Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Benam ego Pakistan

Posted: 06 Jul 2013 11:37 AM PDT

Johor Bahru: Skuad negara berjaya mengubat kekecewaan gagal merebut tiket ke Piala Dunia 2014 di Belanda menerusi Kejohanan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia apabila menewaskan gergasi Asia, Pakistan 3-1 pada perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan semalam.

Turun dengan misi untuk melakar kemenangan, skuad bimbingan Paul Revington berjaya memenuhi hasrat menerusi aksi meyakinkan meskipun sedar peluang untuk ke Belanda sudah tertutup rapat.


Kemenangan itu juga membalas kekecewaan keputusan seri 4-4 ketika bertemu Pakistan pada saingan peringkat kumpulan meskipun pada satu ketika Malaysia di depan dengan kelebihan tiga gol.

Skuad negara dihadiahkan pukulan sudut penalti pertama dan ia disempurnakan dengan baik oleh Muhammad Razie Abdul Rahim pada minit ke-14.


Bagaimanapun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Pakistan menyamakan kedudukan dua minit kemudian hasil jaringan padang Shafqat Rasool.


Malaysia kembali di depan pada minit ke-19 selepas bola pukulan Faizal Saari dari luar kawasan D terkena kaki penjaga gol Pakistan, Imran Butt sebelum masuk ke gawang gol sendiri.

Foto

AKSI skuad negara ketika menentang Pakistan.

Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil menjadikan kedudukan 3-1 menerusi jaringan padang selepas menerima hantaran cantik daripada Faizal pada minit ke-38.


Skuad negara dihadiahkan pukulan sudut penalti kedua pada minit ke-50 tapi peluang itu disia-siakan begitu saja oleh barisan pemain negara.

Sementara itu, pada satu lagi perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan, Jepun bangkit untuk menewaskan Afrika Selatan menerusi pukulan penalti shoot-out 1-0 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada masa sebenar.


Jepun mendahului menerusi pukulan sudut penalti Manabu Hatakeyama dua minit sebelum tamat babak pertama tetapi Afrika Selatan berjaya menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti Craig Haley pada minit ke-56.


Skuad bimbingan Carlos Pereira di depan pada minit ke-62 hasil gol Wade Paton tetapi kesilapan di benteng pertahanan pada minit-minit akhir menyaksikan mereka menjaringkan gol ke gawang sendiri sekali gus menjadikan kedudukan terikat 2-2. Malaysia akan bertemu Jepun pada perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Kekurangan bukan halangan

Posted: 06 Jul 2013 11:36 AM PDT

Kuala Lumpur: Kekurangan infrastruktur gelanggang latihan tidak menghalang Sarawak meraih pingat emas selepas mengatasi Johor, 3-2 pada final acara bola tampar wanita di Sukan Malaysia (SUKMA XVI) di Stadium Tertutup MBSA Seksyen 19, Shah Alam, semalam.

Sarawak menang pertarungan sengit mendebarkan selama lebih dua jam dengan keputusan 25-23, 25-14, 13-25, 18-25 dan 16-14. Sekalipun Johor mempamer kebangkitan di set kedua namun ia tidak cukup menjinakkan Sarawak yang kental bertahan menafikan setiap percubaan dilakukan pemain Johor untuk menang set kelima.


Ketua jurulatih bola tampar Sarawak Moh Wung Ming puas hati dengan prestasi dipamer pemain berusia antara 15 hingga 20 tahun.

"Kejayaan meraih pingat emas Sukma begitu bermakna buat pasukan ini yang saya anggap seperti anak sendiri kerana sembilan pemain masih dikekalkan sewaktu kami memenangi pingat emas, juga menewaskan Johor 3-1 di Sukma Kuantan tahun lalu.


"Kekalahan pada set ketiga dan keempat akibat pemain hilang fokus dan memandang cabaran lawan sambil lewa. Menyedari lawan begitu kental mengasak pada hujung perlawanan, kami menggunakan kelebihan servis untuk mengutip dua mata terakhir pada set penentuan," katanya.


Meskipun tidak mempunyai gelanggang latihan mencukupi di Sarawak, pasukan dibentuk Wung Ming sejak 1996 mula menampakkan hasil yang bakal menjadi nadi kekuatan Sarawak dalam pada setiap pertandingan SUKMA.

"Pada pertengahan 1990-an, sukan bola tampar seperti tidak disebut dalam sukan di Sarawak. Sejak itu, saya mencari pendekatan terbaik, merangka strategi dan mencari pemain berbakat untuk dilatih dan sejak mengambil alih pasukan pada 1997 dan awal 2006, pasukan bola tampar Sarawak muncul antara disegani. "Sekarang mereka memberikan hasil kerana bola tampar wanita Sarawak memenangi 10 daripada 12 pingat SUKMA," kata jurulatih berasal dari Bintulu itu.


Kapten Sarawak, Ho Xiao Hui berkata: "Tahniah kepada pasukan terutamanya pemain berpengalaman Stephanie Low kerana berjaya membantu kami mengekalkan pingat emas tahun lalu. Projek membangunkan sukan bola tampar di Sibu membuahkan hasil kerana Sarawak kini mempunyai pasukan bola tampar yang kompetitif.

"Kami harap dapat beraksi pada lebih banyak pertandingan luar untuk meningkatkan lagi prestasi dan kewibawaan pasukan ini. Sasaran saya adalah beraksi pada Sukan SEA dan membantu pasukan negara memenangi pingat pada temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu." Dalam satu lagi saingan final acara bola tampar lelaki, Selangor tidak menghadapi masalah menewaskan Sarawak, 3-0 untuk meraih pingat emas.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Usaha keras 6 tahun berbaloi

Posted: 06 Jul 2013 11:35 AM PDT

Kuala Lumpur: Usaha keras selama enam tahun akhirnya berbaloi buat atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Kedah, Muhamad Azam Azmi apabila membawa pulang pingat emas Muay Thai bagi kategori 42-45kg.

Azam, 16, menewaskan wakil Selangor, Mohd Farid Najmi Mohamad Baki 5-0 dalam satu pertarungan sengit.


Jurulatih Muhammad Rudzuan Husain berkata, pada perlawanan akhir, persembahan kedua-dua atlet setaraf namun latihan intensif dan aksi hebat serta nasib lebih memihak kepada Azam.

"Saya puas hati dan gembira dengan prestasi dipamer Azam. Saingan lawan amat hebat namun nasib menyebelahi kami. Kemenangan ini satu bonus dan pemangkin untuk terus maju ke depan. "Saya harap Muay Thai akan terus dipertandingkan di SUKMA memandangkan ia turut dianjurkan di Sukan Sea dan mungkin di Sukan Asia. SUKMA adalah medan buat atlet remaja untuk terus berkembang dan menilai prestasi masing-masing," katanya yang berkhidmat di Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kulim. Mengulas kunci kejayaan Azam, Rudzuan berkata, aksi tangkas serta cepat bertindak dan tidak terburu-buru membuat serangan menjadi kelebihan buat Kedah membawa pulang pingat emas pertama Muay Thai. Sementara itu bagi kategori wanita 42-45kg, wakil Kelantan, Nuur Aina Ab Rahim membuktikan ketangkasannya selepas menewaskan Ayu Arynafa Iza Azmi, 5-0.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Pemain Kelantan terima durian runtuh

Posted: 06 Jul 2013 11:32 AM PDT

Kota Bharu: Pemain Kelantan yang beraksi dalam final Piala FA sehingga berjaya menumbangkan Johor Darul Takzim (JDT), 29 Jun lalu, bakal menerima durian runtuh sebanyak RM30,000 seorang.

Ganjaran itu termasuk kejayaan melayakkan diri sekali lagi dalam saingan Piala AFC bagi musim depan sekali gus memberi peluang kepada The Red Warriors untuk terus beraksi di pentas antarabangsa.


Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan ganjaran itu dalam satu kenyataan di laman Facebooknya semalam dan turut mengumumkan tiada perarakan Piala FA buat masa ini kerana kesuntukan masa.

"Kerana kesuntukan masa dan menyambut Ramadan maka tiada perarakan piala FA dibuat untuk masa ini. Piala FA cuma akan 'display' (dipertontonkan kepada penyokong) di Stadium (Stadium Sultan Muhammad IV) malam ini (semalam). "Setiap pemain yang beraksi di final dan berjaya mempertahankan Piala FA serta melayakkan kita (Kelantan) ke Piala AFC, kita hadiahkan RM30,00 setiap orang," katanya.


Annuar turut mengumumkan pemain Kelantan diberi cuti selama 10 hari bagi menyambut Ramadan bersama keluarga dan kembali berlatih untuk Piala Malaysia selepas tempoh berkenaan.


Kelantan menewaskan JDT 1-0 dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, 29 Jun lalu sekali gus dinobatkan sebagai juara dan mempertahankan trofi berkenaan dua tahun berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Kerana terpaksa

Posted: 06 Jul 2013 11:31 AM PDT

Kuala Lumpur: Adi Alifuddin Hussin, nama yang cukup gah dalam acara lontar peluru. Meskipun acaranya mungkin kurang mendapat tempat di hati peminat tempatan, Adi Alifuddin tetap cemerlang menyumbang pingat buat Malaysia.

Selaku senior dan dilabel yang terbaik dalam acara lontar peluru, Adi Alifuddin inginkan 'penggantinya' kelak melakar kejayaan lebih baik untuk negara.

Bagi Muhammad Ziyad Zolkefli, ketika pertama kali melihat Adi Alifuddin beraksi, dirinya amat mengagumi kehebatan atlet dari Terengganu itu. Lantas, Adi Alifuddin menjadi idolanya dan pencetus semangat untuk melakar kejayaan lebih hebat di peringkat tempatan mahupun dunia.

Kata Ziyad, Adi Alifuddin bukan saja sering menaikkan semangat rakan seangkatan, muka baru atau pelapis tapi dia tidak lokek ilmu serta seorang yang pemurah dan sering belanja rakan-rakan skuad lontar peluru makan sekali gus menjadikan hubungan mereka lebih rapat. Ikuti sesi pertemuan mereka sejurus tamat latihan di Bukit Jalil baru-baru ini.

Soalan: Bagaimana anda boleh terbabit dalam sukan ini?

Jawapan: Semuanya bermula di sekolah rendah iaitu ketika darjah lima apabila saya dipaksa mewakili rumah sukan dalam acara ini. Hakikatnya, saya tidak tahu langsung mengenai lontar peluru dan hanya kerana dipaksa semata-mata.

S: Walau dipaksa, anda mampu sampai ke tahap ini hingga bergelar atlet elit negara? Macam mana pula?

J: Kebetulan pula bila ke sekolah menengah, guru itu mengenali saya dan tahu pencapaian saya dalam acara lontar peluru di sekolah rendah. Lantas beliau melatih saya dalam acara ini secara aktif hingga menang pelbagai kejohanan di sekolah, daerah dan juga memecahkan rekod di kejohanan Little Athletics Australia sewaktu tingkatan dua.

S: Diandaikan rasa cinta pada sukan ini secara perlahan-lahan hadir dalam diri anda?

J: Ya, lama-kelamaan saya mula cintakan sukan ini apatah lagi sudah bergiat secara aktif. Atas pencapaian cemerlang di sekolah, saya juga mendapat panggilan dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) ketika di tingkatan tiga namun hanya memilih berhijrah ke sini (Bukit Jalil) selepas selesai menduduki PMR.

S: Di mata kasar anda, bagaimana pembangunan atau perkembangan acara lontar peluru di Malaysia?

J: Lontar peluru tidak popular di negara ini. Tapi contohnya seperti saya, bila sudah berjaya pecah rekod kebangsaan orang ramai mula 'pandang' kita. Namun, senario ini hanya di Malaysia saja, jika di negara lain acara lontar peluru sememangnya diminati terutama Eropah khususnya di Slovakia.

Lontar peluru adalah sukan teras, ada di Olimpik cuma entah mengapa tidak mendapat sambutan. Jika kejohanan dibuka secara percuma pun tiada pengunjung yang datang tengok.

S: Berdasarkan pengalaman anda, apakah hala tuju sukan lontar peluru ketika ini. Mungkin jika sekarang ini sebut saja nama 'Adi Alifuddin Hussin' semua mengenali anda, tetapi bagaimana pula selepas ini, sekiranya anda bersara?

J: Buat masa ini di Malaysia, saya menduduli ranking pertama. Namun susah untuk menjangkakan masa depan sukan ini di Malaysia kerana jarak antara atlet ranking nombor dua dengan saya amat jauh. Malah muka barupun susah untuk mengejar kedudukan ini.

S: Mungkin ada nasihat untuk generasi akan datang?

J: Mungkin apa yang saya cakap di sini agak pedih tapi itu adalah hakikat. Mereka yang berada di 'bawah' saya tidak menjalani latihan seperti saya dulu. Saya dulu terima saja apa yang diarah jurulatih. Namun, malangnya mereka pada masa ini tidak. Bagi saya, budak sekarang terlalu manja. Tidak boleh macam ini.

Saya nasihatkan anda untuk menjadi seseorang yang lebih keras, bersemangat waja dan terima saja apa yang diarahkan jurulatih.

S: Bagaimana dengan Ziyad?

J: Ziyad seorang yang rajin berlatih dan menerima apa yang diajar serta diarahkan jurulatih. Inilah yang saya mahukan pada mereka yang berada di 'bawah' saya serta generasi akan datang.

S: Selain sibuk menjalani latihan, apa aktiviti lain di luar?

J: Skuad lontar peluru sememangnya rapat. Kami biasa anjurkan aktiviti bersama. Kadang-kala jurulatih anjurkan hari keluarga di tempat peranginan contohnya di Port Dickson. Pendek kata, hubungan persahabatan antara kami amat kukuh dan jika ada masa lapang, kami akan keluar bersama.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Katrina ulat buku

Posted: 06 Jul 2013 11:27 AM PDT

Kuala Lumpur: Katrina Ann Abdul Hadi bukan saja hebat 'menari' di kolam renang tapi ratu renang berirama negara ini juga hebat mengulangkaji pelajaran, seorang 'ulat buku' sekali gus ingin bergelar penulis buku atau novel satu hari nanti.

Soalan: Jika bukan atlet, anda seorang...

Jawapan: Saya mungkin menjadi penulis buku.

S: Mengapa?


J:
Kerana saya sememangnya seorang 'ulat buku' daripada kecil. Lebih-lebih lagi saya suka membaca buku berkaitan fiksyen.

S: Anda akan realisasikan impian ini?

J: Ya, saya akan realisasikan cita-cita ini kerana sememangnya gemar menulis serta membaca.

S: Dalam cintakan sukan, mungkin anda ada meminati kereta. Ada kereta idaman?

J: Ada. Kereta idaman saya ialah Audi TT 6.

S: Ada meminati perkara lain? sukakan haiwan misalnya?

J: Saya pecinta haiwan. Saya amat sukakan kucing.

S: Selain sukan renang berirama, mungkin anda ada kelebihan lain?

J: Seorang yang 'multi-tasking', boleh membuat pelbagai perkara atau tugasan pada masa sama. Saya juga boleh melukis dan mereka.

Malah, saya yang hasilkan logo untuk acara renang berirama. Bukan setakat itu saja, saya juga mereka pakaian renang skuad kebangsaan dan banyak lagi.

S: Apa hobi anda?

J: Selain menulis dan membaca, saya juga suka menari. Kebetulan pula menari adalah rutin dalam renang berirama.

S: Jika orang tidak mengenali anda, mereka sering menganggap anda seorang...

J: Ada yang menganggap saya seorang yang sombong kerana sifat yang agak pendiam jika tidak kenal orang sangat. Namun, ada juga yang mengatakan saya seorang yang suka mengambil berat tetapi lurus, berdisplin dan garang.

S: Tugas anda sebagai seorang atlet kebangsaan, pastinya banyak ke tugasan luar negara. Negara mana yang anda suka?

J: Saya suka Perancis. Meskipun hanya ke sana beberapa hari, tetapi negara itu sangat cantik.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Jinzhe idam juara dunia

Posted: 06 Jul 2013 11:23 AM PDT

Beijing: Mungkin Li Jinzhe, 23, gagal menjejakkan kaki ke final kejohanan utama sebelum ini.

Namun persembahan mantap musim ini menaikkan semangatnya untuk menetapkan sasaran pingat di Kejohanan Dunia Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF) 2013 di Moscow, Russia, pada musim panas ini.


"Kedudukan minimum kelompok lapan terbaik di Moscow menjadi sasaran saya, namun saya akan berjuang untuk merebut tempat di podium," katanya yang mengikuti kem latihan di Beijing bagi persediaan kejohanan tempatan dua kali setahun pada 8 hingga 18 Ogos ini.

"Prestasi saya amat baik ketika ini. Saya baru saja selesai sesi latihan fizikal di Amerika Syarikat (AS) dan baru pulang ke tanah air kelmarin. Sesi latihan itu memberi saya tenaga secukupnya. Saya begitu cergas dan amat bertenaga pada masa ini," katanya.


Jinzhe yang mempunyai ketinggian 193 sentimeter (sm) mula menjalani latihan acara lompat jauh sejak 2006. Ketika itu dia masih di sekolah tinggi dan sering mencatat lompatan melepasi jarak lapan meter (m) setiap tahun sejak 2009.


Dia dilihat mempamerkan persembahan cemerlang tahun ini dengan memperbaiki catatan peribadi kepada 8.11m di Stockholm pada 21 Februari lalu.

Kemudian, Jinzhe menambah 9sm lagi, 8.34m untuk merangkul gelaran Liga Berlian 2013 di Shanghai, Mei lalu.


"Sememangnya ini kemenangan terbesar saya," katanya yang bukan saja merujuk kepada catatan digapai tapi kualiti persembahannya kerana menewaskan tiga juara Olimpik, Dwight Phillips 2004, Irving Saladino 2008 dan Greg Rutherford, London 2012.

Seminggu selepas itu di Cabaran Dunia IAAF Beijing, Jinzhe membuktikan kemenangannya di Shanghai bukanlah sekadar kebetulan.


Kali ini dia beraksi menentang jaguh tidak kurang hebat termasuk juara Olimpik Beijing dari Panama, Saladino dan tiga daripada empat pemenang emas Kejohanan Dalam Dewan Dunia IAAF, Ignisious Gaisah dari Ghana, Godfrey Mokoena (Afrika Selatan) dan Fabrice Lapierre (Australia) yang pernah muncul juara pada 2006, 2008 dan 2010.


Bagaimanapun, Jinzhe hanya perlukan catatan 8.31m untuk mencatat kemenangan.


Jinzhe hakikatnya mampu memperbaiki rekod peribadinya di depan penyokong sendiri namun siku kirinya cedera ketika lompatan ketiga dan memaksanya menarik diri untuk menerima rawatan.


"Saya menerima tujuh jahitan dan kecederaan itu merencatkan sesi latihan selama beberapa hari kerana setiap kali menghayunkan lengan atau siku, ia pasti menyakitkan apabila terkena pasir. Namun saya sudah pulih sepenuhnya sekarang," katanya.


Memandangkan bintang lari berpagar, Liu Xiang masih tersisih akibat kecederaan dan pasukan jalan kaki China menerima cabaran hebat skuad tuan rumah, Russia, Jinzhe kini menjadi harapan terbaik China untuk menyumbang pingat di Moscow.


"Jika mampu mengelak daripada sebarang kecederaan atau kesakitan, tidak mustahil untuk saya kekal konsisten dan melakukan lompatan terbaik.


"Saya bukanlah seorang yang takutkan cabaran," kata Jinzhe optimis. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Rooney milik United

Posted: 06 Jul 2013 11:22 AM PDT

London: Pengurus baru pasukan Manchester United David Moyes mengesahkan Wayne Rooney tidak akan dijual.

Beliau berkata demikian pada sidang media pertama sejak beralih ke Old Trafford.


Masa depan Rooney menjadi spekulasi dan tumpuan musim panas ini hingga mengaburi perpindahan Moyes yang mengambil alih tugas Sir Alex Ferguson.

Chelsea, Arsenal dan Paris Saint Germain (PSG) diramal menjadi lokasi perpindahan buat penyerang England itu namun Moyes menegaskan anak buahnya itu akan kekal di Old Trafford.


"Wayne bukan untuk dijual. Dia pemain United dan akan kekal di sini," tegasnya.


Moyes pernah memimpin Rooney, 28, ketika dia bersama Everton lantas optimis beliau mampu meraih yang terbaik dari penyerang England itu.

"Saya bertuah kerana sudah mengenali Wayne ketika usianya baru 16 tahun.


"Malah, saya juga sudah mengadakan beberapa pertemuan dengan Wayne. Dia menjalani latihan dengan hebat dan kembali ke prestasi yang amat baik menjadikan saya teruja untuk bekerja dengannya.

"Selepas berbincang dengannya beberapa kali, bagi saya perkara lalu itu tidak perlu diungkit lagi.


"Kini kami bekerjasama dan saya lihat dia turut teruja dan gembira. Dia seorang pemain yang hebat dan sekali lagi saya tekankan, Wayne bukan untuk dijual," katanya. Moyes turut enggan menyentuh pergeseran yang dilapor berlaku antara Rooney dan bekas pengurus United Sir Alex Ferguson.


"Saya tidak tahu intipati pertemuan mereka. Bagi saya, masa saya baru bermula di United.


"Saya ingin berusaha membantu Wayne mengecapi prestasi terbaiknya. "Bagi saya Wayne setaraf legenda kelab ini, George Best, Bobby Charlton atau Roy Keane." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Van Ginkel sah sertai Chelsea

Posted: 06 Jul 2013 11:21 AM PDT

London: Chelsea menandatangani pemain tengah Belanda, Marco van Ginkel. Namun, nilai perpindahan pemain berusia 20 tahun itu dari Vitesse Arnhem tidak didedahkan.

Yang pasti, dia mengikat perjanjian lima tahun di Stamford Bridge.


Van Ginkel digilap pembangunan pemain remaja Vitesse sebelum membuat penampilan sulung peringkat antarabangsa sebagai pemain gantian pada perlawanan seri tanpa jaringan di Jerman, November lalu.

"Saya gembira bersama pemain hebat di kelab utama ini. Saya benar-benar gembira, apatah lagi stadium dan padang latihannya amat menakjubkan.


"Saya sudah mengetahui latar belakang setiap pemain dan akan bertemu mereka esok. "Sasaran saya bersama pasukan amat tinggi dan saya juga menyaksikan setiap perlawanan Chelsea," katanya.


Van Ginkel melakukan penampilan sulung buat Vitesse pada usia 17 tahun dan beraksi 100 perlawanan dengan 22 jaringan.

Jaringan 11 gol yang dicatatnya musim lalu membantunya meraih anugerah Pemain Berbakat Belanda untuk pemain berusia bawah 21 tahun. Malah, dia juga menerima pengiktirafan antarabangsa.


Van Ginkel beraksi untuk pasukan Bawah 21 Tahun Belanda tiga kali pada kejohanan Eropah baru-baru ini dan menjaringkan dua gol untuk Jong Oranje mara ke separuh akhir.

Dia kini menjadi pemain kedua ditandatangani Jose Mourinho selepas Andre Schurrle dari Bayer Leverkusen. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Final epik Djokovic, Murray

Posted: 06 Jul 2013 11:20 AM PDT

London: Andy Murray akan cuba memecahkan rekod yang sekian lama ditanggung Britain untuk menjadi pemain lelaki pertama menjuarai Wimbledon sejak 1936.

Selepas Fred Perry, 77 tahun lalu, ketika zaman amatur, seluar panjang flanel dan raket kayu, menjelang Perang Dunia Kedua di Eropah, Britain masih tercari-cari juaranya di gelanggang Kelab Seluruh England.


Kempen Murray pada 2012 berakhir dengan linangan air mata yang disiarkan di televisyen, apabila tewas kepada Roger Federer di final dan menarik simpati peminat Britain yang selama ini curiga dengan kemampuan pemain kelahiran Scotland itu.

Malam ini, dia akan menentang pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic yang menewaskannya di final Terbuka Australia, Januari lalu biarpun Murray menang satu-satunya pertemuan mereka di Wimbledon sewaktu Sukan Olimpik London yang membolehkannya meraih pingat emas.


"Saya banyak belajar daripada Wimbledon tahun lalu," kata pemain berusia 26 tahun itu.


"Satu perkara yang pasti, saya sedar mengenai perlunya bermain dalam kejohanan besar atau cuba menyertai kejohanan besar selepas Wimbledon kerana saya tidak meninggalkan final itu dengan perasaan ragu-ragu mengenai keputusan yang saya buat di gelanggang kerana melaluinya.

"Saya tewas tetapi saya tidak menyesal." Ini adalah final ketujuh utama buat Murray dengan satu-satunya gelaran Grand Slam diperoleh di New York tahun lalu selepas menewaskan Djokovic dalam aksi lima set di perlawanan akhir.


Pemain Serbia itu yang juga juara Wimbledon 2011 akan beraksi dalam final kejohanan utama buat kali ke-11 dan memburu gelaran ketujuh.

Djokovic menewaskan Murray dalam perlawanan merebut gelaran di Melbourne tahun ini, begitu juga pada 2011.


"Mental saya berada dalam keadaan baik. Saya harap begitulah kerana pernah melaluinya. Saya pernah menang Grand Slam. Saya harap lebih tenang menjelang Ahad (hari ini)," kata Murray yang beraksi dalam empat final kejohanan Grand Slam berturut-turut selepas tidak beraksi di Roland Garros akibat kecederaan belakang.


"Anda takkan tahu. Saya mungkin bangun pagi Ahad dengan keadaan sungguh gementar, lebih gementar daripada sebelum ini." Murray memerlukan lima set untuk menewaskan Fernando Verdasco di suku akhir sebelum menewaskan pemain Poland, Jerzy Janowicz di separuh akhir.


Djokovic turut melangkah selesa ke separuh akhir tetapi perlukan lima set untuk menundukkan Juan Martin del Potro pada perlawanan separuh akhir paling lama di Wimbledon.


Biarpun perlawanan berlangsung empat jam 43 minit, Djokovic yang pernah mencatat rekod lima jam 53 minit untuk menewaskan Rafael Nadal di final Terbuka Australia 2012 menegaskan keletihan bukan satu masalah.


"Bukan pertama kali saya mengalami situasi seperti ini. Saya pernah mengalami situasi lebih teruk seperti Terbuka Australia 2012 atau beberapa kejohanan lain dan saya mampu pulih dengan cepat, berjaya menjulang gelaran, kembali cergas dan bermain enam jam lagi.


"Sudah tentulah anda berasa bagus secara fizikal, apabila anda cergas dan tidak terlalu letih, ia memberi keyakinan mental dan kekuatan yang diperlukan untuk menentang pemain ternama," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

No comments:

Post a Comment