Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Tolong layan sama rata'

Posted: 10 Oct 2014 12:21 PM PDT

Kelana Jaya: Biar apa pun keputusannya, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) akur dengan perubahan tarikh baru perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia.

Bagaimanapun, wakilnya yang juga pengurus pasukan, Marzuki Sulong seakan-akan memberi peringatan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar masalah perbalahan tukar-menukar tarikh perlawanan ini tidak berulang lagi.

"Saya harap pada masa akan datang pihak FAM melayan semua pasukan sama rata," katanya selepas mesyuarat dengan wakil Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dan FAM semalam.

Jelasnya, Terengganu bersetuju dengan tarikh baru perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (Johor DT) di gelanggang lawan iaitu pada 16 Oktober ini.

"Saya bagi pihak Terengganu bersetuju dengan tarikh ini demi keharmonian bola sepak negara," katanya.

Sebelum ini, Terengganu tidak berpuas hati dengan tindakan Johor DT yang mahu meminda tarikh perlawanan suku akhir kedua dari 11 kepada 17 Oktober.

Rabu lalu, PBSNT mengeluarkan kenyataan perubahan tarikh saingan suku akhir kedua Piala Malaysia seperti perlawanan bola sepak antara kampung dan keputusan itu tidak masuk akal, pelik serta tidak bermaruah.

Kelmarin Presiden PBSNT Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata Terengganu tidak akan bermain pada perlawanan suku akhir kedua jika tarikh penangguhan di kekalkan pada 17 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/11

Enam sukan terpilih

Posted: 10 Oct 2014 12:20 PM PDT

Kuala Lumpur: Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk meningkatkan mutu sukan berprestasi tinggi membabitkan enam bidang sukan terpilih pada pembentangan Bajet 2015 semalam mendapat reaksi positif persatuan sukan yang berkenaan.

Enam sukan yang diumumkan Perdana Menteri adalah bola sepak, berbasikal, badminton, sepak takraw, renang dan olahraga.

Bagi Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad, pengumuman itu membuktikan kerajaan terus meletakkan kepercayaan kepada sukan berbasikal negara untuk cemerlang di peringkat dunia.

"Ia satu penghormatan tapi pada masa sama tanggungjawab yang dipikul juga cukup berat.

"Kami tidak boleh mengharapkan atlet sedia ada dan perlu membangunkan pelapis agar dapat menempa kejayaan lebih besar di peringkat antarabangsa," katanya.

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Mohamad Norza Zakaria pula berkata, kerajaan sememangnya terus dapat mengenal pasti badminton sebagai sukan tumpuan.

"Bermakna, kita juga perlu pertahankan status selaku antara kuasa besar dalam sukan badminton.

Apa yang dilakukan kerajaan amat tepat sekali kerana sukan ini dimainkan rata-rata rakyat Malaysia," katanya.

Bagi Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) Edwin Chong, pengumuman itu cukup melegakan pihaknya kerana mereka sememangnya mengharapkan bantuan berterusan daripada kerajaan.

"Kami pernah maklumkan masalah dihadapi persatuan kepada Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) dan ternyata keluhan kami mendapat perhatian.

Kami ucapkan terima kasih," katanya.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Afandi Hamzah pula berkata, keputusan kerajaan itu membolehkan sukan berkenaan terus maju.

"Ini satu usaha yang amat baik dan murni oleh kerajaan.


Saya bersyukur kerana bola sepak terus tersenarai untuk sukan berprestasi tinggi," katanya.

Bagi Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Zainal Abidin Ahmad, kerajaan membuka lembaran baru kepada sukan itu melalui pengumuman berkenaan.

"Pengumuman ini sememangnya memberi suntikan positif kepada sukan olahraga," katanya.


Sementara itu, Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Ahmad Ismail berkata, beliau gembira apabila buat pertama kalinya sukan itu mendapat pengiktirafan hingga disebut dalam pembentangan Bajet 2015.

"Saya ingin berterima kasih kepada Perdana Menteri, Menteri Belia dan Sukan serta semua yang terbabit hingga membolehkan sepak takraw mendapat peruntukan menerusi kuota sukan berprestasi tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/11

Suntikan dana RM103 juta

Posted: 10 Oct 2014 12:20 PM PDT

Kuala Lumpur: Kerajaan melalui pembentangan Bajet 2015 bersetuju akan mengambil langkah bersepadu dalam menjadikan Malaysia negara bersukan dengan suntikan peruntukan RM103 juta.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kerajaan akan merealisasikan Blueprint Negara Bersukan atau 'Sporting Nation'.

"Bagi mencapai hasrat ini, kerajaan memperuntukkan RM103 juta dengan melaksanakan beberapa langkah yang sudah dikenal pasti," katanya dalam pembentangan Bajet 2015, semalam.

Jelasnya, langkah pertama adalah memastikan pengekalan dan kesinambungan bakat sukan bermula daripada peringkat sekolah rendah melalui Program Mengenalpasti Bakat Sukan (TID) Malaysia.

"Program ini membabitkan pengujian, saringan dan pengkhususan bakat di kalangan pelajar sekolah.

"Kedua, meningkatkan mutu sukan berprestasi tinggi untuk enam bidang sukan terpilih dalam fasa pertama iaitu bola sepak, berbasikal, badminton, sepak takraw, akuatik dan olahraga," katanya.

Langkah itu jelas sekali disambut baik semua pimpinan sukan terbabit dan berjanji untuk berusaha keras untuk membalas budi baik kerajaan.

Ujar beliau, langkah ketiga untuk menjadi Malaysia sebuah negara sukan adalah menyemarakkan Program FitMalaysia yang menumpukan kepada kecergasan fizikal.

"Malaysia juga akan menyambut Hari Sukan Negara pada Sabtu pertama dalam bulan November setiap tahun dengan pembabitan sektor awam, swasta dan rakyat secara serentak di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/11

Peruntukan mampu tingkat sukan negara

Posted: 10 Oct 2014 12:19 PM PDT

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyifatkan peruntukan tambahan RM103 juta kepada pembangunan sukan sebagai usaha kerajaan meningkatkan mutu sukan negara.

Khairy berkata, oleh itu kementerian dan agensi sukan terbabit memikul tanggungjawab besar untuk melancarkan program yang ditetapkan dalam meningkatkan prestasi sukan negara.

"Sebahagian besar peruntukan yang diumumkan hari ini adalah pelan induk untuk menjadikan Malaysia sebagai negara bersukan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas pembentangan Bajet 2015 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, secara keseluruhan peruntukan ini bertambah secara mendadak bagi pembangunan sukan. Dengan pelbagai inisiatif baru ini, ia memberi tanggungjawab besar kepada atlet untuk meningkatkan prestasi mereka.


Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan 'Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat' di Dewan Rakyat berkata, kerajaan akan memperuntukkan RM103 juta bagi mengubah Malaysia menjadi sebuah negara bersukan menerusi empat langkah bersepadu.


Selain itu kerajaan juga mahu meningkatkan mutu sukan berprestasi tinggi menerusi enam bidang sukan terpilih dalam fasa pertama membabitkan bola sepak, berbasikal, badminton, sepak takraw, renang dan olahraga.

Sementara itu Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata, langkah kerajaan meningkatkan mutu sukan berprestasi tinggi adalah penting dalam memastikan sukan negara terus berkembang maju.

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan kerana terus menyalurkan bantuan kepada badan sukan terbabit walaupun atlet negara mempamerkan aksi hambar pada Sukan Komanwel di Scotland dan Sukan Asia di Korea Selatan.

"Sukan teras seperti bola sepak, berbasikal, badminton, sepak takraw, renang dan olahraga memang memerlukan satu program khusus untuk dibangunkan semula selepas prestasi buruk pada kedua-dua temasya sukan itu," kata Kok Chi. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/11

Shahril enggan kecewa lagi

Posted: 10 Oct 2014 12:18 PM PDT

Kuala Lumpur: Penyerang muda negara Muhammad Shahril Saabah tidak mahu berdepan kekecewaan pada saingan Piala Sultan Johor selepas kudratnya berterusan ditagih bersama skuad senior untuk beraksi pada enam kejohanan berturut-turut.

Shahril antara barisan pemain muda yang sering mendapat tempat dalam skuad senior dan terpilih untuk beraksi pada saingan Piala Asia, Cabaran Juara-Juara 1, Piala Sultan Azlan Shah, Piala Dunia, Sukan Komanwel serta Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, baru-baru ini.

Berikutan deretan kejohanan disertainya, sudah tentu pengalamannya akan ditagih dalam skuad remaja negara pada kejohanan jemputan yang memasuki edisi keempat itu.

"Saya tak berasa penat atau tertekan selepas beraksi dalam enam kejohanan berturut-turut bersama-sama skuad senior.

"Cuma, rasa tidak cukup puas sebab tidak dapat beraksi dengan baik dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

"Kalau boleh saya tidak mahu kalah lagi di Piala Sultan Johor.

Lagipun ini penampilan terakhir saya bersama skuad remaja di kejohanan ini," katanya.

Jelas Shahril, dia mahu melupakan semua kejohanan yang disertainya sebelum ini dan menumpukan kepada saingan Piala Sultan Johor kali ini.

Skuad negara muncul naib juara pada edisi lalu selepas tewas 0-3 kepada India pada aksi final.

Selain Malaysia, lima lagi pasukan yang bakal beraksi pada edisi kali ini adalah Australia, India , New Zealand, Pakistan dan Britain.

Skuad negara akan bertemu Australia pada perlawanan pertama esok.

Foto

SHAHRIL kerap diberi kepercayaan beraksi bersama skuad senior.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/11

No comments:

Post a Comment