Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


UPSR dilanda ribut

Posted: 09 Oct 2014 03:24 PM PDT

Kudat: Malang berganda kepada 37 murid tahun enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Panudahan, dekat sini, apabila terpaksa bertempiaran menyelamatkan diri ketika sedang khusyuk menjawab peperiksaan ulangan Matematik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana bumbung sekolah berkenaan diterbangkan angin kencang, semalam.

Berikutan kejadian itu, dua murid berusia 12 tahun cedera ringan dengan seorang cedera di paha terkena kipas dan papan lapis yang terjatuh manakala seorang pengawas peperiksaan terkena kayu di kepalanya.


Kejadian berlaku pada jam 8.30 pagi itu menyebabkan bumbung yang menempatkan empat bilik darjah dan bilik pentadbiran sekolah diterbangkan angin kencang manakala cermin kenderaan dipercayai milik guru besar sekolah itu pecah.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan peperiksaan UPSR disambung semula di bilik guru.


Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip berkata, ketika kejadian 37 murid sedang menduduki peperiksaan itu dan tiga pengawas UPSR di blok sekolah papan berkenaan.


"Ketika semua murid sedang menjawab peperiksaan, tiba-tiba bumbung Blok B sekolah berkenaan terbang dipercayai akibat angin kencang. Murid diarah keluar kerana bimbang kejadian buruk.

Foto

SILING bilik peperiksaan UPSR di SK Panudahan, Kudat runtuh dipukul ribut.

"Bagaimanapun, dua murid dan seorang pengawas peperiksaan UPSR cedera ringan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau berkata, sebaik keadaan pulih, semua murid dipindahkan ke bangunan bersebelahan dan mereka meneruskan menjawab soalan di bilik guru.

Menurutnya, pihaknya sedang mengenal pasti peralatan yang rosak di empat kelas yang menempatkan 90 murid itu.


Difahamkan, ketika kejadian guru besar serta sembilan lagi guru berada di bilik guru iaitu blok bersebelahan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/10

DVD aiskrim

Posted: 09 Oct 2014 02:49 PM PDT

Kuala Lumpur: Taktik licik peniaga asing menjual cakera padat digital (DVD) cetak rompak dengan menyembunyikannya di dalam peti aiskrim di sebuah kedai runcit di Jalan Silang di sini dipercayai sejak tahun lalu, terbongkar apabila diserbu kelmarin.

Serbuan dilakukan sepasukan 18 pegawai dan penguat kuasa Bahagian Kawalan Filem (BKF) Kementerian Dalam Negeri (KDN), jam 2 petang kelmarin.


Bagi mengaburi pihak berkuasa, peniaga yang turut menjual barangan runcit lain dikatakan hanya mempamerkan contoh salinan atau gambar filem di depan premis tanpa sebarang papan tanda perniagaan itu.

Pengarah BKF KDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) Sharifah Rohaiza Syed Rozali berkata, seorang lelaki warga India berusia 27 tahun disyaki penjaga premis ditahan.


"Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan 6,606 DVD filem dan 84 DVD lucah kebanyakannya filem Bangladesh dan India dianggarkan bernilai RM67,250 yang dirampas untuk tindakan lanjut," katanya, semalam.


Menurut beliau, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 18 (4) (a) dan Seksyen 5 (1) (a) Akta Penapisan Filem 2002.

Bagi kesalahan memiliki filem lucah (Seksyen 5) itu, individu yang disabitkan bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun. Manakala kesalahan mengikut Seksyen 18 memperuntukkan denda maksimum RM30,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, jika disabitkan kesalahan.


Kata Sharifah, pihaknya memandang serius aktiviti haram seumpama itu terutama membabitkan warga asing yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan negara ini.

"Selain menjalankan operasi dan pemantauan bagi mengekang perkara itu daripada berleluasa di sekitar ibu negara, orang ramai turut diseru menyalurkan maklumat mengenainya bagi membolehkan tindakan dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/10

Simpati sudah hilang

Posted: 09 Oct 2014 02:17 PM PDT

Kuala Lumpur: "Hampir 40 minit saya menyusu kan anak di lantai ERL (Express Rail Link) semalam (kelmarin) dan sepanjang tempoh itu orang yang berada di sekeliling hanya melihat tanpa sedikit pun rasa simpati menyaksikan keadaan saya ketika itu," kata Wan Noor Shila Mior Sharifuddin, 30, yang sedih dan kecewa disebabkan sikap tidak prihatin segelintir rakyat Malaysia.

Wan Noor Shila berkata, ketika itu dia bersama bayi perempuan berusia setahun dalam perjalanan pulang ke rumah di Nilai dengan menaiki ERL dari Kuala Lumpur (KL) Sentral ke stesen Salak Tinggi jam 6.30 petang.

Menurutnya, sebelum itu dia menaiki sistem transit aliran ringan (LRT) dari tempat kerjanya di Setiawangsa bersama anak hingga ke KL Sentral sebelum menukar tren ke ERL untuk ke Salak Tinggi.

Katanya, sepanjang perjalanan menaiki ERL itu tren dipenuhi orang ramai berikutan waktu pulang kerja dan dari KL Sentral dia berdiri hingga ke stesen Bandar Tasek Selatan.

Foto

WAN Noor Shila duduk di lantai ERL bersama anaknya berusia setahun.


"Pada masa itu tren dipenuhi ramai orang apatah lagi ketika itu waktu pulang kerja dan saya berdiri sambil mendukung anak.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/10

Ibu jari putus dibelit tali pengikat lembu

Posted: 09 Oct 2014 02:14 PM PDT

Bachok: "Saya terkejut apabila lembu itu tiba-tiba agresif dan saya cuba tarik tali yang mengikatnya, namun saya berasa sakit sebelum terlihat satu jari saya melekat pada tali berkenaan," kata penternak lembu, Mohd Subri Mohamed, 49.

Mohd Subri dari Kandis, di sini menceritakan insiden ibu jari tangan kirinya putus akibat dibelit tali pengikat lembu ketika cuba memindahkan haiwan ternakan terbabit ke dalam lori, tiga hari sebelum Aidiladha lalu.


Kejadian pada Khamis minggu lalu itu menyebabkan Mohd Subri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kandis tangan kiri kudung satu jari selepas gagal disambung semula.

Menurutnya, lembu itu dijual kepada seorang pembeli di Kampung Kijang, Pengkalan Chepa untuk dikorbankan sempena Aidiladha yang lalu, namun dia 'dikorbankan' terlebih dulu apabila ibu jari tangan kiri putus.


"Ketika itu jam 7 malam dan saya bersama dua rakan memindahkan lembu untuk dihantar kepada pembeli yang menjalankan ibadat korban.


"Lembu betina itu yang terakhir dimasukkan ke dalam lori, tetapi ia tiba-tiba bertindak luar kawalan mengakibatkan tali pengikat pada lehernya membelit ibu jari saya.

Foto

Illias (kanan) melihat ibu jari kiri Mohd Subri yang putus akibat direntap lembu peliharaan.

"Saya tak sempat buat apa-apa ketika itu kerana rentapan lembu betina berkenaan terus menyebabkan jari saya putus serta-merta," katanya ketika ditemui di Taman Cempaka, Kandis, di sini, petang kelmarin.


Beliau terdahulu menerima kunjungan Penyelaras Parlimen Bachok Datuk Illias Hussin.

Bercerita lanjut, Mohd Subri berkata, selain putus jari, beliau turut mengalami luka kecil di muka dan beraya di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian selama empat hari.


Katanya, reda dengan kejadian berlaku dan tidak serik untuk terus memelihara lembu yang kini berjumlah 50 ekor sejak diusahakan tiga tahun lalu.


Dalam pada itu, Illias berkata, dia segera melawat Mohd Subri sebaik diberitahu mengenai kejadian menimpanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/10

Wanita potong tangan guna tiga pisau

Posted: 09 Oct 2014 02:00 PM PDT

Kuala Berang: Seorang ibu tunggal bertindak di luar dugaan apabila memotong tangannya dalam kejadian di Kampung Durian Kasim, Ajil, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, wanita berusia 23 tahun berkenaan, memotong tangannya dalam bilik air menggunakan tiga pisau pemotong daging tanpa disedari ahli keluarganya.


Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Durian Kasim, Kamarudin Mamat, 53, berkata, mangsa dipercayai mengalami gangguan emosi dan mengambil tiga pisau pemotong daging sebelum terperap di dalam bilik air bersendirian.

Menurutnya, wanita itu dikatakan memotong pergelangan tangan kiri hingga putus tanpa pengetahuan enam ahli keluarga yang ketika itu berada di rumah.


Katanya, adik-beradik mangsa tidak menyedari kejadian itu kerana wanita berkenaan tidak mengerang, mahupun menjerit ketika melakukan perbuatan ngeri itu.


"Wanita itu berbaju lengan panjang dan keluar rumah dalam keadaan berlumuran darah dan akhirnya rebah di pekarangan kediamannya. Adik mangsa yang kebetulan membaiki kereta di luar rumah ketika itu terkejut melihat kakaknya rebah di luar rumah dengan tangan kiri terputus.

"Remaja lelaki itu segera memaklumkan kepada ahli keluarga sebelum mereka tergamam melihat pergelangan tangan kiri bersama tiga pisau daging masih berada di dalam bilik air rumah mereka," katanya, semalam.


Kamaruddin berkata, ketika kejadian berlaku dia sedang bekerja tidak jauh dari rumah mangsa dan bergegas ke lokasi kejadian sebaik mendapat tahu daripada bapa saudara mangsa.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa bersama cebisan tangan kirinya sudahpun dibawa ahli keluarga ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk rawatan selanjutnya.


Sementara itu, jurucakap HHT berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima kes wanita berkenaan jam 11 pagi, semalam.


Menurutnya, mangsa dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan untuk berjumpa pakar perubatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/10

No comments:

Post a Comment