Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Selamat tinggal Fergie

Posted: 08 May 2013 09:45 AM PDT

London: Pengurus Manchester United Alex Ferguson akan bersara hujung musim ini selepas 26 tahun membimbing kelab itu, penamat karier paling gemilang sebagai pengurus dalam arena bolasepak Britain.

Juara Liga Perdana Inggeris itu semalam mengesahkan Ferguson, 71, akan mengundur diri sejurus kali terakhir mengemudi United beraksi menentang West Brom pada perlawanan terakhir liga 19 Mei ini.

"Keputusan untuk bersara adalah sesuatu yang saya fikirkan sejak sekian lama dan bukan sesuatu yang mudah untuk mengambil keputusan ini. Inilah masa yang paling tepat," kata Ferguson yang mengemudi kelab itu mengharungi 1,498 perlawanan dalam laman web rasmi kelab itu.

Pengurus Everton David Moyes, juga dari Scotland dan bekas pengurus Chelsea Jose Mourinho, adalah antara calon yang disebut-sebut bakal menggantikan tempat Ferguson.


United berkata, Ferguson yang memikul tugas itu daripada Ron Atkinson pada 1986 dan memenangi 13 kejuaraan liga, lima Piala FA dan dua Liga Juara-Juara, akan kekal bersama kelab itu sebagai pengarah.


"Amat penting bagi saya untuk meninggalkan organisasi ini dalam keadaan yang kukuh dan saya percaya sudah melakukan tugas itu," kata pengurus kelahiran Glasgow itu yang sebelum ini pernah menyatakan untuk bersara pada musim 2001-02 tetapi mengubah keputusannya itu.

"Kualiti yang ada dalam skuad ini dan faktor umur yang seimbang antara pemain adalah satu petanda baik bagi meneruskan kejayaan lebih gemilang sementara struktur teratur dalam barisan pemain remaja akan menjamin masa depan lebih cerah buat kelab ini.

"Kemudahan latihan kami adalah antara yang terbaik dalam arena sukan dunia dan Old Trafford dilabel sebagai antara stadium terbaik di dunia.

"Saya gembira apabila diberi tanggungjawab menggalas tugas sebagai pengarah dan duta untuk kelab ini. Dengan pelbagai lagi aktiviti, saya tidak sabar untuk melaksanakan tugas ini."

Apabila Ferguson memulakan kariernya di Old Trafford, mereka dibayangi kehebatan seteru utama, Liverpool tetapi selepas bermula agak hambar, beliau berjaya membantu kelab itu memenangi kejuaraan liga pada musim 1992-93 dan kemudian menjadikan kelab itu lebih dominan di England.

Beliau turut membentuk karier David Beckham, Ryan Giggs dan Paul Scholes, begitu juga pemain berkaliber lain seperti Eric Cantona, Cristiano Ronaldo dan Wayne Rooney di Old Trafford. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09

Moyes disebut ganti Ferguson

Posted: 08 May 2013 09:42 AM PDT

London: Syarikat pertaruhan pantas menamakan pengurus Everton David Moyes sebagai pilihan utama menggantikan Alex Ferguson yang mengumumkan untuk bersara sebagai pengurus Manchester United semalam selepas 26 tahun membimbing kelab itu meraih pelbagai kejayaan.

Moyes menjadi pilihan utama syarikat pertaruhan Britain sejurus selepas pengumuman Ferguson yang disiarkan dalam laman web rasmi kelab itu.

Moyes yang turut berasal dari Scotland sudah melalui karier lebih sedekad bersama kelab Merseyside itu yang mempunyai bajet lebih rendah berbanding United.

Pengurus Real Madrid Jose Mourinho, juga dikaitkan dengan jawatan itu.


Pengendali dari Portugal itu turut dikatakan akan kembali membimbing Chelsea selepas tidak sehaluan dengan beberapa pemainnya di Sepanyol sekali gus menyaksikan pemergiannya tidak boleh dielakkan lagi.


Moyes dan Mourinho dikenali kerana hubungan akrab dengan Ferguson yang akan memikul tugas sebagai pengarah dan duta selepas membimbing kelab buat kali terakhir bertemu West Brom pada 19 Mei ini.

Beberapa bekas pemain Manchester United di bawah bimbingan Ferguson turut berada dalam senarai syarikat pertaruhan.

Gary Neville, Eric Cantona, Laurent Blanc, Roy Keane dan Ole-Gunnar Solskjaer adalah antara yang dikaitkan, begitu juga dengan gandingan pemain tengah ketika ini Ryan Giggs dan Paul Scholes. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09

Kerja keras baiki masa

Posted: 08 May 2013 09:28 AM PDT

Kuala Lumpur: Buat pelari pecut 100 meter wanita, Zaidatul Husniah Zulkifli masa catatan terbaik adalah sesuatu perlu dicari dan diperbaiki.

Sejak mencatat masa terbaik atlet pecut 100m wanita pada Kejohanan Grand Prix Malaysia, pelari berusia 20 tahun itu bertekad memperbaiki catatan 11.91s.


"Motivasi terbaik adalah sokongan pelari senior serta kembar saya, Zaidatul Husna. Mereka sentiasa cuba menewaskan saya, jadi saya perlu meningkatkan pecutan. "Saya mahu mencabar dan suka dicabar kerana dalam tempoh 12 saat sepanjang 100m apa saja boleh berlaku," katanya.

Dari segi status, pelapis bukan halangan buat pelari kelahiran Pulau Pinang itu kerana acara itu mementingkan pencapaian.


"Tidak sampai setahun sejak muncul juara SUKMA Pahang, tahun lalu, saya semakin seronok berlatih di trek latihan.


"Tahun ini juga kebetulan amat penting dan sudah tentu penyertaan dalam beberapa kejohanan sepanjang tiga bulan ini amat penting termasuk beraksi pada Terbuka Taiwan tidak lama lagi. "Motivasi terbesar hadir kerana diberi peluang beraksi pada Sukan SEA, bukan saja acara itu tetapi 4x100m lari berganti-ganti. Peluang diberikan dan saya tidak mahu mensia-siakan kepercayaan diberikan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Zaidatul berkata, sekalipun fokus utamanya adalah dalam acara 4x100m dia tetap mahu membuktikan kehadirannya dalam acara 100m bukan kebetulan.


"Dua acara diminati dan dua-duanya pecut, jadi saya mahu cemerlang dalam dua acara sekali gus. Mungkin saya perlu tingkatkan kepantasan pada permulaan dan konsisten pada penghujung penamat yang penting," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09

Peng Soon mungkin terpaksa tarik diri

Posted: 08 May 2013 09:27 AM PDT

Kuala Lumpur: Ketika Malaysia dituntut menampilkan aksi terbaik pada Piala Sudirman di bumi sendiri 19-26 Mei ini, Chan Peng Soon memberi khabar kurang gembira apabila menyatakan kemungkinan tidak dapat membantu pasukan.

"Saya tidak dapat pastikan sama ada dapat beraksi atau tidak kerana saya mengalami kecederaan pinggul," kata Peng Soon selepas ditanya mengenai keyakinan untuk menyumbangkan mata buat pasukan Piala Sudirman negara di Stadium Putra, Bukit Jalil lebih kurang 10 hari saja lagi.


Katanya, pinggul kanannya terasa ketat seperti kekejangan.

"Saya sudah berjumpa dengan doktor Institut Sukan Negara (ISN), buat masa ini beliau katakan yang otot pinggul saya kekejangan dan perlu melakukan ujian imbasan ultrasound." Katanya lagi, jika kecederaan itu tidak serius, ia memakan masa lima hingga tujuh hari untuk sembuh tetapi jika teruk, mungkin memerlukan masa tiga minggu untuk pulih.


"Buat masa ini saya rasa, tidak akan beraksi kerana saya sendiri tidak mahu memberi harapan kepada pasukan. Lebih baik pemain lain yang cergas menggalas tugas.


"Jika saya tidak dapat beraksi, saya pasti pasukan negara menurunkan gandingan saya, Goh Liu Ying dan bukannya gandingan lain seperti Ong Jian Guo-Lim Yin Loo. Mungkin Liu Ying akan digandingkan dengan Koo Kien Keat, kerana kemahiran Liu Ying jauh lebih baik berbanding pemain beregu wanita lain," kata Peng Soon.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09

Zainal yakin ramai layak ke Sukan SEA

Posted: 08 May 2013 09:26 AM PDT

Kuala Lumpur: Biarpun hanya enam atlet setakat ini melepasi syarat kelayakan ke Sukan SEA Myanmar Disember ini, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Zainal Abidin Ahmad yakin masih ramai atlet akan dapat melepasi syarat kelayakan sebelum tarikh berakhir.

Dengan tujuh kejohanan dijangka berlangsung sepanjang bulan Mei dan Jun, Zainal yakin atlet akan menggunakan peluang itu sebaik mungkin untuk cuba melayakkan diri ke Sukan SEA. Masih meletakkan sasaran tujuh emas sekali gus memperbaiki pencapaian lima emas ketika temasya dwi tahunan di Palembang dua tahun lalu, beliau langsung tidak berasa bimbang ke atas kemampuan atlet.


"Setakat ini saya berpuas hati dengan pencapaian mereka yang semakin mempamerkan peningkatan sejak saya mengambil alih teraju kepimpinan. "Saya yakin lebih ramai lagi atlet akan layak kerana tempoh untuk mereka masih panjang. Atlet akan berdepan lebih banyak kejohanan selepas ini yang akan memberikan mereka peluang mempamerkan kemampuan masing-masing seterusnya melayakkan diri," katanya.

Untuk layak secara merit ke Sukan SEA hujung tahun ini, atlet olahraga perlu melepasi kelayakan secara merit selewat-lewatnya sebelum Disember ini.


Antara atlet yang sudah melepasi syarat kelayakan adalah pelompat bergalah Iskandar Alwi, dua jaguh jalan kaki Lo Choon Seang dan Mohd Khairil Harith, atlet lompat tinggi S Navinraj dan Em Nauraj Singh.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09

Prestasi atlet diperhati umum

Posted: 08 May 2013 09:24 AM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan sukan harus mengamalkan sikap yang lebih terbuka untuk menerima kritikan mahupun cadangan bagi memperbaiki prestasi setiap atlet, kata bekas Menteri Belia dan Sukan, kata Tan Sri Annuar Musa.

Annuar, yang juga bekas Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), berkata prestasi atlet bukan sahaja dipantau oleh jurulatih, pengurus pasukan mahupun presiden persatuan sukan terbabit, tetapi juga sentiasa menjadi perhatian umum.


"Masyarakat Malaysia sudah bijak dan mereka pandai menilai apa yang baik untuk sukan yang diminati mereka. Kita (persatuan sukan kebangsaan) perlu menerima hakikat ada juga peminat sukan yang lebih mengetahui keupayaan atlet berbanding jurulatih," katanya.

Annuar, yang pernah memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan dari 1990 hingga 1993, berkata demikian selepas menjadi panel Forum Kebebasan Bersuara Dalam Arena Sukan anjuran pelajar tahun tiga Sarjana Sains Sukan (Pengurusan) Universiti Malaya semalam.


Beliau berkata persatuan sukan perlu menerima pandangan serta idea daripada orang ramai agar mutu sukan dapat diperbaiki ke tahap yang lebih baik.


"Kita perlu menerima bahawa kritikan ialah realiti dunia sekarang kerana banyak faedah yang kita perolehi apabila menerima kritikan daripada orang ramai," kata Annuar yang digantung dua tahun enam bulan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Februari tahun lepas.

Beliau didapati bersalah mengkritik prestasi skuad bola sepak kebangsaan.


Kenyataan Annuar itu turut disokong oleh Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi yang berkata kebebasan menyuarakan pendapat sering disalah ertikan oleh persatuan sukan hari ini.

"Pada kebiasaannya, setiap cadangan atau komen terhadap mana-mana ahli persatuan atau persatuan itu sendiri perlu dilakukan mengikut peraturan dan undang-undang persatuan.


Bagaimanapun, beliau berkata sudah tiba masa untuk persatuan sukan menerima perubahan khsusunya dalam soal kebebasan bersuara. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09

Kok Chi masih relevan: Jani

Posted: 08 May 2013 09:23 AM PDT

Kuala Lumpur: Ketika Datuk Sieh Kok Chi terus mencetuskan tanda tanya sama ada mahu mempertahankan jawatan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atau sebaliknya pada pemilihan Perhimpunan Agung Tahunan MOM 22 Jun depan, beberapa persatuan sukan kebangsaan berpendapat tokoh berusia 74 itu masih relevan untuk mempertahankan jawatan yang disandangnya itu.

Kok Chi seperti bermain tarik tali apabila pada satu ketika menyatakan hasrat untuk bersara, faktor yang menyebabkan Penolong Setiausaha T Kumar mahu bertanding jawatan itu, namun kelmarin menerusi satu laporan akhbar, beliau dikatakan akan mempertahankan jawatannya sekiranya mendapat pencalonan daripada persatuan sukan.


Bagaimanapun, beberapa persatuan sukan seolah-olah sudah memberi isyarat jelas mahu Kok Chi terus mempertahankan jawatan yang disandang selama 21 tahun itu atas beberapa faktor tertentu.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Tinju Amatur Malaysia Mohamad Jani Ismail secara peribadi menganggap Kok Chi masih belum ada pengganti yang sesuai.


"Sebenarnya jawatan dia itu (Setiausaha Kehormat) cukup penting kerana membabitkan hubungan antarabangsa dengan negara lain di dunia.


"Pengalaman Kok Chi itu cukup berharga. Secara peribadi, saya tidak nampak ada pengganti yang benar-benar sesuai dapat menggantikan tempatnya itu," katanya.

Bagi Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Zainal Abidin Ahmad pula, sejak mengenali Kok Chi seawal era 1970 an lagi, beliau menganggap Kok Chi seorang yang mampu memikul tugas dengan baik.


"Secara peribadi saya sudah lama kenal dia dan saya rasa selagi dia mampu, tidak salah untuk dia teruskan tugas sedia ada.

"Saya memang tidak mempunyai sebarang masalah dengan dia. Hubungan antara kami berjalan dengan baik dan dia juga banyak membantu persatuan sukan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09

Pencabar tempatan gusar LionsXII makin selesa

Posted: 08 May 2013 09:21 AM PDT

Kuala Lumpur: Aksi konsisten yang dipamerkan LionsXII pasti mengundang rasa bimbang buat pasukan pencabar kejuaraan apabila pasukan dari Singapura itu tampak semakin selesa menerajui Liga Super musim ini.

Biarpun hanya mendahului dengan kelebihan satu mata dengan pasukan di tangga kedua Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila mengumpul 31 mata selepas 15 perlawanan, namun LionsXII yang dikendalikan V Sundramoorthy beraksi kurang satu perlawanan berbanding pencabar terdekat itu.


Malah dua lagi pasukan yang cuba menghambat pasukan pendahulu itu, Selangor dan Pahang pula keciciran mata apabila terikat 2-2 dalam pertembungan di Stadium Darulmakmur kelmarin.

Paling mengecewakan pastinya jurulatih Irfan Bakti Abu Salim apabila menyaksikan anak buahnya membenarkan Pahang bangkit dua kali termasuk jaringan penyamaan R Surendran pada lewat permainan.


Pengendali skuad Red Giants itu mengakui keputusan itu menyukarkan usaha mereka untuk memintas LionsXII namun beliau tetap yakin kedudukan pasti akan berubah sebelum saingan liga berakhir.


"Saya amat kecewa dengan keputusan ini, kami mendahului dua kali tapi kerana kelekaan pemain pada saat akhir, pasukan lawan berjaya mencuri mata. Memang kami tak kalah dalam tiga perlawanan terakhir liga tapi masalahnya kami tak menang jadi kami kehilangan banyak mata. Jadi kami tiada pilihan selain menang pada baki perlawanan seterusnya untuk memintas LionsXII.

"Saya masih lagi optimis kami mampu mengejar LionsXII walaupun situasi sekarang nampak sukar kerana mereka nampak konsisten. Saya percaya semua empat pasukan (ATM, Johor DT, Selangor dan Pahang) masih mempunyai peluang untuk mengejar LionsXII," katanya.


Yang pastinya Selangor tidak mempunyai rehat panjang apabila akan melayan kunjungan Perak di Stadium Shah Alam esok dan dalam masa yang sama terpaksa memikirkan persiapan menentang kelab Maldives, New Radiant pada aksi pusingan kedua Piala AFC Rabu depan.

"Pertemuan dengan Perak ini penting tapi saya terpaksa merehatkan beberapa pemain kerana kami mempunyai satu lagi perlawanan penting menentang New Radiant minggu depan. Saya yakin pemain lain juga mampu menjalankan tugas dengan baik seperti yang dipamerkan ketika menentang Tampines Rovers sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09

Sathia puas hati

Posted: 08 May 2013 09:20 AM PDT

Seremban: Selepas meraih kejayaan bermakna menewaskan Johor Darul Takzim (DT) 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam kelmarin, pemain ATM dituntut mengekalkan prestasi terbaik itu bagi memastikan misi menjulang kejuaraan liga musim ini tercapai.

Jurulatih B Sathianathan (gambar) berkata, menjadi sasarannya untuk memastikan skuad bimbingannya itu kekal dalam kelompok tiga teratas carta liga, bagi memudahkan misi merangkul kejuaraan.


Katanya, pihaknya yakin matlamat itu boleh dicapai jika setiap pemain dapat mengekalkan disiplin dan semangat berpasukan yang tinggi pada baki perlawanan liga.

"Saya amat mengharapkan pemain terus mengekalkan disiplin dan semangat berpasukan bagi membolehkan kemenangan dicapai bagi baki enam perlawanan liga.


"Sekalipun tugas itu bukan mudah kerana pemain terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang padat serta keletihan, tetapi mereka tiada pilihan jika mahu memastikan pasukan menjulang kejuaraan liga musim ini.


"Justeru, saya berharap pemain terus fokus dan kekalkan prestasi terbaik masing-masing," katanya semalam.

ATM kini menduduki tangga kedua carta liga di belakang LionsX11 dengan dibezakan satu mata selepas LionsX11 menang ke atas Terengganu.


Mengulas kemenangan itu, beliau memuji persembahan anak buahnya yang beraksi mantap dan bijak memanfaatkan peluang.

Menurutnya, cabaran menentang anak buah Fandi Ahmad itu bukan suatu tugas mudah tetapi keyakinan pemain memperagakan aksi mantap dan membanggakan membolehkan tiga mata berharga berada dalam genggaman.


"Saya amat berpuas hati dengan aksi dipamerkan semua pemain yang berusaha keras bagi mendapatkan tiga mata penuh dan bagi Marlon Alex James yang menjaringkan kedua-dua gol, membuktikan dia seorang penyerang yang berbisa sekalipun dilabelkan sebagai kuda tua.


"Saya berharap momentum kemenangan ini dapat diteruskan pada aksi berikutnya menentang FELDA United di Stadium MPPJ, Sabtu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09

Tunku Ismail kesal aksi longlai pemain

Posted: 08 May 2013 09:19 AM PDT

Johor Bahru: "Saya mengakui berasa kesal membeli beberapa pemain yang tidak menunjukkan kesungguhan dan akan mengambil tindakan sewajarnya Disember ini."

Itu reaksi Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam kenyataan media selepas dukacita dengan kegagalan Johor Darul Takzim (DT) melakar kemenangan sebaliknya tumpas 0-2 kepada ATM pada saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin, Kekalahan itu nyata memberi tamparan buat skuad Harimau Selatan itu apabila ia kekalahan kedua berturut-turut selepas tewas 0-3 kepada Perak di Stadium Lumut, 27 April lalu dan kekalahan itu juga menyaksikan skuad bimbingan Fandi Ahmad jatuh ke tangga keempat liga.


Tunku Ismail juga bertanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan itu dan berjanji akan melakukan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kegagalan Johor DT meraih kemenangan malah tidak menyalahkan barisan kejurulatihan atau pihak pengurusan pasukan yang sudah berusaha membentuk barisan mantap mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M).

"Saya sendiri ada bersama pasukan pada sesi latihan dan menyaksikan segala usaha yang dilakukan bagi memantapkan pasukan malah pelbagai kemudahan latihan juga disediakan bagi memanfaatkan pemain termasuk sesi video taktikal, selain perbincangan bersama jurulatih.


"Tetapi akhirnya yang membuat keputusan sama ada untuk menang atau kalah terletak kepada kesebelasan pemain di padang namun apa yang saya perhatikan, terdapat pemain yang tidak mempunyai hati dan semangat untuk berjuang demi pasukan, selain meletakkan diri sendiri sebelum pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09

No comments:

Post a Comment