Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Tapak kaki wanita hadap ke belakang

Posted: 07 Oct 2014 10:28 AM PDT

Chongqing: Seorang wanita yang dilahirkan dengan tangan dan kaki yang luar biasa mengejutkan doktor mengenai perkembangannya.

Walaupun dilahirkan dengan tangan dan kaki menghadap ke belakang, Wang Fang, berjaya menjalani kehidupan normal.

Doktor mulanya bimbang Wang tidak akan dapat berjalan dengan baik kerana keadaan kakinya itu.

Bagaimanapun, pelayan restoran yang kini berusia 30-an berkata, dia tidak melihat dirinya cacat.

Foto

WANG menunjukkan kakinya yang menghadap ke belakang.


"Saya boleh berlari lebih laju berbanding rakan saya dan mempunyai kerja tetap sebagai pelayan di restoran milik keluarga. Tiada alasan untuk menganggap saya cacat," katanya.


Dia yang mempunyai anak dengan kaki yang normal berkata: "Saya boleh berjalan seperti orang lain. Saya sama seperti orang lain, kecuali terpaksa memakai kasut terbalik.

Wang bukan satu-satunya orang yang yang berjaya mengatasi kecacatan ganjil.

Sebelum ini, Claudio Vieira de Oliveira dari Brazil berjaya menjadi penceramah umum walaupun dilahirkan dengan kepalanya terbalik. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

Ebola tiba di Eropah

Posted: 07 Oct 2014 10:25 AM PDT

Madrid: Seorang jururawat Sepanyol dijangkiti Ebola selepas merawat dua pesakit di sebuah hospital di Madrid dalam kes pertama penularannya di luar Afrika yang dilaporkan.

Wanita berusia 40 tahun itu mula rasa tidak sihat pada 30 September lalu tetapi hanya pergi ke hospital pada Ahad kerana mengalami demam panas.

Hasil dua ujian mengesahkan dia dijangkiti virus yang setakat ini membunuh lebih 3,400 orang di barat Afrika.

Pegawai perubatan Sepanyol kini berusaha menyiasat mereka yang mungkin terdedah kepada virus dibawanya dan setakat ini memantau 30 orang termasuk suami dan rakan sekerja untuk memastikan mereka tidak menunjukkan tanda-tanda dijangkiti.

Foto

KONVOI membawa jururawat Sepanyol yang dijangkiti virus Ebola daripada seorang paderi berusia 69 tahun meninggalkan Hosptial Alcorcon di Madrid.


Wanita terbabit sebahagian daripada pasukan perubatan di Hospital La Paz-Carlos III di mana dua warga emas Sepanyol yang juga pendakwah maut ketika menerima rawatan untuk Ebola selepas pulang dari Afrika.


Pengarah kesihatan utama Madrid Antonio Alemany berkata, wanita terbabit pergi bercuti sehari selepas kedua-dua pesakit berkenaan meninggal dunia pada 25 September lalu.
Jururawat yang sudah berkahwin namun tiada anak kini diasingkan daripada pesakit lain di Alcorcon yang terletak di pinggiran Madrid.

Menurut Alemany, keadaannya stabil namun masih mengalami demam panas.

Berita jangkitan itu menyebabkan ramai mempertikaikan keputusan kerajaan Sepanyol memanggil semula pendakwahnya di Afrika.

Malah ada yang turut mempertikaikan sejauh mana hospital Sepanyol mampu menangani kes Ebola.

Dua pesakit dalam jagaan jururawat terbabit adalah paderi, Miguel Pajares yang meninggal dunia pada 12 Ogos lalu dan Manuel Garcie, 69, yang maut pada 25 September lalu.

Pajares adalah pesakit pertama yang dihantar pulang ke Eropah untuk mendapat rawatan.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

Gali kubur cari wasiat

Posted: 07 Oct 2014 10:20 AM PDT

Colebrook (AS): Seorang wanita menggali semula kubur bapanya untuk mencari 'wasiat,' tindakan yang dikatakannya tidak akan mencetuskan kemarahan bapanya.

Melanie Nash, 52, menghadapi tuduhan cuba mengalih mayat bapanya, Eddie Nash, dari tanah perkburan di Colebrook di New Hampshire, Mei lalu.

Kubur ahli perniagaan itu yang mati akibat serangan jantung pada usia 68 tahun pada 2004 ditemui terbongkar dengan kerandanya terbuka. Walaupun mayatnya dilihat tidak diusik, namun ia ditemui beralih dari kedudukan sepatutnya.

Dalam kenyataannya kepada polis, Melanie berkata, dia meminta bantuan Ginette Dowse, 71, Michael Day, 37, dan David Grey, 57, untuk menggali semula kubur bapanya yang dipercayai ditanam bersama-sama 'wasiat sebenar.'


"Semua ini dilakukan untuk tujuan yang baik dan saya tahu bapa saya bersetuju dengan tindakan ini. Kami hanya menggali kuburnya untuk mencari dokumen wasiat. Kami melakukannya dengan penuh hormat," katanya.


Bagaimanapun, selepas menyelongkar mayat bapanya, Melanie hanya menemui sebungkus rokok dalam genggaman mayat bapanya.

Menurut pendakwa, Melanie memberitahu polis dia tidak menerima sebarang harta apabila bapanya meninggal dunia dan sudah lama merancang untuk menggali kubur itu bagi membuktikan kakaknya Susie menyembunyikan wasiat bapa mereka.

Bagaimanapun, Susie menafikannya.

Mayat Nash terpaksa ditanam semula dengan menelan belanja beribu-ribu dolar sementara Melanie akan menghadapi tuduhan jenayah, termasuk menceroboh tanah perkuburan dan merosakkan mayat.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

Umur tak panjang

Posted: 07 Oct 2014 10:18 AM PDT

Carvillen (Perancis): Seorang lelaki terselamat selepas gagal mengawal kenderaan yang dipandunya, terbunuh apabila dilanggar oleh kereta yang dipandu isterinya tidak lama kemudian.

Lelaki berusia 54 tahun berkenaan dan anak perempuannya yang berumur 16 tahun tidak cedera selepas mereka terbabit dalam kemalangan awal.

Mereka berjaya merangkak keluar dari van itu yang terbalik di Carvilee, barat Perancis.

Bagaimanapun, isterinya yang mendapat tahu mengenai kemalangan berkenaan dan bergegas ke tempat keadian, juga gagal mengawal keretanya di tempat sama, menyebabkan dia melanggar suaminya.


Lelaki itu dikatakan mati di tempat kejadian sementara anak mereka terselamat. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

Indonesia bakal Harimau Asia

Posted: 07 Oct 2014 10:17 AM PDT

Surabaya: Indonesia akan muncul sebagai Harimau Asia dalam tempoh 10 tahun akan datang hasil pemodenan pasukan tenteranya, kata Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Bercakap di majlis meraikan ulang tahun penubuhan Tentera Nasional Indonesia (TNI) ke-69 semalam, Susilo berkata, kemajuan ditunjukkan pasukan bersenjata itu sangat mengagumkan.

Kelmarin, Susilo memberitahu 23,000 anggota tentera lebih AS$8 bilion (RM26 bilion) peruntukan dibelanjakan sepanjang tempoh beliau menjadi presiden untuk memodenkan TNI.

"Saya yakin kita akan menjadi Harimau Asia seterusnya," katanya.

Foto

SUSILO berucap di depan 23,000 anggota TNI sempena sambutan ulang tahun ke-69 penubuhannya semalam.


Susilo kini di hujung pentadbirannya selepas 10 tahun menjadi presiden.

Dia akan diganti dengan Joko Widodo pada 20 Oktober ini.

Kata Susilo, Indonesia kini makin selamat dengan sesetengah wilayah bergolak pulih secara berperingkat.

"Aceh selamat, Papua selamat. Tiada lagi konflik di kalangan penduduknya.

"Selain itu operasi ketenteraan hanya membabitkan isu bantuan seperti bencana dan berlangsung 24 jam sehari," katanya.

Papua - pulau yang kurang dihuni tetapi kaya dengan bahan semula jadi - mengalami konflik selama beberapa dekad akibat kewujudan kumpulan pemisah.

Di sebalik kehadiran ramai tentera, serangan pemisah sering berlaku.

Susilo juga menyatakan rasa bangga kerana TNI kini memiliki sejumlah sistem pertahanan canggih.

"Tentera darat memiliki kereta kebal perang, di laut kepulauan Indonesia dikawal pasukan yang lengkap dengan keperluan semasa, manakala di udara negara ini ada pelbagai kapal terbang seperti Sukhoi, T-50 dan F-16 ," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

Nilai Mayang RM1,300 sejam

Posted: 07 Oct 2014 10:14 AM PDT

Brisbane: Wanita Indonesia yang dibunuh dan dipotong mayatnya kelmarin didakwa pelacur komersial bertaraf antarabangsa.

Media Australia Couriermail.com.au melaporkan, Mayang Prasetyo mengenakan bayaran sehingga lebih RM1,300 sejam.

"Mangsa kemudian dipotong dan ditanak suaminya di sebuah apartmen adalah pelacur kelas tinggi," lapor laman sesawang itu.

Memetik sumber, media itu mendakwa mayang turut memasarkan dirinya dan mencari pelanggan secara dalam talian.

Foto

MAYANG bersama Volke.


Semakan di Internet menunjukkan Mayang - seorang pondan - menulis promosi di sebuah laman sesawang: "Rebut saya sekarang sebelum terlambat."


Ibu Mayang, Nining Sukarni, berkata anaknya itu adalah orang yang banyak membantu keperluan kewangan mereka seharian.

"Mayang sering menghantar wang terutama untuk dua adiknya yang baru berusia 15 dan 18 tahun," katanya.

Polis Australia menemui mayat busuk Mayang di apartmen didiaminya bersama Marcus Volke, 28, kelmarin selepas penduduk setempat mengadu terhidu bau busuk di situ. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

3,073 banduan diampun

Posted: 07 Oct 2014 10:11 AM PDT

Yangon: Kerajaan Myanmar memberi pengampunan kepada 3,073 banduan semalam, termasuk puluhan tahanan politik.

Pengumuman itu dibuat sebulan sebelum negara itu menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak serantau.

Kementerian Penerangan Myanmar berkata, banduan terbabit dibebaskan atas faktor kemanusiaan.

Semakan menunjukkan kebanyakan banduan adalah pesalah jenayah kecil.

Sementara itu, Jawatankuasa Pemantau Tahanan Politik berkata, 13 daripada banduan itu dipenjara atas kesalahan politik, dan lapan atau lebih lagi bekas pegawai kanan perisikan tentera yang ditangkap selepas penyingkiran ketua mereka serta perdana menteri pada 2004, Khin Nyunt.

Bekas banduan dan anggota jawatankuasa kerajaan, Ye Aung berkata, pengampunan itu dilakukan menjelang Sidang Kemuncak Asia - Pasifik bulan depan.


Walaupun menyambut baik pembebasan itu, Aung menggesa kerajaan memberikan pengampunan sama kepada 75 lagi tahanan politik yang masih dipenjara.


Presiden Thein Sein yang dilantik pada 2011 pernah berjanji membebaskan semua tahanan politik menjelang akhir tahun ini.

- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

Pembunuh pelancong diseksa

Posted: 07 Oct 2014 10:11 AM PDT

Yangon: Tiga pekerja Myanmar di pulau peranginan Koh Tao mendakwa polis menyeksa mereka untuk mendedahkan maklumat mengenai pembunuhan dua pelancong Britain di situ bulan lalu.

Sumber berkata, tiga individu itu adalah sebahagian daripada enam warga Myanmar yang ditahan polis Thailand.

"Tiga daripadanya dibebaskan tetapi dua rakan mereka ditangkap dan didakwa membunuh, manakala suspek ketiga dipercayai bersetuju memberi keterangan terhadap dua yang dituduh," katanya.

Ketiga-tiga suspek itu mendakwa polis mencurah air panas ke atas mereka ketika proses soal siasat.


Mereka kemudian bertemu pemimpin kesatuan buruh untuk menunjukkan bukti kecederaan dialami sebelum menyerahkannya ke Kedutaan Myanmar.


Sementara itu pegawai kedutaan berkata, mereka bersedia membantu tertuduh.

Tiga suspek yang dibebaskan mendakwa polis Thailand mengancam untuk mengambil tindakan lebih serius jika Kedutaan Myanmar campur tangan.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

Luna enggan jumpa Ariel

Posted: 07 Oct 2014 10:10 AM PDT

Jakarta: Luka ditinggalkan vokalis kumpulan Noah, Ariel, nampaknya masih melekat di hati Luna Maya.

Wanita kelahiran Bali itu dilaporkan enggan bertemu dengan penyanyi terbabit terutama kerana bekas kekasihnya itu kini sedang menjalin hubungan cinta dengan Sophia Muller.

Apabila ada cadangan mempertemukan Luna Maya dengan Ariel dalam majlis perkahwinan Raffi-Gigi pada 17 dan 18 Oktober ini, aktres terbabit mengancam untuk tidak mahu hadir.

Raffi berkata, Luna Maya malah memberi kata dua kepadanya.


"Kata Luna, saya perlu membuat keputusan sama ada mahu menjemput dirinya atau Ariel," katanya.


Mengesahkan perkara itu, Luna Maya berkata, pilihan kini di tangan Raffi.

"Terserah kepada Raffi mahu memilih saya atau Ariel," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

Mansuh undang-undang tentera?

Posted: 07 Oct 2014 10:08 AM PDT

Bangkok: Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-ocha semalam menafikan undang-undang tentera akan ditamatkan malah menegaskan ia diteruskan sehingga pembaharuan dilaksanakan sepenuhnya.

Pengumuman berkenaan secara tidak langsung mengetepikan desakan badan pelancongan Thailand yang melihat pemerintahan tentera menjejaskan kedatangan pelancong ke negara itu.

Prayuth yang menggulingkan Yingluck Shinawatra pada Mei lalu berkata, tentera merampas kuasa daripada kerajaan ketika itu untuk mengelak berlaku pertumpahan darah selepas perbalahan selama beberapa bulan yang mengakibatkan hampir 30 orang maut.

"Jangan tanya saya mengenai undang-undang khas ini sekarang.


"Biarlah pembaharuan dilaksanakan sepenuhnya dan sebaik keadaan kembali pulih saya sendiri akan memikirkan untuk menamatkannya," katanya dalam satu kenyataan.


Undang-undang tentera diisytiharkan pada 20 Mei lalu, dua hari sebelum Yingluck digulingkan.

Bulan lalu, junta Thailand berkata, ia sedang mempertimbangkan untuk menamatkan undang-undang tentera di wilayah yang paling popular sebagai destinasi pelancongan untuk memulihkan industri itu yang merudum akibat kekacauan politik negara itu.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

No comments:

Post a Comment