Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Jangan melatah

Posted: 08 Oct 2014 11:30 AM PDT

Johor Bahru: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menempelak Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) kerana mempertikaikan penundaan tarikh suku akhir kedua Piala Malaysia membabitkan pasukan itu dan Johor Darul Ta'zim (Johor DT).

Selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada aksi pertama di Kuala Terenggau, Jumaat lalu mereka sepatutnya bertemu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu ini dalam perlawanan timbal balik, tetapi ditukar kepada 17 Oktober ini.

Sambil meminta PBSNT jangan cepat melatah, Tunku Ismail berkata permohonan untuk menunda perlawanan itu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dibuat berlandaskan peraturan sedia ada yang termaktub di bawah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Justeru, Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) menggesa Terengganu supaya menerima keputusan FAM itu dengan hati terbuka.

Foto

TUNKU Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Foto

HARISS (kiri) terlibat dalam perlawanan antarabangsa.


"Jadi saya harap pihak terbabit usah cepat melatah kerana permohonan kami tidak melanggar undang-undang.


"Kita ikut ketetapan FIFA dan saya ingin menegaskan penundaan perlawanan bukan kerana Hariss Harun yang mewakili Singapura. FIFA sudah mengeluarkan jadual membabitkan perlawanan antarabangsa dan kita kena patuh.

"Dalam undang-undang FIFA ada menyatakan jika berlaku pertembungan jadual perlawanan maka kita ada hak untuk membuat rayuan tanpa melanggar apa jua undang-undang dan FAM menerima permohonan itu berdasarkan fakta yang kukuh," katanya dalam sidang media semalam.

"Selain itu, aksi perlawanan sebenarnya ditetapkan FAM pada 18 Oktober dan saya mengarahkan kerja baik pulih Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin dijalankan untuk persiapan saingan Piala AFC tahun depan dan sudah pasti penambahbaikan itu tidak dapat disiapkan jika perlawanan diteruskan Sabtu ini."

Tunku Ismail berkata, keputusan FAM membenarkan perlawanan itu ditunda tepat dan tidak melanggar peraturan FIFA manakala permohonan PBNJ pula dilakukan secara profesional.

Beliau berkata ketetapan badan induk bola sepak dunia itu turut menetapkan jika ada pemain dari kelab terbabit dalam apa jua perlawanan maka pertandingan liga tempatan harus dihentikan buat sementara.

"Seandainya Johor DT layak ke separuh akhir maka jadual kami akan lebih ketat kerana terpaksa membuat persiapan singkat.

"Jadi, saya rasa perasaan tidak puas hati itu tak patut timbul," kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/09

'Keputusan FAM tunda aksi tak masuk akal'

Posted: 08 Oct 2014 11:25 AM PDT

Kuala Terengganu: "Seperti perlawanan bola sepak antara kampung,"

Itu pandangan dan nada meluat diluahkan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung perubahan tarikh saingan suku akhir kedua Piala Malaysia antara Terengganu dan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) yang sepatutnya berlangsung Sabtu ini ditunda kepada 17 Oktober hanya disebabkan seorang pemain import Johor DT tidak dapat beraksi.

Beliau berkata, keputusan tidak masuk akal dan pelik serta tidak bermaruah itu jelas memperlihatkan badan induk bola sepak negara itu mudah tunduk dengan desakan selain tidak ada prinsip sekali gus menimbulkan pelbagai soalan yang perlu diperjelaskan ketika pemain Terengganu dan penyokong setia sudah bersedia untuk bertandang ke Johor, Sabtu ini.

"Saya ingin buka mata dan timbulkan persoalan kepada FAM, jika mereka membenarkan permohonan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) untuk merombak tarikh disebabkan seorang pemain import tidak dapat beraksi pada tarikh berkenaan, adakah FAM membenarkan juga permohonan Terengganu bagi mengekalkan tarikh berkenaan?

Foto

PERTEMBUNGAN Johor DT (jersi merah) dengan Terengganu pasti ditunggu-tunggu peminat bola sepak tempatan.


"Ini persoalan yang FAM perlu jawab kerana perubahan tarikh ini bukan hanya membabitkan PBSNT tapi ribuan peminat setia Terengganu yang sudah menempah bas, tiket kapal terbang dan penginapan selain sudah memohon cuti untuk bertandang ke Stadium Larkin," katanya.


Menurutnya, bagi PBSNT pula, ini bukan kali pertama tiket kapal terbang dan urusan berkaitan terpaksa diubah kerana sebelum ini jadual asal perlawanan pada 18 Oktober.

"Tapi jika FAM meneruskan permohonan PBNJ itu, ia bermakna kali kedua PBSNT terpaksa meminda tarikh yang sudah tentu membabitkan kewangan tinggi.

"Dalam soal ini, siapa yang mahu menanggung semua kos perjalanan dan penginapan terutama peminat yang sudah membuat persiapan awal, tidakkah FAM berfikir mengenai soal ini atau mereka hanya melihat sebelah pihak," katanya yang mahukan FAM mengekalkan tarikh 11 Oktober.

Selain itu, Wan Ahmad Nizam berkata, ketika perbincangan untuk meminda tarikh itu dibuat, FAM tidak langsung memanggil wakil PBSNT untuk sama berkongsi idea bagi mencapai kata sepakat, sebaliknya hanya menghantar surat bagi memaklumkan perubahan tarikh berkenaan.

"Berdasarkan keputusan ini jelas memperlihatkan FAM berat sebelah dan tidak adil selain tidak mempunyai pendirian tetap yang boleh menyebabkan hanya kerana nila setitik rosak susu sebelanga," katanya.

Sementara itu, Pengurus PBSNT Marzuki Sulong mengakui kem Terengganu terkejut dengan surat FAM semalam berhubung perubahan tarikh itu hanya disebabkan Hariss mewakili negaranya.

Menurutnya, bagi memastikan perancangan awal pasukan dan peminat Penyu yang akan bertandang ke Johor tidak tergendala, PBSNT sudah menghantar surat bantahan dan rayuan kepada FAM meminta jadual perlawanan pada Sabtu ini dikekalkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/09

Usah putus asa

Posted: 08 Oct 2014 11:22 AM PDT

Kuala Lumpur: "Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul." Itu perumpamaan paling tepat yang boleh digambarkan mengenai situasi sebenar dalam kem Selangor untuk cuba mengubah keputusan 0-4 bagi berpihak kepada mereka menjelang pertemuan suku akhir kedua bertemu FELDA United di Stadium Mini Temerloh, malam esok.

Pemain utama skuad Merah Kuning sepanjang musim ini, Andik Vermansyah, 22, mengakui tugasan menggunung bakal ditempuhi di Temerloh, Pahang terutama dalam memburu lima atau sekurang-kurangnya empat gol tanpa bolos untuk cuba mengheret tuan rumah ke penentuan sepakan penalti.

"Kalau dilihat dari segi angka, memang kami mempunyai tugas sangat berat di sana. Namun masih ada 90 minit untuk menterbalikkan keputusan agar berpihak kepada kami.

"Paling penting sekarang setiap pemain mesti berusaha sedaya upaya dan bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti putus asa.

Foto

ANDIK (tengah) gesa rakan beraksi bermati-matian.


"Jika bermain dengan sepenuh hati, saya rasa mungkin kami boleh dapat lima atau empat gol. Berbekalkan latihan baik sepanjang minggu ini, saya masih percaya kami punyai peluang mara ke separuh akhir Piala Malaysia," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.


Andik yang digelar 'Messi Indonesia' melihat kekuatan dimiliki FELDA lebih tertumpu kepada aksi empat tonggak import yang mampu mengubah sesuatu keputusan perlawanan berpihak mereka.

Lantas, pemain kelahiran wilayah Jember, Indonesia itu menggesa agar pergerakan awang import The Fighters diawasi dan dikawal ketat pada aksi kedua itu.

"Apa saya nampak, mereka (FELDA) digerakkan pemain luar yang cukup pantas dan bijak menghidu peluang terutama di depan gawang gol.

"Jika kami dapat mengekang pergerakan penyerang import mereka dan kami bermain bersungguh-sungguh, saya rasa kami boleh mencipta kejutan. Saya berharap, penyokong Selangor dapat mendoakan kami untuk meraih kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/09

FELDA ada senjata rahsia robek lawan

Posted: 08 Oct 2014 11:18 AM PDT

Bangi: Wira FELDA United yang meledak hatrik ketika memalukan juara 32 kali Piala Malaysia pada aksi suku akhir pertama di Shah Alam, Ndumba Makeche dijangka dikawal ketat barisan pertahanan Selangor dalam aksi timbal balik di Stadium Mini Temerloh, malam esok.

Walaupun begitu, ia tidak mencemaskan pengendali FELDA Irfan Bakti Abu Salim yang kelihatan tenang dan cukup yakin sepanjang sesi latihan biarpun menyedari pergerakan tonggak import dari Zambia itu akan dirantai menjelang perlawanan hidup mati pasukan pelawat.

Justeru, jurulatih berusia 63 tahun itu mengharapkan senjata sulit yang juga rakan segandingan Makeche di jentera serangan Edward Junior Wilson dapat merobek benteng Selangor buat menambah jaringan sekali gus mengesahkan laluan FELDA ke peringkat separuh akhir.

"Saya tetap akan menurunkan kesemua pemain import dalam aksi kedua itu nanti.

Kemungkinan pergerakan dia (Makeche) akan dikawal sepanjang 90 minit.

"Tapi saya masih ada Wilson yang mampu meledak dalam perlawanan itu nanti.

Saya tidak gusar, malah yakin dengan kemampuan penyerang itu menggegar jika ruang diberikan kepadanya malam esok," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Sementara itu, Wilson yang ditemui ketika sesi latihan terakhir semalam sebelum The Fighters itu bertolak ke Temerloh pada tengah hari ini, menanam tekad untuk mencipta hatrik jika khidmatnya digunakan dalam aksi itu nanti.

Penyerang kelahiran Liberia yang mampu bertutur dengan loghat Indonesia itu, sudah merekodkan lima jaringan sepanjang kempen Piala Malaysia dan 15 jaringan dalam saingan Liga Perdana bersama FELDA musim ini.

"Dalam setiap apa jua pertandingan, sasaran saya ingin menyumbangkan jaringan buat pasukan.


Jika diturunkan pada perlawanan itu, saya mahu mencari tiga gol sama seperti dia (Makeche).

"Tapi apa yang lebih penting, kami melangkah ke separuh akhir dan itu matlamat utama," katanya dalam loghat Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/09

Azizon motivasi terbaik The Cops

Posted: 08 Oct 2014 11:17 AM PDT

Seremban: Ketangkasan penjaga gol Azizon Abd Kadir menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya penyerang Pahang wajar menjadi motivasi terbaik buat pemain Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika turun beraksi pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 17 Oktober ini.

Jurulatih pasukan itu Mohd Fauzi Pilus berharap Azizon dapat terus memperagakan aksi lebih baik untuk mempertahankan kubu pasukan.

Menurutnya, biarpun kejayaan sesebuah pasukan bukan bergantung kepada seseorang pemain tetapi kecekapan Azizon tidak dapat dinafikan.

"Azizon antara pemain berpengalaman dalam skuad kami musim ini dan sumbangannya dalam mempertahankan kubu pasukan tidak boleh dinafikan, lebih-lebih lagi dalam aksi suku akhir pertama menentang Pahang, tempoh hari.


"Saya berharap dia dapat terus mempamerkan prestasi terbaik untuk membantu kami mara ke separuh akhir," katanya semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/09

Beri menteri kuasa

Posted: 08 Oct 2014 11:16 AM PDT

Kuala Lumpur: Gesaan bekas atlet angkat berat negara Roswadi Abdul Rashid agar pindaan dibuat terhadap Akta Pembangunan Sukan Negara supaya Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar memiliki kuasa istimewa terhadap persatuan sukan, dilihat suatu idea baik dalam usaha mengembalikan peranan menteri secara menyeluruh.

Menurut pengkritik sukan tanah air, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, jika cadangan itu dapat dilaksanakan mengikut sistem yang betul dan profesional sudah pasti setiap persatuan juga akan dipantau dengan lebih dekat oleh menteri berkaitan yang tidak hanya melepaskan tanggungjawab itu kepada Majlis Sukan Negara (MSN) semata-mata.

"Bagi saya itu cadangan baik daripada bekas atlet itu. Tidak semestinya seorang menteri itu wajib mempunyai kuasa mutlak ke atas persatuan, cuma jika ada sedikit kuasa istimewa kepada setiap persatuan sukan di Malaysia mungkin mereka (presiden persatuan) akan lebih bermotivasi menjalankan tugas.

"Contohnya seperti situasi yang berlaku kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang merudum teruk sejak di bawah kendalian Datuk Ahmad Ismail. Bayangkan sukan sepak takraw yang dicipta negara kita sekarang lebih mundur daripada pasukan Korea Selatan mahupun India yang senang-senang saja menewaskan kita.

Foto

KHAIRY seharusnya memiliki kuasa istimewa terhadap persatuan sukan.


"Tapi, apabila peminat sukan dan rakyat negara ini yang mahukan Datuk Ahmad berundur, beliau buat tak tahu saja.


"Menteri pula tak boleh nak berbuat apa-apa, sekadar mampu menegur. Jika Akta Pembangunan Sukan itu dapat dipinda sedikit, saya rasa menteri boleh mengambil tindakan sama seperti rombakan yang beliau akan lakukan ke atas MSN," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Menerusi pendedahan Arena Metro semalam, pemenang pingat gangsa dalam acara angkat berat pada dua temasya Sukan Komanwel di Manchester 2002 dan Melbourne 2006, Roswadi Abdul Rashid menyeru agar Khairy meminda Akta Sukan dengan memberi lebih kuasa kepada menteri.

Di samping itu, Roswadi juga mencadangkan khidmat dan buah fikiran bekas atlet negara tidak diabaikan begitu saja.

Pada dua temasya sukan terbesar dunia ukan Komanwel Glasgow dan Sukan Asia Incheon 2014, kontinjen negara mempamerkan persembahan merosot apabila gagal mencapai sasaran ditetapkan MSN.

Malah, pungutan lima emas, 14 perak dan 14 pingat gangsa menyaksikan kontinjen negara menduduki tangga ke-14 keseluruhan berbanding edisi di Guangzhou, China, empat tahun lalu. Ketika itu kontinjen negara menduduki tangga ke-10 keseluruhan apabila membawa pulang sembilan emas, 18 perak dan 14 pingat gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/09

Perlu ada tiga kriteria

Posted: 08 Oct 2014 11:15 AM PDT

Kuala Lumpur: Jika Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhasrat mencari Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) baru, nasihat Datuk Wira Mazlan Ahmad (gambar) harus diambil kira.

Mazlan yang juga bekas Ketua Pengarah MSN menyenaraikan tiga kriteria yang harus diambil kira Khairy jika berhasrat mencari pengganti kepada Datuk Seri Zolkples Embong.

"Paling mustahak individu berkenaan harus tahu mengenai perancangan jangka pendek dan panjang," katanya yang kali terakhir memegang jawatan Ketua Pengarah MSN pada 2005.

Jelasnya, perkara kedua paling mustahak, mekanisme untuk menjayakan segala perancangan.

Foto
Foto

MAZLAN (tengah) ketika mengetuai kontinjen negara di Sukan Komanwel 1998.


"Kedua-dua ciri itu harus dilengkapkan dengan kriteria ketiga, iaitu pemantauan terhadap perancangan yang sudah dibuat," katanya yang pernah mengendalikan kontinjen negara di Sukan Komanwel 1998 Kuala Lumpur yang menyaksikan Malaysia menduduki tempat keempat keseluruhan kejohanan dengan 10 emas, 14 perak dan 12 gangsa.


Dalam masa yang sama Mazlan mengakui menteri perlu mempunyai kuasa penuh untuk menentukan kedudukan Ketua Pengarah dalam MSN.

Kelmarin, kedudukan Zolkples dilihat terjejas kerana gagal di Sukan Komanwel Glasgow dan Sukan Asia Inchoen apabila tidak mencapai sasaran pingat emas.

Ini kerana dikhabarkan KBS berhasrat untuk mengadakan pengambilan secara terbuka untuk posisi itu.

Menurut sumber, langkah mengiklan jawatan Ketua Pengarah MSN belum pernah dibuat Menteri Belia dan Sukan sebelum ini.

Seandainya Khairy sudah mempunyai calon baru yang dirasakan sesuai, besar kemungkinan 2015 MSN bakal berubah wajah dari sudut kepimpinan.

Zolkples sebelum ini mengakui bahawa beliau gagal ketika kontinjen negara tidak mencapai sasaran meraih lapan emas apabila hanya membawa pulang lima emas di Incheon baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/09

Lutut Liu Ying makin pulih

Posted: 08 Oct 2014 11:11 AM PDT

Kuala Lumpur: Pakar beregu campuran, Goh Liu Ying mengakui semakin cergas selepas menjalani pembedahan lutut kanan dan kiri Mei lalu.

Pemain kelahiran Alor Gajah itu berkata, keadaannya sekarang semakin bagus dan dia sudah menjalani proses pemulihan fasa baru apabila dibenarkan melakukan lompatan serta beberapa lagi pergerakan sukar.

"Keadaan saya sudah tidak lagi teruk, setakat ini fisioterapi saya Sandra Fiedler berpuas hati dengan perkembangan terbaru," katanya.

Liu Ying, 25, mengalami kecederaan 'miniscus' lutut kanan dan tisu koyak pada anterior cruciate ligament (ACL) di kedua-dua belah lututnya.

Foto

LIU Ying (kanan) tak sabar kembali berlatih.


"Selepas bedah saya terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan apabila sedikit sembuh saya sudah menjalani latihan ringan di bawah pengawasan Sanra.


"Sekarang saya berasa tidak sakit lagi terutama ketika berjalan kerana lutut kembali mencengkam seperti biasa," katanya yang sebelum ini bergandingan dengan Chan Peng Soon dalam acara beregu campuran.

Pemenang pingat emas acara beregu campuran Sukan Asia 2010 Guangzhou itu berkata, dia akan kembali beraksi pada Januari tahun depan.

"Bagaimanapun, awal tahu itu masih lagi peringkat percubaan kerana mereka akan melihat keadaan saya terlebih dulu sama ada sudah bersedia untuk beraksi dalam kejohanan lebih kompetitif.

"Memang tangan saya ini berasa gatal untuk memegang raket, tambahan melihat rakan seperjuangan berlatih di gelanggang," katanya.

Liu Ying mengakui sebaik menjalani tempoh pemulihan dia akan sentiasa melihat rakan sepasukan berlatih bagi membangkit semangat untuk beraksi semula dengan pasukan kebangsaan.

"Saya perlu bersedia tahun depan kerana menjelang Mei akan beraksi untuk memungut mata melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 Rio.

"Mereka tidak akan membenarkan saya beraksi di peringkat Siri Super sehingga saya betul-betul bersedia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/09

'Cukuplah 14 tahun'

Posted: 08 Oct 2014 11:08 AM PDT

Kuala Lumpur: Bukan menyerah kalah tetapi mahu ubah haluan, itulah jawapan yang diberikan pelumba berbasikal trek negara, Mohd Edrus Yunos yang menimbang hasrat untuk bersara selepas Piala Asia 2014 Bangkok, bermula esok.

Edrus, 27, mengakui kejohanan itu penampilan terakhirnya bersama skuad kebangsaan selepas 14 tahun berbakti dengan meraih beberapa kejayaan di peringkat antarabangsa.

"Bukan saya menyerah kalah, tapi mahu cuba cara lain pula dalam hidup saya, iaitu mahu mendidik pelumba remaja," katanya yang sebelum ini baru pulang dari Sukan Asia 2014 Incheon.

Jelasnya, bidang kejurulatihan terutama dalam acara pecut menjadi pilihannya namun masih belum pasti sama ada akan membantu John Beasley untuk pasukan senior atau peringkat remaja bersama bekas pelumba kebangsaan, Junaidi Mohamad Nasir.

Foto

EDRUS mahu ubah haluan.


"Kenangan manis bersama pasukan kebangsaan tidak akan saya lupakan terutama dapat meraih emas di peringkat Asia dan juga Asia Tenggara.


"Bagaimanapun sebelum bersara, saya sempat melakukan catatan peribadi terbaik dalam acara pecut 10.18 saat ketika di Sukan Asia baru-baru ini," kata pelumba kelahiran Perak itu.

Ditanya sama ada Beasley akan membawanya menjadi pembantu di Melbourne, Edrus menjelaskan buat masa ini dia dijangka melatih pelumba di Kuala Lumpur terlebih dulu.

"Saya tidak kisah menjadi pembantu jurulatih dengan pasukan mana sekali pun, apa yang saya harap pelumba gigih berlatih dan jangan mudah putus asa.

"Saya juga tidak akan melupakan kenangan manis menjadi pelumba trek yang berpangkalan di Melbourne sejak 2007 dan saya harap program itu diteruskan kerana sangat manfaat buat pelumba," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/09

KOM tak hantar atlet bertanding jika gagal capai sasaran

Posted: 08 Oct 2014 11:06 AM PDT

Kuala Lumpur: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengambil tindakan drastik bagi memulihkan pencapaian atlet olahraga kebangsaan berikutan prestasi hambar dalam beberapa temasya sukan antarabangsa baru-baru ini.

Tindakan itu termasuk meletakkan Indeks Prestasi Utama (KPI) kepada jurulatih, manakala atlet yang gagal capai sasaran ditetapkan, tidak dibenarkan bertanding di luar negara lagi.

Presiden KOM Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, setiap jurulatih dan atlet perlu mengubah pemikiran dan mencapai KPI yang ditetapkan badan induk olahraga negara itu.

"Selepas ini jika atlet atau jurulatih tidak mencapai KPI, kita tidak akan hantar mereka bertanding di luar negara.

Mereka perlu ada sasaran untuk terus meningkat bukan setakat mendapat pendedahan saja, kita perlukan keputusan!.

"Bagi jurulatih, kalau gagal kita perlu gantikan dengan mereka yang lebih layak, jika kita masih di pemikiran lama, sampai bila-bila, kita akan terkebelakang," katanya.

Zainal Abidin berkata, KOM sudah merombak semula program pembangunan atlet elit dan pelapis olahraga dalam usaha melahirkan atlet bertaraf dunia.


Katanya, Pengarah Teknikal KOM Robert Ballard sudah pun menyediakan kertas kerja berhubung program berkenaan yang menggabungkan atlet elit dan pelapis, di samping menukar sistem kejurulatihan sedia ada.


"Kita ada ramai atlet berbakat, tapi banyak faktor lain yang menyebabkan usaha kita terbantut, misalnya aspek kewangan yang tidak mencukupi, pemikiran atlet dan jurulatih yang masih di takuk lama serta kekurangan infrastruktur," katanya.

Pada Sukan SEA di Myanmar, tahun lalu, skuad olahraga gagal mencapai sasaran lima pingat emas apabila sekadar meraih empat, enam perak dan tiga pingat gangsa.

Pada Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan baru-baru ini, prestasi skuad olahraga terus merosot.

- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/09

No comments:

Post a Comment