Harian Metro: MetroPlus

Harian Metro: MetroPlus


Kera masuk kampung

Posted: 27 Dec 2012 12:52 PM PST

KLANG: Kawasan hutan yang semakin berkurangan di daerah ini menyebabkan penduduk Kampung Sementa, di sini, diancam kehadiran kera yang mengganggu kehidupan penduduk sejak empat bulan lalu.

Lebih membimbangkan, kumpulan kera itu bukan saja mengganggu penduduk, malah menyebabkan persekitaran kawasan kotor apabila tong sampah penduduk diselongkar dan ada juga yang menceroboh rumah untuk mencari makanan.

Malah, kumpulan kera itu turut merosakkan tanaman penduduk seperti pisang, tebu dan beberapa pokok hiasan.

Bekas kakitangan awam, Ehsan Ahmad, 46, berkata, sekurang-kurangnya 20 kera liar sering berkeliaran mencari makanan di kawasan kebun di depan rumahnya walaupun belum ada kes serangan haiwan itu ke atas penduduk.

Foto

DI SANA...Ehsan menunjukkan kawasan tumpuan kera berkeliaran.


Katanya, ekoran itu, penduduk menebang pokok di kawasan kebun berkenaan bertujuan menghalau kera terbabit, namun tindakan itu gagal kerana bilangan haiwan itu bertambah setiap hari.


"Beruk di kawasan ini seolah-olah tidak takut manusia. Ini kerana biarpun walaupun pelbagai cara sudah dilakukan termasuk meletakkan perangkap untuk mengurangkan kehadiran haiwan itu, semuanya masih tidak berjaya.

"Selain itu, kami bukan saja takut diserang, tetapi menghadapi masalah untuk menjemur pakaian di ampaian. Pakaian disidai perlu disepit bagi mengelakkan ia dilarikan," katanya.

Ehsan berkata, kumpulan kera itu berkeliaran di kawasan kampung berkenaan tanpa mengira masa, tetapi lebih ketara ketika tengah hari dan petang dipercayai untuk mencari makanan.

"Kera berkenaan seperti mengetahui aktiviti harian manusia kerana menjelang tengah hari, lebih banyak kera berkeliaran berikutan pada waktu itu kebanyakan penduduk menyediakan makanan.

"Saya bimbang dengan tahap keselamatan penduduk di sini, terutama kanak-kanak kerana kera berkenaan boleh bertindak ganas pada bila-bila masa dan boleh mendatangkan kecederaan," katanya.

Sehubungan itu, dia merayu pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) supaya mengambil tindakan sewajarnya sebelum berlakunya kejadian tidak diingini.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Selangor, Rahim Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima aduan daripada penduduk mengenai masalah kera yang mengganggu penduduk di kampung berkenaan.

Menurutnya, pihak Perhilitan sudah memasang perangkap dan menangkap 65 kera yang sering berkeliaran di perumahan penduduk.

"Sukar untuk menghapuskan kera yang berkeliaran kerana kawasan berkenaan berhampiran dengan hutan paya bakau yang menjadi habibat asal haiwan berkenaan.

"Namun, kami akan menjalankan pemantauan berterusan untuk memastikan keadaan terkawal dan beruk yang berkeliaran tidak mengganggu penduduk," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai masalah mengenai kehadiran kera di kawasan perumahan mereka boleh menghubungi Pejabat Perhilitan Pelabuhan Klang di talian 03-55193915 untuk menyalurkan maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28

Najis lembu 'hiasi' taman

Posted: 27 Dec 2012 12:48 PM PST

JASIN: Lebih 200 penduduk Taman Rim Baru Fasa Dua, di sini, mengeluh berikutan berdepan masalah lambakan najis lembu di hadapan rumah mereka sejak setahun lalu.

Penduduk, Mohd Rizal Samsudin, 28, berkata, masalah najis lembu itu berlarutan sejak tiga tahun lalu dan keadaan bertambah teruk setahun lalu.

"Hampir setiap pagi, penduduk berdepan kawanan lembu berkeliaran di hadapan rumah sehingga menyukarkan kami keluar bekerja.

"Selain itu, penduduk terpaksa membersihkan najis lembu yang bertaburan di hadapan rumah dan sepanjang taman perumahan ini," katanya ketika ditemui di taman berkenaan.


Menurutnya, kebiasaannya lembu berkenaan datang secara berkelompok iaitu lebih 10 ekor pada waktu tengah malam hingga pagi.


Katanya, ternakan berkenaan datang dari kawasan bukit terletak berhampiran dengan taman perumahan mereka sejak tengah malam.

"Pada waktu siang, lembu itu tidak kelihatan di kawasan perumahan kami namun najisnya bertaburan atas jalan di hadapan rumah," katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Ariff Ramli, 26, berkata, dia terpaksa menutup pintu rumahnya setiap hari bagi mengurangkan masalah bau najis lembu yang bertaburan di hadapan rumahnya.

"Kedudukan rumah saya betul-betul di hadapan padang permainan lokasi kegemaran lembu berkenaan.

"Saya bingung dan rimas dengan keadaan ini kerana terpaksa menahan bau busuk selain segan untuk mempelawa saudara-mara serta rakan datang berkunjung ke rumah," katanya.

Penduduk lain, N Ganesan, 36, berkata, dia dan penduduk kampung sudah beberapa kali mengadukan perkara itu kepada Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) namun sehingga kini tiada tindakan.

"Saya dan penduduk sudah berulang kali membuat aduan melalui telefon dan bertemu mereka di pejabat namun sehingga kini tiada perubahan.

"MPJ memberitahu beberapa anggotanya sudah membuat rondaan di kawasan berkenaan namun sehingga kini masalah ini tidak berakhir," katanya.

Dia berharap, pihak berkenaan mengambil tindakan segera bagi menangani masalah lembu berkeliaran dan najis lembu di kawasan itu.

Sementara itu, Yang Dipertua MPJ, Murad Husin berkata, pihaknya membuat rondaan di kawasan berkenaan apabila menerima laporan penduduk.

"Bagaimanapun, ketika rondaan dilakukan, kami tidak menemui haiwan itu dan anggota MPJ akan melakukan pemantauan berterusan di kawasan berkenaan.

"Pihak MPJ akan menangkap haiwan ternakan itu dan mengenakan kompaun RM500 seekor terhadap pemilik lembu terbabit," katanya di sini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28

Tarik 30,000 pengunjung

Posted: 27 Dec 2012 12:47 PM PST

KULIM: Pesta Flora Kulim 2012 yang berlangsung di pekarangan Medan Usahawan, di sini, baru-baru ini, mendapat sambutan menggalakkan apabila dikunjungi 30,000 orang untuk menyaksikan pelbagai spesis bunga termasuk pokok hiasan lain dan pokok buah-buahan.

Pameran buat kali kelima anjuran Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) dan Persatuan Orkid Negeri Kedah, berlangsung seminggu mulai 17 Disember lalu. Ketua Bahagian Khidmat Masyarakat MPKK merangkap Penyelaras pameran, Zaidi Zainun berkata, sambutan diberi amat baik apabila jumlah peserta dan pengunjung bertambah berbanding tahun lalu.


"Program ini adalah idea MPKK di bawah Program Local Agenda 21 bertujuan mempromosikan flora serta menjadikan Kulim sebagai tempat tumpuan pelancong di samping menambahkan lagi ciri baru daerah yang mengutamakan bandar dalam taman.

"Ia membabitkan 24 pengusaha tapak semaian bunga di sekitar Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor yang mempamerkan lebih 100 jenis spesis bunga dan pokok hiasan serta buah-buahan termasuk spesis bunga orkid yang mempunyai bentuk dan warna yang amat menarik," katanya.


Menurutnya, selain pameran dan jualan bunga, ada juga peserta yang menjual barangan perhiasan untuk landskap dan kelengkapan penjagaan tanaman seperti baja pada harga berpatutan.


Katanya, pada masa sama, peserta turut menyertai pertandingan bunga orkid bagi memilih bunga orkid tercantik berdasarkan beberapa kriteria.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28

Huni rumah reput

Posted: 27 Dec 2012 12:46 PM PST

REMBAU: Nasib seorang warga emas di Kampung Chengkau Hulu, dekat sini, ibarat menunggu buah yang tidak gugur apabila permohonannya sejak tiga tahun lalu bagi membaiki rumah rosak teruk dimakan anak-anai, belum mendapat perhatian pihak berkaitan.

Aini Nikmat, 80, yang tinggal bersama anak lelakinya, Afendi Parjo, 44, juga orang kelainan upaya (OKU), kini terpaksa mempertaruhkan nyawa mereka mendiami rumah yang semakin uzur dan boleh roboh pada bila-bila masa.


"Semakin hari rumah semakin reput dimakan anai-anai dan banyak atap yang bocor sehingga saya terpaksa menadah besen dan baldi setiap kali hujan.

"Keadaan bertambah teruk terutama sekarang musim hujan, habis rumah basah dan tidur malam saya tidak lena kerana bilik dimasuki air namun terpaksa juga tidur dalam kebasahan kerana tiada pilihan disebabkan rumah di tingkat atas langsung tidak dapat digunakan lagi kerana reput," katanya ketika ditemui di rumahnya.


Aini berkata, setiap kali hujan dia menangis memikirkan nasib dan keadaan rumahnya itu serta sentiasa berdoa supaya ada pihak prihatin dan sudi membantunya.


"Nak harapkan anak, mereka semua hanya kerja kampung dan mempunyai tanggungan masing-masing, jadi saya terpaksa mengambil upah mengurut menambah pendapatan.

"Walaupun anak lelaki tinggal bersama, dia tidak dapat bekerja kerana cacat pendengaran dan bisu serta terpaksa bergantung hidup dengan saya.


"Saya menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 setiap bulan, namun jumlah itu tidak cukup untuk membaiki rumah yang rosak ini," katanya.

Cucunya, Yazaini Noryazid, 32, berkata, sebelum ini dia pernah membuat permohonan melalui ketua kampung bagi pihak neneknya dan mendapat kelulusan bantuan membaiki rumah, tetapi hairan sehingga hari ini tiada tindakan dilakukan.


"Saya kasihan melihat keadaan nenek yang tua dan tinggal di rumah yang uzur seperti ini tambahan pula jauh dari penduduk kampung.


"Dinding dan lantai rumah semua reput dimakan anai-anai, saya bimbang rumah ini boleh roboh pada bila-bila masa dan boleh membahayakan keselamatan.


"Saya berharap ada pihak dapat membantu dan mengambil tindakan segera untuk membaiki rumah nenek," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28

Usah lepas!

Posted: 27 Dec 2012 12:45 PM PST

SHAH ALAM: Sikap lepas tangan penternak lembu yang membiarkan haiwan ternakan mereka sesuka hati meragut rumput boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya di Persiaran Panglima Hitam, Alam Impian, di sini.

Disebabkan itu, pengguna jalan raya perlu lebih berhati-hati berikutan kehadiran lembu di bahu jalan yang boleh menyebabkan kemalangan. Tinjauan di kawasan berkenaan mendapati sekumpulan lembu berkeliaran di bahu jalan manakala sekumpulan lagi meragut daun pokok ditanam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).


Pengguna jalan raya, Siti Rohaiza Abdul Khalid, 25, berkata, sikap tidak bertanggungjawab penternak lembu membiarkan ternakan mereka berkeliaran di kawasan itu mengundang risiko kemalangan.

Katanya, penternak terbabit tidak sepatutnya membiarkan ternakan mereka berkeliaran tanpa kawalan kerana ia mengganggu ketenteraman awam dan mengancam nyawa pengguna jalan raya lain. "Aliran trafik di sini sentiasa sibuk walaupun pada waktu malam kerana ini jalan utama menghubungkan taman perumahan dengan jalan utama ke Shah Alam atau Klang.


"Sepatutnya haiwan ternakan itu ditempatkan di kawasan padang ragut yang berpagar supaya tidak terlepas dan berkeliaran hingga ke jalan raya," katanya.


Penduduk, Mohd Danial Daud, 36, berkata, lembu yang dibiarkan berkeliaran turut menyebabkan jalan raya di situ turut dipenuhi dengan najis haiwan itu. Beliau berkata, tidak sepatutnya kawasan perumahan yang baru dibuka selain landskap persekitaran indah dihiasi dengan pencemaran najis haiwan yang mencemarkan pemandangan dan mengganggu keselesaan penduduk.

"Sayang rasanya jika kawasan baru dan mempunyai pemandangan cantik tercemar dengan masalah ini. Ditambah pula dengan status Shah Alam sebagai Bandar Dalam Taman, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku.


"Perkara ini bukan terletak kepada pihak berkuasa semata-mata, tetapi penternak sendiri perlu lebih bertanggungjawab dan tidak hanya lepas tangan. "Mereka harus mengawal pergerakan haiwan ternakan mereka selain menyediakan kandang di tempat yang sesuai," katanya.

Beliau berkata, tidak mustahil satu masa nanti, lembu berkenaan akan memasuki Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) akan kerana kedudukannya hampir dengan kawasan haiwan itu dibiarkan berkeliaran.


Katanya, awal tahun ini tiga pengguna jalan raya mengalami kemalangan apabila kenderaan yang mereka naiki terlanggar dua ekor lembu yang secara tiba-tiba melintas jalan terbabit.


"Kehadiran lembu yang berkeliaran ini cukup membimbangkan kerana pemandu kenderaan terpaksa membrek secara mengejut ketika mengelak ia melintas jalan, sekali gus meningkatkan risiko berlaku kemalangan," katanya.


Sementara itu, Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad berkata, MBSA sudah mengeluarkan notis kepada penternak haiwan berkenaan berhubung masalah itu.


Menurutnya, tindakan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) boleh diambil dan penternak yang gagal mengikut undang-undang yang ditetapkan akan dikenakan kompaun selain tindakan lanjut yang diambil MBSA bagi mengatasi masalah ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28

No comments:

Post a Comment