Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Remaja 'pejuang'

Posted: 08 May 2013 10:08 AM PDT

London: Seorang remaja yang terbakar teruk ketika bayi dalam satu kejadian ngeri, kini membanggakan bapanya ketika dia bersedia untuk memulakan pengajian di kolej.

Terri Calvesbert kehilangan rambut, bibir, hidung, semua jari dan kaki kirinya selepas api memusnahkan bilik tidurnya pada November 1998.


Bapanya, Paul Calvesbert berkata, dia tidak yakin Terri yang ketika itu berusia 23 bulan, dapat bertahan akibat kecederaan parah berkenaan. Bagaimanapun, Terri dapat membuktikan dia seorang budak yang kuat.

Justeru, kini Calvesbert, 40, teruja melihat Terri, 16, bersedia sepenuhnya untuk memulakan babak baru dalam hidupnya selepas menamatkan pengajian di Sekolah Sukan Westbourne.


Calvesbert dari Ipswich, Suffolk berkata, melihat Terri menamatkan pengajian di sekolah itu sangat bermakna dalam bagi dirinya.


"Saya tidak pernah terfikir dapat melihat Terri memulakan persekolahan, apa lagi sehingga ke peringkat ini," katanya.

Foto

TERRI bersama ibu tiri, Nicky dan Calvesbert.

Foto

KEADAAN Terri ketika dia berusia empat tahun.

Selepas insiden malang berkenaan, kata Calvesbert, dia membayangkan Terri tidak sempat membesar, namun anaknya itu membuktikan dia bukan individu biasa.


Bagi Calvesbert, Terri adalah seorang 'pejuang'.

Terri pula mengakui bahawa dia berdepan dengan ketakutan ketika mula bersekolah.


Namun, katanya, dia menjalin persahabatan dengan ramai orang dan mereka sentiasa menjaganya. Kini, dia bersedia menyahut cabaran baru dalam hidupnya apabila memilih kajian haiwan di Kolej Otley, dekat Ipswich.


Katanya, dia selalu ingin bekerja di hospital atau menjadi pemandu ambulans supaya dapat membantu orang ramai.


"Mungkin sebab saya menghabiskan banyak masa di Hospital Broomfield ketika saya kecil," katanya ketika ditemui.


Kemudian, kata Terri, dia berminat bekerja dengan kanak-kanak sebelum menyedari adalah lebih mudah menguruskan haiwan berbanding kanak-kanak. Terri baru saja beberapa hari menyambut ulang tahun kelahirannya apabila kebakaran berlaku yang berpunca daripada puntung rokok ibunya, Julie Minter. Kebakaran berkenaan menyebabkan 90 peratus tubuh Terri melecur, manakala muka, kulit kepala, leher, dada, belakang dan kedua-dua kaki serta tangannya parah. Terri perlu menjalani lebih banyak pembedahan selepas ini apabila doktor bersedia membentuk semula mukanya menjelang usia 18 tahun. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09

Bangkai 'raksasa laut' terdampar di New Zealand

Posted: 08 May 2013 09:59 AM PDT

Auckland: Tanda tanya menyelubungi penemuan bangkai 'raksasa laut' yang ditemui terdampar di New Zealand.

Dengan gigi tajam berbaris dan mulut luas, bangkai haiwan sepanjang kira-kira 10 meter itu ditemui separuh tertanam di dalam pasir di Pantai Pukehina, kira-kira 190 kilometer di tenggara Auckland.


Beberapa teori dikemukakan, termasuk haiwan itu sebenarnya ikan jerung atau buaya air masin, sejenis ikan lumba-lumba atau hidupan prasejarah.

Dalam satu video di YouTube, Elizabeth Ann bertanya sama ada sesiapa mengenali haiwan berkenaan.


Katanya, haiwan berkenaan mempunyai kepala dan gigi besar serta sirip. "Ia mungkin sepanjang sembilan meter, tetapi bahagian bawah badan bangkai 'raksasa laut' berkenaan mungkin hilang akibat dibaham oleh sesuatu," katanya. Sementara itu pakar marin, Anton van Helden menafikan ia adalah bangkai dinosaur kerana sirip yang ada padanya menunjukkan ia adalah ikan paus.


"Ikan jenis itu memang banyak di Bay of Plenty," katanya ketika ditemui, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09

Perompak berlian ditahan

Posted: 08 May 2013 09:58 AM PDT

Brussels: Polis semalam mendakwa mencapai kejayaan terbesar dalam siasatan terhadap rompakan berlian AS$50 juta (RM161.3 juta), menahan 31 orang di tiga negara kira-kira tiga bulan selepas perompak melakukan rompakan itu di Lapangan Terbang Brussels.

Seorang lelaki Perancis dipercayai seorang daripada perompak sebenar ditahan di Perancis, manakala enam yang lain ditahan di Switzerland dan 24 lagi di Belgium.


Polis berkata, mereka mempunyai bukti bahawa berlian ditemui di Switzerland dan adalah sebahagian daripada barangan berharga dilarikan dalam rompakan berani 18 Februari lalu yang tersenarai antara rompakan berlian terbesar sejak kebelakangan ini.

Suspek di Perancis dan Switzerland ditahan kelmarin dan keesokan harinya polis Belgium melakukan operasi awal pagi secara besar-besaran dengan 250 anggota terbabit dalam operasi mencari di 40 kediaman. "Di Switzerland, kami menemui berlian yang boleh kami katakan berasal dari rompakan itu dan di Belgium sejumlah besar wang ditemui. Dan siasatan masih dilakukan," kata jurucakap pejabat pendakwa raya Brussels, Jean-Marc Meilleur.


Meilleur tidak mengulas mengenai maklumat lanjut dan tidak menyatakan bagaimana polis dapat menjejaki suspek. Pihak berkuasa dijangka mengumumkan bilangan suspek yang akan didakwa dan ditahan. Ia adalah kejayaan pertama dalam rompakan apabila ramai yang membandingkannya dengan 'Ocean's Eleven' - skrip filem Hollywood kerana teknik rompakannya yang bersih tanpa seorang pun tercedera.


Pada petang musim sejuk yang dingin Februari lalu, berlian terbabit dipunggah ke dalam pesawat yang menuju ke Zurich apabila kumpulan perompak berpakaian polis memandu melalui lubang yang dipotong di pagar lapangan terbang menaiki dua kereta hitam dengan lampu biru siren polis yang berkelip-kelip. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09

4 maut kapal kargo rempuh menara kawalan

Posted: 08 May 2013 09:56 AM PDT

Rome: Sekurang-kurangnya empat orang maut selepas sebuah kapal kargo merempuh menara kawalan di Pelabuhan Genoa, Itali menyebabkannya roboh di pelabuhan, kata pihak berkuasa penyelamat semalam.

Enam lagi masih tidak dapat dikesan, termasuk beberapa yang dikhuatiri terperangkap di dalam lif yang tenggelam di menara kawalan itu, kata pihak berkuasa. Jurucakap anggota bomba di tempat kejadian, Luca Cari memberitahu media bahawa empat mayat ditemui di kawasan lif dan operasimencari masih diteruskan.


Rempuhan itu berlaku kira-kira jam 11 malam ketika pertukaran syif menjadikan pengiraan bilangan kakitangan lebih sukar.

Menjelang pagi, apa yang tinggal di menara kawalan itu hanya tangga yang remuk senget ke sisinya.


Menara itu yang terletak di hujung dermaga di pelabuhan - sama ada di dalam air atau sudah menjadi longgokan serpihan di dermaga.


Doktor ambulans, Andrea Furgani yang juga seorang daripada petugas penyelamat pertama berkata, petugas pada awalnya membawa empat yang cedera ke hospital di Genoa.

"Keadaan mereka kritikal. Mereka mengalami kecederaan disebabkan tersepit, patah tulang dan cedera di dada," katanya kepada media. Kapal Jolly Nero itu adalah milik Ignazio Messina & C. SpA, syarikat perkapalan Itali. Menurut laman webnya, kapal syarikat Messina berpangkalan di Genoa itu mempunyai 14 kapal kargo dengan Jolly Nero berukuran 139 meter pajang dan 30 meter lebar. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09

Justin Bieber kena 6 saman di Dubai

Posted: 08 May 2013 09:53 AM PDT

Dubai: Polis mengesahkan bahawa Justin Bieber mengumpul enam saman kerana memecut ketika berada di bandar raya itu apabila berlumba di sepanjang lebuh raya dengan kereta Lamborghini Avendator malam Isnin lalu.

Penyanyi berusia 19 tahun itu yang membuat persembahan dua konsert di Dubai pada Sabtu dan Ahad, memandu supercar bernilai 1.5 juta dirham (RM1.2 juta) itu ke konsertnya Ahad lalu dan disaman di Jalan Shaikh Zayed dan dalam perjalanan ke Stadium Sevens di Jalan Al AIn. Lamborghini Aventador adalah model kemegahan Itali dan mempunyai kelajuan 350 kilometer sejam dan 691 kuasa kuda.


Polis berkata, kereta sport mewah dipandu Bieber itu dirakam kamera radar beberapa kali di Jalan Shaik Zayed dan dia memandu secara cuai.

Kereta Lamborghini itu dikesan polis peronda melebihi had laju jalan raya dan polis cuba menghentikan pemandunya sebelum saman dilayangkan. Saman memecut di Dubai ialah 600 dirham (RM484) dan ini bermakna Bieber perlu membayar sekurang-kurangnya 3,600 dirham (RM2,904) walaupun tidak dipastikan bagaimana saman itu akan dibayar. - Gulf News

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09

Tiga militan ditembak mati

Posted: 08 May 2013 08:39 AM PDT

Bandung: Skuad antikeganasan Indonesia semalam menyerbu lokasi yang dipercayai menjadi tempat persembunyian suspek militan yang merancang untuk meletupkan bangunan Kedutaan Myanmar.

Beberapa tembakan dilepaskan ketika polis mengepung kediaman itu selama beberapa jam dan menggesa mereka yang berada di dalamnya agar menyerah diri, namun mereka melepaskan tembakan ke arah polis.


Timbalan Ketua Polis Nasional, Leftenan Kolonel Nanan Sukarna berkata, serbuan di kampung Cigondewah di Jawa Barat itu bertujuan untuk menangkap empat militan dipercayai terbabit dalam insiden serangan yang gagal di kedutaan berkenaan minggu lalu di Jakarta.

Suspek menginap di rumah sewa itu sejak empat bulan lalu, kata Sukarna.


Ketua Polis Nasional, Jeneral Timur Pradopo memberitahu wartawan selepas memaklumkan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono bahawa tembakan dilepaskan kerana terdapat tentangan daripada suspek militan yang bersembunyi dalam rumah itu. "Tiga militan berjaya ditembak mati," kata Timur sambil menambah penduduk yang tinggal berdekatan rumah berkenaan sudah dipindahkan.


Wartawan yang berada di tempat kejadian berkata, polis menjerit menggesa militan menyerah diri. Mereka menghitung hingga tiga sebelum melepaskan tembakan.

Stesen penyiaran tempatan, MetroTV menyiarkan siaran langsung insiden itu, menunjukkan anggota skuad berkenaan berpakaian serba hitam berdiri di belakang rumah berwarna merah sambil memegang raifal di kejiranan yang sesak dengan kediaman dan sawah padi. Minggu lalu, polis menahan dua suspek militan di Jakarta dan merampas lima bom buatan sendiri dari beg galas dibawa mereka. Siasatan terhadap mereka membawa kepada penemuan bahan letupan lain di sebuah rumah sewa. Militan memberitahu pihak berkuasa, mereka mahu membalas dendam terhadap Myanmar ekoran serangan ke atas umat Islam di negara itu sejak kebelakangan ini.- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/08

Budak 5 tahun maut dibelasah ibu tiri

Posted: 08 May 2013 08:37 AM PDT

Depok: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Widia Astuti meninggal dunia kira-kira jam 10 malam kelmarin ekoran cedera parah di kepala, didakwa angkara ibu tirinya, Novi Susanti, 30, di Depok, Jawa Barat.

Widia yang tinggal bersama bapanya, Aa Supriadi dan Novi di daerah Tapos mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Bhati Yudha. Beberapa jiran mendakwa melihat layanan buruk Novi kepada mangsa. Seorang jiran berkata, dia pernah mendengar Novi memukul kanak-kanak itu ketika mereka berada di tandas awam, manakala yang lain menyaksikan Novi mencubit mangsa. "Apabila saya tiba di kediaman Widia, saya lihat dia menggeletar. Saya fikir mungkin ada yang tidak kena kerana dia mengalami pendarahan di kepala, dahi dan telinga," kata bapa saudara mangsa, Ismail.


Widia dibawa ke Hospital Cibinong di Cikaret, Bogor sebelum dipindahkan ke Hospital Dompet Dhuafa Republika di Parut berikutan masalah kewangan.

Bagaimanapun, petugas perubatan di sana tidak mempunyai peralatan mencukupi untuk merawatnya. Mereka menasihatkan agar mangsa dibawa ke Hospital Depok yang mempunyai peralatan lebih lengkap.


Namun, Widia maut dalam perjalanan menuju ke hospital terbabit. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/08

Pegawai bank langgan pelacur bawah umur dijel

Posted: 08 May 2013 08:36 AM PDT

Singapura: Seorang bekas pegawai bank rakyat Switzerland semalam dijatuhkan hukuman lebih empat bulan penjara kerana melakukan hubungan seks dengan pelacur bawah umur warga tempatan dalam skandal yang mencetuskan kegemparan di republik itu.

Hakim Singapura, Eddy Tham mengutuk perbuatan 'cuai' Juerg Buergin yang melakukan seks dengan remaja berusia 17 tahun sebanyak dua kali di hotel lima bintang pada 2010 dan 2011. Memakai kemeja biru terang, Buergin yang menempah pelacur itu melalui laman web agensi pengiring sosial kelihatan muram sepanjang sidang mahkamah dan menunduk beberapa kali ketika hakim membacakan keputusan perbicaraan.


"Tertuduh jelas tidak mengambil langkah wajar untuk mengelak melanggar undang-undang. Dia cuai kerana tidak memastikan umur remaja itu." "Dia bukan individu yang lurus bendul, tetapi seseorang yang memegang jawatan sebagai pegawai bank. Dia mengaku bahawa tidak semua yang dibaca di Internet patut diterima bulat-bulat," kata kenyataan dalam keputusan terbabit.

Buergin, bekas eksekutif bank UBS berusia 41 tahun dan sudah berkahwin mengatakan pada awal perbicaraannya Mac lalu bahawa dia tertipu kerana menyangka remaja itu berusia lebih 17 tahun.


Pelacuran tidak diharamkan di Singapura, tetapi melanggar undang-undang jika membayar khidmat untuk seks dengan remaja bawah 18 tahun dalam usaha untuk melindungi golongan muda daripada dieksploitasi. - AsiaOne

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/08

Pesawat terbakar ketika punggah minyak

Posted: 08 May 2013 08:34 AM PDT

Wamena: Sebuah pesawat kargo yang memunggah turun minyak, terbakar di lapangan terbang di timur Indonesia semalam dan sekurang-kurangnya seorang cedera.

Api menjulang ke udara selepas satu tong minyak jatuh dari pesawat itu ketika ia diparkir di landasan lapangan terbang, kata jurucakap Kementerian Pengangkutan, Bambang Ervan.

Menurutnya, tong itu kemudian terbakar dan api menjilat badan pesawat BAe-146/Avro RJ buatan Britain itu di lapangan terbang bandar Wamena, wilayah Papua.

Ketua polis tempatan, Leftenan Kolonel Frenando Napitupulu berkata, api merebak dengan cepat menyebabkan gumpalan asap hitam. Ia mengambil masa dua jam untuk memadam kebakaran itu.


Saksi berkata, sekurang-kurangnya seorang lelaki dikejarkan ke hospital. Dia dipercayai bekerja di lapangan terbang itu.


Pengangkutan udara penting di Papua, pulau tersebut adalah kedua terbesar di gugusan kepulauan Indonesia. - tribunenews

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/08

Universiti ke-8 terbaik di dunia

Posted: 08 May 2013 08:32 AM PDT

Singapura: Universiti Nasional Singapura (NUS) diiktiraf universiti ke-8 terbaik di dunia, menurut senarai tahunan dunia dikeluarkan semalam.

Ia memasuki senarai 10 teratas dalam Senarai Terbaru Kedudukan Universiti Dunia Quacquarelli Symonds (QS) mengikut subjek buat pertama kali - menjadi yang pertama di Asia melakukannya. Statistik menunjukkan NUS mempunyai kursus dalam 12 subjek yang tersenarai dalam senarai 10 teratas di dunia.


Institusi itu menduduki tempat ke-14 apabila penyenaraian bermula pada 2011, sebelum melonjak ke tempat ke-11 tahun lalu. Ia adalah universiti yang menunjukkan prestasi terbaik di Asia dalam setiap penyenaraian.

Firma perunding pendidikan berpangkalan di London, QS turut menerbitkan Senarai Kedudukan Universiti Dunia secara keseluruhan dengan NUS menduduki tempat ke-25 tahun lalu. - Straits Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/08

No comments:

Post a Comment