Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Sambut raya, buat doa selamat

Posted: 07 Oct 2014 12:45 PM PDT

Kota Kinabalu: "Meskipun Aidiladha sudah berlalu, saya bercadang menyambut hari raya bersama suami dan akan mengadakan majlis doa selamat bersama keluarga," kata Leftenan Komander Fazilah Makun, isteri kepada Leftenan Azri Bakar yang ditemui selamat bersama enam kru CB204, kelmarin.

Fazilah berkata, cadangan itu bagi membolehkan dia merasai sambutan Aidiladha bersama suami selepas tidak sempat merayakan bersama Ahad lalu, berikutan kejadian kehilangan CB204.


Katanya, selain menyambut Aidiladha bersama, dia juga akan mengadakan majlis doa selamat bersama ibu bapanya dan keluarga mentua di rumahnya di Sepanggar.

"Selain doa selamat, saya juga akan menyediakan sambal goreng makanan kegemaran Azri untuk dimakan bersama keluarga," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Menurutnya, sebaik suaminya tiba esok (hari ini) dia akan meluahkan rasa syukur kerana suaminya selamat.


Fazilah berkata, sehingga jam 4 petang semalam, dia masih belum dapat berhubung dengan suaminya namun diberitahu dalam perjalanan pulang.

Foto

BINTARA Kanan, Charles Cristopher Muni dibawa ke hospital selepas diselamatkan.

Foto

HELIKOPTER Super Lynx bersedia berlepas dari Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar.

"Saya hanya dapat mengetahui perkembangan suami dan kru lain melalui rakan setugas dan tentera laut, namun masih belum dapat bercakap dengannya," katanya.


Bot tempur CB204 daripada model CB90 milik TLDM itu dilaporkan terputus hubungan komunikasi dengan kapal pengiring KD Paus ketika dalam pelayaran dari Pangkalan TLDM di Teluk Sepanggar dekat sini, ke Terumbu Layang-Layang, jam 11.15, Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

Tiga remaja ditahan bantu siasatan kes bunuh, samun guru

Posted: 07 Oct 2014 12:31 PM PDT

Kota Kinabalu: Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun di Kundasang Ranau, malam kelmarin, bagi membantu siasatan kes samun dan bunuh seorang guru, Masina Samadi, 50, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Salehhudin Abdul Rahman berkata, semua suspek berusia antara 17 dan 28 tahun itu ditahan antara jam 10.30 hingga 11.30 malam di kampung yang sama dengan mangsa.


"Hasil maklumat, anggota polis dari bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau dibantu anggota dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menahan semua suspek.

"Pemeriksaan terhadap suspek menemui beberapa barang milik mangsa yang dilaporkan hilang, termasuk buku akaun bank mangsa," katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan ke institut kewangan di sekitar bandar raya, di sini, semalam. Menurutnya, siasatan mendapati ketiga-tiga suspek warga tempatan dan tinggal di kampung yang sama dengan mangsa.


"Siasatan lanjut masih dijalankan, termasuk ujian sampel dan bahan bukti senjata yang digunakan dalam kejadian itu.


"Hasil ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis syabu," katanya. Menurut Salehhudin, semua suspek kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.35 pagi, Jumaat lalu, Masinah, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kundasang ditemui mati dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di ruang tamu rumah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

PDRM kenal pasti 'bakal' militan

Posted: 07 Oct 2014 12:30 PM PDT

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenal pasti individu yang merancang mahu ke luar negara bagi menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) dan bersedia melakukan tangkapan pada bila-bila masa apabila mempunyai cukup bukti.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata melalui risikan dan pemantauan PDRM, individu terbabit didapati ingin menyertai IS di Syria dan Iraq namun jumlah mereka yang terbabit dengan kumpulan itu belum boleh didedahkan.


"Saya beri ingatan dan amaran kepada mereka yang merancang ke Syria dan Iraq, kami (PDRM) sudah mempunyai butir-butir dan maklumat mengenai mereka dan tindakan akan diambil sekiranya mereka tetap mahu menjadi anggota kumpulan IS," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, semalam.

Beliau berkata segala maklumat mengenai warga Malaysia yang terbabit dengan kumpulan IS turut diserahkan kepada Polis Antarabangsa (INTERPOLl) dan Pasukan Polis ASEAN (Aseanapol) untuk pemantauan dan tindakan lanjut.


Khalid berkata mereka yang bertanggungjawab dalam merekrut individu dari kalangan rakyat Malaysia menjadi anggota kumpulan IS turut dalam pemerhatian PDRM dan pihaknya akan mengambil tindakan sekiranya mempunyai bukti yang mencukupi.


Ditanya mengenai susulan pendedahan akhbar Harian Metro mengenai terdapat segelintir penceramah asing yang didakwa menjalankan kegiatan merekrut anggota militan, Khalid berkata sekiranya mempunyai maklumat ia perlu dilaporkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

"Kalau ada bukti (kegiatan penceramah asing rekrut anggota militan) beri kepada kami (PDRM) dan kami akan menjalankan siasatan," katanya.


Mengulas mengenai siasatan kebocoran kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Khalid berkata ia sudah memasuki peringkat akhir dan akan diserahkan kepada pejabat peguam negara untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Khalid turut menyaksikan majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

PM lahir rasa syukur

Posted: 07 Oct 2014 12:27 PM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa syukur apabila bot tempur CB204 yang hilang di perairan Pulau Mengalum, Sabah pada Ahad lalu ditemui selamat termasuk tujuh kru kapalnya.

"Alhamdulillah. Berkat doa semua," katanya menerusi akaun Twitternya, semalam.


Perdana Menteri mengulas Twitter Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar yang memaklumkan penemuan berkenaan.

Abdul Aziz menggunakan akaun @ChiefofNavy petang kelmarin mengemas kini status "Bot & semua crew selamat. Komander Bot memaklumkan melalui radio VHF Ch 16." Akaun @ChiefofNavy turut menyatakan komander bot itu Leftenan Azri Bakar membuat panggilan melalui radio memaklumkan semua anak kapal CB204 selamat, namun berada dalam keadaan lapar.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

Ombak tinggi ganggu operasi tunda CB204

Posted: 07 Oct 2014 12:26 PM PDT

Kota Kinabalu: Keadaan ombak yang mencapai ketinggian 2.5 meter selain cuaca tidak menentu menyebabkan Bot Tempur CB204 dijangka tiba di Pangkalan Wilayah Laut 2 selewat-lewatnya jam 7 malam ini.

Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Muda Datuk Mohammad Rosland Omar berkata, keadaan itu bergantung kepada cuaca dan laut.


"Jika cuaca mengizinkan kemungkinan CB204 boleh tiba di sini, seawal jam 11 pagi esok (hari ini).

"Ketika ini keadaan laut pada tahap empat dengan ketinggian ombak 2.5 meter membolehkan CB204 ditunda pada kelajuan empat hingga enam knot," katanya dalam sidang media di TLDM Teluk Sepanggar, semalam.


Tambah Mohammad Rosland, operasi SAR bagi membawa CB204 bermula jam 10 malam kelmarin, dilakukan KD Paus.


"Namun, tangki minyak KD Paus dimasuki air menyebabkan KD Ganas mengambil alih tugas menunda CB204 jam 1 tengah hari tadi (semalam) bagi membolehkan KD Paus bergerak ke Stesen LIMA Pulau Layang-Layang untuk dibaiki.

"KD Lekiu mengiringi KD Ganas dan CB204 ke Pangkalan Wilayah Laut 2," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

No comments:

Post a Comment