Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Penyelesaian cerai termahal di Britain

Posted: 05 Jul 2013 08:57 AM PDT

London: Bekas ratu cantik Malaysia mungkin menerima penyelesaian perceraian termahal di Britain selepas dia berpisah daripada suaminya.

Pauline Chai, 66, yang tinggal di sebuah rumah di atas tapak seluas 1,000 ekar di Hertfordshire menuntut separuh daripada kekayaan bekas suaminya, Khoo Kay Peng.


Khoo adalah seorang daripada ahli perniagaan terkaya di Malaysia.

Kes tuntutan itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi London semalam tetapi Khoo, 74, mahu ia didengar di Malaysia kerana dikatakan dapat memberi kelebihan kepadanya.


Media melaporkan, Pauline menuntut sejumlah £500 juta (RM2.4 bilion) daripada harta dimiliki Khoo.


Jika kes berkenaan terus dibicarakan di Britain, Khoo mungkin terpaksa melepaskan 50 peratus daripada kekayaannya kepada Pauline, manakala perbicaraan di Malaysia mungkin tidak memerlukan dia membuat bayaran setinggi itu. Peguam Khoo berkata, membenarkan kes itu didengar di Britain akan memperluaskan peluang negara itu menjadi "ibu negara perceraian di dunia." Khoo - Pengerusi Malaysian United Industries - memiliki hartanah di England, Kuala Lumpur dan Australia.

Foto

PAULINE

Foto

KHOO

Dia juga memiliki 40 peratus pegangan dalam syarikat Laura Ashley yang kini mencatat jualan £286 juta (RM1.4 bilion) setahun.


Selain itu, Khoo adalah Pengarah Corus Hotels Limited yang memiliki 10 hotel termasuk Hotel Corus Hyde Park.

Pasangan itu berkahwin pada 1970 dan mempunyai lima anak.


Mereka membeli sebuah rumah dan tanah di Hertfordshire pada 1998 yang dikatakan dilengkapi sebuah taman haiwan serta dua tasik buatan bernilai £60,000 (RM286,600) setiap satu.


Pauline memfailkan petisyen perceraian itu di London pada Februari lalu atas alasan "perlakuan tidak munasabah." Perceraian paling mahal di dunia sebelum ini berlaku pada 2008 apabila Beverley Charman diberikan £48 juta (RM229.3 juta) setelah rumah tangganya bersama John Charman - seorang ahli perniagaan insurans - berakhir. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/05

Tolak tawaran jual hak gambar anak

Posted: 05 Jul 2013 08:46 AM PDT

Los Angeles: Pasangan Kim Kardashian dan Kanye West akhirnya menolak tawaran untuk menjual hak gambar anak pertama mereka kepada media, semalam.

Di sebalik tabiat Kim yang sentiasa gemarkan publisiti, dia dan West dilaporkan enggan menerima tawaran RM9.5 juta daripada sebuah majalah Australia untuk merakamkan gambar anak mereka. Selain daripada tarikh lahir dan nama anak mereka, pasangan Kim - West tidak pernah menunjukkan bayi berkenan kepada umum. Tiada sebarang gambar disiarkan dan sumber berkata, West mahu melindungi anak mereka, North, daripada orang ramai.


"West benar-benar serius apabila berkata North bukan bayi Amerika dan dia mungkin tidak akan berbuat apa-apa untuk mempamerkan anak itu," katanya.

Menurut sumber, West begitu rapat dengan bayi perempuan itu dan sentiasa tidak sabar untuk pulang selepas selesai berurusan di luar. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/05

Wanita parah rambut tersepit celah eskalator

Posted: 05 Jul 2013 08:45 AM PDT

New York: Seorang wanita yang pitam ketika berada di atas eskalator cedera parah apabila rambutnya tersepit pada celahan tangga bergerak itu, semalam.

Saksi berkata, wanita berusia 32 tahun itu tidak sedarkan diri di Broadway, New York, kira-kira jam 3.30 petang.


Ketika dia terkulai pada eskalator berkenaan, alat itu terus bergerak naik seperti biasa dan rambut wanita terbabit akhirnya tersepit dan ditarik mesin berkenaan.

Sumber berkata, wanita itu dipercayai mengalami serangan sawan. "Pekerja penyelamat kemudian mematikan suis eskalator bagi menyelamatkan mangsa," katanya. Menurut sumber, mangsa cedera pada muka, kaki dan tangan. Dia kemudian dikejarkan ke hospital dan keadaannya kini stabil. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/05

5 lagi mayat ditemui

Posted: 05 Jul 2013 08:40 AM PDT

Blang Mancung (Aceh): Pasukan penyelamat menemui lima lagi mayat mangsa gempa bumi, menjadikan jumlah kematian akibat bencana itu yang melanda Selasa lalu kepada 35.

Jurucakap pasukan penyelamat tentera, Andra Pahlevi berkata, mayat seorang kanak-kanak perempuan ditarik keluar dari runtuhan tanah di Kampung Serempa, Aceh Tengah.

Dalam pada itu, empat mayat budak lelaki ditemui di satu lagi lokasi berhampiran Kampung Bah.

Gempa bumi 6,1 magnitud itu memusnahkan lebih 4,300 kediaman dan bangunan, mencederakan 275 orang dan menyebabkan 6,500 penduduk hilang tempat tinggal.

Sementara itu, sebahagian besar penduduk di kawasan terpencil masih belum mendapat bantuan.

"Kerosakan teruk di beberapa kawasan jumlah mangsa yang tinggi menyebabkan kami berdepan dengan kesukaran untuk mengagihkan bantuan.

"Tambahan pula, bantuan adalah terhad," kata Setiausaha Pengurusan Bencana Aceh Tengah, Masrizal Edy.

Ketua Polis daerah, Artanto berkata, mangsa yang belum menerima bantuan itu ialah di Aceh Tengah dan Bener Meriah, yang terjejas teruk akibat gempa bumi itu.

"Kejadian tanah runtuh dan kerosakan harta benda menyebabkan beberapa kawasan sukar dijejaki," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/05

Susilo bersiap lancar laman Facebook

Posted: 05 Jul 2013 08:39 AM PDT

Jakarta: Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono bakal membuka akaun Facebook rasminya selepas sambutan kepada akaun Twitter begitu menggalakkan. Jurucakap presiden, Julian Aldrin Pasha berkata, Susilo bercadang membuka akaun Facebook sejak bulan lalu.

Pengumuman itu dibuat selepas akaun rasmi Twitter Susilo dibuka dan aktif di laman blog mikro itu sejak pertengahan April lalu.


Akaun Twitter Susilo kini diikuti 2.67 juta orang dan setakat ini 580 kenyataan dibuatnya.

Julian berkata, tiada tarikh tepat dapat diumumkan bagi pembukaan akaun Facebook itu.


"Tetapi kemungkinan besar ia akan diaktifkan dalam tempoh tiga hari akan datang," katanya.


Sementara itu, Susilo berkata, pembabitannya dalam dunia media sosial adalah sebahagian daripada usaha untuk berhubung dengan rakyat Indonesia.

Berdasarkan data Persatuan Penyedia Perkhidmatan Indonesia, penggunaan Internet di kalangan rakyat negara itu agak rendah - 22.1 peratus pada 2012 berbanding negara serantau lain.


Bagaimanapun, pengguna Internet Indonesia tetap aktif di laman media sosial.

Di peringkat dunia, pengguna Twitter di Indonesia berada di tempat keenam dan tempat kedua untuk laman Facebook.


Jakarta pula menjadi lokasi pengguna Twitter paling aktif di dunia, manakala Bandung di tempat keenam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/05

Tukang tilik kena penjara

Posted: 05 Jul 2013 08:38 AM PDT

Hong Kong: Bekas penilik nasib kepada seorang bilionair wanita dihukum penjara 12 bulan selepas sebuah mahkamah mendapati tertuduh bersalah memalsukan satu wasiat bagi membolehkan dia mewarisi harta bernilai puluhan bilion ringgit.

Hakim Mahkamah Tinggi Hong Kong, Andrew Macrae berkata cubaan Peter Chan menjadikan dirinya sebagai pewaris kekayaan Nina Wang - dianggarkan bernilai AS$10.7 bilion (RM34.1 bilion) sebagai "tidak tahu malu dan jahat yang lahir daripada ketamakan melampau." Nina - pernah dianggap wanita paling kaya di Asia - meninggal dunia ketika berusia 69 tahun pada 2007 akibat kanser. Polis Hong Kong mendakwa Chan selepas sebuah mahkamah pada 2011 mengesahkan satu wasiat mengenai pemilikan syarikat Nina, Chinachem Group, dipalsukan. Perbicaraan kes itu mendedahkan pelbagai maklumat membabitkan aktiviti seks, perbelanjaan besar-besaran serta dakwaan penipuan.


Bapa kepada tiga anak, Chan, 53, disabitkan kesalahan menipu dan memalsukan dokumen.

Hakim Macrae mengarahkan dia dihukum penjara 12 tahun atas setiap tuduhan dan pelaksanaannya berjalan serentak. Chan juga dikenali sebagai pakar tilik nasib menukar namanya daripada Tony selepas memeluk agama Kristian baru-baru ini. Dalam usaha membuktikan hubungan Chan dan Nina adalah tulen, peguam tertuduh menunjukkan aksi pasangan itu berkucupan dan saling membelai di mahkamah bulan lalu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/05

Mayat lelaki dalam beg

Posted: 05 Jul 2013 08:37 AM PDT

Chonburi: Mayat seorang lelaki berbungkus selimut ditemui dalam beg pakaian di jalan raya berhampiran daerah Phanat Nikom, semalam.

Ketua Polis Chonburi, Mejar Jeneral Katcha Thartsart berkata, beg berkenaan ditemui penduduk kampung.

Lelaki berkenaan dipercayai berusia 40 tahun mati dua hari lalu, disyaki dibunuh dengan benda keras di tempat lain. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/05

RM13,000 sebulan untuk minum susu badan

Posted: 05 Jul 2013 08:37 AM PDT

Beijing: Golongan kaya di China menghabiskan ribuan ringgit untuk mendapatkan susu badan hingga mendorong wanita untuk menjadi ibu susuan.

Perkembangan ganjil itu menyaksikan peningkatan orang dewasa membeli susu badan atau meminumnya terus dari ibu susuan atau selepas ia diperah.

Laporan perkhidmatan itu mencetuskan kemarahan di China dengan puluhan ribu menyelarnya dalam laman web Sino Weibo.

Menurut akhbar Southern Metropolis Daily, agensi pembantu rumah menawarkan khidmat ibu susuan untuk kanak-kanak baru lahir, pesakit atau sesiapa yang sanggup membayar 16,000 yuan (RM13,000) sebulan.


Pelanggan berkata, mereka inginkan nutrisi yang terkandung dalam susu itu.


"Pelanggan dewasa boleh minumnya seperti bayi atau dari pam payu dara jika mereka malu," kata Lin Jun, pemilik syarikat yang menawarkan khidmat itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/05

Tak tahu dadah celah kelangkang

Posted: 05 Jul 2013 08:36 AM PDT

Dubai: Seorang wanita Thai dituduh menyeludup 1.2 kilogram kokain dan coli di celah kelangkangnya tetapi mendakwa tidak tahu mengenainya.

Mahkamah Jenayah Dubai semalam diberitahu, anggota polis menahan wanita berusia 30 tahun itu di lapangan terbang selepas dia tiba dari Brazil kerana gaya jalannya yang ganjil.


Seorang anggota polis wanita yang diarah menyiasat wanita itu berkata: "Saya melihat kawasan payu daranya luar biasa, berbonjol. Saya memintanya menanggalkan baju. Selepas beberapa kali mendesak, dia membuka bajunya dan saya menemui kokain dalam bungkusan plastik di dalam colinya.

"Apabila melakukan siasatan lanjut, saya mendapati celah kelangkangnya juga berbonjol. Dia menyembunyikan beberapa bungkusan kokain di situ. Apabila disoal, dia berkata tidak tahu mengenai dadah itu." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/05

3 penyokong Mursi terbunuh

Posted: 05 Jul 2013 08:34 AM PDT

Kaherah: Sekurang-kurangnya tiga penunjuk perasaan ditembak mati di luar berek Pengawal Republik yang menjadi tempat tahanan Presiden Mursi, malam tadi.

Sumber berkata, pasukan keselamatan mula melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan.

Bagaimanapun jurucakap tentera berkata, mereka hanya melepaskan tembakan peluru kosong dan gas pemedih mata.

Wartawan pula melihat penunjuk perasaan terkena serpihan daripada tembakan pistol.


Tidak dapat dipastikan sama ada pasukan keselamatan selain tentera ada di kawasan itu ketika kejadian.


Ratusan penyokong Ikhwanul Muslimim berarak ke kawasan pinggir bandar raya berkenaan sebelum berkumpul di luarnya.

Seorang wartawan Reuters turut mendengar bunyi tembakan dan melihat sekurang-kurangnya lapan daripada penunjuk perasaan itu cedera.

Kata saksi, ratusan penunjuk perasaan menghampiri kawasan yang dikawal tentera.
Sejumlah lelaki berjalan ke arah kawat berduri dan meletakkan poster pemimpin Islam itu di situ.

Bagaimanapun, sejurus kemudian seorang tentera mengambil dan mengoyaknya.

Orang ramai kemudian mengecam tentera dengan sesetengah daripada mereka mengangkat kasut masing-masing sebagai tanda penghinaan.

Saksi berkata, tentera melepaskan tembakan ke udara sebelum bunyi tembakan pistol dilepaskan.

Gas pemedih mata yang ditembak tentera memaksa orang ramai berundur.

Sejam kemudian, ratusan penunjuk perasaan masih berlegar-legar di kawasan berhampiran dengan sesetengahnya mendirikan solat.

Sebelum itu, ribuan penyokong Ikhwanul Muslimin menunjuk perasaan di Kaherah menjelang satu lagi gelombang perhimpunan besar-besaran yang dibuat untuk menolak rampasan kuasa tentera yang mengulingkan Mursi.

Seorang imam yang mengetuai protes di Masjid Rabaa al-Adawiya itu turut membacakan doa untuk mengembalikan Mursi ke jawatannya sebagai presiden.

"Semoga Tuhan menamatkan pertikaian di antara kita dan tentera," katanya.

Seruan untuk protes aman di seluruh Mesir dibuat oleh Perikatan Kebangsaan Untuk Menyokong Kesahihan yang dibentuk Ikhwanul Muslimin baru-baru ini.

Pergerakan itu menyatakan mereka menentang rampasan kuasa tentera dan menyokong Mursi.

Dalam ucapan yang dirakam beberapa jam sebelum disingkirkan, Mursi menggesa penyokongnya melindungi kerajaan yang sah dipilih rakyat. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/05

No comments:

Post a Comment