Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Aksi bak pahlawan

Posted: 10 Oct 2014 01:32 PM PDT

Alor Setar: Kedah menamatkan kemarau aksi separuh akhir sejak tujuh tahun lalu dengan membenam Kelantan 3-0 pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia untuk layak dengan agregat 4-3 di Stadium Darulaman malam tadi.

Kedah yang beraksi di depan lebih 30,000 peminat setianya gagal menguasai bahagian tengah pada awal permainan dan situasi itu membuka peluang kepada Kelantan untuk mengatur serangan.

Hanya ketangkasan ketua pasukan Khairul Helmi Johari yang beraksi di bahagian tengah pertahanan berjaya menggagalkan usaha The Red Warriors (TRW).

Kedah turut mendapat beberapa peluang tetapi penyerangnya Billy Osman Mehmet dan Khyril Muhymeen Zambri kerap kali terlambat untuk menyambut hantaran rakan sepasukan mereka.

Foto

PEMAIN Kedah meraikan kemenangan ke atas Kelantan.


Pada masa sama, pasukan pelawat yang turun berbekalkan modal 3-1 dari aksi pertama, begitu pantas mengatur serangan menerusi Francis Forkey Doe dan Fakri Saarani yang acap kali mencemaskan pintu gol Helang Merah.


Akhirnya, Stadium Darulaman bergegar apabila pemain tengah muda Kedah Hanif Dzahir manfaatkan hantaran tepat Mehmet dari sebelah kanan untuk menguis bola masuk melepasi jangkauan penjaga gol Kelantan dan juga kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-42.

Tiga minit pada separuh masa kedua Forkey Doe mengatasi perangkap ofsaid sebelum menewaskan pertahanan Khairul Helmi tetapi tendangannya ditolak keluar penjaga gol tuan rumah Saiful Amar Sudar.

Selepas kejutan Forkey Doe itu, barisan pemain Kedah seolah-olah terjaga dan kesilapan pemain pertahanan Kelantan pada minit ke-51 menghadiahkan bola ke kaki Baddrol Bahtiar yang percubaannya melepasi Khairul Fahmi menuju ke penjuru kanan gawang pelawat bagi tuan rumah mendahului 2-0 untuk agregat 2-2.

Pada minit ke-70 Fakri dilayangkan kad kuning kedua dan diarah keluar padang kerana mengasari pemain gantian Farhan Roslan. Keadaan itu menyaksikan Kelantan terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada baki 20 minit perlawanan. Pada minit ke-89 Adam Griffiths membuat umpanan cantik selepas beberapa percubaan sebelum itu disekat dan pemain gantian Syafiq Ahmad menyudahi gerakan bagi membolehkan Kedah mengukuhkan kedudukan untuk mendahului 3-0 dan agregat 4-3, sekali gus tempat di separuh akhir.

Bagi Kelantan, tiada siapa yang boleh dipersalahkan kecuali diri sendiri kerana membiarkan peluang mara ke separuh akhir terlepas daripada genggaman.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/11

The Fighters gah mara

Posted: 10 Oct 2014 01:27 PM PDT

Temerloh: FELDA United melakar sejarah baru apabila menempah tiket ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menyingkirkan bekas juara 32 kali Selangor dengan agregat 7-3 selepas terikat 3-3 dalam aksi suku akhir kedua yang berlangsung di Stadium Mini Temerloh, malam tadi.

Skuad Merah Kuning yang dikritik hebat sebelum ini susulan kekalahan besar aksi pertama, hampir mengotakan janji kepada penyokong setianya untuk meraih kemenangan di halaman lawan, namun tiga gol tonggak importnya hasil sumbangan Paulo Rangel dengan dua gol dan satu Andik Vermanshah belum cukup untuk menghalang The Fighters mara selaku empat pasukan terbaik.

Kesungguhan jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic untuk mencari kemenangan terbukti apabila pengendali itu melakukan rombakan dengan mempertaruhkan penjaga gol veteran Mohd Hamsani Ahmad serta pertahanan kental Shahrol Abdul Kalam bagi mengukuhkan barisan pertahanan yang mudah roboh dalam aksi sebelum ini.

Kesungguhan pelawat mencari gol awal untuk cuba sekurang-kurangnya mengheret perlawanan ke masa tambahan terserlah melalui corak permainan menyerang yang hampir membuahkan hasil pada minit kelapan tetapi percubaan penyerang Selangor Muhammad Afiq Azmi dibatalkan pengadil akibat ofsaid.

Foto

PEMAIN FELDA, Zah Rahan Krangar (tengah) diasak pemain Selangor.


Dua minit kemudian giliran pemain tuan melakukan percubaan ke arah kubu Selangor, namun tandukan lemah ketua pasukan FELDA Mohd Shukor Adan tepat ke dakapan penjaga gol Selangor.


Ayam tambatan Selangor, Rangel memecah kebuntuan pada minit ke-33 hasil rembatan kencang dalam kotak penalti selepas menerima hantaran lambung Muhammad Afiq Azmi di sebelah kanan kubu tuan rumah buat membangkitkan semangat rakan sepasukannya.

Sebaik saja babak kedua bersambung, tuan rumah tidak menunggu lama untuk mengikat kedudukan menerusi jaringan Edward Junior Wilson di minit ke-47. Namun, Andik membalas pada minit ke-52 untuk meletakkan Merah Kuning sekali lagi mendahului dengan 2-1.

Rangel menambah jaringan ketiga pelawat pada minit ke-60, namun barisan kendalian Irfan Bakti tidak mudah berputus asa apabila bangkit mengikat kedudukan 3-3 hasil jaringan Wilson dan Indra Putra Mahayuddin masing-masing di minit ke-69 dan 82 buat mengesahkan laluan FELDA ke separuh akhir.

Berikutan kekalahan itu leburlah impian Misi 33 Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/11

Lebur impian Pahang

Posted: 10 Oct 2014 12:36 PM PDT

Kuala Lumpur: Berdepan Pahang selaku juara bertahan Piala Malaysia pada suku akhir kedua bukan tugas mudah buat Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun The Cops tetap optimis untuk keluar sebagai pemenang dari Stadium Shah Alam malam ini.

Selepas mengikat skuad Tok Gajah 1-1 di Kuantan minggu lalu, moral dan keyakinan barisan pemain kendalian Azman Adnan berada pada tahap cukup bermotivasi untuk melakar kejutan dengan tekad meranapkan impian juara bertahan itu mempertahankan piala keagungan itu buat kali kedua berturut-turut.

Azman, 43, ketika dihubungi berkata, pasukannya sudah tidak sabar menanti detik penting untuk cuba melakukan kejutan dalam kempen Piala Malaysia selepas cemerlang pada saingan Liga Perdana dan peringkat kumpulan Piala Malaysia sebelum ini.

Justeru, bekas pemain Selangor dan kebangsaan itu mahu anak didiknya memberi tentangan sengit dan meneruskan rentak cemerlang yang mereka pamerkan ketika berdepan barisan kendalian rakan karibnya Zainal Abidin Hassan bagi mencuri slot ke kelompok empat pasukan terbaik.

"Kami hanya pasukan underdog, bukan seperti Pahang yang memegang status juara bertahan.

"Tapi, kami tidak akan mengalah dan saya jangkakan perlawanan itu nanti menawarkan aksi sengit buat kedua-dua pasukan," katanya.

Ayam tambatan PDRM Ashfaq Ali sekali lagi bakal memainkan peranan selaku penggempur untuk memburu gol kemenangan di samping mengharapkan ketangkasan penjaga gol veteran Azizon Abd Kadir mempertahankan kubu.

"Bukan mudah untuk menewaskan juara bertahan.

Namun, dalam bola sepak apa saja boleh berlaku dan bagi saya, kami sudah mempunyai kelebihan gol.

"Saya harap semua jentera dari bawah hingga atas mampu menunjukkan aksi terbaik.

Sikap positif dan komited serta bersemangat setiap kali mengharungi perlawanan akan diteruskan pada aksi penting nanti," katanya.

Foto

PEMAIN PDRM sedia lakar kejutan ke atas Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/11

Zainal mahu pemain fokus 100%

Posted: 10 Oct 2014 12:34 PM PDT

Kuantan: Pengendali Pahang Zainal Abidin Hassan mengulangi amaran kepada pemainnya supaya memberi tumpuan 100 peratus terhadap aksi menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Shah Alam, malam ini.

Pada masa sama, Zainal Abidin turut mengingatkan pemain supaya tidak mengulangi kesilapan yang boleh memberi tekanan kepada skuad Tok Gajah dalam misi mempertahankan kejuaraan musim lalu,.

Justeru, bekas pemain kebangsaan itu berkata, gol awal menjadi matlamat utama mereka bagi memastikan kedudukan selesa kerana PDRM dilihat mempunyai kelebihan apabila beraksi di gelanggang sendiri.

Katanya, ini kerana sepanjang sesi latihan, semua pemain begitu bersemangat untuk kembali memperkasakan jentera serangan yang agak tumpul pada perlawanan suku akhir pertama lalu.

"Semua pemain mengakui kecewa apabila gagal menang tapi mereka sedia bangkit untuk mencatat kemenangan atas PDRM.

"Oleh itu saya harap barisan pemain terutama jentera serangan akan lebih menjadi malam esok (ini)," katanya semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Zainal Abidin mengesahkan dua pemain utama skuad itu dijangka mengisi kesebelasan utama iaitu penjaga gol utama, Khairul Azhan Mohd Khalid dan Mohd Hafiz Kamal.

Katanya, kedua-dua pemain itu menunjukkan perkembangan positif dan sedia diturunkan bagi membantu Pahang layak ke separuh akhir piala berprestij itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/11

PBNJ ada asas kukuh

Posted: 10 Oct 2014 12:23 PM PDT

Kelana Jaya: Walaupun terpaksa akur dengan perubahan tarikh baru perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia, Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) mengakui mereka mempunyai asas kukuh untuk melangsungkan perlawanan menentang Terengganu pada 17 Oktober ini.

Menurut Setiausaha Kehormat, Mohd Fahmy Yahya mereka mempunyai fakta kuat untuk melangsungkan perlawanan pada 17 Oktober berbanding tarikh asal, 11 Oktober.

"Untuk makluman tarikh 16 Oktober hasil keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sendiri," katanya selepas mesyuarat bersama wakil Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan FAM semalam.

Jelasnya, Johor Darul Ta'zim (Johor DT) tidak seperti pasukan negeri lain yang sesuka hati meminda jadual.

"Kami memang layak bermain pada 17 Oktober, perkara ini akan menyebabkan perbalahan jika pasukan tanpa sebab kuat menukar tarikh lain.

"Saya ingin menasihatkan pasukan lain, selepas ini buat tindakan yang bijak, jangan melakukan tanpa sebab berasas," katanya.

Semalam FAM menetapkan tarikh baru perlawanan suku akhir kedua pada 16 Oktober hasil perbincangan dan pandangan daripada kedua-dua wakil PBNJ dan PBSNT.

Sebelum ini pihak PBNJ melalui Presiden Tunku Ismail Sultan Ibrahim menempelak PBSNT kerana mempertikaikan penundaan tarikh suku akhir kedua Piala Malaysia membabitkan pasukannya.

Foto

MOHD Fahmy (kiri) mewakili Johor DT akur dengan keputusan FAM.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/11

'Tolong layan sama rata'

Posted: 10 Oct 2014 12:21 PM PDT

Kelana Jaya: Biar apa pun keputusannya, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) akur dengan perubahan tarikh baru perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia.

Bagaimanapun, wakilnya yang juga pengurus pasukan, Marzuki Sulong seakan-akan memberi peringatan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar masalah perbalahan tukar-menukar tarikh perlawanan ini tidak berulang lagi.

"Saya harap pada masa akan datang pihak FAM melayan semua pasukan sama rata," katanya selepas mesyuarat dengan wakil Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dan FAM semalam.

Jelasnya, Terengganu bersetuju dengan tarikh baru perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (Johor DT) di gelanggang lawan iaitu pada 16 Oktober ini.

"Saya bagi pihak Terengganu bersetuju dengan tarikh ini demi keharmonian bola sepak negara," katanya.

Sebelum ini, Terengganu tidak berpuas hati dengan tindakan Johor DT yang mahu meminda tarikh perlawanan suku akhir kedua dari 11 kepada 17 Oktober.

Rabu lalu, PBSNT mengeluarkan kenyataan perubahan tarikh saingan suku akhir kedua Piala Malaysia seperti perlawanan bola sepak antara kampung dan keputusan itu tidak masuk akal, pelik serta tidak bermaruah.

Kelmarin Presiden PBSNT Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata Terengganu tidak akan bermain pada perlawanan suku akhir kedua jika tarikh penangguhan di kekalkan pada 17 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/11

Enam sukan terpilih

Posted: 10 Oct 2014 12:20 PM PDT

Kuala Lumpur: Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk meningkatkan mutu sukan berprestasi tinggi membabitkan enam bidang sukan terpilih pada pembentangan Bajet 2015 semalam mendapat reaksi positif persatuan sukan yang berkenaan.

Enam sukan yang diumumkan Perdana Menteri adalah bola sepak, berbasikal, badminton, sepak takraw, renang dan olahraga.

Bagi Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad, pengumuman itu membuktikan kerajaan terus meletakkan kepercayaan kepada sukan berbasikal negara untuk cemerlang di peringkat dunia.

"Ia satu penghormatan tapi pada masa sama tanggungjawab yang dipikul juga cukup berat.

"Kami tidak boleh mengharapkan atlet sedia ada dan perlu membangunkan pelapis agar dapat menempa kejayaan lebih besar di peringkat antarabangsa," katanya.

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Mohamad Norza Zakaria pula berkata, kerajaan sememangnya terus dapat mengenal pasti badminton sebagai sukan tumpuan.

"Bermakna, kita juga perlu pertahankan status selaku antara kuasa besar dalam sukan badminton.

Apa yang dilakukan kerajaan amat tepat sekali kerana sukan ini dimainkan rata-rata rakyat Malaysia," katanya.

Bagi Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) Edwin Chong, pengumuman itu cukup melegakan pihaknya kerana mereka sememangnya mengharapkan bantuan berterusan daripada kerajaan.

"Kami pernah maklumkan masalah dihadapi persatuan kepada Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) dan ternyata keluhan kami mendapat perhatian.

Kami ucapkan terima kasih," katanya.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Afandi Hamzah pula berkata, keputusan kerajaan itu membolehkan sukan berkenaan terus maju.

"Ini satu usaha yang amat baik dan murni oleh kerajaan.


Saya bersyukur kerana bola sepak terus tersenarai untuk sukan berprestasi tinggi," katanya.

Bagi Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Zainal Abidin Ahmad, kerajaan membuka lembaran baru kepada sukan itu melalui pengumuman berkenaan.

"Pengumuman ini sememangnya memberi suntikan positif kepada sukan olahraga," katanya.


Sementara itu, Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Ahmad Ismail berkata, beliau gembira apabila buat pertama kalinya sukan itu mendapat pengiktirafan hingga disebut dalam pembentangan Bajet 2015.

"Saya ingin berterima kasih kepada Perdana Menteri, Menteri Belia dan Sukan serta semua yang terbabit hingga membolehkan sepak takraw mendapat peruntukan menerusi kuota sukan berprestasi tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/11

Suntikan dana RM103 juta

Posted: 10 Oct 2014 12:20 PM PDT

Kuala Lumpur: Kerajaan melalui pembentangan Bajet 2015 bersetuju akan mengambil langkah bersepadu dalam menjadikan Malaysia negara bersukan dengan suntikan peruntukan RM103 juta.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kerajaan akan merealisasikan Blueprint Negara Bersukan atau 'Sporting Nation'.

"Bagi mencapai hasrat ini, kerajaan memperuntukkan RM103 juta dengan melaksanakan beberapa langkah yang sudah dikenal pasti," katanya dalam pembentangan Bajet 2015, semalam.

Jelasnya, langkah pertama adalah memastikan pengekalan dan kesinambungan bakat sukan bermula daripada peringkat sekolah rendah melalui Program Mengenalpasti Bakat Sukan (TID) Malaysia.

"Program ini membabitkan pengujian, saringan dan pengkhususan bakat di kalangan pelajar sekolah.

"Kedua, meningkatkan mutu sukan berprestasi tinggi untuk enam bidang sukan terpilih dalam fasa pertama iaitu bola sepak, berbasikal, badminton, sepak takraw, akuatik dan olahraga," katanya.

Langkah itu jelas sekali disambut baik semua pimpinan sukan terbabit dan berjanji untuk berusaha keras untuk membalas budi baik kerajaan.

Ujar beliau, langkah ketiga untuk menjadi Malaysia sebuah negara sukan adalah menyemarakkan Program FitMalaysia yang menumpukan kepada kecergasan fizikal.

"Malaysia juga akan menyambut Hari Sukan Negara pada Sabtu pertama dalam bulan November setiap tahun dengan pembabitan sektor awam, swasta dan rakyat secara serentak di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/11

Peruntukan mampu tingkat sukan negara

Posted: 10 Oct 2014 12:19 PM PDT

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyifatkan peruntukan tambahan RM103 juta kepada pembangunan sukan sebagai usaha kerajaan meningkatkan mutu sukan negara.

Khairy berkata, oleh itu kementerian dan agensi sukan terbabit memikul tanggungjawab besar untuk melancarkan program yang ditetapkan dalam meningkatkan prestasi sukan negara.

"Sebahagian besar peruntukan yang diumumkan hari ini adalah pelan induk untuk menjadikan Malaysia sebagai negara bersukan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas pembentangan Bajet 2015 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, secara keseluruhan peruntukan ini bertambah secara mendadak bagi pembangunan sukan. Dengan pelbagai inisiatif baru ini, ia memberi tanggungjawab besar kepada atlet untuk meningkatkan prestasi mereka.


Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan 'Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat' di Dewan Rakyat berkata, kerajaan akan memperuntukkan RM103 juta bagi mengubah Malaysia menjadi sebuah negara bersukan menerusi empat langkah bersepadu.


Selain itu kerajaan juga mahu meningkatkan mutu sukan berprestasi tinggi menerusi enam bidang sukan terpilih dalam fasa pertama membabitkan bola sepak, berbasikal, badminton, sepak takraw, renang dan olahraga.

Sementara itu Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata, langkah kerajaan meningkatkan mutu sukan berprestasi tinggi adalah penting dalam memastikan sukan negara terus berkembang maju.

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan kerana terus menyalurkan bantuan kepada badan sukan terbabit walaupun atlet negara mempamerkan aksi hambar pada Sukan Komanwel di Scotland dan Sukan Asia di Korea Selatan.

"Sukan teras seperti bola sepak, berbasikal, badminton, sepak takraw, renang dan olahraga memang memerlukan satu program khusus untuk dibangunkan semula selepas prestasi buruk pada kedua-dua temasya sukan itu," kata Kok Chi. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/11

Shahril enggan kecewa lagi

Posted: 10 Oct 2014 12:18 PM PDT

Kuala Lumpur: Penyerang muda negara Muhammad Shahril Saabah tidak mahu berdepan kekecewaan pada saingan Piala Sultan Johor selepas kudratnya berterusan ditagih bersama skuad senior untuk beraksi pada enam kejohanan berturut-turut.

Shahril antara barisan pemain muda yang sering mendapat tempat dalam skuad senior dan terpilih untuk beraksi pada saingan Piala Asia, Cabaran Juara-Juara 1, Piala Sultan Azlan Shah, Piala Dunia, Sukan Komanwel serta Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, baru-baru ini.

Berikutan deretan kejohanan disertainya, sudah tentu pengalamannya akan ditagih dalam skuad remaja negara pada kejohanan jemputan yang memasuki edisi keempat itu.

"Saya tak berasa penat atau tertekan selepas beraksi dalam enam kejohanan berturut-turut bersama-sama skuad senior.

"Cuma, rasa tidak cukup puas sebab tidak dapat beraksi dengan baik dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

"Kalau boleh saya tidak mahu kalah lagi di Piala Sultan Johor.

Lagipun ini penampilan terakhir saya bersama skuad remaja di kejohanan ini," katanya.

Jelas Shahril, dia mahu melupakan semua kejohanan yang disertainya sebelum ini dan menumpukan kepada saingan Piala Sultan Johor kali ini.

Skuad negara muncul naib juara pada edisi lalu selepas tewas 0-3 kepada India pada aksi final.

Selain Malaysia, lima lagi pasukan yang bakal beraksi pada edisi kali ini adalah Australia, India , New Zealand, Pakistan dan Britain.

Skuad negara akan bertemu Australia pada perlawanan pertama esok.

Foto

SHAHRIL kerap diberi kepercayaan beraksi bersama skuad senior.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/11

No comments:

Post a Comment