Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Helah BWF?

Posted: 10 May 2013 09:31 AM PDT

Kuala Lumpur: Apa helah sebenar di sebalik tindakan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memberi tiket wild card kepada pemenang emas Olimpik badminton sebanyak dua kali, Lin Dan ke Kejohanan Dunia di Guangzhou, China 5-11 Ogos depan?

Reaksi tidak senang pemain lain termasuk pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei yang berusaha gigih memungut mata untuk melayakkan diri ke kejohanan itu bukanlah perkara yang pelik kecuali tindakan BWF itu sendiri.


"Saya tidak marah tapi tidak adil kepada semua pemain lain. China sememangnya sebuah negara yang kuat dan tiga pemain mereka sedia layak, kini Lin Dan menjadi pemain keempat. Jika mereka tolak seorang pemain dan masukkan Lin Dan, saya rasa itu lebih adil," kata Chong Wei.

Berdasarkan peraturan sebenar BWF, tiket wild card hanya diberi kepada pemain dari sesebuah negara yang tidak mempunyai wakil layak secara merit.


Malah sejak Olimpik London, Lin Dan berehat selama lapan bulan sebelum kembali menyertai Kejohanan Badminton Asia (ABC), tanpa perlu bekerja keras dihadiahkan wild card, pastinya satu tindakan tidak sihat diamalkan BWF.


Jelas sekali di sini, tindakan BWF nampaknya ada kaitan permainan percaturan politik menjelang pemilihan baru presiden pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) sebelum Piala Sudirman bermula di Kuala Lumpur yang akan dilangsungkan 17 Mei ini.

Foto

CHONG WEI

Ketika ini makin ketara betapa tindakan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh menarik diri dan memberi sokongan kepada calon dari Indonesia, Justian Suhandinata, tidak disenangi Eropah terutamanya Denmark yang mempertaruhkan wakilnya, Poul-Erik Hoyer-Larsen.


Malah tindakan memberi tiket wild card kepada Lin Dan ini, umpama umpan yang diberi orang kuat Denmark, Thomas Lund yang juga Setiausaha Agung BWF, untuk memastikan China, menyokong Hoyer-Larsen.

Benar atau tidak telahan ini, tiada siapa yang tahu sehingga ada pihak menampilkan bukti namun apa yang dilakukan BWF sememangnya tidak adil dan tiada gunanya membuat peraturan.


Jika BWF mengharapkan kemeriahan dengan kehadiran Lin Dan pada kejohanan yang akan dianjurkan di negara itu, mereka ternyata silap kerana sudah banyak kali juara dunia empat kali itu memperlekehkan peraturan badan induk badminton dunia itu dengan tidak menyertai kejohanan serta memberi kemenangan percuma kepada rakan senegaranya.


Begitupun, bagi Chong Wei, dia tetap akan mendepani halangan biarpun cabaran kali ini nampaknya lebih besar. Chong Wei bukan hanya akan berdepan lawan sukar seperti Lin Dan, Chen Long dan pemain lain, malah halangannya juga datang dari BWF sendiri. "Saya akan ke Terbuka Indonesia sebelum Kejohanan Dunia. Berdepan tiga pemain China di Olimpik sudah cukup 'pening', apa lagi empat pemain."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/10

Wajib menang!

Posted: 10 May 2013 09:21 AM PDT

Madrid: Real Madrid enggan menyerah kalah dalam beberapa minggu terakhir namun pendahulu La Liga, Barcelona akhirnya berpeluang menentukan nasib sendiri dan memastikan gelaran liga ke-22 menerusi kemenangan ke atas Atletico Madrid, awal pagi Isnin ini.

Barca memerlukan dua mata menerusi baki empat perlawanan untuk merampas kembali kejuaraan liga yang dimenangi musuh tradisinya itu tahun lalu, yang sudah beraksi lebih satu perlawanan dan memerlukan kemenangan di Espanyol awal pagi esok untuk terus menghidupkan saingan merebut kejuaraan.


Ia bakal menjadi kejuaraan liga keempat kelab Catalan itu dalam tempoh lima tahun, pencapaian yang menghampiri kejayaan "Pasukan Impian" apabila menang empat kali berturut-turut pada 1990-an, dan kejuaraan pertama di bawah kendalian jurulatih baru, Tito Vilanova, yang menggantikan Pep Guardiola hujung musim lalu.

Atletico sudah mengesahkan kedudukan ketiga dan tiket ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.


Mereka akan menentang Real pada final Piala Raja Sepanyol dalam tempoh seminggu lagi namun jurulatih Diego Simeone berkata, beliau dan pemain tidak akan terganggu dengan kemungkinan memastikan musuh setempat itu menamatkan musim ini tanpa sebarang kejuaraan.


"Kami tidak boleh membenarkan diri kami lupa mengenai perlawanan seterusnya kerana pendekatan kami tidak pernah berbeza, kami perlu fokus dalam aksi menentang Barcelona," kata Simeone.

"Kami sedar perlawanan itu sukar namun penyokong perlu bersatu dan meraikan kejayaan melangkah ke Liga Juara-Juara," katanya.


"Ia akan menjadi cabaran dan kita akan melihat esok bagaimana perasaan pemain menjelang perlawanan." Real menang besar 6-2 di laman sendiri mengatasi Malaga kelmarin untuk merapatkan jurang kepada lapan mata dan walaupun kemenangan di Espanyol menjadikan perbezaan lima mata, kemenangan Barca di Calderon akan memberikan mereka kelebihan yang tidak dapat dipertikaikan lagi ketika Real hanya bakal mempunyai baki dua perlawanan dengan mata maksimum enam mata. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/11

Napoli gusar tanpa Mazzarri, Cavani

Posted: 10 May 2013 09:20 AM PDT

Naples: Kegembiraan Napoli menempah tiket ke Liga Juara-Juara musim depan dibayangi ketidaktentuan sama ada mereka mampu mengekalkan keutuhan pasukan pada masa depan.

Masa depan jurulatih Walter Mazzarri, yang melakukan transformasi sejak menggantikan Roberto Donadoni pada Oktober 2009 dan pendahulu senarai penjaring Serie A, Edinson Cavani tidak pasti sebaik saja musim ini berakhir.


"Sukar memikirkan Napoli tanpa Cavani dan Mazzarri, kami mungkin kehilangan pemain yang menjaringkan lebih 100 gol dan jurulatih yang mengubah kami hingga mampu mencabar kejuaraan Scudetto," kata penyerang Marek Hamsik.

"Saya harap Mazzarri dan Cavani tidak pergi supaya kami boleh menjadikan Napoli pasukan yang hebat," kata pemain Slovakia itu selepas kemenangan 3-0 di Bologna yang memastikan kedudukan Napoli sebagai naib juara liga di belakang juara Juventus.


"Bagi tiga tahun terakhir kami mencatat keputusan hebat dan kami mahu meneruskannya." Mazzarri, yang bakal mengemudi kelabnya menentang Siena di laman sendiri esok, enggan mengulas mengenai masa depannya.


"Saya mahu meraih mata sebanyak mungkin dan saya akan bercakap mengenai diri sendiri dan memutuskan apa yang perlu dilakukan kemudian," katanya.

"Saya mahu kami beraksi dengan baik dan mengatasi Siena dan AS Roma sertai memberikan peluang kepada pemain yang jarang beraksi." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/11

Federer kalah mengejut

Posted: 10 May 2013 09:20 AM PDT

Madrid: Harapan Roger Fede rer untuk meraih kejuaraan Terbuka Madrid kali kedua berturut-turut musnah apabila pemain nombor dua dunia itu mengalami kekalahan mengejut 4-6, 6-1, 2-6 pada pusingan ketiga di tangan pemain muda Jepun Kei Ni shikori, kelmarin.

Beraksi kejohanan pertamanya sejak berehat tujuh minggu selepas kalah pada suku akhir di Indian Wells, Federer muncul pemain ternama kedua tersingkir pada kejohanan Masters gelanggang tanah liat itu berikutan kekalahan mengejut pemain nombor satu dunia Novak Djokovic kepada pemain bukan pilihan dari Bulgaria Grigor Dimitrov Selasa lalu.


Kekalahan bintang Switzerland itu, selain kemenangan terbesar Nishikori, 23, sejak dia menundukkan Djokovic pada separuh akhir di Basel dua tahun lalu, turut menafikan penyokong kemungkinan pertembungan antara Federer dan bintang tempatan Rafael Nadal pada separuh akhir.

Nadal mudah mara kelmarin apabila dia menundukkan pemain bukan pilihan dari Russia Mikhail Youzhny 6-2, 6-3 untuk memastikan tempat ke suku akhir.


Dia disertai pilihan ketiga Andy Murray, yang terpaksa bangkit daripada kekalahan satu set sebelum mengatasi pilihan ke-16 dari Perancis Gilles Simon 2-6, 6-4, 7-6 dalam perlawanan maraton tiga jam yang hanya tamat jam 1 pagi waktu tempatan.


Federer, juara tiga kali di Madrid dan memburu kejuaraan pertamanya tahun ini, dilihat bergelut dalam cuaca berangin dan dia banyak melakukan kesilapan.

Selepas kalah set pertama, dia meningkatkan permainannya namun kalah servisnya pada awal set penentuan dan Nishikori mematahkan servisnya buat kali ketiga untuk memastikan kemenangan.


Pemain nombor 16 dunia itu tumpas kepada Federer pada pertembungan tunggal sebelum ini, perlawanan akhir di Basel pada 2011 dan berkata dia melalui pengalaman menakjubkan mengalahkan pemain menjadi idolanya ketika kecil.

"Sebenarnya untuk mengalahkannya adalah satu daripada sasaran saya dalam karier tenis," katanya.


"Ia pula berlaku di gelanggang tanah liat, menakjubkan. Ini bukanlah permukaan gelanggang kegemaran saya." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/11

Alonso ungguli latihan bebas pertama

Posted: 10 May 2013 09:19 AM PDT

Barcelona: Pemandu tempatan Fernando Alonso mengemudi keputusan satu-dua Ferrari pada sesi latihan bebas pertama Grand Prix Formula Satu Sepanyol semalam manakala Jenson Button gagal melakar sebarang masa kerana masalah dihadapi McLaren.

Alonso mencatat masa sepusingan terpantas satu minit 25.252 saat pada hujung sesi di litar kering namun masa itu, lebih lima saat perlahan daripada masa terpantas ketika ujian pramusim di Litar Catalunya tetap menceriakan penonton.


Rancangan untuk memberikan pemandu peluang lebih dengan mencuba prototaip tayar keras yang tahan lebih lama terjejas kerana cuaca apabila hujan renyai turun.

Felipe Massa berada di belakang rakan sepasukannya dengan masa 1:25.455 manakala pemandu Perancis Jean-Eric Vergne ketiga terpantas bersama Toro Rosso manakala rakan senegara Romain Grosjean keempat dalam jentera Lotus.


Juara dunia tiga kali dari Red Bull dan pendahulu keseluruhan Sebastian Vettel muncul pemandu ke-19 terpantas daripada 22 kereta, menanti hingga litar kering pada lewat sesi sebelum keluar litar dengan rakan sepasukan dari Australia Mark Webber di tangga ke-20.


Kimi Raikkonen, kedua keseluruhan dan 10 mata di belakang Vettel, mampu mencatat masa kelapan terpantas buat Lotus.

Semua pasukan melakukan penambahbaikan bagi perlumbaan pertama musim Eropah namun bekas juara McLaren dan Williams terpaksa melakukan lebih banyak pemanduan selepas bergelut dalam empat perlumbaan pertama musim di Asia dan Timur Tengah. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/11

Castro dahului tiga pukulan

Posted: 10 May 2013 09:16 AM PDT

Ponte Vedra Beach, Florida: Pemain tidak ternama Roberto Castro mencatat 63 untuk menyamai rekod lapangan dan mendahului tiga pukulan di depan Rory McIlroy dan Zach Johnson dengan Tiger Woods turut mengekori rapat selepas pusingan pertama Kejohanan Pemain-Pemain semalam.

Turut berada dalam kelompok teratas pendahulu juara Terbuka AS Webb Simpson, pemain Piala Ryder Steve Stricker dan Hunter Mahan sekumpulan dengan Woods dengan 67, namun Castro yang sebelum ini beraksi dalam Jelajah Web.com lebih mencuri tumpuan.


Mempamerkan permainan iron kemas ke green, Castro, yang menduduki ranking ke-267 dunia, melakukan tujuh birdie dan satu eagle sekali gus menyamai catatan dikongsi bersama Greg Norman dan Fred Couples pada penampilan sulungnya di TPC Sawgrass.

"Ia membuktikan apabila anda bermain dengan hebat, anda cukup bagus," kata Castro, 27, mengenai keyakinan diraihnya menerusi pusingan cemerlang pada sebelah pagi.


Rakan sepermainan Castro, Jason Bohn berkata, dia tidak pernah menyaksikan pusingan sebaik pemain Amerika berambut perang itu.


"Terlalu mengagumkan," kata Bohn, yang mencatat empat bawah par 68.

"Saya tidak pernah menyaksikan pusingan 63 seperti itu. Permainan ironnya bagaikan mengendalikan klinik golf, banyak pukulannya menjadi. Itu catatan tertinggi yang mungkin dilakukannya. Dia terlalu menakjubkan." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/10

Misi UniKL Cycling

Posted: 10 May 2013 09:14 AM PDT

Kuala Lumpur: Sedar nama universiti menjadi taruhan, barisan pelumba UniKL Cycling Community menjanjikan aksi terbaik apabila tampil bersaing dalam sirkit pertama Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 di Putrajaya, bulan depan.

Menurut wakil UniKL Cycling Community, Muhammad Izzuddin Ahmad Helmi, kejohanan itu peluang terbaik untuk menaikkan lagi nama institusi pengajian mereka kerana terdapat wakil universiti lain yang turut mengambil bahagian.


"Saya difahamkan ada universiti lain yang turut mengambil bahagian, jadi secara tidak langsung kami turut mahu memastikan UniKL menamatkan saingan di kedudukan terbaik. Kami menyasarkan untuk menamatkan saingan dalam kelompok 20 pelumba terbaik walaupun sedar saingan dijangka sengit apabila turut membabitkan peserta luar negara," katanya.

Walaupun tanpa kehadiran pelumba ternama seperti pasukan lain, Izzuddin optimis ia tidak akan memberikan masalah kepada mereka kerana yakin pengalaman menyertai sejumlah kejohanan tempatan beberapa tahun sebelum ini mampu mematangkan mereka.


"Kami semua adalah pelajar di UniKL namun kami sememangnya aktif dalam menyertai pelbagai kejohanan. Malah untuk saingan di Putrajaya nanti, kami mampu menjalani latihan penuh untuk beberapa minggu kerana semester sudah tamat," katanya.


Pasukan itu bakal menyertai saingan kategori elit dengan laluan mencabar kemahiran disediakan pihak penganjur dalam saingan yang turut membabitkan peserta dari Asia Tenggara.

Saingan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 di anjurkan dengan kerjasama Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) yang turut mendapat pengiktirafan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), membabitkan lima sirkit menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM220,000 selain cabutan bertuah.


Menyasarkan kira-kira 3,500 peserta, saingan di Putrajaya akan membabitkan tiga kategori utama perlumbaan iaitu elit, Terbuka Metro (Jamboree) selain demonstrasi dan pameran membabitkan beberapa aktiviti menarik untuk seisi keluarga dengan tarikh akhir penyertaan adalah Rabu depan.

Maklumat lanjut mengenai syarat pertandingan, kategori dan penginapan, layari laman http://mtbgp.hmetro.com.my atau hubungi Nor Azam Aziz (019-3245808) dan AJK Riadz Radzi (019-6434049).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/10

Wafiyuddin temui semula rentak

Posted: 10 May 2013 09:09 AM PDT

Kuala Lumpur: Juara bertahan, Wafiyuddin Abdul Manaf kembali mendapat rentak apabila mencatat dua bawah par 70 pada hari kedua Kejohanan Golf Piala Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi/Institusi Pengajian Tinggi (KPT/IPT) di Kelab Golf Rahman Putra (KGRP), Sungai Buloh, semalam.

Pilihan utama kejohanan itu yang sekadar menduduki tangga ke-16 kelmarin, bangkit untuk menguasai cabaran semalam, diikuti Amirul Aizat Abdul Bahar yang mencatat 73 pukula manakala pendahulu hari pertama, Muhammad Thaznim Hamdan melakukan 74 untuk berada dalam kelompok tiga teratas.


Bagaimanapun, Thaznim masih kekal mendahului dengan 148 pukulan keseluruhan selepas dua hari (74-74) manakala Abdul Zahir Abdul Ghani (75-77) berkongsi tempat kedua dengan Amirul (79-73) apabila mencatat 152.

Dalam kategori wanita, pemain Universiti Utara Malaysia (UUM), Hillferah Tan yang juga pilihan utama kejohanan, kekal selaku pendahulu keseluruhan apabila melakukan 77 berbanding 76, kelmarin.


Mengekori di tempat kedua Nurul Atirah Amirah, 80 manakala tangga ketiga milik pemain Universiti Islam Antarabangsa (IIUM), Khairunhanisah Azlan Hanif, 81. Wafiyuddin yang menduduki ranking pertama kejohanan dan berada di tangga keempat keseluruhan selepas 36 lubang, menyifatkan permainan hari kedua semalam lebih baik berbanding kelmarin.


"Saya mendapat rentak semula dan berharap mempamer permainan lebih konsisten pada setiap lubang di pusingan terakhir hari ini," katanya.

Zahir, berada pada tangga kelima hari kedua, mencatat 77, mengakui permainannya kurang bagus dan tidak seperti diharapkan.


"Apapun, saya tetap akan mencuba menebus semula, bermain sebaik mungkin kerana semua dalam kedudukan Top 5 mahu bergelar juara individu dan berkumpulan," katanya.

Kejohanan edisi ketiga itu menampilkan cabaran 58 mahasiswa lelaki dan 14 wanita pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan. Ketua jurulatih Pusat Kecemerlangan Sukan/Akademi Golf Kebangsaan, Wan Rosni Wan Chik berkata: "Saya memang mengharapkan pemain muda menyerlah di kejohanan ini. Penyertaan kompetitif, pendedahan dan prestasi pemain akan diambil kira," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/10

Poh Kuan tekad ulangi kejayaan

Posted: 10 May 2013 09:08 AM PDT

Kuantan: Pencapaian cemerlang dengan dua pingat emas tahun lalu sekali lagi akan diulangi atlet besi Pahang, Chin Poh Kuan pada saingan Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Ke-55 yang akan berlangsung di Stadium Darul Makmur pada 19-23 Mei ini.

Pengalaman luas di pentas kebangsaan dan antarabangsa menjadi kelebihan kepada atlet kelahiran Bentong itu untuk menjulang kejayaan di gelanggang sendiri dalam acara lontar peluru dan lempar cakera kategori bawah 18 tahun. Dengan catatan 10.35 meter dalam acara lontar peluru dan 32.90m lempar cakera sudah cukup meletakkan nama pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu di landasan sebenar atlet terbaik negara ketika ini.


"Saya akan memberi persembahan terbaik dalam usaha merangkul dua emas diharapkan kontinjen Pahang kali ini yang dianggap lebih mencabar berbanding sebelum ini.

"Selain medan menambah koleksi pingat emas, MSSM kali ini juga menjadi gelanggang untuk saya berusaha melakar rekod baru kejohanan yang sudah lama tercatat," katanya yang kini sedang giat mengadakan latihan fasa terakhir.


Poh Kuan berkata, pada saingan kali ini dia bertekad melakukan 35m dalam acara lempar cakera dan 12m, lontar peluru. Sokongan padu penyokong tempatan diharapkan menambahkan lagi semangatnya.


Beliau yang menerima anugerah Olahragawan Kejohanan Balapan dan Padang MSSP bulan lalu berkata, apa yang diharapkan, penyertaan kali keenam MSSM di Kuantan kali ini akan menjadi sejarah terindah seterusnya dapat membantu kontinjen Pahang cemerlang di tempat sendiri. Katanya, untuk memastikan kontinjen Pahang menyerlah di gelanggang sendiri semua atlet bawah 12, 15 dan 18 tahun diharap dapat memberi persembahan terbaik bagi mencerahkan peluang mereka meraih pingat emas dalam acara disertai. "Saya yakin dengan persiapan rapi sejak awal tahun tidak mustahil kami akan menyerlah kali ini. Tahun lalu kami hanya berada di tempat kesembilan dengan enam emas.

"Namun kali ini saya yakin kedudukan akan lebih baik selain jumlah emas akan bertambah," katanya.


Sementara itu, persiapan majlis perasmian Kejohanan Balapan dan Padang MSSM kini sedang giat dilakukan urusetia Jabatan Pelajaran Pahang dengan kerjasama agensi berkaitan, tumpuan lebih kepada persembahan pelajar yang membentuk pelbagai formasi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/10

Peserta 12 tahun sertai sirkit kebangsaan

Posted: 10 May 2013 09:08 AM PDT

Melaka: Lebih 30 peserta remaja seawal usia 12 tahun bakal menyertai saingan Kejohanan BMX Sirkit 2 Kebangsaan di Taman Botanical Ayer Keroh, Ahad ini.

Peserta berkenaan akan bersaing dalam beberapa kategori termasuk bawah 12 dan bawah 16 dalam usaha Persekutuan Berbasikal Kebangsaan membentuk barisan pelapis terbaik negara.


Setiausaha BMX Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM), Minhat Abdul Rahman berkata, penyertaan mereka lebih kepada usaha memperkenalkan sukan terbabit sebagai pilihan remaja berpotensi mewakili negeri dan negara pada masa depan.

Beliau berkata, dalam kategori elit pula, ia menjadi pentas pemilihan atlet ke Sukan Sea 2013 yang mampu menjadi landasan mengenal pasti pelumba terbaik menggalas cabaran skuad negara.


Menurutnya, pelumba terbaik negara dijangka turut serta dengan saingan hadir daripada muka baru yang mampu merancakkan kejohanan.


Minhat berkata, tidak mustahil ada pelumba berbakat bakal terpilih terutamanya jika mereka mampu meraih kemenangan bergaya di Melaka.

"Namun kita ada lagi dua sirkit menjelang Sukan SEA. Justeru masih ada peluang kepada pelumba yang tidak menyerlah kali ini untuk meraih peluang di dua sirkit terakhir kelak.


"Apapun PKBM bakal menganjurkan dua baki sirkit di lokasi sama berikutan kami merancang sesi latihan di gelanggang bernilai lebih RM80,000 yang diiktiraf Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) terbabit," katanya.

Tahun lalu, pelumba MBX negara Mohd Rizal Tisin, Mohd Aim Mohd Fauzi dan Maziyaton Mohd Radzi turut bersaing di venue berkenaan sebelum menyertai Kejohanan BMX Asia di Nanjing, China.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/10

No comments:

Post a Comment