Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Kelantan optimis

Posted: 09 Oct 2014 12:19 PM PDT

Kota Bharu: Berbekalkan kelebihan jaringan ketika menewaskan Kedah dalam perlawanan lalu, Kelantan optimis mampu menumpaskan skuad Helang Merah sekali lagi dalam saingan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Star, malam ini.

Keyakinan itu bersandarkan misi pasukan untuk memburu slot ke separuh akhir selepas mara sebagai finalis musim lalu.

Pengendali The Red Warriors (TRW) George Boateng berkata, semangat semua pemainnya kini berada pada tahap tinggi untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan kalah mati malam ini.

"Moral pasukan sangat tinggi, kami berkeyakinan semua pemain akan menunjukkan kesungguhan sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan," katanya.

Foto

PEMAIN mendengar arahan Boateng.


Dalam aksi pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat minggu lalu, Kelantan menewaskan Kedah 3-1 hasil dua gol Francis Forkey Doe dan Ahmad Fakri Saarani.


Bagaimanapun, bekas pemain antarabangsa Belanda itu tidak memandang rendah keupayaan skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang menjaringkan satu gol di Kota Bharu.

"Jaringan satu gol Kedah itu sebenarnya boleh mendatangkan bahaya bagi kami jika mereka dapat menyamakan kedudukan dari segi agregat. Jika itu berlaku, Kedah akan mara berdasarkan kelebihan peraturan gol tempat lawan,

"Justeru, saya menjangkakan saingan nanti bakal sengit kerana Kedah mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri jadi kami kena lebih berhati-hati dan bekerja keras," katanya.

Boateng berkata, Kedah semestinya akan memberikan tumpuan dan kawalan ketat terhadap Forky Doe, namun ia bukan kebimbangan utamanya.

Bagi jurulatih berusia 39 tahun itu, masih ada beberapa pemain lagi yang mampu menjaringkan gol, antaranya Ahmad Fakri, Khairul Izuan Rosli, Mohamed Shawky, Brendan Gan dan Mohd Badhri Radzi.

"Mereka pasti akan membuat kawalan ketat terhadap Forky Doe tapi secara tidak langsung membuka ruang untuk pemain lain menjaringkan gol," katanya.

Dalam pada itu, beliau gembira Wan Zaharulnizam Wan Zakaria kembali cergas selepas tidak diturunkan pada perlawanan pertama.

Kembalinya pemain itu yang dikenali sebagai Kecik itu akan memberi lebih pilihan kepada beliau untuk merancang strategi memerangkap Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/10

Cheng Hoe enggan mengalah

Posted: 09 Oct 2014 12:16 PM PDT

Alor Setar: Jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe enggan mengangkat bendera putih sebaliknya berikrar akan berjuang habis-habisan ketika melayan kunjungan Kelantan bagi aksi suku akhir kedua Piala Malaysia malam ini.

Turun di gelanggang sendiri di Stadium Darulaman, bekas penolong jurulatih kebangsaan itu menuntut anak buahnya supaya fokus sepanjang 90 minit bagi memastikan impian ke separuh akhir tercapai.

Biarpun menyedari kelebihan berpihak kepada Kelantan dengan keputusan 3-1 di Kota Bahru Jumaat lalu, Cheng Hoe tetap mengambil pendirian positif kerana baginya dalam bola sepak apa saja boleh berlaku.

"Misi kami hanya satu memburu kemenangan dan mengharapkan lawan tidak menjaringkan gol. Tidak ada dua hala dalam hal ini. Perlawanan ini ibarat final buat kami.

Foto

CHENG Hoe mahu anak buahnya buru gol pembukaan.


"Kami perlu menjaringkan gol awal untuk membangkitkan semangat pemain.


"Jika itu dapat dicapai, saya rasa peluang kami untuk mencatat sesuatu cerah," katanya sambil menekankan supaya anak buahnya mengelak daripada melakukan kesilapan yang boleh menjejaskan peluang mereka.

"Justeru, saya harap sokongan 30,000 peminat di Stadium Darulaman akan membantu dalam menyemarakkan perjuangan kami."

Katanya, beliau lega kerana ketua pasukan Khyril Helmi Johari mampu beraksi malam ini selepas mengalami kecederaan ketika beraksi di Kota Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/10

'Tak mustahil!'

Posted: 09 Oct 2014 12:15 PM PDT

Shah Alam: Harapan menggunung penyokong The Red Giants untuk melihat pasukan kesayangan mereka melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia akan dijadikan tonik tambahan dalam pemburuan Selangor untuk mencipta keajaiban apabila bertemu FELDA United di Stadium Mini Temerloh, malam ini.

Pengendali skuad Merah Kuning Mehmet Durakovic percaya motivasi anak buahnya kini cukup tinggi menjelang aksi timbal balik itu biarpun kelmarin barisan pemainnya diganggu segelintir penyokong Ultras ketika latihan sedang berlangsung.

Malah, Mehmet menyifatkan insiden kurang sopan itu sebagai tanda sokongan kuat daripada penyokong tegar gergasi merah yang mahukan anak didiknya melakar kemenangan di halaman lawan nanti.

"Pemain berlatih bersungguh-sungguh hari ini (semalam) dan komitmen mereka cukup baik selepas kejadian semalam (kelmarin).

Foto

PEMAIN Selangor menjalani latihan di Padang SUK Shah Alam.


"Bagi saya kejadian semalam (kelmarin) meningkatkan motivasi pemain yang menyedari betapa penyokong begitu menyayangi pasukan ini dan berharap agar pemain dapat melakukan sesuatu di Temerloh nanti.


"Tiada sebarang tekanan, malah kami lagi bersemangat untuk buktikan sesuatu kepada penyokong kami. Apa yang sudah berlaku sebelum ini harus dilupakan, kami mesti memandang ke depan dan peristiwa semalam menaikkan semangat pemain untuk menghadiahkan kemenangan kepada seluruh penyokong Selangor," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Jelas jurulatih yang pernah menjulang piala keagungan itu bersama Selangor sebanyak tiga kali pada musim 1995, 1996 dan 1997 itu tetap yakin peluang barisan kendaliannya tetap ada walaupun kelihatan agak sukar.

"Main untuk Selangor satu penghormatan terbesar buat setiap pemain. Saya sendiri pernah merasai nikmat memenangi Piala Malaysia, sudah tentu saya juga mahu pemain merasai nikmat itu.

"Bukan mudah bertemu pasukan FELDA. Mereka sebuah pasukan yang serba lengkap dan pemain cukup baik serta jurulatih yang bagus.

"Namun, saya yakin peluang untuk menang tetap ada jika kami dapat beri 100 peratus dalam permainan. Tidak mustahil kami boleh meraih kemenangan dan sekali gus layak ke peringkat seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/10

Farizal janji kebal jaga gawang

Posted: 09 Oct 2014 12:14 PM PDT

Kuala Lumpur: Penjaga gol utama FELDA United Mohd Farizal Harun berjanji mahu memastikan pintu golnya tidak dibolosi ketika bertemu Selangor yang pasti memburu jaringan awal buat menghidupkan peluang pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Mini Temerloh, malam ini.

Farizal tidak melepaskan sebarang gol ketika aksi pertama di Shah Alam tempoh hari yang menyaksikan pasukannya meraih kemenangan besar 4-0 buat memberi bekalan selesa sebelum turun mengharungi aksi timbal balik.

"Saya tahu pertemuan menentang Selangor sememangnya menjanjikan aksi sengit bagi kedua-dua pasukan dan saya sudah bersedia 100 peratus untuk memastikan pintu gol FELDA tidak dibolosi esok (malam ini).

"Namun, semua itu tidak dapat dilakukan sekiranya tanpa bantuan daripada rakan sepasukan yang lain.

Jadi saya berharap rakan sepasukan terutamanya di benteng pertahanan bekerja keras mengekang asakan pemain Selangor terutama tonggak import mereka Paulo Rangel," katanya kepada Arena Metro.

Bekas penjaga gol Negeri Sembilan dan Angkatan Tentera Malaysia berusia 28 tahun itu berkata, pasukan yang terkenal dengan jolokan Red Giants itu sudah pasti mahu bangkit daripada terus mempamerkan aksi hambar sebelum ini.

"Kita tahu Selangor kalah minggu lalu kepada kami.

Sudah pasti mereka tidak mahu kecundang lagi dan kita kena berhati-hati serta tidak terperangkap dengan percaturan taktikal pasukan mereka.

"Lagipun, saya ingin mencipta sejarah peribadi sendiri dengan menjulang Piala Malaysia bersama FELDA pula jika diizin tuhan.


Kali terakhir saya mendakap piala itu ketika bersama Negeri Sembilan, dan mahu mengecapi saat manis menjulang Piala Malaysia dengan FELDA," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/10

Bujang Senang nafi spekulasi

Posted: 09 Oct 2014 12:13 PM PDT

Kuching: Walaupun laporan akhbar tempatan menyebut sebilangan pemain Liga Super Sarawak akan beralih angin ke Semenanjung musim depan, namun Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) berkata kesebelasan utama pemain pasukan itu tidak terjejas.

Setiausaha Agung FAS, Abdullah Julahi, bagaimanapun berkata, perpindahan serta pengambilan pemain baharu sudah menjadi lumrah mana-mana pasukan di dunia.

Beliau berkata, penyokong pasukan Sarawak tidak perlu panik berhubung perpindahan pemain kerana persatuan itu mempunyai strategi sendiri untuk membentuk pasukan mantap bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia.

"Kecuali S Chanturu, semua pemain dalam kesebelasan utama masih berada bersama kita...yang paling penting strategi untuk melakarkan pencapaian yang lebih baik musim depan," katanya di sini semalam.

Foto

JUNIOR Eldstal (kanan) dikaitkan dengan perpindahan ke Selangor.


"Kita berusaha ke arah itu dan kami memahami kebimbangan dan sentimen peminat," katanya.


Abdullah berkata, dalam sukan bola sepak memang ada penawaran dan permintaan sehubungan itu FAS tidak akan menghalang mana-mana pemain berhasrat beralih angin.

Beliau berkata, ura-ura pemain Junior Eldstal akan menyertai pasukan Selangor musim depan tidak benar kerana masih belum ada pengesahan berhubung perpindahannya.

Menurutnya, kesemua tiga pemain importnya iaitu Muamer Salisbasic, Gabor Gypes dan Ryan Griffiths masih bersama pasukan.

Beliau berkata, Mesyuarat EXCO hari ini yang dipengerusikan Presiden Datuk Sudarsono Osman akan membincangkan isu pemain.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/10

Duduk semeja

Posted: 09 Oct 2014 12:11 PM PDT

Kelana Jaya: Tidak mahu dilabel berat sebelah dan badan sukan tidak bermaruah, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan untuk memanggil kedua-dua wakil pasukan Terengganu dan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) hari ini untuk membincangkan mengenai kemelut perubahan tarikh perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2014.

Menurut Presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, kedua-dua wakil Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) akan bermesyuarat cara baik di Wisma FAM bagi mencari jalan terbaik dan tidak mahu mana-mana pihak saling tuduh-menuduh siapa salah.

"Dalam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, kami bersetuju kedua-dua belah pihak harus diberi peluang untuk berbincang dengan baik," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat itu semalam.

Jelasnya, perbincangan yang akan berlangsung pada jam 10 pagi ini bukan untuk mengeruhkan lagi keadaan tetapi mahu menyelesaikan masalah berhubung tarikh perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Jumaat lalu.

Foto

TENGKU Abdullah (kanan) selepas merasmikan Akademi Bolasepak Negara di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM), semalam.


"Saya minta maaf bagi pihak FAM, kami akan cari penyelesaian terbaik, kerana tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan.


"Tujuan utama pertukaran tarikh sebelum ini untuk memberi tempoh latihan panjang buat pasukan kebangsaan dan skuad bawah 23 tahun negara, bukan hendak tukar sewenang-wenangnya," kata Tengku Abdullah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, mereka sudah menerima surat daripada PBSNT semalam.

"Bagaimanapun, kita membuat keputusan untuk memanggil kedua-dua belah pihak esok (hari ini) bagi mencari satu ketetapan dan memberi peluang mereka berbincang," katanya.

PBSNT kelmarin mengeluarkan kenyataan perubahan tarikh saingan suku akhir kedua Piala Malaysia seperti perlawanan bola sepak antara kampung dan keputusan itu tidak masuk akal, pelik serta tidak bermaruah.

Bagi pihak PBNJ pula Presiden, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menempelak PBSNT kerana mempertikaikan penundaan tarikh suku akhir kedua Piala Malaysia membabitkan pasukannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/10

Usah politikkan bola sepak: Tunku Ismail

Posted: 09 Oct 2014 12:08 PM PDT

Johor Bahru: Tunku Ismail Sultan Ibrahim meminta mana-mana ahli politik yang membabitkan diri dalam bola sepak supaya tidak mempolitikkan sukan itu.

Tunku Ismail menerusi kenyataan dalam laman rasmi JOHOR Southern Tigers berkata, bola sepak adalah untuk menyatu-padukan rakyat dan bukan memecah-belahkan mana-mana pihak.

"Sebagai wakil rakyat, anda tidak sepatutnya menambah kemarahan rakyat untuk berbalah.

"Saya agak pelik apabila ada segelintir pihak membantah keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang jelas mengikut peraturan dan undang-undang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Persoalan saya kepada individu yang membantah keputusan FAM, adakah mereka ini mahu melihat bola sepak tanah air maju atau melihat FAM melanggar peraturan ditetapkan badan bola sepak dunia itu kerana menggunakan bola sepak untuk kepentingan politik masing-masing," kata Tunku Ismail dalam kenyataan itu.

Kelmarin Tunku Ismail menjelaskan permohonan kepada FAM untuk menunda perlawanan membabitkan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) dan Terengganu yang ditunda kepada 17 Oktober ini berdasarkan ketetapan di bawah klausa FIFA.

Ketetapan badan induk bola sepak dunia itu turut menetapkan jika ada pemain dari kelab terbabit dalam apa juga perlawanan antarabangsa maka pertandingan liga tempatan harus dihentikan buat sementara.

Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) mengulas undang-undang yang ditetapkan FIFA juga ada menyatakan jika ada pertembungan jadual perlawanan, maka PBNJ ada hak untuk membuat rayuan tanpa melanggar apa juga undang-undang badan bola sepak dunia.

Tunku Ismail dalam kenyataan itu mencadangkan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid agar bersemuka dengannya bagi menyelesaikan apa jua kemelut mengenai perlawanan yang ditunda itu.

"Saya ingin tanyakan kepada Datuk Wan Ahmad Nizam dan individu berkenaan, adakah ini isu bola sepak atau peribadi.

"Jika ia isu peribadi, tidak perlu kita babitkan penyokong atau FAM.

Saya cadangkan kita selesaikan isu itu secara bertamadun dan bersemuka dengan saya," kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/10

MB sokong PBSNT boikot aksi 17 Oktober

Posted: 09 Oct 2014 12:08 PM PDT

Kuala Terengganu: Kerajaan negeri menyerahkan kepada kebijaksanaan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) membuat apa saja keputusan termasuk memboikot perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (Johor DT) sekiranya diadakan pada 17 Oktober ini.

Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata, beliau sudah memberi mandat penuh kepada PBSNT serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Rozi Mamat untuk membuat keputusan mengenai isu berkenaan.

Dalam nada berkias, Ahmad Razif berkata, sekiranya semua perkara mahu dirujuk kepadanya, lebih baik beliau memegang semua jawatan termasuk menerajui badan induk bola sepak negeri.

"Bagaimanapun, sekiranya PBSNT akur dengan tarikh baru yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) iaitu pada 17 Oktober ini, kerajaan negeri akan menyediakan 2,000 keping tiket percuma dan 50 bas untuk penyokong pasukan Terengganu sebagai komitmen kerajaan negeri," katanya semalam.

Sambil meluahkan rasa kecewa dengan keputusan FAM menunda perlawanan di saat akhir, beliau berkata, ia tidak sepatutnya berlaku hanya kerana disebabkan seorang pemain Johor DT tidak dapat beraksi dalam perlawanan yang sepatutnya berlangsung di Johor Bahru malam esok.

"Janganlah kerana seorang pemain Johor DT tidak dapat beraksi, maka tarikh asal perlawanan dipinda kerana mengikut permintaan mereka.

"FAM kena mengambil kira pelbagai aspek sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/10

Hamidin tunggu laporan ceroboh

Posted: 09 Oct 2014 12:06 PM PDT

Shah Alam: Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin melahirkan rasa kekesalan berhubung insiden kekecohan penyokong Ultras Selangor yang mengganggu sesi latihan pasukan itu di Padang SUK, Kelmarin.

Menurut Hamidin, pihaknya tidak dapat mengulas lebih lanjut mengenai tindakan luar jangkaan penyokong gergasi merah itu sehingga meneliti laporan penuh insiden itu yang akan diperoleh daripada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

"Saya perlu menilai laporan mengenai perkara itu terlebih dulu.

Ini kerana kita tidak tahu apa tujuan sebenar penyokong itu datang ke kawasan latihan pasukan.

"Kita perlu tahu sama ada pertemuan itu diaturkan pihak tertentu atau tidak.

Tapi aspek yang tidak baik dalam bola sepak sepatutnya dihindarkan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan FAM dan Pelancaran Akademi Bola Sepak Negara, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)-UiTM di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, semalam.

Difahamkan, tindakan Ultras Selangor itu berpunca daripada rasa kecewa sejurus kekalahan 0-4 kepada FELDA United pada aksi separuh akhir di Shah Alam, minggu lalu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain UiTM dan FAM menjalinkan kerjasama pintar dengan menubuhkan Akademi Bola Sepak Negara (ABN) yang bertujuan untuk membantu badan induk bola sepak negara itu melahirkan lebih ramai pemain berkualiti.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Profesor Datuk Dr Abdullah Mohamad Said berkata, menerusi MoU itu dapat membuka ruang dan peluang untuk atlet bola sepak memajukan diri dalam pelbagai aspek ilmu bola sepak.

Majlis itu dilancarkan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.


Hadir sama, Pemangku Naib Canselor UiTM, Prof Ir Dr Abdul Rahman Omar, Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar UiTM Datuk Dr Abdullah Mohamad Said dan Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/10

Skuad bawah 16 tahun kekal hingga 2016

Posted: 09 Oct 2014 12:06 PM PDT

Kelana Jaya: Selepas cemerlang dan hampir melayakkan diri ke Piala Dunia Bawah 17 Tahun 2015 Chile, skuad bawah 16 tahun negara akan dikekalkan sehingga 2016 untuk memberi peluang kepada mereka beraksi di Kelayakan Piala AFC Bawah 19.

Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, pasukan itu juga akan dipantau dengan rapi dari masa ke semasa.

"Kami juga mencadangkan agar jurulatih skuad ini, S Balachandran diberi peluang untuk menimba ilmu di be berapa kelab di luar negara," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan FAM semalam.

Pasukan Bawah 16 negara gagal menempah slot separuh Kejohanan Piala AFC Bawah 16 Tahun apabila tumpas 1-2 kepada Australia di suku akhir di Stadium Muangthong, Bangkok, bulan lalu.

Foto

TENGKU Abdullah bersalaman dengan pemain bawah 16 negara.


Kekalahan itu bermakna mereka terlepas peluang mara ke Piala Dunia Bawah 17 Tahun di Chile tahun depan secara automatik.


Dalam pada itu mesyuarat berkenaan bersetuju mewujudkan liga baru dalam kancah bola sepak negara khusus kepada pemain amatur.

"Ia akan dikenali sebagai Liga Bola Sepak Rakyat, mem babitkan semua daerah di dalam negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Sekarang kita tengah berusaha untuk mendapat tajaan dan ia akan bermula tahun depan atau selewat-lewatnya pada 2016," katanya.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif juga mencadangkan agar mewujudkan lebih banyak kejohanan futsal di peringkat daerah untuk melahirkan 1,536 pemain.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/10

No comments:

Post a Comment