Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


The Fighters yakin mara

Posted: 07 Oct 2014 11:50 AM PDT

Bangi: Berbekalkan modal selesa di samping semangat membara di kalangan rakan sepasukan, ketua pasukan FELDA United Mohd Shukor Adan yakin pasukannya mampu melangkah ke separuh akhir kempen Piala Malaysia musim ini.

Bukan bernada angkuh, tetapi naluri bekas pemain Negeri Sembilan, Selangor dan ATM itu cukup kuat mengatakan The Fighters mampu merealisasikan sasaran mara ke pentas final.

Shukor, 35, yang mencuri perhatian pengendali skuad kebangsaan Dollah Salleh buat menghadapi tugasan Piala AFF penghujung November, percaya kelebihan empat gol di tempat lawan itu sukar untuk digugat lawan, namun dia tetap menyeru rakan agar sentiasa berwaspada pada aksi timbal balik itu.

"Selangor ibarat harimau terluka, mereka akan bersungguh-sungguh untuk cuba mencari gol penyamaan.

Dalam bola sepak apa-apa pun boleh berlaku.

"Walaupun kami agak selesa, saya tetap mahu rakan sepasukan fokus dan beri komitmen 100 peratus," katanya ketika ditemui pada sesi latihan FELDA di Pusat Latihan Bank Simpanan Nasional (BSN), Bangi, semalam.

FELDA musim ini naib juara Piala FA dan Liga Perdana hingga meletakkan pasukan peneroka itu layak beraksi dalam kelompok pasukan elit di Liga Super musim depan, diakui banyak dipengaruhi pengaruh kapten itu memimpin rakan sepasukan ketika di dalam padang.

Malah, menurut pemain kelahiran Bukit Piatu, Melaka itu, kesemua pemain kini bersemangat untuk melakar kejutan dengan impian untuk mendakap piala keagungan itu selepas turut melakukan kejutan mara ke final Piala FA pada Jun lalu.

"Saya rasa ini peluang terbaik untuk kami (merangkul Piala Malaysia) kerana sejak awal musim, tiada pihak yang menyangka kami akan mara hingga ke tahap ini.


Saya harap kami akan menjulang sekurang-kurangnya satu piala," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

'Usah rasa selesa'

Posted: 07 Oct 2014 11:43 AM PDT

Kuala Lumpur: Gandingan beregu Tan Boon Heong-Hoon Thien How tidak boleh berasa selesa walaupun mereka sekarang ini berada dalam tempoh 'rehat'.

Menurut jurulatih beregu negara Pang Cheh Chang, sebaik saja Boon Heong pulih daripada kecederaan otot, dia dan Thien How perlu sedar bahawa akan ada beregu pelapis mencabar kedudukan mereka.

"Saya rasa cabar mencabar ini langkah positif, jika tidak ada pasangan pelapis maknanya kita tidak berada dalam persekitaran yang sihat," katanya selepas sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara kelmarin.

Boon Heong sekarang ini masih lagi berehat berikutan kecederaan otot dialami sebaik tiba di Incheon untuk Sukan Asia 2014 bulan lalu.


Thien How pula dikhabarkan meneruskan latihan seperti biasa tetapi fokus kepada pembinaan semula bentuk fizikalnya.


"Pemain pelapis akan mempunyai inisiatif untuk mencabar pemain senior, tapi tekanan ini bagi peningkatan permainan mereka.

"Apabila pemain pelapis cuba mencabar mereka ia sangat baik buat Boon Heong dan Thien How. Mereka akan bersaing dengan pemain di bawah mereka termasuk Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang lebih muda," katanya.

Dalam masa yang sama, Cheh Chang turut mengakui Boon Heong-Thien How berada dalam program untuk mengumpul mata melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 Rio.

"Bagaimanapun sekarang ini saya mahu keadaan mereka fizikal mereka kembali pulih seperti biasa dan tidak menyenaraikan mereka ke Siri Super Premier Terbuka Denmark 2014 yang bermula minggu depan.

"Saya mahu mereka kembali capai puncak prestasi menjelang Siri Super Perancis 2014 yang berlangsung dari 21 hingga 26 Oktober ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

No comments:

Post a Comment