkan sentuhan.

"Saya berazam menajamkan lagi sentuhan gol kerana Pahang kini berada di tangga keenam keseluruhan. Dengan jurang mata tidak jauh dengan pendahulu liga iaitu empat mata, saya percaya kami mampu mengejar pasukan tangga teratas.


"Saya juga percaya jurulatih (Dollah Salleh) akan memastikan tempoh rehat ini mampu mengembalikan pasukan ke kedudukan lebih baik," katanya.


Pemain berusia 25 tahun itu berkata, kemarau gol dihadapi bukan saja meresahkan pengurusan dan peminat tapi dia sendiri berasa terkilan ketika Pahang memburu kemenangan.

"Saya akan pastikan kedudukan Pahang berubah apabila saingan liga bersambung 30 Mac ini.


"Bukan saya saja, malah rakan lain mampu menambah kekuatan pasukan untuk bersaing." Semangat Mohd Fauzi juga tetap tinggi meskipun namanya tidak tersenarai menyarung jersi Harimau Malaya.

"Saya anggap ia satu cabaran supaya mempamerkan prestasi lebih mantap dan lebih fokus dalam setiap perlawanan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

'Peluang Piya'

Posted:

Kelana Jaya: "Ini adalah peluang kepada dia (Mohd Badhri Radzi)."

Itu reaksi pengendali skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal berhubung tindakannya menyenaraikan kapten dan perancang tengah Kelantan itu buat kali pertama untuk menyertai kem latihan pusat bagi persediaan menentang Yaman pada 22 Mac ini.


Rajagobal menjelaskan beliau akan memantau prestasi pemain terbabit ketika sesi latihan dan aksi persahabatan (menentang Arab Saudi) sebelum membuat sebarang keputusan.

"Apabila dilantik sebagai jurulatih saya memberi peluang kepada semua pemain. Sekarang masanya untuk dia (Badhri). Bagi saya semua pemain dalam pasukan penting, bukan satu atau dua pemain saja. Itu cara saya selama ini," kata jurulatih berusia 56 tahun itu yang mula dilantik mengendalikan skuad kebangsaan sejak 2009.


Bagaimanapun kelibat Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya belum dapat disaksikan apabila bersama Kelantan untuk beraksi dalam saingan Piala AFC termasuk beberapa pemain Selangor dengan hanya 18 pemain melaporkan diri di Wisma FAM semalam selain tiga pemain pertahanan turut mengalami kecederaan iaitu Amir Ridzwan Taj Tajudin, K Reuben dan Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak.


Rajagobal berkata, aksi persahabatan menentang Arab Saudi, 17 Mac ini akan digunakannya bagi merangka strategi dan menentukan kombinasi pemain tertentu sebelum turun dalam misi penting menentang Yaman di Stadium Shah Alam.

"Persiapan ini sama ketika skuad negara menentang Iraq sebelum bertandang ke Qatar. Kita akan mendapat gambaran pemain untuk diturunkan pada perlawanan sebenar. Perlawanan menentang Arab Saudi memberikan tahap permainan yang tinggi, saya akan manfaatkannya dan tidak menyisihkan pemain Kelantan dan Selangor walaupun mereka baru saja bersaing dalam Piala AFC," katanya.


Sementara itu kapten pasukan, Mohd Safiq Rahim yang dikritik hebat sesetengah pihak akibat prestasi tidak konsisten menyedari dia perlu meningkatkan prestasinya.

"Saya mempunyai misi mengembalikan prestasi sebelum ini. Saya rasa mampu mempamerkan prestasi lebih baik dan akan cari kelemahan itu untuk memperbaikinya," kata pemain Johor Darul Takzim itu.


Dia yang terlepas aksi menentang Qatar (skuad negara tewas 2-0) kerana penggantungan berkata, tumpuannya adalah mendapatkan kembali posisinya dalam skuad kebangsaan.


Posisi pemain terbabit kini berdepan saingan sengit terutamanya dengan kehadiran Badhri dan perancang tengah Selangor, Abdul Shukor Jusoh yang turut tersenarai kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Skuad wanita kena belasah!

Posted:

Teluk Intan: Pasukan bola sepak wanita kebangsaan dibelasah 1-4 oleh pasukan pilihan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) pada perlawanan persahabatan di Stadium Mini, Teluk Intan baru-baru ini.

Pilihan PAFA yang dibarisi beberapa bekas pemain Perak dan juga kebangsaan nyata bukan tandingan pasukan wanita kebangsaan yang kini menjalani latihan pusat di Teluk Intan untuk menghadapi Sukan SEA di Myanmar hujung tahun ini.


Antara bekas pemain yang mewakili pilihan PAFA, Syamsol Saad, Abu Bakar Fadzim dan Almansuri Shamsuddin. Turut beraksi, Presiden PAFA Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, bekas Timbalan Presiden PAFA, Khairuddin Ahmad, bekas pengadil kebangsaan dan FIFA, Mohd Jamil Zakaria dan bekas pengadil kebangsaan, Ajam Suhud.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

No comments:

Post a Comment