Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Payung terus 'kembang'

Posted: 06 Oct 2014 03:01 PM PDT

Sejak enam hari lalu, payung, riben kuning, karikatur ahli politik dan lirik lagu menghiasi seluruh bandar raya Hong Kong yang lengang daripada kenderaan bagi memberi laluan kepada gelombang terbaru protes politik prodemokrasi.

Jejambat lebuh raya pula dipenuhi nota kecil pelbagai warna berisi kata-kata semangat dan sokongan, manakala poster pemimpin bandar raya itu yang digambarkan sebagai zombie dan pontianak digantung di jambatan dan tiang lampu.

Laluan pejalan kaki dan papan tanda juga diikat dengan riben kuning yang menjadi simbol pergerakan berkenaan.

Gelombang berkenaan tidak terhad di pulau berkenaan saja.

Di luar sempadan Hong Kong, puluhan ribu aktivis gerakan prodemokrasi menyatakan sokongan dengan pelbagai cara, termasuk menggunakan riben serta warna kuning pada gambar profil mereka di media sosial.

Dalam keadaan bandar yang kadang kala panas terik dan hujan lebat, payung muncul sebagai antara 'watak' utama untuk penduduknya.

Malah kini ia menjadi lebih penting selepas penunjuk perasaan menggunakan payung bagi melindungi diri mereka daripada semburan lada oleh polis.

Suasana itu sekali gus membari nama baru kepada gerakan berkenaan: Revolusi Payung.

Barisan payung yang diikat dengan riben memenuhi jalan raya dan ada antaranya disusun membentuk pokok dan diletakkan di pekarangan pejabat kerajaan.

Jalan raya di Hong Kong pula menjadi medan seni penunjuk perasaan meluahkan ketidakpuasan hati melalui lukisan dan slogan yang dicoret di ruang kosong serta papan tanda.

Selain itu, muzik menjadi saluran penting menyatukan penunjuk perasaan, dengan dua atau tiga lagu utama protes bergema di kalangan mereka yang berhimpun.

Di suatu sudut, ada sepanduk bertulis lirik lagu John Lennon, "Imagine" digantung.

Pada sepanduk itu dapat dilihat kata-kata: "Some may say I'm a dreamer, but I'm not the only one." Lagu balada era 1980-an yang dinyanyikan kumpulan Beyond dari Hong Kong, "Hoi Fut Tin Hung" (Di Bawah Langit Luas) pula menjadi lagu paling popular di kalangan penunjuk perasaan.

Foto
Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/07

Chef tanak kekasih

Posted: 06 Oct 2014 02:20 PM PDT

Seorang tukang masak mengerat dan memasak kekasihnya sebelum mengambil tindakan drastik membunuh diri dengan mengelar lehernya sendiri.

Pihak polis dipanggil untuk memeriksa apartmen milik Marcus Volke, 28, semalam selepas jiran mengadu terhidu bau busuk seperti daging reput.

Namun mereka terkejut apabila menemui bahagian anggota badan Mayang Prasetyo sedang dimasak di dalam periuk.

Bahagian lain badan Mayang - seorang pondan pelacur - ditemui dalam tong sampah.

Sementara itu, satu lagi mayat dipercayai Volke ditemui di dalam tong sampah besar di lorong di luar bangunan apartmen berkenaan, dipercayai kerana membunuh diri.

Menurut polis, Volke melarikan diri melalui pintu kaca di balkoni apartment itu selepas polis mengetuk pintu kediamannya sebelum menyorok di lorong berkenaan dan mengelar lehernya.

Pasangan itu baru berpindah ke apartmen mewah di Teneriffe beberapa bulan lalu.

Menurut jiran, mereka kerap bertengkar sehingga seminggu lalu.

Volke dan Mayang berkenalan ketika kedua-duanya bekerja sebagai tukang masak di kapal pesiaran antarabangsa.

Ibu Volke, Dorothy berkata, anaknya itu baru pulang ke Australia.

"Dia nampak gembira dan sudah membuat perancangan untuk menyambut Krismas bersama kami.

Semuanya kelihatan biasa saja," katanya.

Sementara itu, penduduk bangunan berkenaan Courtney Reichart berkata dia terhidu bau busuk pada Rabu lalu yang semakin hari semakin teruk.

"Malah ketika keluar pada Sabtu lalu, saya terkejut kerana baunya terlampau kuat dan busuk menyebabkan mata berair dan hampir muntah.

Baunya seperti ada daging yang dibiarkan di luar sehingga reput.

"Kasihan mangsa, entah berapa hari mayatnya dalam keadaan begitu dan kami semua tidak terfikir untuk memeriksa, sekadar hati terdetik ada sesuatu tidak kena namun siapa sangka rupanya ini yang berlaku?" katanya, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/07

Sudah terlewat, dimaki pula

Posted: 06 Oct 2014 02:16 PM PDT

Dorset (England): Seorang atlet yang menghabiskan masa setahun berlatih untuk menyertai pertandingan triatlon akhirnya hanya mampu menggigit jari apabila terlepas acara itu kerana tertidur.

Jody George, 34, turut menerima derma daripada rakan-rakannya selain sering memaklumkan mereka mengenai perkembangan terkini persiapannya untuk Triatlon Weymouth yang memerlukannya berenang 3.8 kilometer (km), mengayuh basikal sejauh 180km dan melakukan larian jarak jauh.

Penyertaannya itu bagi mengutip derma untuk perkhidmatan Ambulans Udara Devon dan Somerset.

Menurut George, dia mengunci jam pada telefon bimbitnya untuk bangun pada jam 3 pagi pada hari pertandingan.

Namun malangnya, George tertidur semula selepas jam berbunyi dan hanya bangun pada jam 5.55 pagi menyebabkannya tidak sempat sampai ke lokasi triatlon berkenaan.

"Memang itu antara detik paling mengecewakan dalam hidup saya malah ketika itu hanya mampu merenung telefon bimbit saya dengan perasaan tidak percaya.

"Saya terlalu terkejut namun menerima hakikat tidak dapat berlumba lalu terus menghubungi tunang saya.

"Dia menjerit dan memaki hamun kerana kecewa.

"Saya mengambil beberapa hari untuk mengatasi kekecewaan itu sebelum mampu membuat pengakuan kepada rakan-rakan yang menyokong dan menderma," katanya.

Katanya, dia berlatih selama setahun untuk acara itu malah sering menceritakan di Facebook kerana ramai mengikuti perkembangannya.

Akibatnya dia terpaksa mengakui kesilapannya kepada semua peminatnya malah turut menawarkan untuk memulangkan wang derma yang disumbangkan.

Bagaimanapun, dia mewujudkan satu lagi triatlon berhampiran rumahnya kerana tidak mahu terus mengecewakan rakan-rakan serta peminatnya.

Kelmarin, pada jam 6.30 pagi, George berenang di Sungai Sowy sebelum menghabiskan kayuhan basikal dan larian mengelilingi pekan Burrowbridge seterusnya menamatkan cabaran itu dalam tempoh 14 jam.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/07

Miyabi mencari suami

Posted: 06 Oct 2014 02:13 PM PDT

Pelakon Maria Ozawa yang turut terkenal dengan nama julukan Miyabi mengaku sedang mencari pasangan hidup selepas kian bosan membujang.

Pengakuan itu dibuat Maria ketika dia memang dikenali sebagai aktres yang sentiasa mempunyai 'pasangan' berdasarkan statusnya sebagai pelakon filem lucah.

Maria, 28, berkata, dia tidak kisah bakal pasangan hidup itu datang dari negara mana kerana yang penting lelaki itu seorang yang memahami kerjayanya.

"Saya tidak peduli siapa orangnya dan warga negara apa, sama ada dari Jepun mahupun Indonesia.

"Paling penting bakal kekasih saya itu dapat menerima saya seadanya, termasuk keperluan pekerjaan saya," katanya kepada Tribunnews semalam.

Maria adalah seorang daripada pelakon filem lucah paling terkenal di dunia dan pada Mei 2010 muncul dalam filem komedi dewasa Indonesia, Menculik Miyabi.

Filem itu diarah oleh Findo Purwono HW.

Pada November tahun sama Maria sekali lagi mewarnai layar perak Indonesia melalui filem seram Hantu Tanah Kusir.

Menurut Maria, tanpa mempedulikan tanggapan orang lain, dia amat menyukai pekerjaannya sebagai pelakon.

Justeru, dia yakin akan dapat membina rumah tangga bahagia pada masa depan jika kekasihnya dapat menerima dia seadanya.

Bercakap mengenai pengalamannya ke Indonesia, Maria berkata dia pernah ke negara itu sebanyak empat kali antara 2009 hingga 2010.

Tiga daripada empat lawatan itu adalah ke Bali untuk mempromosi filemnya.

Sementara itu, mengulas mengenai kemunculan akaun palsu di Twitter dan Youtube menggunakan namanya, Maria berasa amat kesal dengan tindakan pihak tertentu yang mengambil kesempatan.

"Ia buat saya bingung.

Akaun palsu itu ada lebih ramai pengikut berbanding akaun asli," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/07

Penduduk anjur kenduri kesyukuran Annas ditahan

Posted: 06 Oct 2014 02:07 PM PDT

Bagansiapiapi (Indonesia): Penduduk daerah Rokan Hilir di Riau menyambut penangkapan gabenor mereka dengan cara tersendiri, lapor media semalam.

Walaupun tindakan Komisi Pembanterasan Korupsi (KPK) Indonesia itu menjadi khabar buruk untuk Gabenor Riau Annas Maamun, penduduk setempat sebaliknya meraikan perkembangan itu dengan mengadakan kenduri kesyukuran.

Seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Faisal berkata, sebahagian orang kampung mencukur botak kepala mereka dan meraikannya dengan mengelilingi Bagansiapiapi.

"Di tempat lain, ada yang membuat nasi kunyit sebagai tanda syukur ke atas penahanan bekas Pegawai Daerah Rokan Hilir," katanya.

Alasan mereka, pentadbiran Annas yang dianggap sebagai kuku besi menyebabkan kehidupan mereka begitu tertekan.

KPK menangkap sembilan suspek rasuah di Cibubur, Jakarta Timur pada 25 September lalu.

Seorang daripadanya ialah Annas.

Sebelum ini nama Annas dikaitkan dengan pelbagai salah laku, termasuk serangan seksual, penyalahgunaan dana kerajaan dan kronisme.

Kata Faisal, mangsa kerakusan Annas terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk kakitangan swasta.


Sementara itu seorang daripada mangsa Annas ialah bekas pemimpin daerah Bangko, Mulyadi.


Menurut Mulyadi, dia tidak menerima gaji selama empat tahun kerana tidak mahu mengikut kehendak Annas.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/07

Bunuh keluarga angkara cemburu

Posted: 06 Oct 2014 01:58 PM PDT

Manila: Seorang lelaki membunuh tiga anak dan ibu mentunya sebelum mengelar lehernya dalam kejadian dipercayai berpunca daripada cemburu.

Penyiasat berkata, maklumat awal menunjukkan Eric Fiques bertindak ganas selepas mengesyaki isterinya menjalin hubungan sulit dengan orang ketiga.

Jurucakap polis daerah Cebu berkata, kejadian berlaku di rumah Fiques di Sitio Manlayag, Catmon.

Katanya, ketika kejadian isteri Fiques tiada di rumah kerana keluar bekerja di bandar Lapu-lapu.

Berdasarkan laporan awal polis Catmon, Fiques menikam anaknya Estephanie, 6, John Eric, 4, dan Erca Lynn, 2, berkali-kali.

Keadaan itu mendorong ibu mentuanya, Emilda Molat, cuba membantu namun wanita berusia 47 tahun itu pula diserang.

Sumber berkata, suami Emilda berjaya lari dan meminta bantuan jiran.

Penyiasat berkata, pembunuhan itu berlaku pada hari lahir Estephanie dan Emilda sedang menyiapkan makanan di rumahnya.

Setelah hidangan siap, Emilda meminta Estephanie memanggil adik dan bapanya ke rumah yang terletak tidak jauh dari situ.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/07

Jupe simpan benih di Pulau Pinang

Posted: 06 Oct 2014 01:58 PM PDT

Jakarta: Penampilan seksi dan gedik tidak menjamin kebahagiaan. Sekurang-kurangnya itu dialami pelakon, penyanyi, penyampai dan model sensasi Indonesia, Julia Perez (Jupe).

Pada usia 34 tahun, Jupe teringin hamil dan membesarkan anak sendiri namun dia berdepan masalah besar - hingga kini dia belum ada kekasih baru.

Namun Jupe tidak terus buntu.

Bagi Julia, dia akan mengambil jalan pintas untuk mengukukan impiannya memiliki anak, iaitu melalui program bayi tabung uji.

"Saya akan melakukan persenyawaan in-vitro," katanya mengenai kaedah persenyawaan benih dalam makmal yang kini banyak dilakukan di seluruh dunia.

Pada mulanya, kata Jupe, dia mahu melakukan kaedah itu di Singapura namun kerana kos sangat mahal, dia mengambil keputusan untuk melakukan program itu di Pulau Pinang, Malaysia.

Menurut Jupe, dia sudah ada penderma sperma yang sesuai tetapi enggan mendedahkan identiti lelaki terbabit.


Dengan adanya penderma sperma, kata Jupe, kini dia bebas untuk melakukan prosedur.

"Yang penting, saya kini bersedia sepenuhnya dan akan bertanggungjawab," katanya.

Pelakon itu yang baru-baru ini membatalkan pertunangannya dengan pemain bola sepak Gaston Castano.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/07

Pesara tentera ditipu cucu, dibiar di Tugu Kemenangan

Posted: 06 Oct 2014 01:57 PM PDT

Bangkok: Seorang pesara tentera berusia 75 tahun tergesa-gesa pergi ke Bangkok selepas cucunya memberitahu bapanya meninggal dunia dan keluaraganya memerlukan bantuan.

Tanpa mengesyaki apa-apa, Somnuk Sripaluk menyerahkan semua wang simpanannya kepada cucu terbabit sebelum dibawa ke kawasan Tugu Kemenangan di tengah kota raya itu.

Somnuk kemudian ditinggalkan bersendirian di situ.

Nasib Somnuk diketahui selepas seorang pengguna Facebook, Naruphon Pakdironnachit, menemui lelaki tua itu dalam keadaan tidak bermaya dan uzur berhampiran monumen berkenaan.

"Lelaki itu kini di bawah jagaan tentera.

"Saya amat sedih apabila diberitahu, tiada seorang pun anak Somnuk mengambi berat mengenai dirinya," katanya.

Justeru, Naruphon berharap waris Somnuk datang ke Bangkok dan membantu bapa mereka.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/07

Maut merangkak bawah gerabak

Posted: 06 Oct 2014 01:56 PM PDT

Yokohama: Seorang lelaki berusia 61 tahun maut didigilis kereta api selepas cuba merangkak di bawah untuk melintasi landasan.

Menurut laporan TV Asahi kereta api itu terpaksa berhenti selepas mendapat isyarat mengenai halangan pada landasan.

Menurut saksi, mereka melihat mangsa cuba merangkak di bawah gerabak kereta api untuk melintasi landasan berkenaan.

Malangnya, kereta api itu tiba-tiba bergerak menyebabkan mangsa terbunuh.

Kejadian itu mengakibatkan perkhidmatan kereta api tergendala 90 minit dan mengganggu perjalanan 35,000 penumpang.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/07

Kerajaan pecat 'hantu'

Posted: 06 Oct 2014 01:56 PM PDT

China mengambil tindakan memberhentikan lebih 160,000 'pekerja hantu' dalam perkhidmatan awam yang menerima bayaran gaji walaupun tidak melakukan sebarang kerja, lapor media kerajaan semalam.

Gelaran 'pekerja hantu' itu diberikan agensi berita rasmi China, Xinhua.

Menurutnya, pekerja terbabit akan dihukum namun tidak memberikan butiran tindakan yang bakal dihadapi mereka.

Akhbar People's Daily melaporkan, sejumlah 162,629 pekerja menerima tindakan sedemikian hasil kempen seluruh negara yang dilakukan sepanjang tahun ini.

"Masalah ini antara isu yang paling banyak diadukan," lapor akhbar itu.

Menurutnya, wilayah Hebei di utara republik itu mempunyai bilangan tertinggi pekerja terbabit iaitu hampir 56,000.

Bagaimanapun, Shanghai dan Tibet antara lokasi yang dilihat bersih daripada 'pekerja hantu.' Presiden Xi Jinping melancarkan kempen berprofil tinggi terhadap rasuah dan penyalahgunaan dana yang banyak menerima kecaman.

Menurut pengkritik, kempen itu sukar dilaksanakan sebaiknya disebabkan beberapa perubahan asas tidak dibuat terlebih dulu seperti mewujudkan sistem perundangan yang bebas.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/07

No comments:

Post a Comment