Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Tersepit celah dua dinding

Posted:

Hangzhou (China): Gara-gara mahu sampai cepat ke rumahnya, seorang lelaki tersepit di antara dua dinding ketika pulang dari bar di Xinqiao di bandar Wenzhou, Zhejiang.

Menurut media tempatan, Jian Tsui tersepit di situ begitu rapat sehingga dia sukar bernafas atau menjerit untuk meminta tolong.


Disebabkan masalah itu, nasib menimpa Jian hanya disedari apabila hari siang dan anggota penyelamat terpaksa menebuk lubang pada satu daripada dinding berkenaan untuk menyelamatkannya.

Saksi berkata, Jian meninggalkan bar kira-kira jam 1 pagi dan meredah cuaca sejuk untuk pulang.


"Dia mahu mengambil jalan pintas dan cuba lalu di antara dinding dua rumah, tetapi gagal meloloskan diri," katanya. Sementara itu, Jian berkata, dia kesejukan dan mahu segera sampai ke rumah.


"Apabila tersepit, saya cuba keluar semula, namun gagal kerana saya tidak boleh bergerak banyak.

"Saya cuba menjerit meminta tolong, tetapi disebabkan tak mampu bernafas dengan betul, saya tak boleh menjerit," katanya. Jian bernasib baik kerana seorang penduduk kampung ternampak dia tersepit ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.


Dia cuba menarik Jian keluar, tetapi ia hanya menyebabkan kecederaan.

Akhirnya, seorang pemilik rumah membenarkan anggota penyelamat menebuk lubang dinding rumahnya untuk selamatkan Jian. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09

3 tahun simpan mayat ibu

Posted:

Tiga beradik ditahan selepas pihak berkuasa menemui rangka ibu mereka di rumah didiami pasangan terbabit, semalam.

Menurut pihak berkuasa, pasangan adik-beradik itu mendakwa tidak melakukan sebarang kesalahan atas kematian ibu mereka.


Sumber berkata, wanita terbabit sudah meninggal dunia selama tiga tahun.

"Mayat wanita itu disimpan anak-anaknya kerana mereka percaya si mati bertukar menjadi tuhan," katanya. Ekoran penemuan rangka itu, pihak berkuasa menahan dan mendakwa seorang lelaki berusia 65, dua wanita berusia 59 dan 52 tahun kerana bersubahat mengabaikan mayat.


Sumber polis berkata, adik-beradik itu ditahan di rumah mereka di Usa di wilayah Oita.


Terdahulu, pihak berkuasa melawat rumah mereka bagi menyiasat kemungkinan ada wanita tua didera.

Sumber berkata, pada awalnya penyiasat tidak dibenarkan masuk, malah dihalau dari situ.


"Apabila berjaya masuk, penyiasat menemui rangka wanita terbabit di atas katil," katanya. Pegawai forensik berkata, jika wanita itu masih hidup, dia berusia 88 tahun ketika ini.

Sementara itu, jiran berkata, satu ketika dulu, keluarga terbabit dihormati penduduk setempat, tetapi menimbulkan kecurigaan apabila melakukan amalan aneh.


Keluarga itu juga enggan bercampur dengan masyarakat setempat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09

Tak kesal cincang isteri

Posted:

Seorang lelaki, Benget Situmorang, 37, mengakui dia tidak menyesal mencincang mayat isterinya Darna Sri Astuti, 32, yang disyakinya bermain kayu tiga.

"Suspek tidak menyesal membunuh dan mencincang tubuh isterinya. Dia mengaku melakukan perbuatan itu kerana sakit hati dengan tingkah laku mangsa," kata penguamnya, Djarod Widodo di balai polis Jakarta Timur semalam.


Suspek memberitahu dia tidak dapat menerima hakikat isterinya itu menafikan berlaku curang. Djarot juga membantah anak guamnya mempunyai hubungan istimewa dengan seorang wanita bernama Tini yang membantu lelaki itu membuang bahagian tubuh mangsa dari dalam van.

"Yang berlaku curang ialah mangsa, bukan anak guam saya," katanya.


Anggota tubuh mangsa ditemui di tol Cikampek pada awal pagi Selasa lalu. Mangsa dipercayai dibunuh dan tubuhnya dicincang pada Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09

Mayat Chavez akan diawet

Posted:

Pewaris politik Hugo Chavez berkata, bekas Presiden Venezuela itu akan diawet 'seperti Lenin' dan dipamerkan di tempat dia pernah merancang rampasan kuasa. Naib Presiden Venezuela, Nicolas Maduro berkata, mayat Chavez akan dibawa ke Muzium Revolusi yang pernah menjadi berek tentera.

"Chavez akan diabadikan dalam keranda kaca seperti Ho Chi Minh, Lenin and Mao Zedong," katanya. Chavez pernah merancang untuk menggulingkan Presiden Carlos Andres Perez pada 4 Februari 1992 tetapi cubaannya itu gagal. Penahanan Chavez menjadikan dia seorang wira dan membuka jalan kepadanya memenangi pilihan raya pada 1998. Bagaimanapun, Maduro membayangkan mayat Chavez itu akhirnya akan dipindahkan ke tempat lain untuk disemadikan. Sementara itu, ketika ratusan ribu orang bertali arus memberi penghormatan terakhir kepada Chavez di sebuah akademi tentera, pegawai kerajaan berkata, Maduro akan mengangkat sumpah sebagai pemangku presiden hari ini sebelum mengumumkan pilihan raya.


Namun, ketika ketegangan politik dijangka berlaku, majlis mengabadikan Chavez juga dilanjutkan.

Kata Maduro, peluang untuk orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada Chavez mungkin berlangsung sekurang-kurangnya tujuh hari lagi. Bekas anggota separa tentera, Chavez membawa fahaman sosialis untuk memperjuangkan nasib golongan miskin Venezuela.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09

Sedia perang Hizbullah

Posted:

Di sebuah padang berdebu di selatan padang pasir di Israel, pasukan tentera rejim Zionis membuat persediaan berperang menghadapi musuh biasa mereka, gerila Hizbullah di Lubnan.

Ketika perang saudara di Syria semakin sengit, perancang tentera semakin gelisah jika konflik itu merebak ke Israel dan berpotensi mengheret kumpulan pejuang Islam Lubnan itu yang memang bersekutu dengan Presiden Bashar al-Assad.


Selepas berperang dengan Hizbullah pada 2006, tentera Israel berkata, mereka memperoleh pengajaran penting dan bersedia menyebabkan kemusnahan lebih dahsyat ke atas kumpulan berkenaan jika mereka bersengketa lagi. Sempadan Israel - Lubnan masih lengang sejak perang dulu berakhir. Namun, Hizbullah menambah kekuatan senjatanya dan membayangi perang terhadap Israel di seluruh dunia.

Kejatuhan Bashar atau serangan terhadap satu lagi sekutu Hizbullah, Iran mungkin mencetuskan perang besar-besaran terbaru. Komander kanan tentera Israel berkata, ketegangan semakin dirasakan akibat isu Syria.


Pada 2006 serangan udara Israel selama berminggu-minggu membunuh lebih 1,000 orang termasuk pejuang Hizbullah serta memusnahkan kemudahan infrastruktur utama mereka.


Bagaimanapun, serangan itu gagal menghalang Hizbullah daripada melancarkan kira-kira 4,000 roket ke Israel dan perang itu berakhir melalui perjanjian diusahakan PBB. Ketika sebahagian besar perjanjian itu masih bertahan, Israel berkata, Hizbullah menambah bilangan simpanan senjatanya secara sistematik.

Antara kekuatan mereka kini ialah puluhan ribu roket dan misil lebih berkuasa dan mampu mengenai mana-mana sasaran di Israel.


Beberapa pegawai tentera berkata, perang Israel dengan Hizbullah hanya menunggu masa untuk meletus.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09

Menantu Osama dihadapkan ke mahkamah

Posted:

New York: Menantu lelaki Osama bin Laden dihadapkan ke mahkamah bandar raya ini semalam bagi menghadapi tuduhan bersubahat membunuh rakyat Amerika Syarikat ekoran peranannya sebagai pegawai tinggi al-Qaeda.

Pihak berkuasa Amerika berkata Sulaiman Abu Ghaith (gambar) ditahan di Jordan minggu lalu. Jurucakap al-Qaeda kelahiran Kuwait itu menjadi sebahagian rangkaian dalaman Osama yang melancarkan serangan 11 September 2001 dan memberi amaran terhadap lebih banyak serangan. Kes itu menandakan kejayaan pentadbiran Presiden Barack Obama yang sudah lama ingin mendakwa suspek terdiri daripada pegawai kanan al-Qaeda di mahkamah persekutuan Amerika Syarikat daripada hanya menahan mereka di Teluk Guantanamo, Cuba.


Sehari selepas serangan itu, pendakwa raya berkata, Sulaiman muncul bersama Osama dan seorang lagi pemimpin kanan al-Qaeda, Ayman al-Zawahri dalam rakaman video untuk menggesa umat Islam memerangi kaum Yahudi, penganut Kristian dan Amerika Syarikat.

"Kumpulan tentera yang hebat kini bersiap sedia menentang anda," kata Sulaiman pada 12 September 2001, menurut pendakwa raya. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09

Pilihan raya Mesir batal

Posted:

Jawatankuasa pilihan raya Mesir membatalkan jadual pilihan raya Parlimen yang bakal berlangsung bulan depan.

Langkah itu diambil berikutan arahan mahkamah yang menyebabkan keseluruhan proses pilihan raya bercelaru.


Mesir kini berada dalam keadaan terumbang-ambing tanpa tarikh pilihan raya yang pasti hingga menjejaskan ekonomi dengan nilai mata wangnya semakin susut, rizab mata wang asing turun naik dan defisit bajet meningkat kepada tahap yang tidak dijangka. Krisis politik kian meruncing Rabu lalu apabila Mahkamah Pentadbiran membatalkan dikri Presiden Mohamed Mursi untuk mengadakan pilihan raya.

Ia turut menyerahkan semula undang-undang pilihan raya yang menjadi pertelingkahan antara pembangkang dan Parti Islam pimpinan Mursi kepada Mahkamah Perlembagaan untuk dikaji semula. Agensi berita MENA berkata, jawatan kuasa pilihan raya membuat keputusan untuk membatalkan jadual pilihan raya selepas mengkaji butir dan alasan untuk membatalkannya daripada Mahkamah Pentadbiran yang diumum Rabu lalu.


Tahun lalu Mursi mengambil alih kuasa sepenuhnya dan menyekat mahkamah mencabar keputusannya, langkah yang mendorong kepada beberapa siri bantahan. Bagaimanapun, semalam, Mursi berjanji untuk menghormati keputusan Rabu lalu. Pilihan raya empat pusingan dijangka bermula 22 April dan berakhir pada hujung Jun.


Parlimen negara itu sebelum ini bubarkan dengan sendiri selepas mahkamah menolak keputusan pilihan raya lalu yang mengguna pakai versi undang-undang pilihan raya lama.

Kecelaruan proses pilihan raya bermakna Mesir tidak mungkin berjaya memperoleh pinjaman AS4.8 bilion (RM14.9 bilion) daripada Tabung Kewangan Antarabangsa bagi membiayai kewangan kerajaan.


Selain krisis ekonomi, kerajaan Mursi juga berdepan dengan masalah keselamatan yang serius.

Seorang penunjuk perasaan ditembak mati kelmarin dalam pertempuran hari kelima antara polis dan penunjuk perasaan di Port Said.


Keganasan melanda bandar raya Terusan Suez itu sejak Januari lalu ekoran hukuman mati yang dikenakan terhadap penduduk tempatan yang terbabit dalam rusuhan perlawanan bola sepak tahun lalu.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09

Gadis ketagih pewangi ketiak

Posted:

Seorang remaja mendedahkan dia mempunyai ketagihan paling pelik di dunia kerana tidak dapat berhenti memakan pewangi ketiak.

Nicole, 19, dari New York berkata, dia suka dengan rasa pewangi itu ketika dia masih bayi tetapi kemudian menjadi ketagih memakannya sejak dua tahun lalu.


Sejak itu, dia sudah memakan secara purata setengah batang bahan itu sehari, sama dengan 15 batang sebulan.

Nicole berkata ketagihannya itu menyebabkan mulutnya kering dan mengalami kekejangan di perut.


Untuk mengatasi masalah itu, dia kadang-kadang menyembur pewangi ke lidahnya. Nicole berkata: "Otak saya memberitahu, 'kamu perlu memakannya'. "Saya cuba untuk menghentikan tabiat itu selama seminggu, tetapi jatuh sakit dan pening.


"Apabila saya menyedari saya hampir kehabisan pewangi ketiak, saya menjadi panik. Kebimbangan saya semakin bertambah dan saya rasa bagai nak gila.

"Tanpanya, saya mungkin menjadi individu yang berbeza," katanya. Walaupun pewangi ketiak sebahagian besarnya diperbuat daripada minyak dan lilin, bahan utamanya ialah aluminium yang boleh menyebabkan demensia, serangan secara tiba-tiba, malah juga kematian. Teman lelaki Nicole dan rakannya, Zhakia bimbang dengan kesihatan gadis itu dan akhirnya memujuknya untuk berjumpa doktor yang mengesahkan dia mempertaruhkan keadaan kesihatannya. Sejak itu, dia cuba menghentikan tabiatnya dan memakan kacang badam apabila rasa ketagih, tetapi masih memakan sedikit pewangi ketiak setiap hari.


"Ia sangat lembut kerana cair di dalam mulut saya. Pewangi ketiak memang mempunyai rasa yang unik dan tersendiri," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/02

Pelajar dipaksa lakukan seks oral

Posted:

Seorang penuntut wanita semalam mendakwa, timbalan pengetua sekolahnya mengancam menahan diplomanya jika dia enggan melakukan seks oral.

Hanya didedahkan identitinya sebagai MA, penuntut terbabit berkata, timbalan pengetua itu mengugut, dia tidak akan menerima kad laporan dan sijil tamat pembelajaran jika enggan mengikut kemahuannya.


"Saya jadi takut," katanya.

Penuntut sekolah menengah di Matraman berusia 17 tahun itu berkata, lelaki itu - dikenali sebagai T - memaksanya melakukan seks oral empat kali antara Jun dan Julai tahun lalu.


Katanya, kejadian pertama berlaku pada 26 Jun 2012 selepas T memintanya bertemu di depan sebuah bank di Utan Kayu, Jakarta Timur.


Kejadian lain, kata MA, berlaku selepas dia dibawa ke kawasan gelap di kawasan rekreasi Ancol.

"T kemudian memberi saya Rp50,000 (RM16) sebagai tambang teksi," katanya.


Pada pertemuan ketiga, kata MA, T meminta lebih daripada sekadar seks oral ketika dijemput ke rumah lelaki terbabit.

Bagaimanapun, kata MA, dia menolak.


"Berdasarkan keadaan rumah itu, permintaan T memang dirancang lebih awal," katanya. Sejak itu, kata MA, dia tidak menjawab sebarang panggilan telefon daripada T dan mengadu kepada seorang guru.


Kata MA, guru terbabit menasihatinya supaya membuat laporan polis. Namun, T didakwa mengugut MA selepas polis diberitahu. Kata MA, T mengumpulkan ahli Pertubuhan Penuntut Antara Sekolah untuk memaklumkan kononnya insiden itu sengaja diada-adakan.


"Walaupun T meletak jawatan sebagai timbalan pengetua, dia masih mengajar subjek biologi di sekolah," katanya. Sementara itu, pegawai pendidikan Jakarta berkata, kedudukan T sebagai timbalan pengetua kini digantung.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/02

Keganasan ragut 52 nyawa

Posted:

Pertempuran baru meletus, semalam di Bangladesh menjadikan jumlah korban meningkat kepada 52 orang dalam keganasan berpunca daripada sabitan kesalahan seorang pemimpin Islam dalam jenayah perang pada era perang merdeka 1971.

Ketua polis tempatan, Nahidul Islam berkata, seorang penarik beca maut apabila ratusan penyokong kerajaan dan pengikut Jamaat-e-Islami bertempur menggunakan kayu di sebuah pasar di Gaibandha.


Jamaat-e-Islami menganggap keputusan tribunal itu bersifat politik dan mendakwa 50 pengikutnya ditembak mati seperti 'burung buruan' kelmarin.

Pertempuran berlaku di seluruh negara selepas Naib Presiden Jamaat-e-Islami, Delwar Hossain Sayedee didapati bersalah atas tuduhan membunuh, merogol dan jenayah lain ketika Bangladesh memperjuangkan kemerdekaannya.


Delwar didapati bersalah oleh sebuah tribunal jenayah perang. Kini dikenali sebagai penceramah garang, Delwar orang ketiga disabitkan kesalahan oleh tribunal itu. Sementara itu, kawalan keselamatan ditingkatkan di ribuan masjid di Bangladesh sebelum solat Jumaat semalam manakala pengawal sempadan ditempatkan di semua bandar utama.


Polis pula melarang sejumlah demonstrasi yang dirancang di beberapa lokasi berisiko manakala sesetengah pintu masjid terbesar di Bangladesh, Baitul Mukarram dikunci bagi mengehadkan jumlah orang yang datang. Kawalan keselamatan turut ditingkatkan di beberapa perkampungan penganut Hindu selepas rumah dan kuil mereka diserang di daerah Noakhali dan Chittagong.

Seorang lelaki penganut Hindu turut terbunuh.


Ketua kumpulan hak asasi manusia Ain O Salish Kendra Sultana Kamal berkata, kelmarin hari paling buruk dalam catatan keganasan politik Bangladesh sejak negara itu mencapai kemerdekaan dari Pakistan pada 1971.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/02

No comments:

Post a Comment