| Cukup memalukan: Zolkples Posted: Mengecewakan dan memalukan. Itu reaksi Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong selepas tiada lagu Negaraku berkumandang ketika Malaysia memenangi pingat emas pertama acara trek Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) yang berlangsung di Velodrom Kompleks Sukan Indira Gandhi, India kelmarin. Insiden berlaku membabitkan pelumba berusia 16 tahun, Muhammad Firdaus Mohd Zonis yang memenangi pingat emas satu kilometer ujian masa kategori remaja dengan memecahkan rekod kejohanan namun tiada lagu kebangsaan berkumandang pada majlis penyampaian hadiah dengan tumpuan terarah kepada pengurus pasukan trek, Ibrahim Mustapa. "Saya sudah dimaklumkan oleh pegawai MSN yang berada di sana. Perkara ini amat mengecewakan seluruh rakyat Malaysia kerana kami sentiasa mengingatkan atlet supaya berjuang dengan semangat tinggi dalam mana-mana kejohanan agar Jalur Gemilang dapat dikibarkan dan lagu kebangsaan dinyanyikan. Ia jelas mengecewakan kerana pengurus pasukan harus sedar tanggungjawab yang perlu mereka galas. "Ini adalah perkara yang serius dan kami perlu melihatnya secara menyeluruh. Malah ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Sudah tentu ia turut memalukan kerana lagu kebangsaan tidak berkumandang. Saya tidak tahu sama ada ini berlaku kerana beliau tidak menaruh harapan untuk atlet kita menang atau sebaliknya," kata Zolkples yang berharap perkara itu tidak berulang. Jaguh berbasikal negara Azizulhasni Awang menerusi akaun Twitter miliknya menyatakan insiden terbabit berlaku ketika skuad negara memenangi emas pertama dengan pengurus pasukan tidak berada di velodrom kerana melawat Taj Mahal (lokasi pelancongan di India). Sementara itu Ibrahim ketika dihubungi menjelaskan, rakaman lagu Negaraku sudah diserahkan kepada penganjur beberapa hari sebelum itu dan ia berjalan dengan lancar ketika penyampaian pingat emas kepada dua atlet paralimpik negara yang turut berlangsung di tempat sama. "Mungkin berlaku masalah komunikasi dengan pihak sekretariat. Saya tidak berada di velodrom kerana menguruskan beberapa perkara membabitkan atlet paralimpik negara namun lagu kebangsaan tetap berkumandang cuma lewat beberapa minit dengan pegawai kita bertindak memuat turun lagu di Internet. Bukan tidak dimainkan langsung," katanya. Selain Firdaus, turut meraih emas adalah Irwandie Lakasek dalam acara scratch lelaki remaja yang berlangsung lewat malam tadi namun tiada tuaian emas semalam apabila hanya sebutir pingat gangsa diterjemahkan Mohamad Farid Razali menerusi acara kejar mengejar tiga kilometer individu. Azizulhasni dan Josiah Ng pula melayakkan diri ke pusingan seterusnya dalam acara pecut individu dengan menjadi antara 16 pelumba terbaik namun menurut Ibrahim, pelumba kelahiran Terengganu itu didenda Swiss Franc 200 (RM656) kerana menggunakan seluar melepasi bahagian lutut sekali gus menyebabkan beliau sebagai pengurus pasukan turut didenda 250 Swiss Franc (RM820). Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09 |
| Rooney nekad tebus kecewa Posted: Wayne Rooney pasti mahu melepaskan rasa kecewanya apabila bertemu Chelsea pada suku akhir Piala FA, minggu ini selepas tidak diturunkan ketika Manchester United bertemu Real Madrid. Pengurus United, Alex Ferguson tidak menurunkan Rooney sebaliknya memilih Robin van Persie dan Danny Welbeck, namun di sebalik tewas 1-2 kepada kelab gergasi Sepanyol itu yang terus menyingkirkan United pada saingan Liga Juara-Juara, keputusan Ferguson itu dianggap wajar. Ketiadaan Rooney menimbulkan pelbagai spekulasi media bahawa karier gemilangnya di Old Trafford mungkin sudah berakhir, namun bekas pengurus England dan pembantu United, Steve McClaren menafikan pemain itu akan meninggalkan Liga Perdana Inggeris. "Saya mengenali Rooney dan apa yang dimahukan adalah untuk beraksi sebaik mungkin dan melakar kejayaan. Dia mahukan trofi. "Dia seorang pemenang dan tiada kelab lebih baik berbanding Manchester United jika mahu merasai kejayaan. "Dia tidak akan meninggalkan kelab ini kecuali diminta melakukannya," kata McClaren. "Ferguson sudah berbincang dengan Rooney mengenai keputusannya mengetepikan pemain itu ketika bertemu Real Madrid. "Keputusan itu dibuat bagi memastikan United meraih lebih banyak kejayaan. United mempunyai banyak lagi perlawanan utama dan Rooney pasti terbabit. "Pada masa ini, saya tidak fikir dia akan meninggalkan United," katanya. Bekas penyerang United, Michael Owen berkata tindakan mengetepikan Rooney ketika bertemu Real satu tamparan untuk penyerang itu, namun dia percaya berdasarkan prestasi terkini, Ferguson pasti menurunkannya apabila bertemu Chelsea di Old Trafford. Van Persie sudah mencipta nama sebagai penjaring terbanyak United dengan meledak 22 gol sejak tiba dari Arsenal tahun lalu. Ferguson begitu meminati corak permainan Welbeck sementara Javier Hernandez adalah antara peledak yang memberi banyak pilihan untuk pengendali itu. Shinji Kagawa meledak hatrik ketika bertemu Norwich City minggu lalu menjadi watak penting di belakang Van Persie, posisi yang sebelum ini didominasi Rooney. Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09 |
| 'Banyak kami belajar' Posted: Pertahanan Manchester City Pablo Zabaleta mengakui banyak yang dipelajari juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu pada musim ini menjelang pertemuan menentang Barnsley pada suku akhir Piala FA di Eastlands, awal pagi esok. City merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester United kepada 12 mata dalam usaha mereka untuk mempertahankan kejuaraan musim lalu. Walaupun Zabaleta enggan mengaku kalah dalam perebutan kejuaraan itu, dia mengakui City melakukan banyak kesilapan dalam usaha mempertahankan takhta kejuaraan. "Seperti musim ini, kami seolah-olah tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk merapatkan jurang. "Kami juga perlu mengharungi perlawanan Piala FA, tapi biasanya apabila dilihat keupayaan pasukan, pasti anda mengharapkan sesuatu yang lebih baik. "Kami ketinggalan banyak mata musim ini pada perlawanan yang kami tahu perlu dimenangi sekiranya mahu mempertahankan kejuaraan. "Kami perlu belajar daripada kesalahan lalu tapi kami masih belajar dan perlu teruskan saingan ini. "Sebagai antara kelab terbaik, kami perlu terus mencatat kemenangan. Masih ada baki 10 perlawanan sebelum saingan liga musim ini berakhir." Kunjungan kelab Liga Kejuaraan, Barnsley bakal menghidangkan cabaran berbeza kerana City sedar kekalahan akan menyaksikan kempen mereka musim ini bertambah buruk. Pemain tengah, David Silva percaya Piala FA adalah peluang terakhir untuk memenangi trofi musim ini. "Ia satu peluang untuk beraksi di Wembley dan amat penting kami memenangi perlawanan ini. "Saingan liga begitu sukar, tapi kami boleh melangkah ke final. Kami perlu fokus terhadap perlawanan ini," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09 |
| Argentina panggil Banega Posted: Buenos Aires: Pemain tengah Valencia, Ever Banega disenaraikan dalam skuad Argentina bagi kelayakan Piala Dunia bulan ini berikutan ketiadaan Fernando Gago yang mengalami kecederaan. Banega melakukan kemunculan semula peringkat antarabangsa bulan lalu ketika menewaskan Sweden, 3-2 selepas tidak diendahkan bagi kelayakan sejak Oktober 2011 kerana kecederaan. Gago mengalami kecederaan ketika mewakili juara Argentina, Velez Sarsfield dan terlepas perlawanan kelayakan menentang Venezuela di Buenos Aires pada 22 Mac dan kunjungan ke Bolivia empat hari kemudian. Pertahanan, Jose Basanta yang bermain buat Monterrey di Mexico, menerima panggilan sulung selepas beberapa bulan dipantau jurulatih Alejandro Sabella. Pemain sayap Real Madrid, Angel Di Maria disenaraikan sekalipun digantung menentang Venezuela dan memerlukan dua minggu untuk pulih daripada kecederaan dialami di Manchester United, pertengahan minggu ini. Argentina mendahului peringkat kelayakan sembilan negara Amerika Selatan dengan empat pasukan teratas layak ke pusingan akhir di Brazil tahun depan. Mereka mengumpul 20 mata daripada sembilan perlawanan dengan baki tujuh perlawanan. "Jika menang, ia pasti satu landasan terbaik untuk layak ke Piala Dunia," kata kapten, Lionel Messi. "Kami perlu memikirkan pertemuan menentang Venezuela di laman sendiri dan kemudian berkunjung ke Bolivia untuk meraih keputusan yang bagus," kata Messi, sebahagian daripada anggota pasukan yang dibelasah 1-6 apabila Argentina kali terakhir beraksi di altitud tinggi di La Paz empat tahun lalu. - Reuters Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09 |
| Bekal selesa Spurs Posted: Gareth Bale (gambar) melonjakkan lagi profil hebatnya dengan satu gol yang membantu Tottenham mengejutkan Inter Milan, 3-0 awal pagi semalam sekali gus mengurangkan kemurungan kelab Britain di Eropah. Bale, dengan gol ke-21 musim ini, Gylfi Sigurdsson dan Jan Vertonghen menyumbang gol dalam kemenangan berat sebelah perlawanan pertama pusingan ketiga Liga Europa di White Hart Lane yang menyebabkan kelab Itali itu berdepan kesukaran pada perlawanan timbal balik minggu depan. Satu-satunya tamparan buat Spurs adalah apabila Bale dilayangkan kad kuning kali keempat musim ini kerana sengaja merebahkan badannya sekali gus menyaksikan diketepikan bagi perlawanan kedua di San Siro. "Kami bermain dengan baik dan menentukan rentak sejak mula," kata Bale yang melakar hatrik menentang Inter Milan dalam Liga Juara-Juara tiga tahun lalu. "Kami menyukarkan mereka dan ia satu keputusan yang berbaloi. Memang bagus menjaringkan satu gol dan kami mendahului dengan baik bagi perlawanan di gelanggang lawan," katanya. Kemenangan Tottenham satu-satunya kejayaan kelab Britain di Eropah minggu ini. Terdahulu, Chelsea mengalami kekalahan 0-1 di Steaua Bucharest manakala Newcastle seri 0-0 dengan Anzhi Makhachkala. Selepas minggu trauma Liga Juara-Juara yang menyaksikan Manchester United dan Celtic tersingkir, Chelsea, yang memenangi trofi utama benua itu musim lalu, gagal bertindak cemerlang di ibu negara Romania itu. Gol tunggal hadir pada minit ke-34 apabila pemain Steaua, Raul Rusescu mengatasi Petr Cech menerusi sepakan penalti selepas dia dijatuhkan Ryan Bertrand. Pengurus Chelsea, Rafael Benitez melakukan lima perubahan daripada pasukan yang menundukkan West Brom, 1-0 dalam Liga Perdana hujung minggu lalu, termasuk memanggil semula John Terry. "Ia perlawanan yang sukar. Keputusan ini bagus buat mereka dan permukaan padang bukanlah yang terbaik," kata Benitez. "Kami menghadiahkan penalti mudah tapi masih berpeluang. Kami perlu kembali ke Stamford Bridge dan yakin boleh menang." Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09 |
| Juve tumpu Serie A Posted: Rome: Kegembiraan Juventus melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun segera dilupakan apabila mengalih tumpuan untuk mempertahankan kejuaraan Serie A. Juve mara sebagai lapan pasukan terakhir pertandingan utama kelab Eropah itu dengan kemenangan agregat 5-0 ke atas Celtic selepas menang 2-0 di laman sendiri kelmarin. Kemaraan mereka tidak lebih melengkapkan syarat selepas kemenangan 3-0 di Celtic Park dan kini pertemuan itu berakhir dengan jurulatih, Antonio Conte menggesa pemainnya fokus kepada cabaran domestik. Juve mendahului kedudukan liga, enam mata mengatasi Napoli yang tidak konsisten sejak awal tahun ini dan tuan rumah bakal menanti kunjungan pasukan yang mengejar tiket ke Eropah, Catania malam esok. Namun Conte tidak mahu terlalu gembira dengan kebangkitan mereka, kembali dilabel salah satu pasukan terkuat benua itu dengan tumpuan pemainnya terarah kepada saingan domestik. "Kini impian ke suku akhir Liga Juara-Juara sudah berjaya direalisasi dan ia perlu diteruskan," kata Conte. "Namun kami perlu memikirkan mengenai Catania terlebih dulu. Kami adalah pasukan pilihan liga, namun kami jangka menerima saingan sengit lawan." - AFP Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09 |
| Fabregas buru tonik Posted: Pemain tengah Barcelona, Cesc Fabregas (gambar) menekankan penting buat pasukan itu kembali mencipta kemenangan pada pertemuan menentang Deportivo La Coruna, hari ini menjelang pertemuan penting Liga Juara-Juara dengan AC Milan, minggu depan. Kelab Catalan itu perlu mengatasi defisit 0-2 kepada kelab Itali itu jika mahu melangkah ke suku akhir pertandingan utama kelab Eropah itu. Bagaimanapun Barca masih mengekalkan kelebihan 11 mata di puncak La Liga dan Fabregas percaya kunjungan Depor akan memberikan keyakinan tinggi kepada mereka menjelang aksi timbal balik di pentas Eropah. "Pertemuan dengan Milan paling penting musim ini namun perlawanan dengan Deportivo juga penting," katanya. "Kami mempunyai jurang mata yang selesa di depan Atletico Madrid di puncak liga dan jelas sekali kami mahu menjadi juara liga. "Jika kami tidak mendapat keputusan yang bagus atau beraksi dengan baik, kami tidak akan tampil Selasa ini (awal pagi Rabu) dengan keyakinan sama. "Semua orang percaya pasukan ini mampu bangkit dan tidak adil hanya selepas tiga perlawanan orang ramai sudah meragui pasukan ini." Fabregas dijangka kembali dalam kesebelasan utama pada perlawanan awal pagi esok selepas tidak diturunkan ketika tewas 1-2 kepada Real Madrid hujung minggu lalu namun menegaskan dia tidak mempunyai masalah andai tidak bermula pada perlawanan awal pagi Rabu ini. "Sejak tujuh tahun lalu dalam skuad kebangsaan saya hampir tidak pernah berada dalam kesebelasan utama namun saya tetap beraksi dalam sesetengah detik yang paling bersejarah," katanya. "Kadang kala sesetengah pemain gantian lebih penting berbanding pemain kesebelasan utama dan saya berasa lebih kuat berbanding sebelum ini." Barca akan tampil tanpa penjaga gol, Victor Valdes kerana perlu menjalani penggantungan empat perlawanan ekoran bertindak keterlaluan terhadap pengadil, Miguel Perez Lasa yang tidak menghadiahkan sepakan penalti lewat permainan ketika tewas kepada Madrid. Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09 |
| Teruja jumpa Nadal Posted: Juara empat kali, Roger Federer gembira kemunculan semula musuh lamanya, Rafael Nadal dalam Jelajah ATP, pemain yang mungkin ditemuinya pada suku akhir Terbuka BNP Paribas di Indian Wells. Nadal dari Sepanyol merudum ke tangga kelima ranking dunia selepas berehat tujuh bulan tahun lalu kerana kecederaan lutut kiri dan dijangka bertemu Federer pada suku akhir kejohanan elit Masters 1000 ATP di gurun California. "Saya hanya berjumpanya semalam selepas latihan, saya amat teruja melihat kelibatnya kembali," kata pemain nombor dua dunia dari Switzerland itu. "Kami tidak banyak berhubung. Saya faham tindakannya mengasingkan diri. "Saya amat gembira menyaksikannya bertindak cemerlang di Acapulco dan hebat menyaksikan dia kembali ke sini bermain di gelanggang keras. Saya harap dapat bertemunya minggu ini." Pemain tangan kidal, Nadal kembali ke sirkit ATP di Amerika Selatan bulan lalu, bertanding dalam tiga kejohanan kecil gelanggang tanah liat, memenangi dua daripadanya selepas layak semua tiga final. Dia meningkatkan keyakinannya menghadapi kejohanan di Indian Wells, yang pernah dimenanginya dua kali, selepas mengatasi rakan senegara, David Ferrer 6-0, 6-2 pada final Terbuka Mexico di Acapulco Ahad lalu. Federer kembali ke Indian Wells, salah satu gelanggang kegemarannya namun jaguh dari Switzerland itu masih memburu kejuaraan ATP pertama tahun ini selepas mempamerkan prestasi berbeza dalam tiga kejohanan pertama. Selepas layak ke separuh akhir Terbuka Australia dan tumpas kepada Andy Murray, Federer kecundang di tangan Julien Benneteau pada suku akhir di Rotterdam sebelum mensia-siakan tiga mata penamat ketika kalah kepada Tomas Berdych pada separuh akhir di Dubai. "Aksi saya amat bagus di Australia," kata Federer, juara 17 acara Grand Slam. "Rotterdam, saya kecewa kerana boleh bertindak lebih baik. Saya bermain dengan bagus tahun lalu dan tidak memberikan cabaran terbaik menentang Benneteau." Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09 |
| Veteran MAKSAK hebat Posted: Pasukan veteran bola sepak Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Melaka berjaya menewaskan AFM FC, 3-2 pada aksi persahabatan di Sekolah Menengah Seri Kota, Air Leleh baru-baru ini. Urusetia pasukan MAKSAK Melaka, Ahmad Wardi Salim berkata, perlawanan itu antara usaha menyediakan skuad mantap menjelang kejohanan bola sepak veteran MAKSAK Malaysia 2013. "Majoriti pemain MAKSAK Melaka adalah bekas pemain negeri era 1990-an yang masih mampu memberikan persembahan terbaik. "Kami akan mengatur lebih banyak perlawanan persahabatan dengan agensi awam negeri ini dalam usaha menambah pemain terbaik kalangan kakitangan kerajaan berusia 40 tahun ke atas. "Saya yakin lebih ramai pemain veteran mampu dicungkil pada perlawanan yang diatur," kata bekas pesilat negara itu. Pada perlawanan menentang AFM FC, pasukan itu ketinggalan 1-2 pada babak pertama namun bangkit memenangi perlawanan di hujung babak kedua Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09 |
| Peruntukan khas pertahan emas Posted: Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Negara berharap peruntukan kewangan yang disalurkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mempersiapkan skuad bawah 23 tahun mampu diterjemahkan dengan memenangi emas Sukan SEA di Myanmar penghujung tahun ini buat kali ketiga berturut-turut. Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim menjelaskan jawatankuasa terbabit bersetuju untuk meluluskan sejumlah peruntukan tertentu bagi membantu FAM menyiapkan skuad kendalian jurulatih Ong Kim Swee bagi menghadapi temasya dwitahunan itu pada Disember ini. "Saya tidak dapat mendedahkan jumlah sebenar yang disalurkan kepada FAM namun jumlah terbabit adalah satu pertiga daripada perbelanjaan sebenar. Peruntukan ini bermula sekarang sehingga temasya itu bermula," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa terbabit yang bersidang buat kali pertama tahun ini. Persiapan skuad Kim Swee sememangnya sudah bermula sejak awal tahun ini apabila mereka mengadakan aksi persahabatan bertaraf tinggi dengan beberapa kelab di Australia selama dua minggu selain menentang pasukan kebangsaan Myanmar, Laos dan Kemboja. Malah mereka akan terus meningkatkan tahap persiapan ke peringkat yang lebih tinggi apabila dijadualkan terbang ke Slovakia bagi mengadakan perlawanan persahabatan yang lebih kompetitif di negara Eropah itu selain beberapa kejohanan yang dirancang untuk disertai mereka seperti Pestabola Merdeka. Sementara itu Razali turut melahirkan rasa puas hatinya dengan perjalanan dan perancangan yang diusahakan jawatankuasa terbabit seperti program Mykids Soccer dan Kejohanan Champion of Champions berjalan dengan jayanya. "Jadi kami bersetuju untuk menambah pusat latihan MyKids Soccer kepada 30 buah bermula bulan depan berbanding 14 buah yang diwujudkan sebelum ini sekali gus membolehkan lebih ramai pemain muda dapat dilatih jurulatih yang bertauliah. Apa yang boleh saya rumuskan bahawa selepas tiga tahun beroperasi, program ini berjalan dengan lancar. "Lebih 90 peratus pemain yang kita cadangkan sudah berada di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Pahang (Gambang) dan Johor (Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail) dan kini berusia 12 tahun, jadi saya berharap ia akan berterusan dengan matlamat utama adalah membolehkan Malaysia layak ke Piala Dunia Remaja pada 2019," katanya. Terdahulu Razali turut mengumumkan bantuan RM5,000 kepada salah seorang pemain MyKids Soccer Perak, Hazreq Zafri Sabaruddin di mana bapanya, Koperal Sabaruddin Daud adalah antara anggota Komando Polis Diraja Malaysia yang terkorban di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini. Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09 |
No comments:
Post a Comment