Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Fadhli, Antonio nadi pertahanan

Posted: 07 Oct 2014 11:58 AM PDT

Johor Bahru: Benteng ampuh menjadi taruhan terbaik Johor Darul Ta'zim (Johor DT) yang akan melayani kunjungan Terengganu pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Larkin, pada 17 Oktober ini.

Malah gandingan mantap Mohd Fadhli Shas dan Marcos Antonio bakal dipertaruhkan untuk mengemudi benteng tengah skuad Harimau Selatan bagi mengekang setiap asakan daripada barisan serangan skuad Penyu.

Apapun bagi Fadhli kerjasama rakan sepasukan memainkan peranan dalam misi memburu kemenangan di laman sendiri yang sememangnya menjadi gelanggang keramat buat skuad bimbingan Bojan Hodak.

"Kami semakin hampir melangkah ke separuh akhir dengan kelebihan tempat sendiri namun dalam mencari kemenangan saya harus waspada serangan lawan.

Foto

FADHLI (kanan) sedia sekat Terengganu.

Foto

ANTONIO.


"Memang amat lega apabila kami seri 0-0 dengan Terengganu di tempat lawan dan tempoh 90 minit baki perlawanan akan menjadi penentu.


"Saya bergandingan baik dengan Antonio selepas kami menidakkan Terengganu menjaringkan gol dan aksi konsisten itu harus diteruskan Sabtu ini," katanya.

Aksi suku akhir pertama Terengganu-Johor DT di Kuala Terengganu, Jumaat lalu yang berkesudahan seri tanpa jaringan membuka peluang untuk menyaksikan pertembungan sengit pada perlawanan kedua nanti dengan kedua-dua pasukan memburu slot ke separuh akhir.

Malah Fadhli tidak menafikan betapa barisan serangan skuad Penyu yang diterajui Ashaari Shamsudin dan Abdul Manaf Mamat harus dikekang kerana kedua-dua pemain itu amat berbahaya apabila melakukan serangan.

"Kami terpaksa bekerja keras mengekang asakan pemain Terengganu yang pantas melakukan serangan balas menerusi sayap kanan dan kiri namun saya dan Marcos (Antonio) mengekalkan disiplin untuk mematahkan setiap serangan.

"Bagi aksi kedua ini, saya dan rakan sepasukan perlu beraksi tanpa tekanan dan mengikut arahan taktikal yang dirancang," kata Mohd Fadhli.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

Zainal tak rela hilang pemain lagi

Posted: 07 Oct 2014 11:55 AM PDT

Kuantan: Episod duka beraksi dengan 10 pemain diharap tidak berulang apabila Pahang bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Jurulatih skuad Tok Gajah, Zainal Abidin Hassan berkata, kehilangan seorang pemain sememangnya memberikan kesan kepada keseluruhan persembahan pasukan seperti berlaku pada aksi pertama ketika seri 1-1.

Justeru, katanya, kesebelasan utama diturunkan nanti diharap mempamerkan prestasi lebih baik untuk menyekat PDRM daripada membolosi gawang Pahang.

"Bagi saya, faktor penyudah kurang tepat walaupun memiliki banyak peluang menyebabkan kami gagal menang di tempat sendiri.

Foto

KEHADIRAN Hafiz (kanan) mampu memperkasakan jentera tengah Pahang.


"Namun, kali ini saya harap pemain tidak mempersia-siakan peluang kerana sebarang jaringan akan menjadi penentu ke separuh akhir," katanya, di sini, semalam.


Ditanya peluang Mohd Hafiz Kamal kembali dalam kesebelasan utama, Zainal Abidin berkata beliau masih lagi meneliti tahap kecederaan pemain tengah itu.

Katanya, khidmat Hafiz sememangnya ditagih untuk memperkasakan jentera tengah tetapi penilaian lebih rapi perlu dilakukan untuk memastikan pemain itu benar-benar cergas.

"Setakat ini, secara keseluruhan tiada tekanan dihadapi pemain kerana mereka bersemangat untuk mengulangi kejayaan menjulang Piala Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

The Fighters yakin mara

Posted: 07 Oct 2014 11:50 AM PDT

Bangi: Berbekalkan modal selesa di samping semangat membara di kalangan rakan sepasukan, ketua pasukan FELDA United Mohd Shukor Adan yakin pasukannya mampu melangkah ke separuh akhir kempen Piala Malaysia musim ini.

Bukan bernada angkuh, tetapi naluri bekas pemain Negeri Sembilan, Selangor dan ATM itu cukup kuat mengatakan The Fighters mampu merealisasikan sasaran mara ke pentas final.

Shukor, 35, yang mencuri perhatian pengendali skuad kebangsaan Dollah Salleh buat menghadapi tugasan Piala AFF penghujung November, percaya kelebihan empat gol di tempat lawan itu sukar untuk digugat lawan, namun dia tetap menyeru rakan agar sentiasa berwaspada pada aksi timbal balik itu.

"Selangor ibarat harimau terluka, mereka akan bersungguh-sungguh untuk cuba mencari gol penyamaan.

Dalam bola sepak apa-apa pun boleh berlaku.

"Walaupun kami agak selesa, saya tetap mahu rakan sepasukan fokus dan beri komitmen 100 peratus," katanya ketika ditemui pada sesi latihan FELDA di Pusat Latihan Bank Simpanan Nasional (BSN), Bangi, semalam.

FELDA musim ini naib juara Piala FA dan Liga Perdana hingga meletakkan pasukan peneroka itu layak beraksi dalam kelompok pasukan elit di Liga Super musim depan, diakui banyak dipengaruhi pengaruh kapten itu memimpin rakan sepasukan ketika di dalam padang.

Malah, menurut pemain kelahiran Bukit Piatu, Melaka itu, kesemua pemain kini bersemangat untuk melakar kejutan dengan impian untuk mendakap piala keagungan itu selepas turut melakukan kejutan mara ke final Piala FA pada Jun lalu.

"Saya rasa ini peluang terbaik untuk kami (merangkul Piala Malaysia) kerana sejak awal musim, tiada pihak yang menyangka kami akan mara hingga ke tahap ini.


Saya harap kami akan menjulang sekurang-kurangnya satu piala," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

Arul calon terbaik

Posted: 07 Oct 2014 11:50 AM PDT

Kuala Lumpur: Muhammad Dhaarma Raj Abdullah secara terbuka memberi sokongan sekiranya Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menawarkan jawatan ketua jurulatih skuad senior kepada pengendali sementara Arul Selvaraj.

Dhaarma yang direhatkan sementara daripada tugas selaku ketua jurulatih skuad negara berikutan aksi hambar di Piala Dunia serta Sukan Komanwel berkata, Arul sememangnya calon terbaik untuk mengisi jawatan itu.

Malah Dhaarma sama sekali tidak terasa sekiranya MHC memberikan tugas itu kepada Arul kerana beliau sendiri mengaku belum bersedia untuk kembali membimbing skuad negara.

"Arul ialah individu terbaik untuk jawatan itu. Dia wajar terus diberikan peluang mempersiapkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Dunia pada Januari depan.

Foto

ARUL (kiri) berjaya jalankan tugas dengan cemerlang bersama skuad kebangsaan.


"Lagipun saya tak berminat untuk kembali membimbing skuad negara ketika ini. Biarlah saya fokus kepada apa yang saya buat sekarang," katanya ketika dihubungi semalam.


Arul menerusi laporan Arena Metro semalam berkata, beliau sedia menggalas dua tugas iaitu selaku ketua jurulatih skuad senior dan remaja sekiranya MHC meletakkan kepercayaannya kepadanya.

Ia rentetan kenyataan Presiden MHC Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang berkata Arul menjadi calon terbaik untuk terus membimbing pasukan negara meskipun gagal memenuhi sasaran memenangi pingat emas di Sukan Asia.

Dhaarma ketika ini berada di Eropah melawat beberapa kelab terkemuka dalam usahanya untuk memantapkan ilmu kejurulatihan.

Sehingga kini, dia sudah bersama lima kelab di Jerman dan bakal meneruskan penjelajahan di liga negara lain.

"Walaupun baru beberapa minggu berada di sini, banyak yang saya pelajari.
"Terlalu banyak pemain yang bagus beraksi di kelab terbabit. Sebab itu tidak hairanlah Jerman boleh menjadi antara pasukan terbaik dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

Tukar pasangan tiada masalah

Posted: 07 Oct 2014 11:44 AM PDT

Kuala Lumpur: Tidak kira siapa gandingannya, Lei Pei Jing sentiasa mempunyai misi peribadi setiap tahun untuk menjadi antara 10 pasangan terbaik dunia untuk acara badminton beregu campuran.

Pemain kelahiran Kuantan itu tidak menganggap sering bertukar pasangan akan menjejaskan misinya, malah kedua-dua pemain Chan Peng Soon dan Tan Aik Quan mempunyai kelebihan masing-masing.

"Saya tidak mahu komen mengenai bertukar pasangan boleh menjejaskan matlamat saya, kedua-dua pemain mempunyai kelebihan tersendiri," kata pemain berusia 22 tahun itu.

Selepas bergandingan dengan Peng Soon di Sukan Komanwel 2014 Glasgow, Pei Jing kembali bersama gandingan lamannya Aik Quan di Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen dan akan beraksi di beberapa lagi saingan Siri Super di Eropah.

"Peng Soon saya akui mempunyai pengalaman dari segi permainan.

Dia mempunyai keyakinan dan menjadi ketua yang bagus ketika berada di gelanggang.

"Aik Quan pula bagus dari segi serangan cuma kurang dari segi pengalaman, ketika bergandingan dengannya, saya akan mengambil peranan sebagai ketua," katanya.

Bagaimanapun, mengikut ranking beregu campuran sekarang ini, gandingan Peng Soon-Goh Liu Ying masih lagi pasangan terbaik negara apabila menduduki ranking ke-26 dunia.

Ranking Peng Soon-Pei Jing pula di tangga ke-50, dengan pencapaian terbaik mereka tahun ini Siri Super Terbuka India 2014 apabila mara ke suku akhir.

Kedudukan terkini gandingan Aik Quan-Pei Jing pula di tangga ke-64 dunia dengan pencapaian terbaik dicatat tahun lalu di Grand Prix Emas Terbuka Malaysia apabila melangkah ke saingan akhir.

Foto

PEI Jing punyai misi tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

'Usah rasa selesa'

Posted: 07 Oct 2014 11:43 AM PDT

Kuala Lumpur: Gandingan beregu Tan Boon Heong-Hoon Thien How tidak boleh berasa selesa walaupun mereka sekarang ini berada dalam tempoh 'rehat'.

Menurut jurulatih beregu negara Pang Cheh Chang, sebaik saja Boon Heong pulih daripada kecederaan otot, dia dan Thien How perlu sedar bahawa akan ada beregu pelapis mencabar kedudukan mereka.

"Saya rasa cabar mencabar ini langkah positif, jika tidak ada pasangan pelapis maknanya kita tidak berada dalam persekitaran yang sihat," katanya selepas sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara kelmarin.

Boon Heong sekarang ini masih lagi berehat berikutan kecederaan otot dialami sebaik tiba di Incheon untuk Sukan Asia 2014 bulan lalu.


Thien How pula dikhabarkan meneruskan latihan seperti biasa tetapi fokus kepada pembinaan semula bentuk fizikalnya.


"Pemain pelapis akan mempunyai inisiatif untuk mencabar pemain senior, tapi tekanan ini bagi peningkatan permainan mereka.

"Apabila pemain pelapis cuba mencabar mereka ia sangat baik buat Boon Heong dan Thien How. Mereka akan bersaing dengan pemain di bawah mereka termasuk Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang lebih muda," katanya.

Dalam masa yang sama, Cheh Chang turut mengakui Boon Heong-Thien How berada dalam program untuk mengumpul mata melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 Rio.

"Bagaimanapun sekarang ini saya mahu keadaan mereka fizikal mereka kembali pulih seperti biasa dan tidak menyenaraikan mereka ke Siri Super Premier Terbuka Denmark 2014 yang bermula minggu depan.

"Saya mahu mereka kembali capai puncak prestasi menjelang Siri Super Perancis 2014 yang berlangsung dari 21 hingga 26 Oktober ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

Bekas atlet setuju transformasi Khairy

Posted: 07 Oct 2014 11:41 AM PDT

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dituntut melakukan transformasi segera dengan membawa pendekatan baru dan bersistematik di samping tidak mengabaikan buah fikiran bekas atlet negara.

Nasihat itu dilontarkan bekas atlet angkat berat Roswadi Abdul Rashid yang mengakui prestasi semasa kontinjen negara amat menyedihkan, malah dilihat selangkah ke belakang walaupun pada suatu ketika begitu cemerlang ketika era Program Jaya '98.

Ketika itu, Malaysia melahirkan ramai atlet berprofil tinggi yang hebat menggegar dunia seperti Shalin Zulkifli (bowling), Datuk Nicol David (skuasy), Josiah Ng (basikal) dan Alex Lim (renang).

"Sebagai bekas atlet yang pernah mengibar cabaran negara dulu, rasa amat sedih dengan kemerosotan sukan negara sekarang ini.

"Saya menyokong sepenuhnya saranan menteri yang mahu merombak MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara).

Malah, saya juga bersetuju dengan kenyataan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang menyarankan agar badan sukan negara dikawal oleh mereka yang berilmu mengenai sukan.

"Nasihat saya kepada menteri, ambillah khidmat bekas atlet sebagai penasihat dalam membentuk program lebih mantap.

"Bekas atlet ini umpama berlian yang jika digilap boleh bersinar.


Ambil individu yang benar-benar berkelayakan, jika boleh guna khidmat bekas atlet yang sudah pencen ini untuk menyumbang kepada idea dan pembangunan sukan negara.

"Saya sudah berada dalam MSN selama 14 tahun, apa saya nampak kegagalan sekarang kerana latihan dan pembangunan yang kelam kabut.


"Contohnya baru-baru ini, di Glasgow atlet angkat berat Faizal Baharom terpaksa melakukan dua tugas sebagai jurulatih skuad wanita dan juga bertanding.

Mana boleh jadi macam itu, kalau dia fokus pada acara, saya yakin Faizal boleh dapat pingat "Kalau boleh tubuhkan penasihat sukan di kalangan bekas atlet negara," katanya semalam.

Roswadi, 45, pemenang pingat gangsa dalam dua temasya Sukan Komanwel di Manchester 2002 dan Melbourne 2006 turut mencadangkan agar pindaan dibuat terhadap akta sukan negara supaya menteri memiliki kuasa istimewa terhadap persatuan sukan.

"Baru-baru ini, menteri ada berkata tidak boleh kacau urusan persatuan.

Bagi saya, sebagai menteri, beliau boleh pulas telinga persatuan dan jangan terlalu beri muka kepada mereka dengan mengharap kepada MSN semata-mata.

"Kalau boleh gubal sedikit akta dengan persatuan duduk bawah menteri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

Siva Setiausaha Agung AMA

Posted: 07 Oct 2014 11:40 AM PDT

Kuala Lumpur: Bekas atlet olahraga kebangsaan, S Sivapragam dipilih sebagai Setiausaha Agung Persatuan Olahraga Masters Asia (AMA) dalam mesyuarat agungnya di Kitakami, Jepun, baru-baru ini.

Dalam pemilihan yang diadakan pada 23 September lalu, Sivapragam yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Olahraga Masters Malaysia (MMAA), memperoleh 17 undi berbanding calon dari Jepun, Fumio Sasaki yang hanya mendapat tujuh undi.

"Melalui lantikan ini, negara anggota persatuan ini percaya kepada kebolehan Malaysia menguruskan hal pentadbiran.

"Sasaran saya dalam masa lebih kurang dua tahun dari sekarang, mahu pastikan kesemua negara Asia menyertai persatuan ini," katanya.

Setakat ini hanya 25 negara termasuk Malaysia menyertai AMA.

Sivapragam pernah dilantik sebagai timbalan pengerusi pengelola dan pengarah kejohanan di Kejohanan Olahraga Masters Asia ke-16 pada 2010 semasa Malaysia menjadi tuan rumah.

Melalui pelantikan ini, beliau secara langsung turut dipilih sebagai Wakil Benua Asia dalam Persatuan Olahraga Masters Dunia.

- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

Lumut juara sulung LPA

Posted: 07 Oct 2014 11:38 AM PDT

Ipoh: Pasukan bola sepak Parlimen Lumut mengatasi segala kemungkinan untuk muncul juara pertama Liga Perak Amanjaya (LPA) 2014 apabila mengatasi pasukan Sungai Siput 4-3 melalui sepakan penalti di Stadium Perak, baru-baru ini.

Ketika kemenangan tampak seakan-akan berpihak kepada Sungai Siput selepas Lumut gagal menyepak masuk beberapa sepakan penalti, malangnya nasib tidak menyebelahi mereka apabila gagal menggunakan kelebihan dimiliki.

Sebaliknya lawan memanfaatkan peluang kedua untuk menjulang gelaran untuk sekali gus meraih RM30,000.

Dalam perlawanan akhir sengit itu kedua-dua pasukan terikat 1-1 termasuk masa tambahan untuk memaksa penentuan dibuat melalui sepakan penalti.

Akhirnya, Sungai Siput terpaksa berpuas hati dengan RM15,000.

Begitupun penyerang pasukan Sungai Siput, V Panthmanathan muncul penjaring gol terbanyak kejohanan dengan enam gol manakala penjaga gol Lumut, R Yuvaraj memenangi anugerah pemain terbaik perlawanan akhir.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan yang julung kali dianjurkan Jawatankuasa Pembangunan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Kelab Sukan Rekreasi dan Komuniti (SRCC) serta Majlis Sukan Negeri (MSN) itu.

Hadir sama menyaksikan perlawanan akhir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Shahrul Zaman Yahya, Presiden SRCC, Hairul Anuar Mohd Noor dan wakil rakyat.

Terdahulu, Bagan Serai memenangi tempat ketiga selepas menewaskan Tanjung Malim untuk meraih RM7,500.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

100 pasukan rebut RM13,000

Posted: 07 Oct 2014 11:37 AM PDT

Kuantan: Lebih 100 pasukan dijangka bersaing dalam empat kategori merebut hadiah wang tunai keseluruhan RM13,000 pada kejohanan hoki tujuh sepasukan yang akan diadakan di padang hoki Kuantan, pada Sabtu dan Ahad ini.

Kejohanan kali pertama anjuran Persatuan Hoki Daerah Kuantan (PHDK) itu turut menawarkan piala pusingan dan hadiah iringan kepada pasukan yang mencatatkan kejayaan membanggakan.

Timbalan Presiden PHDK Najmi Razak berkata, selain kategori terbuka turut diadakan kategori pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) lelaki dan wanita termasuk kategori pelajar lelaki sekolah bawah 12 tahun.

Menurutnya, selain hadiah lumayan ditawarkan, tarikan utama kejohanan julung kali diadakan itu pertandingan di atas padang tiruan.

"Ini memberi peluang kepada pemain beraksi di atas padang astroturf berwarna biru bertaraf antarabangsa," katanya.

Katanya, penganjur kini menerima pengesahan penyertaan daripada 71 pasukan membabitkan semua kategori dan jumlah berkenaan dijangka bertambah sebelum tarikh tutup kejohanan pada 10 Oktober ini.

"Kita meletakkan sasaran 100 pasukan akan bertanding pada kejohanan selama dua hari itu, namun jika jumlahnya bertambah pertandingan akan dimulakan lebih awal terutama membabitkan kategori pelajar bawah 12 tahun dan IPT.

"Justeru, saya berharap pasukan berminat menyertai kejohanan hoki tujuh sepasukan Kuantan kali pertama dianjurkan di negara ini supaya segera mendaftar sebelum tarikh tutup," katanya.

Yuran penyertaan antara RM100 hingga RM300 dan mana-mana pasukan yang membuat pendaftaran segera layak menerima potongan RM50.

Mereka yang berminat boleh menghubungi urusetia 01110885719 (Yazid).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

No comments:

Post a Comment