Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Zainal tak rela hilang pemain lagi

Posted: 07 Oct 2014 11:55 AM PDT

Kuantan: Episod duka beraksi dengan 10 pemain diharap tidak berulang apabila Pahang bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Jurulatih skuad Tok Gajah, Zainal Abidin Hassan berkata, kehilangan seorang pemain sememangnya memberikan kesan kepada keseluruhan persembahan pasukan seperti berlaku pada aksi pertama ketika seri 1-1.

Justeru, katanya, kesebelasan utama diturunkan nanti diharap mempamerkan prestasi lebih baik untuk menyekat PDRM daripada membolosi gawang Pahang.

"Bagi saya, faktor penyudah kurang tepat walaupun memiliki banyak peluang menyebabkan kami gagal menang di tempat sendiri.

Foto

KEHADIRAN Hafiz (kanan) mampu memperkasakan jentera tengah Pahang.


"Namun, kali ini saya harap pemain tidak mempersia-siakan peluang kerana sebarang jaringan akan menjadi penentu ke separuh akhir," katanya, di sini, semalam.


Ditanya peluang Mohd Hafiz Kamal kembali dalam kesebelasan utama, Zainal Abidin berkata beliau masih lagi meneliti tahap kecederaan pemain tengah itu.

Katanya, khidmat Hafiz sememangnya ditagih untuk memperkasakan jentera tengah tetapi penilaian lebih rapi perlu dilakukan untuk memastikan pemain itu benar-benar cergas.

"Setakat ini, secara keseluruhan tiada tekanan dihadapi pemain kerana mereka bersemangat untuk mengulangi kejayaan menjulang Piala Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

Arul calon terbaik

Posted: 07 Oct 2014 11:50 AM PDT

Kuala Lumpur: Muhammad Dhaarma Raj Abdullah secara terbuka memberi sokongan sekiranya Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menawarkan jawatan ketua jurulatih skuad senior kepada pengendali sementara Arul Selvaraj.

Dhaarma yang direhatkan sementara daripada tugas selaku ketua jurulatih skuad negara berikutan aksi hambar di Piala Dunia serta Sukan Komanwel berkata, Arul sememangnya calon terbaik untuk mengisi jawatan itu.

Malah Dhaarma sama sekali tidak terasa sekiranya MHC memberikan tugas itu kepada Arul kerana beliau sendiri mengaku belum bersedia untuk kembali membimbing skuad negara.

"Arul ialah individu terbaik untuk jawatan itu. Dia wajar terus diberikan peluang mempersiapkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Dunia pada Januari depan.

Foto

ARUL (kiri) berjaya jalankan tugas dengan cemerlang bersama skuad kebangsaan.


"Lagipun saya tak berminat untuk kembali membimbing skuad negara ketika ini. Biarlah saya fokus kepada apa yang saya buat sekarang," katanya ketika dihubungi semalam.


Arul menerusi laporan Arena Metro semalam berkata, beliau sedia menggalas dua tugas iaitu selaku ketua jurulatih skuad senior dan remaja sekiranya MHC meletakkan kepercayaannya kepadanya.

Ia rentetan kenyataan Presiden MHC Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang berkata Arul menjadi calon terbaik untuk terus membimbing pasukan negara meskipun gagal memenuhi sasaran memenangi pingat emas di Sukan Asia.

Dhaarma ketika ini berada di Eropah melawat beberapa kelab terkemuka dalam usahanya untuk memantapkan ilmu kejurulatihan.

Sehingga kini, dia sudah bersama lima kelab di Jerman dan bakal meneruskan penjelajahan di liga negara lain.

"Walaupun baru beberapa minggu berada di sini, banyak yang saya pelajari.
"Terlalu banyak pemain yang bagus beraksi di kelab terbabit. Sebab itu tidak hairanlah Jerman boleh menjadi antara pasukan terbaik dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

Siva Setiausaha Agung AMA

Posted: 07 Oct 2014 11:40 AM PDT

Kuala Lumpur: Bekas atlet olahraga kebangsaan, S Sivapragam dipilih sebagai Setiausaha Agung Persatuan Olahraga Masters Asia (AMA) dalam mesyuarat agungnya di Kitakami, Jepun, baru-baru ini.

Dalam pemilihan yang diadakan pada 23 September lalu, Sivapragam yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Olahraga Masters Malaysia (MMAA), memperoleh 17 undi berbanding calon dari Jepun, Fumio Sasaki yang hanya mendapat tujuh undi.

"Melalui lantikan ini, negara anggota persatuan ini percaya kepada kebolehan Malaysia menguruskan hal pentadbiran.

"Sasaran saya dalam masa lebih kurang dua tahun dari sekarang, mahu pastikan kesemua negara Asia menyertai persatuan ini," katanya.

Setakat ini hanya 25 negara termasuk Malaysia menyertai AMA.

Sivapragam pernah dilantik sebagai timbalan pengerusi pengelola dan pengarah kejohanan di Kejohanan Olahraga Masters Asia ke-16 pada 2010 semasa Malaysia menjadi tuan rumah.

Melalui pelantikan ini, beliau secara langsung turut dipilih sebagai Wakil Benua Asia dalam Persatuan Olahraga Masters Dunia.

- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

Lumut juara sulung LPA

Posted: 07 Oct 2014 11:38 AM PDT

Ipoh: Pasukan bola sepak Parlimen Lumut mengatasi segala kemungkinan untuk muncul juara pertama Liga Perak Amanjaya (LPA) 2014 apabila mengatasi pasukan Sungai Siput 4-3 melalui sepakan penalti di Stadium Perak, baru-baru ini.

Ketika kemenangan tampak seakan-akan berpihak kepada Sungai Siput selepas Lumut gagal menyepak masuk beberapa sepakan penalti, malangnya nasib tidak menyebelahi mereka apabila gagal menggunakan kelebihan dimiliki.

Sebaliknya lawan memanfaatkan peluang kedua untuk menjulang gelaran untuk sekali gus meraih RM30,000.

Dalam perlawanan akhir sengit itu kedua-dua pasukan terikat 1-1 termasuk masa tambahan untuk memaksa penentuan dibuat melalui sepakan penalti.

Akhirnya, Sungai Siput terpaksa berpuas hati dengan RM15,000.

Begitupun penyerang pasukan Sungai Siput, V Panthmanathan muncul penjaring gol terbanyak kejohanan dengan enam gol manakala penjaga gol Lumut, R Yuvaraj memenangi anugerah pemain terbaik perlawanan akhir.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan yang julung kali dianjurkan Jawatankuasa Pembangunan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Kelab Sukan Rekreasi dan Komuniti (SRCC) serta Majlis Sukan Negeri (MSN) itu.

Hadir sama menyaksikan perlawanan akhir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Shahrul Zaman Yahya, Presiden SRCC, Hairul Anuar Mohd Noor dan wakil rakyat.

Terdahulu, Bagan Serai memenangi tempat ketiga selepas menewaskan Tanjung Malim untuk meraih RM7,500.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

100 pasukan rebut RM13,000

Posted: 07 Oct 2014 11:37 AM PDT

Kuantan: Lebih 100 pasukan dijangka bersaing dalam empat kategori merebut hadiah wang tunai keseluruhan RM13,000 pada kejohanan hoki tujuh sepasukan yang akan diadakan di padang hoki Kuantan, pada Sabtu dan Ahad ini.

Kejohanan kali pertama anjuran Persatuan Hoki Daerah Kuantan (PHDK) itu turut menawarkan piala pusingan dan hadiah iringan kepada pasukan yang mencatatkan kejayaan membanggakan.

Timbalan Presiden PHDK Najmi Razak berkata, selain kategori terbuka turut diadakan kategori pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) lelaki dan wanita termasuk kategori pelajar lelaki sekolah bawah 12 tahun.

Menurutnya, selain hadiah lumayan ditawarkan, tarikan utama kejohanan julung kali diadakan itu pertandingan di atas padang tiruan.

"Ini memberi peluang kepada pemain beraksi di atas padang astroturf berwarna biru bertaraf antarabangsa," katanya.

Katanya, penganjur kini menerima pengesahan penyertaan daripada 71 pasukan membabitkan semua kategori dan jumlah berkenaan dijangka bertambah sebelum tarikh tutup kejohanan pada 10 Oktober ini.

"Kita meletakkan sasaran 100 pasukan akan bertanding pada kejohanan selama dua hari itu, namun jika jumlahnya bertambah pertandingan akan dimulakan lebih awal terutama membabitkan kategori pelajar bawah 12 tahun dan IPT.

"Justeru, saya berharap pasukan berminat menyertai kejohanan hoki tujuh sepasukan Kuantan kali pertama dianjurkan di negara ini supaya segera mendaftar sebelum tarikh tutup," katanya.

Yuran penyertaan antara RM100 hingga RM300 dan mana-mana pasukan yang membuat pendaftaran segera layak menerima potongan RM50.

Mereka yang berminat boleh menghubungi urusetia 01110885719 (Yazid).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

No comments:

Post a Comment