Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena

FAM bakal berdepan dilema

Posted:

Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pasti akan berdepan dilema sekiranya Barcelona tidak berganjak dengan pendirian asal untuk mengadakan perlawanan menentang Harimau Malaya pada 10 Ogos ini sempena Jelajah Asia kelab gergasi Sepanyol itu ke Kuala Lumpur.

Biarpun kunjungan kali pertama anak buah Tito Vilanova itu pastinya amat dinantikan peminat tempatan namun ia dilihat tidak sesuai memandangkan ia bakal berlangsung ketika umat Islam negara ini sibuk meraikan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada hari raya ketiga.

Berdasarkan laporan web rasmi kelab itu, www.fcbarcelona.com, Barcelona bakal berada di ibu negara selepas beraksi di Shanghai, China (4 Ogos) dan di Bangkok, Thailand tiga hari kemudian dalam rangka lawatannya ke Asia.

Sekiranya kelab pendahulu La Liga itu tidak mahu menimbangkan permintaan FAM yang mahu tarikh itu dipercepatkan, mana mungkin Barca akan datang ke Kuala Lumpur pada hari raya pertama dan mengadakan sesi latihan pada hari raya kedua sebelum perlawanan.

Bagaimanapun Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata, semua ini bakal terjawab apabila wakil kelab itu datang mengadakan perbincangan dengan pihaknya minggu depan.

"Keputusan mengenai Jelajah Asia Barcelona di Malaysia dijangka akan diketahui minggu depan. Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah akan membuat pengumuman itu selepas pihak FAM bertemu dengan wakil Barcelona," katanya.

Badan induk bola sepak tanah air pastinya bersedia mengalu-alukan kedatangan kelab The Catalans itu sekiranya tarikh itu ditukar lebih awal biarpun ketika bulan Ramadan kerana Harimau Malaya pernah berdepan situasi sama ketika menentang kelab Inggeris Arsenal pada Julai tahun lalu.

Ketika ini perkara utama yang mahu diteliti oleh FAM adalah status pihak penganjur yang mendakwa mendapat kontrak daripada Barcelona.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, FAM juga perlu membuat pengesahan mengenai wakil syarikat itu adakah ia benar-benar sahih. Ini kerana kita perlu lihat dokumentasi kontrak mereka dengan Barcelona walaupun kami sudah bertemu wakil syarikat itu sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/11

Hang Kasturi gah

Posted:

Melaka: Pasukan Hang Kasturi berjaya mengungguli Kejohanan Tenpin Bowling Kampus Bandaraya Melaka (KBM) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Ampang Super Bowl Bandar Hilir baru-baru ini.

Manakala pasukan Hang Li Po dan Hang Lekir meraih tempat kedua dan ketiga diikuti Hang Tuah, Hang Kasturi, Tun Mutahir, Tun Teja dan Parameswara masing masing menduduki tangga ke ke-4 hingga 8.

Seramai lebih 80 peserta menyertai kejohanan yang bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara kakitangan KBM dan pengurusan kampus berkenaan.

Urusetia program Bakri Husin berkata, Program "Heart Race 2013 – Road To Bowling " bermula di Kolej Tun Mamat, Jalan Hang Tuah menyusuri persisiran Sungai Melaka dan berakhir di pusat bowling berkenaan.

Katanya, peserta turut menyertai aktiviti senamrobik dan seterusnya menyertai perlawanan boling.

Menurutnya, kemenangan bukan matlamat utama penyertaan kerana yang penting adalah membentuk setiakawan jitu di kalangan peserta selain membentuk staf sihat dan cergas.

Program dirasmikan Penolong Rektor UiTM KBM, Profesor Madya Mohd Zainuddin Hassan yang turut menyampaikan hadiah hamper kepada pemenang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/11

Strike julang Mohd Fazli

Posted:

Sungai Petani: Konsisten, fokus dan berkeyakinan adalah elemen yang membolehkan Mohd Fazli Hasan menjuarai kategori individu Kejohanan Bowling Tertutup Seri Astana Siri 1 2013 di Pusat Bowling Sejati Park Avenue, Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

Pertandingan itu yang masuk tahun ketiga sejak 2011 lalu adalah anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Bandar Seri Astana Fasa Thalia (KESURAT).

Dia yang mengumpul jatuhan pin keseluruhan sebanyak 459 dalam tiga permainan mengatasi 13 pencabar lain dengan meninggalkan pesaing kedua, Annuar Ishak (406 pin) dan ketiga, Zahari Zakaria (404 pin).

Mohd Fazli memulakan pemburuan juara sebaik aksi permainan pertama dengan menjatuhkan pin sebanyak 140 diikuti 151 pin pada permainan kedua dan melengkapkan kecemerlangan pada permainan terakhir iaitu 168 jatuhan pin.

"Pertandingan kali ini sengit kerana pesaing lain juga menunjukkan balingan mantap. Saya bernasib baik kerana dapat mengatasi mereka pada permainan terakhir dengan melakukan strike tiga kali berturut-turut bermula pada frame keenam.

"Gelaran juara ini mengulangi pencapaian saya pada 2011 selepas kecewa tahun lalu dan berazam mempertahankan status itu bagi siri depan," kata Mohd Fazli.

Sebagai juara, Mohd Fazli meraih wang tunai RM500 dan piala pusingan manakala naib juara, Annuar (RM300) dan ketiga, Zahari (RM150).

Sementara itu, dalam kategori berkumpulan, Mohd Fazli turut membantu pasangannya, Zahari dan Adnan Zakaria untuk muncul juara selepas mengutip 1,260 jatuhan pin keseluruhan manakala Zulkifli Ismail, Juhari Md Jiwa dan Firdaus Hashim, kedua (1,158 pin).

Tempat ketiga diraih kumpulan Jamil Yahya, Mohd Noor Saad dan Razak Osman (1,100 pin), keempat milik Kamal Tarsin, Annuar dan Anuar Md Saad (1,046 pin) dan tercorot Abu Bakar Murad, Harun Ishak dan Asrul Nizam Ahmad (851 pin).

Semua peserta kategori berkumpulan menerima hadiah berupa hamper yang disampaikan Presiden KESURAT, Mohd Noor Saad.

Harian Metro sekadar naib juara

Posted:

Kuala Lumpur: Layak ke final sudah memadai buat skuad wanita Harian Metro walaupun sekadar muncul naib juara selepas tumpas kepada pasukan lebih berpengalaman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 4-0 pada Kejohanan Futsal Media-Agensi 2013 sempena Hari Wilayah yang berlangsung di Gelanggang Futsal Pusat Komersial Sentul.

DBKL membawa pulang wang tunai RM700, piala, medal dan hamper selaku juara manakala Harian Metro menerima RM400, medal dan hamper.

Bagi kategori lelaki diungguli DBKL A selepas menumpaskan Kraftangan Malaysia 4-1 pada aksi final. Hasil kejayaan itu DBKL A meraih RM1,000, piala, medal dan hamper manakala Kraftangan Malaysia meraih RM600, medal dan hamper.

DBKL B turut mencetak nama antara empat pasukan terbaik apabila menduduki tempat ketiga dan menerima RM300 manakala skuad JAWI (RM200), keempat.

Hadiah disampaikan Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Sukan DBKL, Tuan Idzawi Raja Ismail dan Pengurus Acara dan Tajaan F&N Beverage, Muhammad Fauzi.

Antara pasukan bertanding pada kejohanan itu adalah TV3, The Star, Bernama, Sinar Harian, Utusan Malaysia, Kosmo, Utusan Karya, RTM, Astro Arena, 100 Plus, dan TV Hijrah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/11

Cari bakat baru

Posted:

Kuala Lumpur: Juara Seluruh England 2003, Muhd Hafiz Hashim memuji tindakan Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia (GBG1M) yang menganjurkan Kejohanan Badminton Jaguh Kampung, yang dianggap berjaya mencungkil bakat pemain remaja di peringkat akar umbi.

Hafiz yang menjadi duta kepada GBG1M berkata, kemampuan pemain amatur yang menyertai kejohanan zon tengah di Kota Damansara berakhir semalam, tidak disangka cukup berkualiti.

"Pada awalnya saya jangka pemain yang menyertai kejohanan ini kurang kemahiran, namun kualiti permainan mereka amat tinggi terutamanya pemain yang melangkah ke suku akhir," kata Hafiz sambil memuji GBG1M yang dianggapnya melakukan tindakan betul.

Kejohanan Jaguh Kampung itu terbuka kepada semua pemain amatur yang tidak pernah mewakili pasukan kebangsaan mahupun negeri.

Ia bertujuan menyediakan satu kejohanan yang boleh membabitkan belia negara terutamanya mereka yang tidak berpeluang mendapat ruang seperti pemain yang mewakili negara.

"Kami mahu jadikan kejohanan ini sebagai landasan untuk membekalkan pemain badminton berkualiti buat negara, sekali gus membantu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengelak situasi ketandusan bakat seperti yang berlaku ketika ini," kata Presiden GBG1M, Shahrul Nasrun Datuk Kamarudin.

Jaguh Kampung dianjurkan di lima zon dan semua pemain yang layak ke separuh akhir di setiap zon akan dapat beraksi di Grand Final yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Pada final semalam, Law Wei Song muncul juara kategori perseorangan lelaki terbuka, Oh Soon Keon-Tay Ken Yew juara beregu lelaki terbuka dan Amirul Yunus-Nor Ridhuan Jalil juara beregu lelaki bawah 21 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/11

Pelumba pelapis pamer taring

Posted:

Kangar: Pelumba pelapis kebangsaan, Muhd Faiz Ibrahim menampilkan kayuhan bertenaga untuk menggunguli acara ujian masa perseorangan lelaki 17 dan 18 tahun pada Kejohanan Lumba Basikal Remaja Lebuhraya Sirkit 1-2013 di Kangar, semalam.

Kejohanan tahunan yang berlangsung di sekitar Kangar itu adalah anjuran SportExcel, Majlis Sukan Negara (MSN), Nestle Product Sdn Bhd (Milo), Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dengan kerjasama Persatuan Berbasikal Negeri Perlis (PBNPs).

Pada perlumbaan membabitkan jarak 18.4 kilometer yang disertai 30 perlumba dari seluruh negara itu, Muhd Faiz menamatkan perlumbaan dengan catatan 26:08.437s untuk dinobatkan selaku juara mengatasi pencabarnya dari Terengganu Mohd Shahrul Afham Rosdi, kedua 26:33.493s.

Tempat ketiga pula diraih pelumba Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) Johor Muhamad Hisyamuddin Jaafar selepas menamatkan perlumbaan 26:36.298s manakala Muhd Zulkafri Hamdan dari Terengganu, keempat (26:38.460s).

Manakala dalam acara ujian masa perseorangan lelaki bawah 16 tahun dengan jarak 18.4 km pula menyaksikan kehebatan pelumba Selangor Mohd Fitri Shahril meninggalkan 40 pelumba lain untuk muncul juara selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan 26:11.890s.

Pencabarnya, pelumba pelapis dari Terengganu Muhamad Nor Aiman Md Zarif kedua, 26:42.799s manakala pelumba Kuala Lumpur Azli Najmi Zulkefli, ketiga 26:57.125s dan Ku Mohd Sufi Ku Izham dari Kedah, keempat 27:03.718s.

Pelumba dari Kuala Lumpur Sian Wilson pula mengungguli acara ujian masa perseorangan wanita 17 dan 18 tahun yang turut membabitkan jarak 18.4 kilometer selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan kepantasan 30:43.412s mengatasi pelumba SSTMI Noratika Fatiha Abdul Latif, kedua, 33:14.120s.

Sementara itu, dalam acara ujian masa perseorangan wanita bawah 16 tahun pula menobatkan Siti Nur Adibah Akma Fuad dari Kedah selaku juara selepas mengungguli acara sejauh 18.4km, 29:58.531s.

Tempat kedua dimenangi Nurul Izzati Zaini dari Akademi Serantau Zon Utara, 30:31.276s dan Nur Aisyah Muhamad Zubir mewakili pelapis Terengganu, ketiga 31:10.938s.

Mohd Azmi Ahmada dari Terengganu pula mengungguli acara kretarium lelaki 17 dan 18 tahun selepas berjaya mengumpul 15 mata mengatasi pencabar utamanya, Muhamad Faruq Dawod dari Johor, kedua, 6 mata.

Pelumba Selangor Muhamad Izadhilmi Samsuddin ketiga dengan lima mata dan Mohamad Al Azrani Zainal dari SSTMI, Johor, keempat (empat mata).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/11

Irfan senyum lebar

Posted:

Shah Alam: "Satu kebanggaan dapat menewaskan "Manchester City Malaysia".

Itu reaksi pengendali Selangor Irfan Bakti Abu Salim selepas melihat anak-anak buahnya mempamerkan persembahan mantap membenam cabaran pasukan berstatus bintang dari selatan tanah air, Johor Darul Takzim (JDT), malam kelmarin.

Walaupun beraksi dengan 10 pemain selepas Peter Charappan yang dilayangkan kad merah pada awal babak kedua, Selangor tetap mengancam dengan menambah dua jaringan bagi memastikan kemenangan 4-1 diraih di hadapan kira-kira 60,000 penonton di Stadium Shah Alam.

"Saya sememangnya tidak menyangka dapat mencatatkan kemenangan dengan jaringan besar namun ia membantu kami untuk terus kekal di kelompok teratas liga. Kemenangan ini adalah satu perkembangan yang baik selepas kami gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan.

"Saya memang berpuas hati apabila dapat mengutip tiga mata dengan menewaskan "Manchester City Malaysia". Satu kebanggaan," katanya.

Pada aksi kelmarin, sebahagian besar pemain Selangor mempamerkan aksi cemerlang namun paling menonjol adalah pemain pertahanan kebangsaan, Mahali Jasuli yang sering kali dilihat membantu jentera serangan mengasak kubu lawan selain dia sendiri berjaya meledak gol ketiga pada minit ke-67.

Malah jentera tengah Selangor yang dikemudi S Veenod dan K Gurusamy berjaya menenggelamkan kelibat kapten kebangsaan, Mohd Safiq Rahim yang menerima ejekan peminat Merah Kuning setiap kali memegang bola.

"Ini adalah pertama kali saya dapat mengumpulkan semua pemain (boleh beraksi). Sukar untuk saya membuat keputusan menyenaraikan 18 pemain namun semua yang diturunkan memberikan aksi terbaik," kata Irfan yang turut merehatkan kapten pasukan, Asraruddin Putra Omar yang hanya tampil sebagai pemain gantian pada perlawanan itu.

S Kunanlan membuka jaringan buat Merah Kuning seawal minit keempat menerusi hantaran silang sebelum Francis Forkey Doe meledak gol kedua untuk memastikan kedudukan selesa tamat separuh masa pertama diikuti jaringan Mahali dan Mohd Amri Yahyah sebelum penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha merembat kencang dalam kotak penalti untuk JDT.

Kemenangan ini membolehkan Selangor berada di tangga kedua Liga Super dengan mengumpul 18 mata, cuma perbezaan jaringan memisahkan Merah Kuning dengan Angkatan Tentera Malaysia yang mengungguli kedudukan teratas.

Saingan Liga Super akan kembali bersambung hujung bulan ini namun Selangor akan meneruskan saingan di Piala AFC menentang kelab Singapura, Tampines Rovers pada Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/11

Penyokong Jang protes Alves

Posted:

Seremban: Prestasi hambar skuad Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super mencetuskan rasa tidak puas segelintir penyokong pasukan itu apabila mereka mengadakan tindakan protes di luar Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, sebaik tamat perlawanan menentang FELDA United yang berkesudahan Negeri Sembilan tewas 0-1, malam kelmarin.

Kira-kira 15 orang penyokong tegar pasukan mengadakan protes secara aman dengan meminta jurulatih Divaldo Alves meletakkan jawatan serta merta.

Bagaimanapun tindakan mereka itu tidak menimbulkan kekacauan kerana pasukan keselamatan turut berada di lokasi dan mengawal keadaan sehingga mereka bersurai pada kira-kira jam 12.15 pagi semalam.

Jurucakap kumpulan Abdul Borhanuddin Ahmad, 34, berkata mereka tidak dapat menerima prestasi buruk skuad berkenaan sepanjang saingan liga setakat ini apabila gagal meraih kemenangan selepas melalui 10 perlawanan hingga meletakkan pasukan itu kekal di kedudukan tercorot.

Katanya, ini adalah pencapaian terburuk skuad Hoben Jang Hoben dalam tempoh 15 tahun dan walaupun saingan liga masih berjalan jelas agak sukar untuk bangkit memberikan saingan.

"Alves bertanggungjawab sepenuhnya terhadap prestasi hambar pasukan kerana ini adalah pencapaian terburuk dalam tempoh 15 tahun. Kami menggesa Alves meletakkan jawatan bagi memberi laluan pengurusan pasukan memilih jurulatih lain pula.

"Kami mahu pengurusan pasukan bertindak cepat melakukan perubahan ketika saingan liga sedang berlangsung bagi mengembalikan semula reputasi pasukan yang tercalar dan dapat membentuk kembali kekuatan pasukan untuk terus bersaing serta kekal dalam kelompok Liga Super, musim depan," katanya.

Dalam aksi malam kelmarin, Razali Umar Kandasamy muncul wira FELDA United apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-40, untuk membolehkan skuad bimbingan K Devan itu ceria meraih tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/11

No comments:

Post a Comment