Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tak takut jumpa Jerman

Posted: 03 Jul 2013 10:10 AM PDT

Johor Bahru: "Setiap hari kami memang menantikan peluang untuk bertemu Jerman." Demikian nada berbeza pengendali skuad hoki negara Paul Revington (gambar) menjelang pertemuan dengan pasukan nombor satu dunia itu pada suku akhir Kejohanan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia hari ini.

Ketika rata-rata pasukan cuba mengelak daripada bertemu Jerman bagi memastikan dapat melangkah lebih jauh sekali gus memburu tiket ke Piala Dunia, pengendali dari Afrika Selatan itu seolah-olah tidak kisah, malah menanti-menanti saat bertemu pasukan ranking pertama dunia itu.


Bagi Revington, jika anak buahnya dapat beraksi pada tahap terbaik seperti ketika saingan Piala Sultan Azlan Shah lalu, tidak mustahil untuk mereka menewaskan Jerman.

"Seperti kita bertemu Australia pada final Piala Sultan Azlan Shah, begitulah keadaannya ketika ini.


"Jika setiap pemain mengikut strategi yang sudah dirancang, kami juga berpeluang cerah untuk menang.


"Yang pasti, kami langsung tidak berasa gerun. Kami akan sahut cabaran ini," katanya.

Foto

PEMAIN negara melakukan senaman ringan menjelang aksi bertemu Jerman.

Cuma yang sedikit merisaukan Revington sekiranya ada masalah kecederaan membabitkan anak buahnya sebelum turun bertemu Jerman.


"Setiap pemain perlu berada pada tahap terbaik. Saya fikir Jerman juga amat berwaspada apabila bertemu kami."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/04

Chua anggap misi tidak mustahil

Posted: 03 Jul 2013 10:05 AM PDT

Johor Bahru: Meskipun harapan untuk mencatatkan kemenangan ke atas Jerman dilihat begitu tipis, penyerang veteran skuad hoki negara, Chua Boon Huat tetap tenang sambil menegaskan tidak mustahil untuk menewaskan pasukan ranking pertama dunia itu pada pertemuan suku akhir Kejohanan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia hari ini.

Bagi Boon Huat, tiada apa yang perlu digeruni kerana dia yakin skuad kali ini sudah cukup bersedia untuk menentang mana-mana pasukan.


"Saya akui laluan kami kali ini bukan mudah tapi bagi saya peluang masih terbuka luas dan kami perlu cuba mempamerkan aksi terbaik sepanjang karier ketika bertemu Jerman.

"Semua pemain perlu menguatkan tekad untuk tewaskan Jerman sebab tidak ada yang mustahil di dunia ini," katanya.


Sebagai satu-satunya pemain yang pernah beraksi pada Piala Dunia, selain penjaga gol simpanan Roslan Jamaluddin, Boon Huat mempunyai nasihat untuk rakan sepasukannya yang lebih muda.


"Kita perlu sentiasa tenang dan jangan sesekali takut dengan gelaran serta status Jerman."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/04

'Kami akan main mati-matian'

Posted: 03 Jul 2013 10:04 AM PDT

Johor Bahru: "Apa pun yang berlaku, kami akan bermain mati-matian."

Demikian tekad penjaga gawang skuad utama negara, S Kumar menjelang pertemuan dengan pasukan nombor satu dunia, Jerman pada perlawanan peringkat suku akhir Kejohanan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, hari ini.


Meskipun misi untuk menewaskan Jerman tampak sukar, Kumar langsung tidak menghiraukan semua tanggapan itu kerana dalam fikirannya hanya mempunyai satu saja sasaran saja iaitu memastikan skuad negara layak ke Piala Dunia 2014 di Belanda.

"Mereka ranking nombor satu dunia ke, pemenang pingat emas ke atau apa saja, saya tak kisah semua itu sebab yang pasti kita akan cuba mati-matian untuk memastikan dapat melangkah ke separuh akhir," katanya.


Kumar begitu bersemangat untuk memastikan skuad negara layak ke Piala Dunia kerana itulah juga impiannya yang gagal dipenuhi sepanjang kariernya.


"Saya memang meletakkan harapan begitu tinggi. Sekarang kita akan bertemu Jerman dan apa juga boleh berlaku.

"Ini adalah percubaan kelayakan Piala Dunia yang ketiga untuk saya dan ia juga mungkin terakhir. Saya tak mahu kecewa sekali lagi," katanya.


Kumar berkata, dia serta rakan sepasukan sedar mereka tidak boleh mempamerkan corak permainan biasa apabila bertemu Jerman hari ini.

"Semua strategi terpulang kepada jurulatih. Tapi untuk saya, kita perlu perkemas benteng pertahanan kerana dua perlawanan terakhir kita nampak beraksi terlalu terbuka," katanya.


Pada perlawanan hari ini Malaysia perlu menewaskan Jerman sekiranya mahu merebut satu daripada tiga slot ke Piala Dunia 2014 di Belanda.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/04

LionsXII tidak perlukan pemain import

Posted: 03 Jul 2013 10:03 AM PDT

Johor Bahru: Walaupun hanya dibarisi pemain bawah 23 tahun dan kehadiran beberapa pemain senior, LionsXII mampu menidakkan penguasaan pasukan negeri dan kelab dari Malaysia apabila muncul juara Liga Super musim ini tanpa kelibat pemain import mahupun pemain naturalisasi.

Senario itu nyata memberi tamparan buat pasukan negeri dan kelab yang berbelanja besar bagi menguatkan barisan pemain masing-masing, namun terpaksa akur dengan pasukan dari Seberang Tambak Johor itu yang hanya baru dua musim beraksi pada saingan Liga Malaysia (Liga M).


LionsXII nyata mengambil kesempatan tatkala beraksi di padang rumput mengekalkan rekod bersih tanpa kekalahan sepanjang aksi pasukan itu di Stadium Jalan Besar sekali gus mencipta sejarah tersendiri menjulang kejuaraan liga selepas kali terakhir meraih kejuaraan itu pada 1994 yang ketika itu dikenali sebagai Liga Perdana. "Kami hanya mempertaruhkan antara dua atau tiga pemain senior dan selebihnya pemain bawah 23 tahun yang menggalas tugas setiap aksi saingan liga yang begitu mencabar dan berliku pada musim ini dan saya lega apabila pemain muda itu dapat melaksanakan tugas dengan baik.

"Bagi saya tiada pasukan lemah pada saingan liga musim ini sebaliknya kesemua pasukan hebat malah kami terpaksa merombak pemain musim ini dan hampir kehilangan Shahril Ishak, Baihakki Khaizan dan Isa Halim yang pada awalnya mahu beraksi di Liga Thailand namun hasil pujukan mereka kekal bersama LionsXII.


"Itu dugaan paling perit dan semua kerja keras sejak Januari itu bagaikan terjawab sebaik tamat perlawanan, saya dan seluruh pengurusan Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) teruja. Malah selepas 19 tahun muncul juara liga ketika itu, ternyata pembabitan semula dalam kancah Liga M sejak dua musim lalu amat berbaloi apabila berdepan pasukan terbaik Liga M," katanya.


Mengulas kemenangan besar LionsXII menewaskan FELDA United 4-0, Sundramoorthy berkata, pemainnya pada babak pertama terlalu ghairah untuk mencipta jaringan, mengakibatkan beberapa percubaan yang seharusnya mampu diterjemah dengan jaringan dipersia-siakan.

"Kita terlepas banyak peluang terhidang dan apabila di bilik persalinan pada akhir babak pertama, saya arah pemain supaya lebih tenang dan tidak terlalu ghairah mencari gol dan ternyata ia berhasil.


"Tumpuan seterusnya pada saingan Piala Malaysia dan berharap undian kelak memihak kepada LionsXII. Jika musim lalu hanya mampu ke separuh akhir, tidak mustahil musim ini kami beraksi di final pula, namun semua bergantung kepada permainan konsisten sepanjang kempen itu," kata Sundramoorthy.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/04

Hodak optimis cemerlang

Posted: 03 Jul 2013 10:02 AM PDT

Kota Bharu: Ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak optimis mampu meneruskan rentak kemenangan ketika menentang LionsXII di Stadium Sultan Muhammad IV, Sabtu ini, selepas menundukkan Perak, 1-0 di Stadium Perak, Ipoh kelmarin.

Kejayaan menjulang Piala FA buat kali kedua berturut-turut dengan membenam musuh ketat musim ini, Johor Darul Takzim (DT) 1-0 turut memberi tonik tambahan kepada kepada 'Pahlawan Merah' untuk beraksi cemerlang sebelum Liga Super menutup tirai.


Kemenangan ke atas Seladang membolehkan mereka mengumpul 33 mata bagi mencabar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk kedudukan tempat keempat yang hanya dibezakan dengan satu mata.

Bagaimanapun, katanya, peluang merebut tempat keempat itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya, malah cabaran getir menanti di perlawanan terakhir Liga Super itu.


"Pemain bersemangat selepas mempertahankan Piala FA dan kemenangan ke atas Perak memberi peluang kepada kita untuk mencabar kedudukan ATM.


"Saya yakin pemain dapat meneruskan rentak kemenangan ini pada perlawanan terakhir di Kota Bharu. Kita mahu menang perlawanan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/04

Tiada konspirasi

Posted: 03 Jul 2013 10:02 AM PDT

Kuala Lumpur: "Tiada konspirasi pihak tertentu untuk menjejaskan cabaran pasukan Harimau Muda A di kejohanan ini." Penjelasan itu diberikan Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Universiti Dunia (Universiade 2013) Profesor Dr Kamal Nasharudin Mustapha mengenai dakwaan ada pihak cuba mensabotaj persiapan jurulatih Harimau Muda A Ong Kim Swee apabila dua pemain disenaraikan terpaksa diketepikan akibat masalah pendaftaran.

Menurut Kamal, pihaknya sudah sedaya upaya menyelesaikan masalah itu termasuk memohon kepada Jawatankuasa Penganjur Universiade 2013, Kazan, Russia supaya membenarkan pemain baru menggantikan Muhammad Ariff Farhan Mohd Isa dan Adam Nor Azlin yang tidak dibenarkan beraksi pada saat akhir.


"Ada masalah pendaftaran dengan kedua-dua pemain itu kerana mengikut peraturan, mereka perlu berusia 17 tahun pada 1 Januari 2013 dan pembatalan ini dimaklumkan agak lewat sedangkan kami sudah menghantar senarai pemain pada 6 Jun lalu, sebulan sebelum kejohanan bermula.

"Kami sudah memohon kepada jawatankuasa penganjur untuk mendaftar pemain baru bagi menggantikan dua pemain ini dan pemain yang mengalami kecederaan tapi penganjur bersikap tegas dan hingga kini belum memberikan maklum balas kepada kami. "Dengan tempoh yang agak singkat sebelum perlawanan pertama Jumaat ini (esok), sukar mencari pemain pengganti kerana ia prosedur yang rumit apabila membabitkan visa. Masalah ini juga turut menimpa pasukan lain kerana mereka tidak dapat menggantikan pemain cedera dalam senarai 18 pemain yang didaftarkan," katanya ketika dihubungi Arena Metro di Kazan semalam.


Arena Metro semalam melaporkan Kim Swee kecewa apabila tidak dapat membawa pemain tengah Ariff Farhan dan Adam Nor bersama skuadnya kerana masalah pendaftaran manakala misinya di Universiade 2013 semakin sukar apabila hanya memiliki 16 pemain selepas pemain pertahanan, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris mengalami kecederaan.


Kamal berharap masalah ini tidak melemahkan semangat anak buah Kim Swee untuk memberikan tentangan sengit dalam kempen Kumpulan C.

"Bagi saya, ini peluang terbaik untuk Harimau Muda A mendapat pendedahan serta pentas terbaik bagi persiapan mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar hujung tahun ini.


"Kami harap pasukan ini boleh memberikan tentangan sengit dan sekurang-kurangnya melepasi saingan peringkat kumpulan." Skuad negara memulakan kempen Kumpulan C menentang Itali, esok dan berdepan Great Britain (8 Julai) dan Algeria (10 Julai).

Untuk rekod skuad negara gagal melepasi halangan peringkat kumpulan pada temasya edisi 2011 di Shenzen, China selepas tumpas ketiga-tiga perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/04

Petanda positif Pahang

Posted: 03 Jul 2013 10:00 AM PDT

Kuantan: Kejayaan Pahang menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 2-1 kelmarin bukan saja menyuntik semangat pemain malah memberi petanda positif selepas tewas dalam dua perlawanan sebelumnya.

Kejayaan itu membuka peluang buat skuad kendalian Dollah Salleh merebut posisi empat pasukan terbaik Liga Super musim ini biarpun terpaksa bersaing dengan ATM dan Kelantan.


Pengurus pasukan Datuk Che Nasir Salleh berkata, tiga mata yang diraih begitu bermakna selepas skuad itu gagal mempamerkan persembahan meyakinkan pada dua perlawanan lalu.

"Pemain sudah mula menemui sentuhan dan persefahaman yang ditunjukkan membuktikan mereka kembali fokus terhadap perlawanan. "Kemenangan ini diharap memberi semangat baru untuk beraksi lebih cemerlang terutama menghadapi saingan Piala Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/04

Ridzuan kecewa prestasi hambar

Posted: 03 Jul 2013 10:00 AM PDT

Seremban: Jurulatih Negeri Sembilan, Ridzuan Abu Shah kecewa anak buahnya gagal menjaringkan gol walaupun berjaya mengimbangi kekuatan Johor Darul Takzim (DT) serta menguasai sebahagian besar permainan pada saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam kelmarin.

Menurutnya, banyak peluang terhidang tapi gagal dimanfaatkan sebaliknya pemain lawan bijak melakukan penyudahan tepat apabila menang menerusi gol jaringan Jasazrin Jamaluddin dan Nurul Azwan Roya.


"Ada jurang antara pasukan kami dengan Johor DT tapi kami menguasai sebahagian besar perlawanan selain mencipta banyak peluang namun gagal disudahi dengan jaringan.

"Antara peluang terbaik cubaan Shahurain (Abu Samah) dan Mohd Nazrin (Mohd Nawi) tapi tiang dan palang gol menjadi penghalang. Ini membuktikan dominasi belum cukup mengesahkan kemenangan.


"Penyudahan tumpul memang masalah yang kita hadapi dan ini perlu difikirkan termasuk pengambilan penyerang import jika mahu memulihkan reputasi pasukan ini pada musim depan," katanya.


Menurut Ridzuan, pihaknya mahu pemain terus berusaha mempamerkan aksi terbaik pada pertemuan terakhir dengan FELDA United di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Beliau mensasarkan kemenangan kedua sejak mengambil alih tugas itu daripada Divaldo Alves selepas menewaskan Tentera sebelum ini.


"Pemain perlu terus berusaha meningkatkan lagi prestasi bagi memastikan matlamat itu tercapai."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/04

Penyudah tumpul punca terikat

Posted: 03 Jul 2013 09:59 AM PDT

Kuala Terengganu: Kegagalan penyudah antara faktor utama menyebabkan Terengganu gagal meraih mata penuh apabila diikat 0-0 oleh pasukan berstatus kelab, PKNS FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin.

Pada perlawanan itu, tuan rumah yang turun tanpa kelibat perancang tengah lincah, Ismail Faruqi Ashari mempamerkan aksi hambar selain ketumpulan serangan diketuai Jean-Emmanuel Effa Owana dan Ashari Shamsuddin.


Pengendali Terengganu E Elavarasan berkata, biarpun penyerang gagal menjaringkan gol, beliau tetap puas hati.

"Kami memiliki beberapa peluang keemasan menghasilkan gol tapi penyerang gagal memanfaat peluang di depan gawang lawan.


"Apapun, pemain sudah melakukan yang terbaik tapi sentuhan terakhir tampak tidak menjadi.


"Walaupun kekal beraksi dalam Liga Super musim depan, saya memang mengharapkan kemenangan bagi melonjak ke kedudukan lebih baik," katanya.

Sementara itu, pengendali PKNS FC Abdul Rahman Ibrahim kecewa apabila kedua-dua pasukan tidak menunjukkan prestasi memuaskan.


"Saya kecewa kerana ketika saingan berbaki dua perlawanan, mereka sepatutnya mempamerkan permainan terbaik dan bukannya memberi persembahan kurang memberangsangkan seperti ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/04

Azimat pukulan kidal

Posted: 03 Jul 2013 09:58 AM PDT

Kuala Lumpur: Dua tahun lalu, pasukan sofbol wanita Pulau Pinang berputih mata apabila kecundang pada perlawanan peringkat kumpulan.

Kekecewaan itu ditebus apabila meraih pingat emas dengan mengenepikan cabaran Perak, 14-0 pada final SUKMA XVI di Padang A Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, semalam.


Berbekal semangat tinggi dan teknik pukulan kidal digunakan pasukan Amerika Syarikat dan Jepun, pendekatan itu nyata membuahkan hasil.

Ketua jurulatih merangkap pengurus pasukan Ong Lian Bee puas hati dengan prestasi dipamer pemain ketika menangani cabaran lawan pada perlawanan akhir itu. "Kesabaran berlatih tiga kali seminggu, mengikuti kelas teori dan tidak jemu berlatih teknik baru membantu kejayaan kami. "Sejak mengambil alih pasukan ini dua tahun lalu, saya mengadakan banyak perlawanan untuk meningkatkan keserasian.


"Sejak itu, pasukan diwakili 17 pemain berusia antara 13 hingga 17 ini muncul juara MSSM tahun lalu dan menjuarai kejohanan Karnival Kelab Rekreasi Sukan di Singapura. "Pingat emas bermakna mereka perlu bekerja lebih keras, mencabar peringkat lebih tinggi, menyaingi dominasi dua kuasa besar sofbol Asia Tenggara sekarang, Filipina dan Indonesia," katanya.


Tonggak utama, Ong Hooi Fen, 17 berkata, pasukannya bermain dengan baik terutamanya ketika mendahului antara 5 hingga 6 'innings'. "Dalam sukan ini, sesebuah pasukan tidak boleh menang selagi pengadil tidak mengarahkan perlawanan dihentikan dan sesiapa saja boleh menang sekalipun berada dalam kedudukan selesa.

"Saya berterima kasih kepada JKKK Bukit Tambun, Simpang Ampat atas jasa baik membenarkan kami menggunakan padang bola mereka sebagai tempat latihan. "Sebagai anak Pulau Pinang, saya bangga kerana pasukan ini langsung tidak menyerlah pada SUKMA dua tahun lalu," katanya, dua kali terpilih sebagai Pembaling Bola (pitcher) Terbaik MSSM.


Pada final sofbol lelaki, Pahang meraih emas selepas menundukkan Perak, 12-6.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/04

No comments:

Post a Comment