Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Ranking tak berubah

Posted: 04 Jul 2013 10:10 AM PDT

Kuala Lumpur: Walaupun tidak menyertai perlawanan persahabatan sejak akhir-akhir ini, kedudukan skuad bola sepak kebangsaan tidak berubah dalam ranking bola sepak dunia.

Berdasarkan ranking terbaru dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) semalam, skuad Harimau Malaya bimbingan Datuk K Rajagobal kekal di kedudukan ke-159, sama seperti kedudukan bulan lalu.


Pada Januari, skuad Harimau Malaya menduduki tangga ke-158, Februari (159) Mac (164), April (163) dan Mei (161).

Kedudukan terbaru itu meletakkan pasukan kebangsaan setanding dengan beberapa pasukan lain seperti Palestin (151), Bangladesh (152), Maldives (154) dan Chad (160).


Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia kekal di tangga kelima di belakang Thailand (138), Filipina (144), Vietnam (145) dan Singapura (156).


Di peringkat Asia, Malaysia kekal pada kedudukan ke-31 daripada 46 negara.

Foto

HARIMAU Malaya kekal di tangga kelima Asia Tenggara.

Sementara itu, naib juara Piala Konfederasi 2013, Sepanyol terus mengekalkan status selaku pasukan terbaik dunia dengan mengumpul 1,532 mata manakala Jerman kekal di tangga kedua, 1,273 mata.


Colombia yang berada di tangga ketujuh sebelum ini, mencipta kejutan merampas tangga ketiga daripada Argentina dengan 1,206 mata berikutan persembahan cemerlang dalam beberapa perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 Zon Amerika Selatan.

Argentina pula turun ke tangga keempat selepas mengumpul 1,204 mata. Kedudukan ranking FIFA itu membabitkan 209 negara. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/05

Terengganu ungguli carta kedudukan

Posted: 04 Jul 2013 10:08 AM PDT

Kuala Lumpur: Terengganu terus mendahului carta pungutan pingat walaupun sekadar menambah satu pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16, semalam.

Pingat emas tunggal kontinjen pantai Timur itu diperoleh menerusi skuad bola sepak pantai wanita yang mengalahkan Sabah, 6-5 pada perlawanan akhir di Pantai Morib, Banting.


Hasrat Terengganu menyapu bersih dua pingat emas acara bola sepak pantai bagaimanapun tidak kesampaian apabila sekadar meraih perak dalam perlawanan akhir kategori lelaki selepas tewas kepada Pahang, 0-6.

Selain itu, Terengganu turut menambah sebutir pingat gangsa melalui acara Kabaddi wanita.


Terengganu setakat ini mengumpul 17 emas, 11 perak dan sembilan gangsa dan diikuti Wilayah Persekutuan dan Selangor, masing-masing 12-11-19 dan 12-10-21.


Acara Silambam yang membuka gelanggang semalam menyaksikan Negeri Sembilan dan Kedah mempamerkan kekuatan seimbang selepas masing-masing meraih dua pingat emas.

Sementara acara Kabaddi yang menutup tirainya semalam menyaksikan perebutan pingat emas antara Wilayah Persekutuan dan Selangor untuk dua pingat emas yang ditawarkan.


Skuad Wilayah Persekutuan akhirnya mendominasi kategori lelaki, manakala Selangor wanita.

Hari ini hanya dua pingat emas menjadi rebutan acara ping-pong berpasukan, lelaki dan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/05

Zhang Yu taruhan Pulau Pinang

Posted: 04 Jul 2013 10:07 AM PDT

Kuala Lumpur: Peserta Pulau Pinang, Seah Zhang Yu akan bertemu Mohammad Taufiq Othman dari Negeri Sembilan pada peringkat separuh akhir kategori 51-54kg acara Muaythai Sukan Malaysia (SUKMA XVI) di South City Plaza, Seri Kembangan, hari ini.

Turut melangkah ke separuh akhir adalah Mohamad Firdaus Mohd Jinai dari Johor yang akan menanti cabaran Kamarul Azrul Samsudin dari Selangor, selepas mereka menewaskan lawan masing-masing semalam.


"Tiket separuh akhir pada kali pertama Muaythai dianjurkan pada SUKMA membuktikan latihan selama satu setengah bulan di Thailand menampakkan hasil.

"Saya harap dapat ke final hari ini dan meraih pingat emas untuk Pulau Pinang," kata Zhang Yu.


Dua lagi perlawanan separuh akhir berlangsung hari ini adalah pertembungan kategori 54-57kg serta empat kategori lagi iaitu 42-45kg, 57-60kg, 60-63.5kg dan 63.5-67kg.


Atlet Perlis, Nik Muhammad Ariff Nik Mat Kahar melawan Mohamad Saiful Azhar Mohd Salleh dari Johor, manakala Azwan Che Wil dari Terengganu menentang peserta Kelantan, Ain Kamarudin untuk slot ke akhir kategori 54-57kg.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/05

Gergasi baru renang berirama

Posted: 04 Jul 2013 10:06 AM PDT

Kuala Lumpur: Negeri Sembilan (NS) melabuhkan tirai acara renang berirama Sukan Malaysia (SUKMA) 2013 penuh kegembiraan apabila menyekat dominasi Selangor dalam acara berpasukan.

Barisan atlet NS yang dilatih bekas jurulatih kebangsaan Hu Shu Xia menyapu bersih kesemua tiga pingat emas acara berpasukan dan semalam meraih emas terakhir ditawarkan di kolam renang Pusat Akuatik Nasional dalam acara kombinasi.


Kejayaan dalam acara itu mengangkat martabat pasukan NS sebagai gergasi renang berirama yang baru apabila meraih dua emas dalam acara teknikal berpasukan dan bebas berpasukan sebelum itu. Mereka membawa pulang tiga emas dan dua perak daripada enam acara yang disertai dan pengurus pasukan Ang Kin Hong menyifatkan ia hasil daripada usaha keras barisan atlet mudanya yang sanggup berkorban demi memastikan kejayaan dirangkul oleh negerinya.

"Kami hanya mensasarkan dua emas sebelum ini namun berjaya membawa pulang tiga emas. Ia satu pencapaian yang baik berbanding SUKMA lalu apabila hanya membawa pulang satu emas. "Kejayaan ini hasil usaha keras semua atlet yang sanggup turun berlatih enam hari seminggu. Mereka banyak berkorban dan lebih menggembirakan atlet ini berjaya menewaskan atlet kebangsaan," katanya.


NS yang dibarisi atlet semuda 8 hingga 17 tahun itu mengumpul 70.40 mata bagaimanapun diberi tentangan sengit oleh Wilayah Persekutuan yang hanya ketinggalan 0.1 mata untuk pingat perak dan gangsa milik Pulau Pinang, 68.60 mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/05

Melaka kekal penguasaan polo air

Posted: 04 Jul 2013 10:06 AM PDT

Kuala Lumpur: Melaka mengekalkan penguasaan dalam sukan polo air Sukan Malaysia (SUKMA) 2013 apabila meraih emas berganda menerusi skuad lelaki semalam selepas barisan wanitanya turut berjaya melakarkan kejayaan sama.

Perlawanan akhir di Pusat Akuatik Nasional menyaksikan Melaka melakar kemenangan bergaya apabila membelasah Negeri Sembilan (NS), 14-5.


Anak didik Fan Kow Jan bermula garang seawal wisel ditiup apabila memimpin perlawanan dengan meledak empat gol pada suku pertama. Mereka terus menjarakkan kedudukan memasuki babak kedua dengan menjaringkan tiga lagi gol dan kedudukan suku kedua berakhir 7-2.

Pada suku ketiga, Melaka terus melebarkan penguasaan, 10-2 dan akhirnya NS terpaksa menyerah kalah apabila jauh ketinggalan biarpun cuba mengejar di babak keempat dengan menjaringkan tiga gol.


Kow Jan berkata, kunci kemenangan pasukannya adalah kecergasan apabila dibarisi majoriti pemain muda biarpun lawan mereka dari NS kebanyakannya pemain berpengalaman.


"Kami menang kerana kecergasan. Pemain NS berpengalaman tapi mereka tidak cukup cergas. Saya gunakan kelebihan itu apabila membawa masuk pemain muda untuk menguasai kolam.

"NS adalah rakan sepelatih. Kami sering berlatih bersama dan tahu kelebihan dan kekurangan masing-masing. Jika mahu dibandingkan, kedua-dua pasukan ini tidak jauh beza," katanya. Soh Yong Wee dan Fam Jia Yi menjadi wira skuad Melaka selepas masing-masing menjaringkan empat gol.


Sementara itu pada perlawanan penentuan pingat gangsa Kuala Lumpur menumpaskan Selangor, 9-8.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/05

Bantuan asing

Posted: 04 Jul 2013 10:05 AM PDT

Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan wanita Wong Tat Meng mengambil langkah bijak menjemput pemain nombor empat dunia, Juliane Schenk dari Jerman berlatih bersama pemain wanita negara bagi memastikan Sonia Cheah dan Tee Jing Yi meningkatkan prestasi menjelang Kejohanan Dunia di Guangzhou, China 5-11 Ogos depan.

Tat Meng berkata, Schenk akan berlatih selama sebulan di Bukit Kiara.


"Saya kenal rapat Juliane. Pada Terbuka Singapura lalu, saya berbincang dengannya tapi dia tidak terus memberi jawapan," kata Tat Meng.

Juliane tiba di Kuala Lumpur kelmarin, segera turun menjalani latihan bersama pasukan negara pagi semalam.


"Dia sudah mula menjalani latihan ringan. Saya mahu dia menyesuaikan diri dengan perubahan masa sebelum serius menjalani latihan." Tat Meng menganggap kehadiran Juliane yang berlatih sendirian tanpa bantuan Persatuan Badminton Jerman (GBA) serta tiada kelab untuknya bernaung, boleh memberikan pengalaman berguna kepada Sonia dan Jing Yi.


"Banyak kelebihan boleh digunakan pemain kita daripada latihan bersama ini. Sonia kadang kala bermain cemerlang, ada kalanya tidak konsisten.

"Saya yakin jika berlatih bersama Juliane, keyakinannya pasti meningkat kerana bermain menentang pemain bertaraf dunia setiap hari," katanya.


Juliane menghadapi masalah dengan GBA tapi masih mampu mengurus dirinya dan kecekalannya boleh dipelajari pemain negara.

"Untuk Jing Yi pula, corak permainannya dengan Juliane lebih kurang sama, lebih kepada fizikal. Jing Yi boleh belajar daripada Juliane bagaimana menjadi seorang pemain yang bagus." Selain latihan sebulan di Bukit Kiara, Juliane juga dijangka menyertai skuad negara menjalani latihan pusat di Hong Kong bermula 25 Julai ini.


Difahamkan semua perbelanjaan Juliane sepanjang menjalani latihan bersama skuad negara ditanggung Persatuan Badminton Malaysia (BAM).


Sementara itu, Juliane berkata, dia tidak akan beraksi di Kejohanan Dunia Ogos ini, gara-gara konflik dirinya dengan persatuan Jerman.


"Saya ke sini hanya untuk membantu Malaysia dan tidak akan beraksi dalam mana-mana kejohanan di bawah nama Jerman," kata Juliane.


"Selepas 15 tahun berbakti untuk negara, saya ada menulis surat untuk keluar daripada pasukan kebangsaan hujung tahun ini tapi mereka membalas surat supaya meninggalkan skuad kebangsaan empat hari selepas itu.


"Pada masa sama mereka minta saya beraksi di Guangzhou demi bendera Jerman. Jangan harap saya akan beraksi mewakili Jerman lagi selepas ini," kata Juliane, 31.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/05

Puyol enggan bersara

Posted: 04 Jul 2013 10:00 AM PDT

Madrid: Pertahanan utama Barcelona, Carles Puyol yang dibelenggu masalah kecederaan tidak berhasrat untuk bersara sebaliknya berharap dapat menyambung kontraknya bersama juara Sepanyol itu.

Pemain antarabangsa Sepanyol berusia 35 tahun itu tidak beraksi sejak menjalani pembedahan lutut kanan Mac lalu.


Dia turut menjalani pembedahan sama di lutut itu Mei lalu sekali gus mencetus spekulasi dia mungkin terpaksa menamatkan karier bola sepaknya.

Namun ketika ditanya akhbar sukan harian Catalunya El Mundo Deportivo sama ada dia akan bersara, Puyol berkata: "Kini bukan masanya. Saya tidak akan bersara. Sekalipun saya banyak merana, kemeriahan dan keghairahan untuk bermain tetap ada.


"Jika musim depan saya tidak cergas dan senario sama berlaku lagi, saya mungkin menimbangkannya tapi buat masa ini saya mahu menghabiskan kontrak dan jika boleh menyambungnya," katanya dalam satu temuramah edisi online akhbar itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/05

England layak

Posted: 04 Jul 2013 09:56 AM PDT

Johor Bahru: England secara matematik sudah layak ke Piala Dunia 2014 di Belanda menerusi Kejohanan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Stadium Hoki Taman Daya selepas mencatatkan kemenangan 5-0 ke atas Jepun pada saingan suku akhir semalam.

Berdasarkan format Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), hanya satu pasukan yang mengakhiri saingan di tempat keempat pada dua kejohanan separuh akhir iaitu di Belanda dan Malaysia, akan terpilih beraksi di Piala Dunia sekiranya menduduki ranking lebih baik.


Bermakna, sekiranya England menamatkan saingan pada kejohanan ini di kedudukan keempat sekalipun, mereka tetap layak beraksi di Piala Dunia kerana menduduki ranking keempat dunia berbanding pasukan ranking keenam dunia, New Zealand yang menamatkan saingan di tempat keempat di Belanda bulan lalu.

"Secara matematik kami sudah layak ke Piala Dunia kerana menduduki ranking lebih baik berbanding New Zealand," kata ketua jurulatih England Bobby Crutchley.


"Saya gembira dengan persembahan mereka tapi kami tetap fokus untuk perlawanan separuh akhir bertemu Argentina." Sementara itu, Argentina turut menepati ramalan layak ke separuh akhir selepas menewaskan Afrika Selatan, 2-0.


Bagaimanapun ketua jurulatih Argentina Carlos Retegui meluahkan rasa kurang senang dengan sistem undian pada kejohanan ini.

"Kami muncul juara kumpulan tapi perlu juga turun pada perlawanan suku akhir bertemu pasukan tercorot satu lagi kumpulan (Afrika Selatan).


"Sepatutnya juara dan naib juara bagi setiap kumpulan dapat terus beraksi di separuh akhir, bukan dengan sistem seperti sekarang kerana ia umpama tidak memberi sebarang makna kepada kami," katanya.

Saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di sini menawarkan tiga tiket ke Piala Dunia di Belanda. Jumlah sama juga ditawarkan pada satu lagi saingan separuh akhir di Belanda, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/05

Selangor tekad gempur

Posted: 04 Jul 2013 09:55 AM PDT

Kuala Lumpur: Selangor melaungkan amaran akan menggempur habis-habisan kubu Johor Darul Takzim (DT) bagi memburu kemenangan biarpun satu mata pada aksi terakhir Liga Super di Larkin, esok sudah memadai untuk skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim muncul naib juara sekali gus meraih slot ke Piala AFC musim depan.

Menurut Irfan, beliau tidak akan memperjudikan nasib pasukannya dengan bermain secara bertahan memandangkan skuad Red Giants memiliki rekod baik di gelanggang lawan itu.


"Perlawanan ini penting bukan saja untuk menamatkan kempen ini di tangga kedua tapi merebut slot ke Piala AFC. Kami akan bermain secara menyerang dan tidak akan bertandang ke sana untuk bertahan. Kami memburu kemenangan biarpun seri sudah cukup untuk kami mengekalkan kedudukan dalam liga," katanya.

Selepas LionsXII mengesahkan kejuaraan apabila mengum pul 43 mata Selasa lalu, kemuncak perlawanan akhir liga kini lebih terarah kepada perebutan tempat kedua antara Selangor dan pasukan tangga ketiga Johor DT kendalian Fandi Ahmad.


Kedua-dua pasukan terikat 39 mata namun Selangor memiliki kelebihan jumlah jaringan.


Keyakinan anak buah Irfan untuk menambah duka skuad Harimau Selatan yang terlepas kejuaraan Piala FA Sabtu lalu sema kin membara apabila mereka mencatat kemenangan besar 4-1 ke atas T-Team Selasa lalu malah rekod di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos juga lebih memihak kepada mereka musim ini.

Pada aksi Piala FA, Selangor berjaya mencatat kemenangan 2-1 di gelanggang itu dan untuk memastikan misi itu berjaya Irfan sedia menurunkan penyerang import, Francis Forkey Doe daripada hukuman untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama kali ini.


Pada perlawanan dengan T-Team, Forkey Doe hanya masuk sebagai pemain gantian sebagai denda lewat memasuki kem selepas menjalankan tugasan antarabangsa skuad kebangsaan Liberia. Biarpun masuk pada babak kedua, pemain itu tetap berbisa apabila menyumbat gol keempat Selangor.

"Kami pernah menang di sana dan tiada apa perlu ditakutkan walaupun kami tahu Johor DT pasti mahu menebus kehampaan kalah di final Piala FA dengan Kelantan. Bagi perlawanan Sabtu ini saya akan menurunkan Doe dalam kesebelasan utama dan saya percaya hukuman yang dikenakan kepadanya sudah cukup untuk memberi peringatan kepadanya," jelas Irfan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/05

PAFA hati-hati pilih pemain

Posted: 04 Jul 2013 09:54 AM PDT

Ipoh: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) akan lebih berhati-hati membentuk pasukan menghadapi kempen musim hadapan termasuk semasa proses meminjam pemain bagi kempen Piala Malaysia.

Presiden PAFA Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, penelitian terhadap setiap pemain akan dibuat membabitkan pegawai perubatan dan pakar sains sukan.


Langkah itu bertujuan mengelak Perak mengalami kerugian mengambil pemain yang 'menyorok' kecederaan ketika mahu menyertai pasukan.

"Ketika menyertai pasukan Perak pemain terbabit tidak berterus terang mengenai keadaan sebenar dan apabila diturunkan dia mudah mengalami semula kecederaan," katanya selepas majlis penyerahan imbuhan kepada pemain skuad belia Perak yang menduduki tempat ketiga Piala Presiden.


Atas kejayaan itu Perak menerima RM5,000 daripada FAM manakala PAFA menambah RM3,500 menjadikan jumlahnya RM8,500 untuk dibahagikan kepada pemain serta pegawai pasukan.


Begitupun setakat ini Zainol belum mendapat maklum balas daripada pengurusan pasukan Liga Super Perak terhadap hasrat mengambil pemain pinjaman bagi memperkuatkan pasukan Seladang dalam kempen Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/05

No comments:

Post a Comment