Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tertipu gajet murah

Posted:

Kuala Lumpur: Tertarik pada harga telefon pintar yang 50 peratus lebih murah daripada harga pasaran menyebabkan seorang pelajar kolej kerugian RM76,100, malah dia juga terpaksa membayar wang kepada rakan yang membuat pesanan melaluinya.

Pelajar berkenaan yang mahu dikenali sebagai Teo, 21, dari Batu Caves, Gombak itu mendapat tahu mengenai sebuah syarikat menjual telefon pintar atas talian daripada rakannya yang pernah membuat pembelian 10 telefon pintar iPhone 5 pada harga murah.


Menurutnya, syarikat yang didakwa beribu pejabat di Las Vegas, Amerika Syarikat itu beroperasi melalui laman sosial Facebook dan selepas rakannya mendapat barang yang dipesan dia pun berhasrat untuk menghubungi syarikat terbabit melalui e-mel.

Katanya, syarikat terbabit menawarkan seunit iPhone 5 pada harga RM900 dan dia membuat pesanan 75 telefon bimbit selepas rakan serta beberapa saudara memintanya untuk membuat pesanan.


"Penghantaran dijangka mengambil masa dua hingga tiga hari dari tarikh pembayaran dan pada 4 Februari lalu saya membayar RM55,000 melalui Western Union kepada pengurus syarikat terbabit.


"Beberapa hari selepas membuat pembayaran itu, saya diminta membayar RM5,000 untuk pelepasan cukai kastam di Singapura dan Malaysia. Tanpa syak saya membayar wang berkenaan," katanya pada sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA, semalam.

Foto

TEO (kanan) menunjukkan laman Facebook syarikat terbabit.

Teo berkata, selepas menunggu beberapa hari dia menghubungi pengurus syarikat terbabit dan dimaklumkan bungkusan mengandungi pesanan berkenaan ditahan polis manakala dia diminta membayar RM1,100 lagi untuk tujuan penghantaran.


"Tidak cukup dengan itu, syarikat terbabit turut mendakwa tersilap menghantar 100 telefon bimbit berikutan kesilapan invois dan saya diminta membayar RM15,000 lagi untuk tujuan berkenaan.

"Akibat tiada pilihan dan perlu memberikan telefon bimbit yang dipesan rakan, saya membayar wang berkenaan dan selepas semua bayaran dibuat, mereka meminta saya membayar RM1,500 lagi pada 7 Mac lalu," katanya.


Katanya, ketika itu baru dia sedar dirinya menjadi mangsa sindiket penipuan sebelum membuat pemeriksaan nombor akaun Western Union dan mendapati ia dihantar ke Nigeria.


Menurut Teo, dia membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam MCA.


Pengerusi Biro itu Datuk Seri Michael Chong menasihatinya supaya tidak membuat bayaran lagi kepada sindiket itu.


Kata Chong, sejak 2011 pihaknya menerima tujuh kes membabitkan kerugian lebih RM600,000 menggunakan modus operandi sama.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Pendaftaran Kem Remaja Addin kini dibuka

Posted:

Kuala Lumpur: Ibu bapa boleh membuat pendaftaran anak mereka untuk Kem Remaja Addin Harian Metro siri 5 di Melaka Tropical Fruit Farm, Pusat Latihan Pertanian, Sungai Udang, Melaka bermula jam 3 petang pada 23 Mac ini.

Senarai nama peserta akan disiarkan di Harian Metro sedikit hari lagi bagi memudahkan ibu bapa menghubungi urus setia jika nama anak mereka tiada dalam senarai itu.

Pengurus Projek Harian Metro, Abdul Kadir Hamza, berkata urus setia menyediakan empat kaunter, dua untuk lelaki dan dua untuk perempuan bagi memudahkan urusan pendaftaran.

Beliau berkata, petugas Harian Metro membantu ibu bapa membuat pendaftaran dan mendapatkan bilik penginapan untuk anak mereka.


"Bagi ibu bapa dari luar Melaka, kami memberi kelonggaran jika tiba lewat untuk mengesahkan pendaftaran.


"Mereka diberi kelonggaran mendaftar lewat sedikit, tetapi jangan terlalu lewat kerana se lepas solat Asar, sesi pertama akan bermula," katanya.

Program tiga hari dua malam yang dibimbing Perunding Human Touch Consultant, Datuk Zawawi Yusoh akan memberi penekanan kepada pendidikan agama, moral, motivasi, pelajar cemerlang dan jati diri.

Management & Science University (MSU) dan Kerajaan Negeri Melaka ialah penaja utama Kem Remaja Addin Harian Metro.

"Aktiviti luar seperti 'flying fox', jungle trekking dan berakit akan menitikberatkan aspek keselamatan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

"Bagi membolehkan aktiviti luar dijalankan dengan selesa, ibu bapa perlu membekalkan anak mereka kemeja-T, seluar, kasut sukan, selipar, baju Melayu selain pakaian sesuai sepanjang kem itu.

"Kami juga akan menempatkan seorang urus setia di setiap tempat penginapan pelajar bagi membolehkan mereka merujuk jika ada masalah," katanya.

Sementara itu, ibu bapa masih boleh mendaftar dengan menggunakan borang yang disediakan di Harian Metro selain wang pos RM150 dan hantar ke Bendahari, Urus Setia Kem Remaja Addin, Jabatan Kewangan, NSTP (M) Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong 59100 Kuala Lumpur.

Tarikh tutup pendaftaran ialah pada 18 Mac 2013.

Hubungi urus setia Kem Remaja Addin di talian 03-20569683 (Norsham) waktu pejabat, 013-3625292 (Roslan) dan 012-6905974 (Kadir) untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Bunuh rakan kerana cemburu

Posted:

Shah Alam: Saingan cinta antara dua lelaki dipercayai menjadi motif seorang lelaki warga Myanmar dibunuh kejam rakan serumahnya dalam kejadian di Kondominium Kelana Puteri, Kelana Jaya, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, polis kini memburu rakan mangsa, seorang lelaki warga Myanmar yang dikenali sebagai Phyo, 20-an, yang juga suspek utama kejadian terbabit.


Mohd Adnan berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa bersama suspek dan seorang wanita tinggal bersama di kondominium berkenaan yang disewa majikan mereka yang juga pemilik sebuah restoran.

Katanya, akibat cemburu kerana mangsa dan suspek sama-sama menaruh hati terhadap wanita itu yang juga warga Myanmar menyebabkan suspek membunuh mangsa dengan mengelar leher, tengkuk, pergelangan tangan, paha kanan dan tapak kaki mangsa.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya Asisten Superintendan Zakaria Abdullah di talian 016-9752929 untuk membantu siasatan," katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Mangsa samun ditikam

Posted:

Kuala Lumpur: Tindakan seorang lelaki cuba mempertahankan dirinya daripada disamun empat lelaki menyebabkan dia cedera di perut dan muka selepas ditikam dalam kejadian di Kampung Kerinchi, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam, mangsa berusia 20 tahun itu ditikam di perut dan kepala dengan pisau oleh suspek sebelum disamun.


Kejadian menyebabkan mangsa kerugian RM2,000 selepas beg duit yang diletakkan dalam poket seluar dirampas, selain telefon bimbit dan sebentuk cincin emas.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Siva, 20, berkata, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah empat lelaki berusia 20-an yang menaiki motosikal menahannya.


Katanya, mereka memberhentikan motosikal dan mengacukan pisau ke mukanya sebelum ditepis, namun pisau dipegang seorang suspek terkena pipinya menyebabkan kecederaan.


"Mereka memeriksa poket seluar untuk mengambil dompet dan saya melawan sebelum seorang daripadanya menikam di perut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhamad Azlee Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Gaduh sampai mati

Posted:

Port Dickson: Akibat pertengkaran mulut, seorang lelaki membelasah bapanya dengan kayu hingga cedera parah di kepala dalam kejadian di rumah mereka di 37A, Kampung Kuala Lukut, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.40 malam, S Ramadas, 56, yang terbaring berlumuran darah disahkan meninggal dunia ketika dikejarkan ke Hospital Port Dickson (HPD.


Jiran yang enggan dikenali berkata, pada mulanya dia menyangka rumah mangsa dimasuki perompak apabila mendengar suara orang menjerit dan bertengkar lalu menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu.

"Apabila polis sampai 15 minit kemudian, baru saya tahu cerita sebenar apabila melihat mangsa terbaring berlumuran darah.


"Mangsa dan anaknya selalu bergaduh, tetapi tidaklah sampai pukul-memukul, cuma bertengkar mulut saja. Ini kejadian pertama di kawasan ini dan saya agak terkejut apabila dimaklumkan mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Abd Wahab Harun berkata, pada jam 7.45 malam polis menerima panggilan orang awam memaklumkan kejadian pecah rumah di Kuala Lukut dan sepasukan anggota peronda segera ke tempat kejadian untuk pemeriksaan.

"Siasatan mendapati bukan kes pecah rumah sebaliknya kes pergaduhan membabitkan anak dengan bapa. Si bapa (mangsa) dipercayai dipukul dengan kayu oleh anak lelakinya hingga cedera di kepala dan ketika dihantar ke HPD dengan ambulans, dia disahkan meninggal dunia.


"Polis menahan anaknya berusia 29 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam perkembangan sama, keluarga mangsa enggan memberikan sebarang komen kepada pihak media kerana masih terkejut dengan kejadian itu.


Seorang kenalan keluarga terbabit memberitahu, suspek dan bapanya sering bergaduh sejak mangsa bercerai dengan isterinya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

No comments:

Post a Comment