Harian Metro: MetroPlus

Harian Metro: MetroPlus


Kera masuk kampung

Posted: 27 Dec 2012 12:52 PM PST

KLANG: Kawasan hutan yang semakin berkurangan di daerah ini menyebabkan penduduk Kampung Sementa, di sini, diancam kehadiran kera yang mengganggu kehidupan penduduk sejak empat bulan lalu.

Lebih membimbangkan, kumpulan kera itu bukan saja mengganggu penduduk, malah menyebabkan persekitaran kawasan kotor apabila tong sampah penduduk diselongkar dan ada juga yang menceroboh rumah untuk mencari makanan.

Malah, kumpulan kera itu turut merosakkan tanaman penduduk seperti pisang, tebu dan beberapa pokok hiasan.

Bekas kakitangan awam, Ehsan Ahmad, 46, berkata, sekurang-kurangnya 20 kera liar sering berkeliaran mencari makanan di kawasan kebun di depan rumahnya walaupun belum ada kes serangan haiwan itu ke atas penduduk.

Foto

DI SANA...Ehsan menunjukkan kawasan tumpuan kera berkeliaran.


Katanya, ekoran itu, penduduk menebang pokok di kawasan kebun berkenaan bertujuan menghalau kera terbabit, namun tindakan itu gagal kerana bilangan haiwan itu bertambah setiap hari.


"Beruk di kawasan ini seolah-olah tidak takut manusia. Ini kerana biarpun walaupun pelbagai cara sudah dilakukan termasuk meletakkan perangkap untuk mengurangkan kehadiran haiwan itu, semuanya masih tidak berjaya.

"Selain itu, kami bukan saja takut diserang, tetapi menghadapi masalah untuk menjemur pakaian di ampaian. Pakaian disidai perlu disepit bagi mengelakkan ia dilarikan," katanya.

Ehsan berkata, kumpulan kera itu berkeliaran di kawasan kampung berkenaan tanpa mengira masa, tetapi lebih ketara ketika tengah hari dan petang dipercayai untuk mencari makanan.

"Kera berkenaan seperti mengetahui aktiviti harian manusia kerana menjelang tengah hari, lebih banyak kera berkeliaran berikutan pada waktu itu kebanyakan penduduk menyediakan makanan.

"Saya bimbang dengan tahap keselamatan penduduk di sini, terutama kanak-kanak kerana kera berkenaan boleh bertindak ganas pada bila-bila masa dan boleh mendatangkan kecederaan," katanya.

Sehubungan itu, dia merayu pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) supaya mengambil tindakan sewajarnya sebelum berlakunya kejadian tidak diingini.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Selangor, Rahim Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima aduan daripada penduduk mengenai masalah kera yang mengganggu penduduk di kampung berkenaan.

Menurutnya, pihak Perhilitan sudah memasang perangkap dan menangkap 65 kera yang sering berkeliaran di perumahan penduduk.

"Sukar untuk menghapuskan kera yang berkeliaran kerana kawasan berkenaan berhampiran dengan hutan paya bakau yang menjadi habibat asal haiwan berkenaan.

"Namun, kami akan menjalankan pemantauan berterusan untuk memastikan keadaan terkawal dan beruk yang berkeliaran tidak mengganggu penduduk," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai masalah mengenai kehadiran kera di kawasan perumahan mereka boleh menghubungi Pejabat Perhilitan Pelabuhan Klang di talian 03-55193915 untuk menyalurkan maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28

No comments:

Post a Comment