Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Sempat ajar suami mengucap

Posted: 06 Jul 2013 12:33 PM PDT

Port Dickson: Perjalanan sepasang suami isteri untuk membeli barangan keperluan menyambut Ramadan berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Jalan Pantai Teluk Temang berdepan Sekolah Agama Rakyat Awaludin, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi, penunggang motosikal, Zakaria Tamin, 66, maut di tempat kejadian manakala isterinya yang juga pembonceng, Sariah Kantan, 58, hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Sariah berkata, dia bersama suami dalam perjalanan ke Teluk Kemang dari rumah mereka di Kampung Sungai Raya, di sini, untuk membeli barangan keperluan bagi menyambut Ramadan.

"Motosikal ditunggang suami bergesel dengan sebuah lagi motosikal, menyebabkan suami hilang kawalan dan terjatuh.

Foto

SARIAH di sisi mayat suaminya, Zakaria yang maut dalam kemalangan di Telok Kemang.


"Saya menyaksikan suami meninggal di depan mata dan sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Katanya, dia tidak menyangka ajakan suaminya untuk pergi membeli barang adalah petanda dia akan kehilangan ketua keluarga itu.


"Sedih dan sayu melihat suami meninggal dunia di depan mata, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi. Lebih-lebih lagi suami pergi ketika umat Islam bakal menyambut Ramadan minggu depan," katanya.

Jurucakap polis berkata, hasil siasatan awal mendapati, motosikal jenis Modenas Kriss ditunggang Zakaria dipercayai bergesel dengan sebuah lagi motosikal jenis Yamaha dari arah sama.

"Geselan itu menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh, menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, manakala isterinya cedera ringan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Abd Wahab Harun ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.


Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Raya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Maut didera kekasih ibu

Posted: 06 Jul 2013 12:28 PM PDT

Padawan: Seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan akhirnya menghembus nafas terakhir selepas empat hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Umum Sarawak (HUS) dipercayai didera teman lelaki ibunya di rumah mereka di Batu 15, Jalan Kuching-Serian, di sini.

Mangsa dikenali sebagai Dennis dimasukkan ke hospital berkenaan, Khamis lalu, oleh ibu saudaranya selepas menemui kesan lebam di dada dan mukanya.


Bayi malang terbabit kemudian dirawat di ICU sebelum disahkan meninggal dunia jam 10.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Pauzi Bujang berkata, ibu mangsa berusia 28 tahun tinggal bersama teman lelakinya dan seorang lagi anak lelaki berusia tiga tahun di sebuah rumah di Batu 15 di sini.


Katanya, ibu mangsa berpisah dengan suaminya dan berpindah ke rumah teman lelakinya yang dipercayai tidak bekerja.


"Khamis lalu, ibu mangsa menghantar anaknya ke rumah keluarganya di Batu 10. Ibu saudara bayi itu pelik apabila melihat mangsa lebam di muka dan badan serta lemah.

"Apabila ditanya, suspek tidak mengendahkannya dan wanita itu membawa bayi terbabit ke HUS untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi.


Bagaimanapun, katanya, bayi terbabit ditahan di wad sebelum dimasukkan ke ICU sejak kelmarin kerana kesihatannya semakin merosot.

Doktor menasihatkan wanita itu membuat laporan di Balai Polis Batu 10, kelmarin.


Pauzi berkata, mayat mangsa dihantar ke rumah mayat untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.


Katanya, polis tidak menolak kemungkinan mangsa didera teman lelaki ibunya, termasuk dibelasah menggunakan tangan atau objek tumpul.


"Ibu mangsa ditahan di hospital pada jam 3 petang semalam, manakala teman lelakinya ditahan di rumah sejam kemudian.


"Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan direman bagi siasatan lanjut," katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Amukan pengkid kerana cinta terlarang

Posted: 06 Jul 2013 12:27 PM PDT

Muadzam Shah: Berang apabila hubungan terlarangnya tidak mendapat restu, seorang pengkid mencurah petrol ke rumah teman wanitanya sebelum membakarnya dengan niat mahu membunuh keluarga teman wanitanya di FELDA Keratong, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2 pagi, suspek berusia 21 tahun datang ke rumah teman wanitanya sambil membawa sebotol petrol.


Difahamkan, ketika kejadian, teman wanitanya berusia 17 tahun bersama ahli keluarganya yang lain tidur di dalam bilik masing-masing.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Ahmad Johari Jahaya berkata, selepas meninjau lokasi rumah mangsa, suspek mencurah petrol ke sebuah bilik rumah mangsa sebelum menyalakan api.


Menurutnya, kejadian terbabit disedari seorang ahli keluarga mangsa yang tidur di dalam bilik berkenaan sebelum bergegas memadamkan api.


Katanya, susulan tindakan pantas itu, api berjaya dipadam sebelum suspek bergegas melarikan diri daripada rumah mangsa.

"Siasatan awal mendapati, suspek yang tinggal di FELDA sama bertindak sedemikian selepas hubungannya ditentang keluarga mangsa.


"Polis mengenal pasti identiti suspek yang juga penagih dadah dan gerakan memburu dijalankan," katanya.

Ahmad Johari berkata, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Tak sempat bunuh diri

Posted: 06 Jul 2013 12:27 PM PDT

Sibu: Suspek utama yang juga suami serta bapa kepada tiga beranak yang dibunuh di sebuah rumah di Pulau Li Hua, di sini, pagi kelmarin, tidak sempat membunuh diri selepas kehadirannya disedari orang awam sebelum ditahan berdepan stesen minyak di Batu 5, Jalan Sibu-Bintulu, malam kelmarin.

Suspek dikatakan tertidur dalam pacuan empat roda dipandunya, dipercayai akibat keletihan, malah sempat membeli hos untuk menyalurkan asap daripada ekzos ke dalam kenderaan dalam cubaan membunuh diri.


Bagaimanapun, pergerakan suspek berusia 43 tahun itu dikesan selepas polis menerima maklumat berhubung sebuah pacuan empat roda berhenti di tepi jalan.

Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu diketuai Asisten Superintendan Yeoh Chun Shyan bergegas ke lokasi dimaklumkan sebelum menahan suspek jam 7.30 malam.


Sumber berkata, suspek dipercayai tertidur akibat mengantuk selepas melarikan diri sebaik membunuh isterinya, Ling Yung Ming, 40, serta dua anak, Christine Tiang Soon Ai, 14, serta anak bongsu, Victor Tiang Soon Sheng, 2.


"Suspek terjaga daripada tidur dan membuka pintu kenderaan lalu ditahan. Siasatan mendapati suspek cuba membunuh diri dengan membeli hos untuk memasukkan asap daripada ekzos ke dalam pacuan empat roda.

"Ketika ditahan, enjin dimatikan dengan barang berkenaan masih disimpan dalam kenderaan.


"Pada masa sama, polis menemui kesan merah pada leher suspek dipercayai bergelut dengan seorang mangsa. Suspek kemudian diiringi anggota polis sebelum dibawa ke IPD Sibu," katanya.

Polis mendapat perintah reman tujuh hari bermula semalam di Mahkamah Majistret Sibu bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.


Perintah tahanan reman terhadap suspek dikeluarkan Majistret Atiqah Abdul Karim terhadap suspek yang diwakili peguam Lau Hui Kui. Suspek dibawa ke mahkamah jam 1.40 petang diiringi sepasukan anggota polis.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Shafiee Ismail berkata, polis mengenal pasti motif sebenar suspek membunuh ahli keluarganya, namun tidak menjelaskan lebih lanjut kerana kes masih dalam siasatan.


"Siasatan awal mendapati suspek merancang membunuh semua anaknya, namun anak sulungnya berjaya melepaskan diri dan kami juga yakin suspek merancang membunuh diri.


"Kami akan mengumpul semua bukti dan berbincang dengan Timbalan Pendakwa Raya untuk menuduh suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya sambil menganggap kes itu selesai berikutan penahanan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Empat perompak ditahan dalam tempoh 12 jam

Posted: 06 Jul 2013 12:26 PM PDT

Baling: Keseronokan empat lelaki melarikan wang tunai dan barangan lain termasuk telefon bimbit bernilai RM700, dari sebuah kedai serbaneka 24 jam di Kuala Ketil, dekat sini, kelmarin, tidak bertahan lama apabila dicekup polis dalam tempoh hanya 12 jam.

Kejadian dipercayai berlaku jam 5.45 pagi apabila empat lelaki berusia 19 hingga 26 tahun menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora meluru masuk ke premis terbabit dengan seorang bersenjatakan parang.


Ketika kejadian, dua pekerja premis terbabit berusia 21 dan 22 tahun diarah membuka laci mesin juruwang sebelum mereka mengambil semua wang tunai dan barangan lain, termasuk rokok.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Mat Daud Mat Hasan berkata, mangsa berada di kaunter juruwang, manakala rakannya menyusun barang apabila empat lelaki itu masuk dengan mengacu parang serta meminta wang.


Menurutnya, seorang suspek dikatakan mengacu parang di kepala seorang pekerja dan memintanya membuka laci mesin juruwang, manakala rakan lain mengambil rokok serta barangan makanan.


"Keempat-empat suspek terbabit tidak memakai penutup muka ketika memasuki premis. Mereka turut mengambil pelbagai rokok, keropok, kondom, coklat, makanan ringan dan melarikan wang RM109.90 yang diambil dalam laci mesin juruwang.

"Sebelum melarikan diri, lelaki berkenaan turut merampas telefon bimbit mangsa bernilai RM600 dan menaiki kenderaan Proton Exora berwarna hitam dengan nombor pendaftaran KCT 2112 menuju ke arah Sungai Petani," katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Menurutnya, sebaik menerima laporan mangsa, sepasukan enam anggota Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah diketuai Inspektor Abdul Aziz Md Resof memburu keempat-empat lelaki terbabit mengikut rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik premis itu.

Katanya, suspek pertama berusia 19 tahun ditahan di depan Kompleks Centre Square Sungai Petani, jam 3 petang, dan polis turut menemui parang, rokok, kondom serta coklat yang dicuri di premis berkenaan yang disimpan di rumahnya.


"Berikutan tangkapan itu, polis menjejaki tiga lagi rakannya di dua lokasi berasingan. Dua ditahan di Pusat Peranginan Lata Bukit Hijau, Tawar manakala seorang lagi di rumahnya di Taman Kempas, Sungai Petani.


"Semua lelaki berkenaan ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan tanpa senjata api, dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

No comments:

Post a Comment