Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Buaya pertama pakai ekor tiruan

Posted:

Phoenix: Seekor buaya bernama Mr Stubbs akan melakar sejarah tersendiri apabila dipasang ekor tiruan bagi membantunya hidup normal tidak lama lagi.

Berusia sembilan tahun, reptilia itu adalah buaya pertama dilengkapi ekor buatan manusia. Mr Stubbs mengalami kecacatan bahagian belakang badannya selepas digigit ketika bergaduh dengan buaya lain.


Kecacatan itu juga menyebabkan Mr Stubbs tidak boleh berenang seperti sepatutnya.

Haiwan berkenaan diselamatkan pakar reptilia sebuah persatuan hidupan liar di Phoenix, Arizona.


Namun, dengan ekor tiruan itu, Mr Stubbs bakal mendapat hidup baru.


Sepasukan pakar mencipta ekor berteknologi tinggi menggunakan lateks dan silikon berharga beribu-ribu dolar Amerika. Mereka turut mengkaji pergerakan Mr Stubbs melalui kamera khas untuk menyesuaikan ekor tiruannya.

Foto

DENGAN bantuan ekor tiruan, Mr Stubbs belajar berenang semula selepas ekornya dibaham ketika masih muda.

Foto

MR STUBBS menjadi buaya pertama di dunia menerima ekor tiruan berteknologi tinggi.

Foto

KEADAAN Mr Stubbs tanpa ekor.

Selepas dipasangkan ekor tiruan itu, pakar terbabit perlu mengajar Mr Stubbs berenang semula. Seorang daripada pakar persatuan itu, Russ Johnson berkata, buaya berkenaan mungkin terlalu muda ketika bertembung dan bergaduh sebelum ini. "Buaya adalah haiwan pemangsa dan jika anda bersaiz kecil terpaksa berdepan dengan buaya lain yang kelaparan, anda adalah makanan mereka," katanya. Mr Stubbs adalah satu daripada 32 buaya yang ditemui dalam sebuah lori yang ditahan di Arizona baru-baru ini. Selepas diserahkan kepada persatuan terbabit, Johnson berkata, mereka mendapati Mr Stubbs tidak mampu berenang.


"Apabila di dalam air, Mr Stubbs akan terlentang," katanya. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Jual bayi untuk bahan pornografi

Posted:

Indianapolis: Seorang ibu didakwa di mahkamah kerana menjual anaknya baru berusia 18 bulan kepada seorang lelaki untuk dijadikan bahan pornografi.

Walaupun bayaran untuk transaksi itu tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah, Natisha Hillard dipercayai tahu anak perempuannya akan dijadikan bahan filem lucah oleh Christopher Bour.


Biro Siasatan Persekutuan (FBI) memulakan siasatan terhadap Bour, 39, selepas seorang tukang urut memberitahu mengenai rancangan lelaki terbabit mengambil kesempatan atas anak Natisha.

Niat Bour itu disampaikan kepada sumber terbabit melalui mesej teks.


Satu daripada mesej teks itu menyatakan: "Mahu melihat saya berseronok dengan seorang bayi esok? Ini bukan main-main." Satu lagi mesej Bour ialah: "Sesekali saya dapat peluang. Mungkin kamu boleh tolong pegangkan kamera." Sementara itu, ketika disoal siasat, Natisha, 24, berkata dia pernah melihat filem lucah menggunakan kanak-kanak di komputer riba Bour. Katanya, dia mengunjungi rumah Bour ketika kediaman lelaki terbabit diubah suai. Sumber FBI berkata, Bour pernah menyatakan minatnya kepada aksi asmara seperti haiwan. Menurut NBC News, ejen FBI menyamar sebagai tukang urut terbabit dan menghantar mesej teks kepada Bour. "Mesej itu dibalas Bour dengan penjelasan berbau lucah dan dia mengaku pernah melakukan aktiviti seks dengan kanak-kanak dengan izin ibu mangsa," lapor NBC News.


Berdasarkan maklumat yang ada, ejen FBI menyerbu rumah Bour di Hammond, Indiana, dan merampas komputernya.

Pihak berkuasa turut menemui video dan gambar lucah membabitkan orang dewasa dan kanak-kanak.


Sumber FBI berkata, ada antara gambar itu memaparkan Bour bersama kanak-kanak, selain imej Natisha.

Rekod mahkamah menunjukkan, Natisha mengenali Bour melalui perkhidmatan cari jodoh di Internet. Natisha dituduh menjual anaknya kepada Bour dengan mengetahui ia akan digunakan untuk aktiviti seks.


Bour pula berdepan dakwaan menghasilkan bahan pornografi membabitkan kanak-kanak. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Susilo rayu siasat kes rasuah besar

Posted:

Jakarta: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono semalam menggesa Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) negara itu memberi tumpuan terhadap kegiatan rasuah yang besar.

"Sudah tiba masanya KPK memberi tumpuan kepada rasuah besar," katanya kepada wartawan di majlis menandatangani perjanjian tindakan bersama mengenai pengurusan hutan di Istana Negara, Jakarta.

Menurutnya, rasuah membabitkan pemberian barangan paling bahaya.

"Ia bukan saja membabitkan seluruh jabatan yang terlibat, malah akan menular hingga ke DPR (Dewan Perwakilan Rakyat).


"Mungkin kita tidak dapat membuktikan perbuatan rasuah itu. Kerana itu KPK perlu memberi tumpuan terhadap kes seumpama ini," katanya.


Upacara menandatangani perjanjian itu dilakukan oleh beberapa menteri dan pegawai tinggi jabatan. - Inilah.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Jokowi paling popular

Posted:

Jakarta: Gabenor Jakarta Joko Widodo atau Jokowi menjadi calon presiden paling popular di media sosial.

Kajian terbaru terhadap calon yang diramal akan bertanding pada pilihan raya presiden tahun depan menunjukkan gabenor itu sering menjadi tumpuan pengguna Internet.


Berdasarkan bancian di media sosial seperti Twitter, Facebook, Blog, Media Online dan Forum yang dilakukan oleh Indexpolitica.com, Jokowi menduduki tempat teratas, disusuli oleh Dahlan Iskan dan Hatta Rajasa.

Menurut siaran akhbar yang diterima detik.com semalam, populariti Jokowi menjangkau 55.97 peratus. Dahlan Iskan berada tempat kedua dengan 17.64 peratus sementara Hatta sebanyak 7.03 peratus.


"Ini adalah hasil daripada Jokowi Effect yang menjalar ke setiap pelusuk Indonesia.


"Ini bukan zaman politik janji dan ikrar. Rakyat sudah matang dan mahukan pemimpin yang bertindak secara langsung seperti yang dilakukan oleh Jokowi," kata Andy Waryanto dari Indexpolitica.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Saudi kekal haram pekerja Thai

Posted:

Bangkok: Pengharaman Arab Saudi terhadap pekerja warga Thai di negara itu dikekalkan apabila Kementerian Luarnya menolak permohonan Kementerian Buruh untuk menyambung semula pengambilan pembantu rumah dari Thailand.

Hubungan diplomatik antara Bangkok dengan Riyadh sudah terjejas teruk akibat kes 'berlian biru' pada 1989 apabila seorang tukang cuci warga Thai di istana Putera Faisal di Riyadh mencuri hampir 100 kilogram barang kemas, termasuk sebutir berlian biru.


Hubungan bertambah teruk dengan kes pembunuhan empat diplomat Saudi di Bangkok pada 1989 dan 1990 dan kehilangan warga negara itu, Mohammad al-Ruwaili yang menetap di Thailand ketika itu.

Akhbar Bangkok Post memetik laporan Saudi Gazette bahawa Kementerian Dalam Negeri Saudi mengekalkan pengharaman pengambilan pekerja Thai di negara itu dan menolak permohonan Kementerian Buruh untuk membatalkannya.


Arab Saudi berdepan dengan beberapa masalah kekurangan pekerja domestik akibat sekatan yang dikenakan oleh beberapa negara lain.


Sri Lanka mula mengambil langkah secara berperingkat untuk melarang warganya bekerja sebagai pembantu rumah di negara itu selepas seorang rakyatnya menjalani hukuman pancung ekoran kematian bayi dibawah jagaannya. Indonesia juga melarang penduduknya bekerja sebagai amah di Saudi pada 2011 selepas seorang pekerja negara itu dipancung setelah didapati bersalah membunuh majikannya. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Tertuduh kes rogol mati dalam sel

Posted:

New Delhi: Tertuduh utama dalam kes rogol beramai-ramai membabitkan seorang mahasiswa dalam sebuah bas Disember lalu ditemui mati dalam sel penjara semalam, mencetuskan kemarahan daripada keluarga mangsa.

Kakitangan di Penjara Tihar di pinggir ibu negara India itu berkata, Ram Singh menggantung diri menggunakan bajunya.


Namun, keluarga Ram mendakwa, tidak mungkin pemandu bas itu membunuh diri dan pernah memberitahu, nyawanya dalam bahaya.

Peguam Ram pula berkata, kematian itu sepatutnya disiasat sebagai kes bunuh. Ram, 30-an, adalah seorang daripada enam tertuduh yang dibicarakan atas kesalahan merogol dan membunuh seorang mahasiswa berusia 23 tahun yang mencetuskan kemarahan besar-besaran seluruh India.


Dia ditemui mati dalam sel tahanannya jam 5.15 pagi.


Pegawai undang-undang penjara, Sunil Gupta berkata, Ram mengikat semua pakaiannya dan menggunakan palang di siling serta bangku kayu menggantung dirinya.

"Majistret memulakan siasatan untuk mengetahui jika berlaku kecuaian di sebalik kematian lelaki terbabit," katanya.


Sementara itu, bapa mangsa rogol itu berkata, jelas pihak berkuasa cuai dalam tugas mereka. "Kita tidak faham bagaimana polis gagal melindungi Ram.

"Pihak berkuasa tahu dia adalah suspek utama dalam kes anak saya. Bagaimana mereka membiarkan suspek terbabit memilih cara untuk mati?" katanya.


Disebabkan kegagalan polis itu, katanya, dia tertanya-tanya bagaimana nasib kes berkenaan. Ram sering hadir di mahkamah untuk menjalani perbicaraan atas tuduhan membunuh, merogol dan menculik. Empat lelaki lain dituduh melakukan rogol berkumpulan dan berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.


Suspek keenam ialah remaja berusia 17 tahun yang dibicarakan di mahkamah juvana dan berdepan hukuman maksimum penjara tiga tahun. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Qatar henti bantuan kewangan kepada Mesir

Posted:

Doha: Qatar tidak akan menghulurkan lagi bantuan kewangan kepada Mesir dalam masa terdekat ini.

Langkah itu diumumkan oleh Menteri Kewangan, Youseff Kamal, semalam.


"Kami sudah mengumumkan bantuan sebanyak AS$5 bilion. Buat masa ini, kami memutuskan untuk tidak lagi menghulurkan bantuan selanjutnya," kata Youseff tanpa memberi penjelasan lanjut.

Qatar menjadi sumber bantuan asing utama kepada Mesir sejak revolusi rakyat yang menumbangkan kerajaan Presiden Hosni Mubarak pada 2011.


Bantuan berkenaan diberikan menerusi pinjaman dengan kadar faedah rendah dan deposit di Bank Pusat Mesir.


Dengan rizab asing berada dalam paras kritikal serta harapan untuk mendapatkan pinjaman sebanyak AS$4.8 bilion daripada Tabung Matawang Antarabangsa |(IMF) tertangguh kerana kekacauan politik, terdapat khabar angin bahawa Kaherah akan beralih kepada Qatar untuk mendapatkan lebih banyak bantuan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Al-Qaeda dakwa bunuh 48 tentera Syria

Posted:

Baghdad: Kumpulan Negara Islam Iraq yang menjadi wakil al-Qaeda di Iraq semalam mengaku menyerang satu konvoi di barat negara itu dan membunuh 48 tentera Syria.

Dalam kenyataan dimuat naik di laman sesawang kumpulan terbabit, mereka mendakwa, sembilan pengawal Iraq turut terbunuh dalam insiden itu.


Menurut kumpulan terbabit, pejuang Negara Islam Iraq memusnahkan sejumlah 'tentera Safavid dan kenderaan mereka' yang 'membawa anggota tentera Nusairi dan rejim shabiha Syria'.

Safavid adalah istilah digunakan untuk pengikut Syiah di bawah kawalan Iran, manakala Nusairi adalah panggilan menghina untuk kumpulan Alawiyah berfahaman Syiah di Syria. Presiden Syria Bashar al-Assad adalah antara pengikut Alawiyah.


Ungkapan shabiha pula merujuk kepada militia prokerajaan Syria.


Sementara itu, Kementerian Pertahanan Iraq pula berkata, mangsa adalah tentera Syria yang cedera dan mendapatkan rawatan perubatan di Iraq.

"Mereka dibawa melalui wilayah Anbar untuk kembali ke Syria apabila diserang pada 4 Mac lalu," katanya.


Kementerian Pertahanan Iraq menyalahkan serangan berkenaan dilakukan oleh 'kumpulan pengganas yang memasuki wilayah Iraq dari Syria'. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Pyongyang putuskan talian khas dengan Seoul

Posted:

Seoul: Korea Selatan dan tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan latihan tentera bersama semalam dan mencetuskan kemarahan Korea Utara dan mendorong Pyongyang membatalkan gencatan senjata ditandatangani dengan Seoul pada 1953.

Latihan ketenteraan Key Resolve selama dua minggu itu dijalankan seminggu selepas ketegangan meningkat di semenanjung Korea dengan Pyongyang mengecam sekatan baru dikenakan ke atas mereka.


Menurut Pyongyang, latihan bersama itu adalah langkah provokatif.

Justeru, Pyongyang memutuskan - mulai hari ini - gencatan senjata dengan Korea Selatan bagi menamatkan Perang Korea pada 1953 lalu dibatalkan. Kementerian Penyatuan Korea Selatan mengesahkan ia adalah satu lagi janji Korea Utara untuk memutuskan persefahaman di antara kedua-dua negara. Jurucakap kementerian itu berkata, Pyongyang dan Seoul berhubung dua kali sehari melalui talian khas.


"Bagaimanapun, Korea Utara tidak menjawab panggilan kami hari ini (semalam)," katanya. Talian khas dipasang pada 1971 dan Pyongyang pernah memutuskan hubungan melalui talian berkenaan sebanyak lima kali sebelum ini.


Kali terakhir mereka bertindak begitu ialah pada 2010. Akhbar Korea Utara, Rodong Sinmun mengesahkan gencatan senjata itu dibatalkan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Jeneral Korea Selatan lebih minat main golf

Posted:

Seoul: Korea Selatan menyiasat laporan mendakwa pegawai atasan tentera negara itu bermain golf ketika mereka sepatutnya cuba meredakan ketegangan dengan Korea Utara minggu lalu.

Jurucakap presiden, Yoon Chang-jung berkata, pejabat Setiausaha Hal Ehwal Sivil Kanan menjalankan siasatan itu bagi memastikan apa sebenarnya berlaku.


"Siasatan dibuat bagi mendapat gambaran jelas mengenai laporan mengenai keadaan di padang golf," katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Beberapa akhbar melaporkan, padang golf tentera di Seoul dipenuhi pegawai kanan pasukan berkenaan, termasuk yang berpangkat jeneral. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

No comments:

Post a Comment