Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Cinta tak bersatu

Posted: 10 Oct 2014 03:02 PM PDT

Pasir Gudang: Sepasang tunang tidak sempat meniti hari bahagia bersama apabila mereka bersama tiga yang lain maut selepas kereta dinaiki terbabas dan merempuh sebatang pokok di Kilometer 33 Lebuhraya Pasir Gudang, di sini, semalam.

M Surendran, 23, dan tunangnya J Priyadarshini, 22, dijadual melangsungkan perkahwinan mereka selewat-lewatnya awal tahun depan.


Kejadian jam 1.30 tengah hari itu turut menyebabkan adik Priyadarshini yang juga pemandu kereta Tamilharasan, 17; K Udayakumar, 14, dan seorang lagi dikenali sebagai Vicky, 17, maut ketika mereka dikatakan dalam perjalanan ke Senai selepas mengambil Udayakumar di Pasir Putih, di sini.

Rakan Surendran, K Jeevah, 24, berkata, dia terkejut dengan kejadian yang menimpa rakannya itu selain bersedih berikutan mendiang pernah menyatakan hasrat untuk melangsungkan perkahwinan.


"Surendran bekerja sebagai pekerja pembersihan di Singapura manakala tunangnya tidak bekerja dan saya mendapat tahu mengenai kejadian ini apabila diberitahu abang Surendran dikenali sebagai Chandra pada 3.30 petang.


"Saya terkejut dan sedih dengan kejadian ini lebih-lebih lagi ketika kali terakhir bertemunya tujuh bulan lalu dia pernah menyatakan hasrat mendirikan rumah tangga selain sudah mendaftarkan untuk berkahwin," katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, semalam.

Foto

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan.

Jeevah berkata, semua mangsa yang terbunuh kecuali Priyadarshini adalah pemain gendang tradisional masyarakat India dikenali sebagai Urumi.


Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, kereta Proton Saga yang dipandu Tamilharasan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan dan merempuh pokok.

"Kemalangan terbabit menyebabkan semua yang menaiki kereta itu maut di tempat kejadian akibat tersepit dalam kenderaan yang remuk teruk.


"Mangsa dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk dibedah siasat," katanya.


Usaha wartawan untuk mendapatkan komen ahli keluarga mangsa gagal berikutan mereka masih terkejut dan sedih dengan kejadian yang berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/11

Tambah baik cuti jaga anak

Posted: 10 Oct 2014 01:40 PM PDT

Kuala Lumpur: Kerajaan akan menambah baik kemudahan cuti menjaga anak bagi penjawat awam wanita dengan meminda syarat pemberian supaya tidak terikat dengan tempoh cuti bersalin berkuat kuasa 1 Januari depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Kemudahan ini terhad untuk tempoh setahun dan diperluaskan kepada pegawai wanita yang mempunyai anak tiri tanggungan, anak angkat yang diambil mengikut undang-undang, anak pelihara dan anak kurang upaya," katanya ketika membentangkan Bajet 2015 semalam.


Najib berkata, selaras dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan penubuhan lebih banyak pusat penjagaan kanak-kanak di premis pejabat swasta, garis panduan sedia ada akan dipinda.

"Mulai Januari 2015 juga, majikan dibenarkan mengendalikan pusat penjagaan kanak-kanak melebihi tingkat dua, tertakluk kepada syarat ditetapkan oleh pihak berkuasa," katanya.


Beliau turut mengumumkan sebanyak RM2.26 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi pembangunan dalam operasi mempergiatkan pembabitan wanita dalam pasaran kerja serta aktiviti keusahawanan.


Menurutnya, bagi mencapai sasaran 30 peratus pembabitan wanita dalam kumpulan pembuat keputusan, sebanyak 125 bakal pengarah wanita akan diberi latihan untuk mengisi jawatan sebagai Anggota Lembaga Pengarah syarikat kerajaan dan swasta.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/11

RM30 juta untuk kit ujian denggi

Posted: 10 Oct 2014 01:39 PM PDT

Kuala Lumpur: Peruntukan RM30 juta dalam Bajet 2015 untuk pengagihan 55,000 kit ujian denggi kepada semua klinik swasta adalah langkah yang mampu mengurangkan kebergantungan kepada makmal swasta dan kerajaan untuk melakukan diagnosis darah awal demam denggi.

Ketua Sektor Penyakit Bawaan Vektor, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Rose Nani Mudin berkata ia langkah yang antara lainnya juga menyingkatkan secara drastik tempoh diagnosis itu dilakukan.


"Sebelum ini sekurang-kurangnya sehari untuk klinik swasta mendapatkan keputusan diagnosis kerana mereka perlu menghantar sampel darah pesakit kepada makmal yang mungkin terletak jauh dari lokasi mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/11

Minyak dikecuali

Posted: 10 Oct 2014 01:38 PM PDT

Kuala Lumpur: RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) antara bahan api yang mendapat pelepasan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam Bajet 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, semalam.

Selain itu, 2,900 jenama ubat termasuk kegunaan rawatan 30 jenis penyakit seperti sakit jantung, kencing manis, darah tinggi, kanser dan rawatan kesuburan juga tidak dikenakan GST.


Perdana Menteri berkata, berdasarkan maklum balas daripada pelbagai lapisan masyarakat, kerajaan bersetuju meluaskan skop barangan yang tidak dikenakan GST.

"Antara penambahannya ialah semua buah-buahan tempatan dan import, roti putih dan wholemeal, serbuk kopi, teh dan koko, mi kuning, kuetiau, laksa dan bihun.


"Selain itu, bahan bacaan seperti buku mewarna kanak-kanak, buku latihan dan rujukan, buku teks, kamus serta kitab agama dan surat khabar turut terbabit sama," katanya.


Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju menaikkan kadar penggunaan elektrik yang tidak dikenakan GST daripada 200 unit kepada 300 unit pertama, sekali gus 70 peratus isi rumah akan menerima manfaat secara langsung. Najib berkata, daripada 944 barang dan perkhidmatan yang terdapat di dalam senarai Indeks Harga Pengguna, 532 barang atau 56 peratus dijangka mengalami penurunan harga sehingga 4.1 peratus. "Antara produk itu adalah ubat-ubatan, barangan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh, produk tekstil, barangan plastik seperti baldi dan pinggan mangkuk, kasut dan selipar, perabot rumah, lampin bayi, sabun, daging, telur ayam, minyak masak, makanan laut, beras dan sayur-sayuran. "Manakala 354 jenis barang dan perkhidmatan akan mengalami kenaikan harga tidak melebihi 5.8 peratus. Apa yang penting, kerajaan berharap peniaga bertanggungjawab dengan tidak meningkatkan harga sehingga membebankan rakyat," katanya.

Beliau berkata, untuk memudahkan rakyat, kerajaan akan mengeluarkan buku panduan kepada pengguna bagi membolehkan mereka membuat perbandingan harga sebelum dan selepas GST. Katanya, kerajaan sentiasa berusaha mengukuhkan kemampanan kedudukan kewangan negara untuk menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dan mengurangkan defisit fiskal bagi mencapai bajet berimbang.


GST akan dilaksanakan pada 1 April depan bagi menyusun semula sistem kewangan negara untuk mencari sumber hasil baru dan memperkemas kaedah kutipan cukai.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/11

No comments:

Post a Comment