Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tiga remaja ditahan bantu siasatan kes bunuh, samun guru

Posted: 07 Oct 2014 12:31 PM PDT

Kota Kinabalu: Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun di Kundasang Ranau, malam kelmarin, bagi membantu siasatan kes samun dan bunuh seorang guru, Masina Samadi, 50, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Salehhudin Abdul Rahman berkata, semua suspek berusia antara 17 dan 28 tahun itu ditahan antara jam 10.30 hingga 11.30 malam di kampung yang sama dengan mangsa.


"Hasil maklumat, anggota polis dari bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau dibantu anggota dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menahan semua suspek.

"Pemeriksaan terhadap suspek menemui beberapa barang milik mangsa yang dilaporkan hilang, termasuk buku akaun bank mangsa," katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan ke institut kewangan di sekitar bandar raya, di sini, semalam. Menurutnya, siasatan mendapati ketiga-tiga suspek warga tempatan dan tinggal di kampung yang sama dengan mangsa.


"Siasatan lanjut masih dijalankan, termasuk ujian sampel dan bahan bukti senjata yang digunakan dalam kejadian itu.


"Hasil ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis syabu," katanya. Menurut Salehhudin, semua suspek kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.35 pagi, Jumaat lalu, Masinah, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kundasang ditemui mati dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di ruang tamu rumah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

PDRM kenal pasti 'bakal' militan

Posted: 07 Oct 2014 12:30 PM PDT

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenal pasti individu yang merancang mahu ke luar negara bagi menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) dan bersedia melakukan tangkapan pada bila-bila masa apabila mempunyai cukup bukti.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata melalui risikan dan pemantauan PDRM, individu terbabit didapati ingin menyertai IS di Syria dan Iraq namun jumlah mereka yang terbabit dengan kumpulan itu belum boleh didedahkan.


"Saya beri ingatan dan amaran kepada mereka yang merancang ke Syria dan Iraq, kami (PDRM) sudah mempunyai butir-butir dan maklumat mengenai mereka dan tindakan akan diambil sekiranya mereka tetap mahu menjadi anggota kumpulan IS," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, semalam.

Beliau berkata segala maklumat mengenai warga Malaysia yang terbabit dengan kumpulan IS turut diserahkan kepada Polis Antarabangsa (INTERPOLl) dan Pasukan Polis ASEAN (Aseanapol) untuk pemantauan dan tindakan lanjut.


Khalid berkata mereka yang bertanggungjawab dalam merekrut individu dari kalangan rakyat Malaysia menjadi anggota kumpulan IS turut dalam pemerhatian PDRM dan pihaknya akan mengambil tindakan sekiranya mempunyai bukti yang mencukupi.


Ditanya mengenai susulan pendedahan akhbar Harian Metro mengenai terdapat segelintir penceramah asing yang didakwa menjalankan kegiatan merekrut anggota militan, Khalid berkata sekiranya mempunyai maklumat ia perlu dilaporkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

"Kalau ada bukti (kegiatan penceramah asing rekrut anggota militan) beri kepada kami (PDRM) dan kami akan menjalankan siasatan," katanya.


Mengulas mengenai siasatan kebocoran kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Khalid berkata ia sudah memasuki peringkat akhir dan akan diserahkan kepada pejabat peguam negara untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Khalid turut menyaksikan majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

PM lahir rasa syukur

Posted: 07 Oct 2014 12:27 PM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa syukur apabila bot tempur CB204 yang hilang di perairan Pulau Mengalum, Sabah pada Ahad lalu ditemui selamat termasuk tujuh kru kapalnya.

"Alhamdulillah. Berkat doa semua," katanya menerusi akaun Twitternya, semalam.


Perdana Menteri mengulas Twitter Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar yang memaklumkan penemuan berkenaan.

Abdul Aziz menggunakan akaun @ChiefofNavy petang kelmarin mengemas kini status "Bot & semua crew selamat. Komander Bot memaklumkan melalui radio VHF Ch 16." Akaun @ChiefofNavy turut menyatakan komander bot itu Leftenan Azri Bakar membuat panggilan melalui radio memaklumkan semua anak kapal CB204 selamat, namun berada dalam keadaan lapar.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

No comments:

Post a Comment