Harian Metro: MetroPlus

Harian Metro: MetroPlus


Ukir 102 buah dalam 24 jam

Posted: 07 Jul 2011 06:38 AM PDT

BANDAR BAHARU: Seorang pengusaha katering berjaya mencatatkan namanya dalam Malaysia Book Of Records (MBR), apabila mengukir 102 biji buah-buahan dalam tempoh 24 jam tanpa henti di Dataran Bandar Baharu, di sini, baru-baru ini.

Sharil Azkhan Ahmad, 27, dari Kampung Bagan Samak, di sini, mendapat sokongan ahli keluarga dan rakan, menempa nama dalam MBR sempena penganjuran Karnival Juara Rakyat Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu.


Menurutnya, pada mulanya dia berasa sangsi dengan kemampuannya untuk mengukir buah-buahan dengan sempurna, tetapi dia berusaha menunjukkan kebolehan dan kreativiti selepas mendapat dorongan kuat.

"Saya mengukir empat biji buah dalam masa satu jam dan diberi waktu rehat selama 15 minit untuk makan, bersolat dan ke tandas oleh MBR. Saya mengukir pelbagai jenis corak bunga di atas pelbagai jenis buah mengikut kesesuaiannya.


"Antara buah yang digunakan ialah tembikai, tembikai susu dan betik pelbagai saiz di mana saya berjaya mengikut bermacam-macam corak seperti bunga ros, carnation dan sirih junjung.


"Saya gembira apabila berjaya mengukir 102 buah tanpa henti selama 24 jam sebelum menerima sijil daripada wakil MBR, Myra Dzaman, sambil disaksikan kedua ibu bapa, Ahmad Md Isa, 58, dan Salasiah Idris, 55," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/07/07

Sungai Petani terbaik

Posted: 07 Jul 2011 06:36 AM PDT

TIGA atlet dari Pusat Kegiatan Guru (PKG) Sungai Petani dipilih peserta terbaik dalam kategori masing-masing di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Kuala Muda/Yan Kali Ke-44.

Mereka terdiri daripada Ain Asyilah Ismail, Mohd Ariff Daniel Mohd Rostam dan Mohd Afiq Jamil.


Kejohanan itu berlangsung di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ismail, Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

Ain Asyilah, 11, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Petani Jaya mengungguli Kelas 4 Perempuan (P) selepas mengutip tiga emas dalam acara 100 meter (m), 4x200 m dan lompat jauh.


Mohd Ariff, 10, dari SK Taman Seri Wang pula mengetepikan pesaingnya untuk dinobat atlet terbaik Kelas 5 Lelaki (L) apabila mengumpul emas dalam acara lompat jauh dan perak (larian 80m).


Murid Tahun Enam SK Petani Jaya, Mohd Afiq turut memahat nama dalam Kelas 4L kerana merangkul dua emas iaitu dalam acara larian 80m selain mencipta rekod baru MSSD KMY dalam lari berpagar.

Pungutan pingat dilakukan Ain Asyilah, Mohd Ariff Daniel dan Mohd Afiq turut membantu PKG Sungai Petani menjuarai kejohanan itu dengan jumlah kutipan keseluruhan sebanyak 20 iaitu 10 emas, 7 perak dan 3 gangsa.


Perasmian kejohanan disempurnakan Pengarah Pelajaran Kedah, Abdullah Saad, manakala penutup kejohanan dilakukan Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Muda/Yan, Abdul Ghani Haron.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/07/07

Mengaku tak salah

Posted: 01 Jun 2011 11:12 AM PDT

MANILA: Ketua suku kaum berpengaruh di selatan Filipina semalam mengaku tidak bersalah membunuh 57 musuhnya dan wartawan dalam perbicaraan hari pertama kes pembunuhan beramai-ramai paling buruk dalam sejarah politik negara itu.

Andal Ampatuan Snr, 70, yang dikawal komando polis hanya berdiam diri ketika lebih 20 anggota keluarga mangsa merenungnya di mahkamah.


Dia mengangguk apabila ditanya sama ada dia memahami tuduhan itu.

"Tidak bersalah," kata Ampatuan Snr, diikuti dengan ejekan daripada keluarga mangsa.


Ampatuan Snr, anaknya, Andal Ampatuan Jnr dan empat anggota keluarga mereka yang lain adalah antara 80 orang yang ditahan dan didakwa membunuh 57 orang, 32 daripadanya wartawan pada 23 November 2009.


Beratus-ratus lagi suspek, termasuk keluarga Ampatuan dan anggota militia kerajaan yang bekerja secara langsung dengan keluarga itu masih diburu.

Mahkamah masih belum membacakan tuduhan terhadap 21orang yang turut ditahan. Pakar undang-undang berkata, perbicaraan itu mungkin mengambil masa bertahun-tahun memandangkan sistem kehakiman yang lemah di Filipina.


Mayat mangsa dan sebahagian kenderaan mereka ditemui dalam sebuah kubur besar di sebuah ladang terbiar. Sebuah jengkaut dengan nama Ampatuan tertera padanya ditemui berhampiran.

Terdahulu, seorang pembantu rapat Ampatuan yang kini menjadi saksi pendakwa raya, Lakmudin Saliao memberi keterangan, dia adalah anggota suku kaum itu ketika mereka merancang pembunuhan berkenaan, enam hari sebelum kejadian. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2011/06/02

No comments:

Post a Comment