Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


900kg ganja dalam sardin beku

Posted: 03 Jul 2013 08:55 AM PDT

Madrid: Apabila polis Sepanyol merampas kontena berisi ikan sardin beku di Marbella kelmarin, mereka dapat merasakan sesuatu yang tidak kena berlaku.

Perasaan syak mereka terbukti betul apabila mereka membuka kontena dan menemui 900 kilo ganja yang dianggar bernilai RM18 juta tersembunyi di bawah ikan beku itu. Operasi itu yang dinamakan Maria membawa kepada penangkapan 14 suspek penyeludup dan rampasan dadah itu.


Pegawai kastam menjejaki kargo itu dari Maghribi ke sebuah gudang di pelabuhan di Cadiz, Sepanyol.

Dari situ, ia dihantar ke sebuah vila mewah di Marbella, selatan Sepanyol, tempat polis melancarkan serbuan dan merampas sardin berkenaan.


"Kami menemui 325 kilogram ganja tersembunyi di sebalik ikan di dalam trak sejuk beku. "Manakala, 570 kilogram dadah itu ditemui dalam gudang di pelabuhan di Cadiz," kata jurucakap polis. Menurutnya, polis mengawasi kumpulan itu sejak lebih sebulan lalu selepas pemimpin sindiket itu tiba di Sepanyol dari Maghribi untuk merancang penyeludupan dadah itu.


Kejayaan itu menyusuli rampasan kokain bernilai RM100,000 juta dari sebuah kapal layar bulan lalu. Dalam kejadian berkenaan, seorang penyeludup mati selepas terjun ke laut kerana mahu mengelak daripada ditangkap. - Agensi

Foto

DADAH yang disorok dalam ikan sardin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03

Gigit zakar jiran sampai berdarah

Posted: 03 Jul 2013 08:46 AM PDT

London: Mahkamah semalam diberitahu, seorang lelaki menggigit zakar jirannya sehingga berdarah selepas mereka terbabit dalam pergaduhan berpunca daripada gangguan bunyi.

Jason Martin, 41, dituduh membongkok dan menggigit Richard Henderson, 39, melalui pijama mangsa seelaps menerima mesej teks meminta dia memperlahankan muzik dipasangnya.


Menurut Henderson, Martin menggigit kemaluannya "seperti satu set sandwic" dan menyebabkan dia mengalami kesakitan melampau.

Diminta menggambarkan serangan itu, Henderson memberitahu juri, kemaluannya "tidak lagi bersambung dengan seluruh anggota badannya." "Saya tak pernah mengalami kesakitan sebegitu dan tidak mahu mengalaminya sekali lagi," katanya.


Sementara itu, polis yang dipanggil ke tempat kejadian mengakui melihat mulut Martin dipenuhi darah. Bagaimanapun, tertuduh menafikan dia menggigit Henderson.


"Bagaimana saya boleh menggigit dia ketika saya tak ada gigi?" katanya.

Sejumlah gambar turut ditunjukkan kepada juri di Mahkamah Canterbury selepas mereka diberi amaran oleh pendakwa bahawa imej itu "tidak menyenangkan" untuk dilihat. Martin menafikan dia berniat untuk menyebabkan kecederaan serius kepada Henderson dalam kejadian Jun tahun lalu itu. Pendakwa, Mary Jacobson berkata, pergaduhan berlaku apabila Henderson dan pasangannya, Michelle Hilton berasa terganggu kerana muzik dimainkan dari rumah Martin pada lewat malam itu.


Sebaik keluar dari rumah masing-masing, kata Mary, Martin dan Henderson bergelut.

"Defendan menolak Henderson ke dinding, membongkok dan menggigit zakar mangsa.


"Henderson meraung kesakitan dan Michelle pula mula menjerit meminta tolong," katanya. Martin berjaya dipisahkan daripada Henderson apabila jiran mula keluar dan cuba meleraikan pergaduhan berkenaan. Perbicaraan bersambung hari ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03

Kawasan perkuburan Islam diconteng Nazi

Posted: 03 Jul 2013 08:45 AM PDT

London: Selepas masjid, kini kawasan perkuburan Islam menjadi sasaran serangan kumpulan berhaluan pelampau di Btritain.

Anggota kumpulan berkenaan baru-baru ini menconteng lambang swastika, 'pembunuhan Lee Rigbny,' dan 'kuasa kulit putih' pada empat batu nesan di tanah perkuburan umat Islam di New Port, Wales Selatan.


Mereka juga tidak takut untuk menconteng huruf BNP (Parti Nasional Britain), UKIP (Parti Kemerdekaan United Kingdom), dan NF (Front National) pada batu nesan berkenaan.

Setiausaha Persatuan Islam Wales, Mubarak Ali, menyelar perbuatan itu dan menggesa masyarakat Islam di Wales bertenang dan tidak bertindak membalas dendam.


"Sudah tentu kami marah dan kecewa. Tetapi kami sedar ia perbuatan golongan kecil yang bodoh yang melakukan perbuatan seperti ini," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03

Usaha selamat mangsa sukar

Posted: 03 Jul 2013 08:41 AM PDT

Blang Mancung (Indonesia): Penyelamat semalam terpaksa berdepan kesukaran melepasi tanah runtuh dan laluan terhalang untuk tiba ke tempat mangsa gempa bumi di wilayah Aceh yang membunuh sekurang-kurangnya 29 orang, termasuk beberapa kanak-kanak yang terkorban apabila sebuah masjid runtuh.

Lebih 200 orang turut cedera di kawasan pedalaman dan pergunungan Aceh apabila gempa bumi sekuat 6.1 magnitud berlaku kelmarin dan menyebabkan banyak bangunan ranap selain bencana tanah runtuh, Di Kampung Blang Mancung, Aceh Tengah, sekurang-kurangnya enam kanak-kanak maut apabila sebuah masjid runtuh ketika mereka membaca al-Quran.


Ketua unit bantuan bencana alam daerah, Subhan Sahara berkata, maklumat awal menyatakan 14 kanak-kanak lagi terperangkap dalam runtuhan itu.

Bagaimanapun, sehingga semalam tiada mayat lain ditemui di situ.


"Ini adalah gempa bumi terkuat pernah melanda daerah ini," katanya. Subhan berkata, orang ramai masih ketakutan terutama apabila melalui merasai gegaran susulan malam kelmarin. "Gempa bumi itu menyebabkan banyak tanah runtuh.


"Penduduk kampung tidak boleh keluar dari kawasan itu kerana pokok tumbang dan timbunan tanah menghalang laluan," katanya. Hospital utama di daerah itu pula dipenuhi orang ramai, memaksa pihak yang berkenaan memasang khemah tambahan di kawasan meletak kenderaan bagi menerima pesakit.

Subhan berkata, mereka berdepan masalah kekurangan bekalan makanan dan air bersih.


Kesukaran tiba ke lokasi bencana juga memaksa pihak yang berkenaan menggunakan sebuah helikopter dari Riau untuk membantu operasi menyelamat, manakala pesawat udara tentera dihantar bagi menilai kemusnahan yang berlaku. Jurucakap agensi bencana alam Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho berkata, ribuan bangunan dan rumah musnah akibat gempa bumi itu. "Kematian dicatatkan di beberapa tempat di dua kawasan paling teruk terjejas di Aceh Tengah dan Bener Meriah," katanya.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03

Perusuh bakar balai polis

Posted: 03 Jul 2013 08:40 AM PDT

Sumatera Selatan: Perusuh membakar dua balai polis di wilayah ini selepas polis menembak mati seorang lelaki disyaki perompak.

"Dua balai polis, satu di daerah Rupit dan satu di Rawas Ulu, dibakar," kata jurucakap polis Sumatera Selatan, Djarod Padakova, semalam.


Menurutnya, polis masih menilai keadaan tahanan yang ditahan di kedua-dua balai itu yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan antara satu sama lain.

Serangan berlaku kelmarin, sehari selepas pasukan polis Indonesia meraikan ulang tahun ke-67. Balai polis di Rupit pernah musnah selepas dibakar April lalu berikutan pertelingkahan mengenai penubuhan sebuah kawasan pilihan raya baru.


Dalam kejadian kelmarin, sekumpulan penduduk dikatakan marah dengan kematian seorang lelaki tempatan, HH, yang ditembak mati kerana enggan menyerah diri kepada polis.


Perusuh turut menyekat laluan lebuh raya yang menghubungkan Lubuk Linggau di Sumatera Selatan dengan Jambi hingga awal pagi semalam.

HH dikehendaki kerana disyaki terbabit dalam beberapa rompakan.


"Kami melancarkan serbuan kelmarin. Suspek enggan menyerah diri walaupun selepas beberapa tembakan amaran dilepaskan. Kami tiada pilihan lagi, kecuali menembaknya," kata Djarod.

Polis turut merampas pistol buatan sendiri daripada mangsa yang mati ketika dalam perjalanan ke hospital.


Djarod berkata, dia tidak dapat memastikan punca polis begitu dibenci di kawasan berkenaan.


"Kami masih menilai masalah itu. Saya yakin penduduk Sumatera Selatan masih mahu kehadiran kami bagi memastikan keselamatan mereka," katanya. - JG

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03

Ketua samseng didenda 64 sen, penjara 4 bulan

Posted: 03 Jul 2013 08:40 AM PDT

Jakarta: Ketua samseng yang pernah menguasai Tanah Abang, Hercules Rozario Marshal, bakal bebas seminggu lagi selepas dihukum penjara selama empat bulan dan denda 64 sen kerana menghasut rusuhan antipolis di Kembangan, Jakarta Barat.

Mahkamah Daerah Jakarta Barat membuat penghakiman itu, semalam.


Keputusan itu mengejutkan polis yang sebelum ini mengkritik pendakwa kerana mencadangkan hukuman penjara enam bulan saja untuk kesalahan yang menyediakan hukuman maksimum sembilan tahun.

Hakim Kemal Tampubolon berkata, defendan disabitkan kesalahan mengugut untuk mencederakan anggota keselamatan. Rakan Hercules, M Sidik yang juga bekas pemimpin Forum Komunikasi Betawi (Forkabi) turut dikenakan hukuman sama. Hercules mengetuai rusuhan di Kembangan dengan merosakkan tingkap kedai sebagai membantah arahan polis membubarkan kumpulan samsengnya yang berselindung di sebalik nama Gerakan Rakyat Indonesia Baru.


Pertubuhan itu didakwa mempunyai kaitan dengan Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) pimpinan bakal calon presiden, Prabowo Subianto.


Pertubuhan Hercules menjadi sasaran polis selepas mereka dipercayai aktif dalam kegiatan memeras ugut penduduk setempat serta memungut wang perlindungan daripada peniaga. Hercules ditahan sejak hampir empat bulan lalu dan pelaksanaan hukuman penjara ke atasnya dijangka tamat minggu depan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03

Militan maut bom dipegang meletup

Posted: 03 Jul 2013 08:39 AM PDT

Manila: Seorang lelaki disyaki militan mati selepas bom yang dibawanya dengan motosikal meletup.

Jurucakap tentera, Carlito Galvez berkata, motosikal yang dinaiki suspek, Reynald Sapilin musnah dalam kejadian di ladang getah berhampiran bandar Lamitan di Pulau Basilan, yang pernah dikuasai kumpulan Abu Sayyaf.


Galvez berkata, Sapilin mungkin merancang meletupkan bom itu di Lamitan atau bandar berhampiran, Isabela tetapi sukar bergerak kerana beberapa sekatan jalan raya yang dilakukan tentera.

Menurut jurucakap itu, Sapilin dilihat memegang bom berkenaan yang disembunyikan dalam beg galasnya apabila ia meletup. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03

Masa depan jadi tanda tanya

Posted: 03 Jul 2013 08:38 AM PDT

Kaherah: Masa depan Mesir kini menjadi tanda tanya selepas Presiden Mohamed Mursi enggan meletak jawatan, beberapa jam selepas tempoh diberi tentera untuk beliau berundur berakhir, semalam.

Ketika waktu untuk Mohamed Mursi "memenuhi tuntutan rakyat" semakin hampir berakhir pada jam 4.30 petang (10.30 malam tadi), sumber berkata, pegawai atasan tentera berkumpul untuk menyertai mesyuarat tergempar. Dalam ucapan disiar stesen televisyen pagi semalam, Mohamed Mursi berkata, dia dipilih secara bebas untuk membawa negara bermasalah itu menjadi lebih baik berbanding setahun lalu dan bertekad untuk melaksanakan tugas berkenaan. "Satu-satunya alternatif untuk menghormati kesahihan perlembagaan presiden adalah pertumpahan darah yang berlanjutan," katanya. Sementara itu, komander kanan tentera bertemu semalam dan bersumpah untuk mempertahankan Mesir dengan nyawa mereka.


Kata sumber, mereka mengangkat sumpah di depan Panglima Tentera Mesir yang juga Menteri Pertahanan, Abdel Fattah al-Sisi.

"Kami bersumpah kepada Tuhan akan berkorban dengan darah demi Mesir dan rakyatnya menghadapi semua pengganas, pelampau dan orang jahil," kata mereka. Tentera dijangka mengeluarkan kenyataan apabila tempoh 48 jam diberikan kepada Mursi berakhir. Satu mesej dipos melalui Twitter rasmi Mohamed Mursi menggesa tentera supaya berundur. "Presiden bertegas bahawa dia mempunyai mandat melalui perlembagaan dan menolak sebarang usaha mengatasinya.


"Beliau menggesa tentera supaya menarik balik amaran dan menolak sebarang campur tangan domestik atau asing," katanya. Sementara itu, media massa tempatan pula menjangkakan Mohamed Mursi akan berundur. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03

Pesawat Presiden Bolivia disyaki bawa Snowden dipaksa mendarat

Posted: 03 Jul 2013 08:37 AM PDT

Vienna: Bolivia mendakwa Austria bertindak melampau apabila memeriksa kapal terbang Presiden Evo Morales semalam dan menyalahkan Washington kerana memaksa pesawat itu mendarat di Vienna gara-gara mengesyaki ia dinaiki bekas ejen perisik AS, Edward Snowden.

Pesawat Morales terkandas beberapa jam di lapangan terbang selepas Portugal dan Perancis tiba-tiba membatalkan kebenaran untuknya melalui ruang udara masing-masing.


Bagaimanapun, pesawat itu kemudian menyambung penerbangan pulang selepas Morales menghadiri mesyuarat di Moscow. Austria tidak menemui sebarang petanda kewujudan Snowden di situ dan dipercayai dia masih berada di kawasan transit lapangan terbang di Moscow sejak gagal dikesan pada 23 Jun lalu.

Sejak menjadi buruan AS, Snowden cuba mencari mana-mana negara yang sanggup memberi perlindungan kepadanya. Bagaimanapun, sehingga ini masih belum ada negara yang bersedia menimbang permohonannya jika dia berbuat demikian. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03

Amah saji teh dicampur air kencing

Posted: 03 Jul 2013 08:36 AM PDT

Hong Kong: Kerana tidak tahan dipaksa bekerja dengan teruk, seorang pembantu rumah menyajikan air teh yang dicampurkan dengan air kencingnya dan air bekas basuh baju kepada majikannya.

Akhbar South China Morning Post melaporkan, pembantu rumah berusia 22 tahun itu ditangkap selepas majikannya menyedari bau ganjil pada minumannya.


Majikan terbabit menyoal pembantu rumah itu yang mengaku berbuat demikian.

Pembantu rumah terbabit kini berdepan dengan hukuman penjara tiga tahun jika didapati bersalah terhadap tuduhan mencampurkan bahan berbahaya ke dalam makanan.


Identiti majikan dan pembantu rumah itu tidak dinyatakan.


Tahun lalu, seorang amah warga Indonesia di Dubai yang mencampurkan air kencing ke dalam teh majikannya dipenjara dua bulan. Dia melakukan jenayah itu kononnya untuk membuat keluarga majikannya sukakannya.

"Saya hanya mencampurkan sesudu air kencing ke dalam teh sebelum menyajikan minuman kepada keluarga itu. Saya lakukannya tujuh hari sebulan," kata amah terbabit.


Pada 2007, seorang amah, juga warga Indonesia, dipenjara enam hari di Hong Kong kerana menyajikan majikannnya minuman yang dicampur dengan air kencing nya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03

No comments:

Post a Comment