Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Konsisten bakar semangat

Posted: 06 Oct 2014 10:51 AM PDT

Johor Bahru: Aksi konsisten Johor Darul Ta'zim (Johor DT) pada suku akhir pertama Piala Malaysia memberi keyakinan kepada penjaga gol Muhammad Al-Hafiz Hamzah untuk berdepan Terengganu di Stadium Larkin, Sabtu ini.

Walaupun jarang diturunkan sepanjang Liga Super dan Piala Malaysia musim ini, ia tidak menghalang Muhammad Al-Hafiz yang sudah dua musim menabur bakti bersama skuad Harimau Selatan memburu kemenangan menerusi aksi timbal balik di laman sendiri.

Dia yang mengambil alih tugas menjaga gawang Johor DT daripada Izham Tarmizi Roslan yang terpaksa direhatkan akibat kecederaan pergelangan kaki kiri mengakui kelebihan beraksi di laman sendiri tidak harus dilepaskan.

"Saya akan melaksanakan tugas dengan baik bagi memastikan kami ke pusingan seterusnya.

Foto

IZHAM Tramizi (tengah) alami kecederaan ketika beraksi bersama Harimau Malaya.

Foto

AIDIL Zafuan (kiri) mengekang kemaraan Ismail Faruqi pada aksi suku akhir pertama.


"Masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki dan saya tidak boleh melakukan kesilapan mudah yang akan memudaratkan pasukan," katanya.


Kecederaan pergelangan kaki kiri Izham Tarmizi memberi peluang kepada Muhammad Al-Hafiz beraksi dalam kesebelasan utama, namun dia tidak menganggap dirinya terbaik kerana Johor DT turut memiliki Norazlan Razali yang mampu menggalas tugas selaku penjaga gol utama.

"Kami sentiasa bertukar pandangan untuk memantapkan permainan dengan saya dan Norazlan sentiasa bersedia," tambahnya.

Apapun Muhammad Al-Hafiz berharap barisan pertahanan Johor DT pantas mengekang serangan Terengganu tanpa melakukan terjahan keras yang membolehkan lawan meraih sepakan percuma di luar kotak penalti.

"Setiap kali Terengganu mendapat sepakan percuma, ia cukup merisaukan saya.
"Tapi saya bernasib baik kerana gandingan Marcos Antonio dan Mohd Fadhli Shas sentiasa ada untuk membentuk benteng ampuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/07

Pahang yakin ke separuh akhir

Posted: 06 Oct 2014 10:40 AM PDT

Kuantan: Kapten Pahang Mohd Razman Roslan percaya skuad itu akan melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia biarpun Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat mampu melakar kejutan.

Justeru, pemain kelahiran Selangor itu mahukan kemenangan ke atas The Cops pada suku akhir kedua apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Mohd Razman berkata, jaringan pembukaan penting bagi memastikan skuad itu mencatat kemenangan selesa sambil mengharapkan tuan rumah tidak menghasilkan gol.

Katanya, berdasarkan prestasi semasa, Pahang mampu melakar kejayaan kerana peluang masih terbuka luas walaupun lawan mencatat keputusan seri 1-1 pada suku akhir pertama.

"Sebenarnya, peluang masih ada dan tidak mustahil kami boleh menang ke atas PDRM jika prestasi terbaik dipersembahkan seperti dipamerkan pada Jumaat lalu.

"Walaupun beraksi 10 pemain, lawan gagal menjaringkan gol sepanjang 50 minit perlawanan dan lebih membanggakan kami berjaya membolosi gawang mereka.

"Jika semangat berpasukan dan disiplin tinggi dipamerkan pada suku akhir kedua ini, impian ke separuh akhir akan menjadi kenyataan.

"Saya juga berharap jentera serangan memanfaatkan sepenuhnya peluang di depan gawang lawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/07

PDRM perkemas jentera pasukan

Posted: 06 Oct 2014 10:39 AM PDT

Seremban: Sambil mengakui Pahang memiliki kelebihan selaku juara bertahan serta barisan pemain berwibawa, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetap yakin peluang layak ke separuh akhir Piala Malaysia dapat direalisasikan di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Jurulatih Mohd Fauzi Pilus berkata, pasukannya kini memberi fokus terhadap memantapkan jentera pasukan dalam misi menewaskan skuad Tok Gajah.

Katanya, beliau mengakui pasukannya perlu memperkemaskan corak permainan seandainya mahu menewaskan pasukan terbabit sekali gus layak ke separuh akhir bagi merebut piala berprestij itu.

Menurutnya, biarpun beraksi di gelanggang sendiri, skuad bimbingannya bakal berdepan tugas berat sekiranya mengambil kira persembahan Pahang di Kuantan, Jumaat lalu.

"Jika melihat kepada kekuatan Pahang, tiada sesiapa akan menafikannya kerana mereka berupaya membuat serangan pantas dengan aksi terbaik sebagai juara bertahan.

"Bagaimanapun kami tidak memberi laluan mudah sebaliknya akan memanfaatkan peluang gelanggang sendiri untuk menang.

"Saya bersama Azman Adnan sedang memikirkan strategi dalam memastikan PDRM bukan saja mampu memberikan saingan tapi juga menjaringkan gol," katanya.

Menurut Fauzi, beliau mengharapkan gandingan penyerang sensasi PDRM, Ashfaq Ali dan Bobby Gonzalez dapat merobek gawang lawan.

"Kami yakin layak ke separuh akhir kerana memiliki jaringan di tempat lawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/07

Tiada masalah tukar stadium

Posted: 06 Oct 2014 10:38 AM PDT

Kuala Lumpur: Sentuhan pemusnah sempurna dimiliki penyerang import FELDA United, Ndumba Makeche sekali lagi ditagih buat 'mematikan' terus langkah juara 32 kali Piala Malaysia Selangor dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Mini Temerloh, Jumaat ini.

Makeche yang mencipta hatrik ketika kemenangan bergaya 4-0 di Shah Alam Jumaat lalu, tetap menjadi pilihan pengendalinya Irfan Bakti untuk diturunkan biarpun The Fighters dilihat pasukan pertama sudah selangkah kaki ke separuh akhir berdasarkan jaringan besar di tempat lawan itu.

"Kesemua trio import itu akan saya turunkan Jumaat ini walaupun kami sudah hampir menempah tempat ke separuh akhir.

"Tapi dalam bola sepak apa saja boleh berlaku.

Jadi saya tidak akan mengambil jalan mudah dengan merehatkan pemain utama.

"Malah misi penting kami nanti adalah untuk mengecewakan Selangor buat kali kedua dan istimewanya kami mahu mencipta kemenangan di depan penyokong sendiri.

"Cuma yang merisaukan saya kad kuning.


Jika boleh saya mahu pemain elak daripada menerima kad kuning kerana jika kita layak ke separuh akhir khidmat tonggak utama penting kepada pasukan," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Irfan, 63, yang juga bekas jurulatih Merah Kuning musim lalu menolak dakwaan sesetengah pihak mengenai pertukaran gelanggang dari stadium asal di Selayang ke Temerloh boleh mengganggu rentak pemainnya.

"Bagi saya bermain di Temerloh bukan masalah.


Ketika aksi di Stadium Shah Alam, 'mood' pemain saya begitu baik kerana mereka gemar bermain di depan penyokong ramai.

"Jadi, saya jangkakan apabila kami bermain di Temerloh nanti, sudah pasti anak-anak FELDA dan penduduk sekitar Pahang akan hadir memberi sokongan kepada kami, secara tidak langsung semangat mereka akan meningkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/07

Penyokong TRW optimis mara ke final

Posted: 06 Oct 2014 10:38 AM PDT

Kota Bharu: Keyakinan penyokong terhadap Kelantan mara ke pentas final semakin meningkat selepas beraksi cemerlang menewaskan Kedah dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat lalu.

Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors (TRW) Mohd Zaini Mohd Zain berkata, corak permainan Kelantan pada suku akhir pertama itu menarik minat lebih 10,000 penyokong yang hadir di stadium.

Katanya, pihaknya yakin dengan kemampuan jurulatih George Boateng untuk menerajui Kelantan ke pentas akhir melalui teknik berkesan diserapkan kepada pemain.

"Kami sebagai penyokong memang mengharapkan aksi terbaik setiap perlawanan.

Sekiranya Kelantan dapat kekalkan prestasi cemerlang ini, keyakinan penyokong untuk ke stadium memberikan sokongan pasti bertambah.

"Kami akan tetap memberikan dorongan dan sokongan bagi melihat pasukan kami ini berjaya mengembalikan kegemilangan yang pernah dikecapi musim lalu," katanya ketika dihubungi.

Mohd Zaini menganggap kemenangan pada suku akhir pertama itu hadiah sempena tamatnya 30 bulan tempoh penggantungan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, Sabtu lalu.

"Kami harap beliau akan kembali membawa kemajuan kepada bola sepak Kelantan selain terus lantang memperjuangkan kemajuan bola sepak negara demi kebaikan bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/07

'Biar sukan negara ditadbir orang arif'

Posted: 06 Oct 2014 10:37 AM PDT

Kuala Lumpur: "Ini masalah besar. Sukan negara sudah lama merosot dan salah mereka yang menguruskan sukan!"

Itu kata-kata pedih, tetapi ada benarnya apa yang dinyatakan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim mengenai pencapaian negara di Sukan Asia 2014 Incheon.

Pengkritik sukan itu turut mengakui mereka yang dipilih untuk menguruskan sukan kebanyakannya tidak faham dan kurang minat seterusnya membawa bencana buat persatuan mahupun atlet itu sendiri.

Jelasnya, mereka yang menguruskan sukan sekarang ini suka buat janji, tetapi tidak tahu apa kelemahan dan kekuatan atlet negara.

Foto

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim


"Akhirnya keputusannya sangat memalukan, saya mengikuti perkembangan sukan negara. Jangan buat janji mahu menang lapan emas.


"Lapan emas bukannya banyak, tapi itu pun tidak tercapai. Mereka bukan tahu maju atau merosot sesuatu acara itu," katanya.

Walaupun tidak menyebut secara terbuka siapa yang sepatutnya dipersalahkan, Kay Kim mahu semua sedar bahawa situasi sukan negara sangat berbeza berbanding era 50-an dan 60-an.

"Di mana kita selepas melayakkan diri ke Sukan Olimpik 1972 dan 1980 dalam acara bola sepak serta muncul juara badminton All England dari 1950 hingga 1957.

"Sejak 1970, sukan negara sudah mula merosot, ini kerana mereka yang menguruskan sukan sebelum itu, tidak pernah harapkan bayaran, sekarang ini lebih kepada mengambil kesempatan," kata Kay Kim.

Tambahnya, sekarang ini siapa yang menguruskan sukan perlu faham apa makna sukan, bukan orang yang berpengaruh saja perlu ada jawatan dalam persatuan.

"Berpengaruh tidak bererti tahu pasal sukan. Sukan bukan perkara biasa dan mereka perlu mengkajinya dengan teliti. Jadi nasihat saya kepada mereka yang menguruskan sukan, kenal pasti setiap kelemahan," jelasnya.

Kontinjen negara sebelum ini menyasarkan memenangi lapan emas di Incheon namun hanya meraih lima di temasya yang berakhir Sabtu lalu itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/07

Lebih baik undur jika cetek ilmu!

Posted: 06 Oct 2014 10:35 AM PDT

Kuala Lumpur: "Mereka yang kata tidak gagal, sebenarnya mempunyai pengetahuan sukan cetek."

Demikian sindiran pengkritik sukan tanah air, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim mengenai prestasi merudum kontinjen negara di temasya Sukan Asia Incheon, baru-baru ini.

Malah, menurutnya, individu yang cuba menegakkan benang basah itu harus dihantar ke sekolah untuk belajar lebih mendalam berkaitan sukan terutama membabitkan arena sukan tanah air.

Biarpun enggan menamakan individu itu, Kay Kim mahu mereka yang bertanggungjawab di atas kegagalan mencapai sasaran itu supaya berundur dan memberi laluan kepada mereka yang lebih ikhlas serta bijak dalam hal berkaitan sukan secara menyeluruh.

"Inilah sikap sesetengah pemimpin sukan di negara kita yang tidak memahami sukan, tetapi masih ingin memimpin sesebuah badan sukan.

"Bagi saya mudah, apabila kita gagal mencapai sasaran bermaksud program yang dirancang itu gagal.

Tidak guna kita beri nama program elit (merujuk Program Elit 2011-2014) yang membawa maksud hebat, tapi akhirnya memalukan kita saja.

"Saya bersetuju dengan kenyataan Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) yang bakal merombak pengurusan sukan negara kerana kita perlukan nafas baru buat merangka program lebih baik daripada sebelumnya," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, Chef de Mission ke Sukan Asia Incheon Datuk Danyal Balagopal Abdullah tampil mempertahankan koleksi lima emas, 14 perak dan 14 gangsa dengan menganggap pencapaian itu bukan suatu kegagalan walaupun sasaran emas diletakkan itu kurang tiga daripada sepatutnya, sekali gus menjadi pencapaian terburuk dalam tempoh 16 tahun.

Sementara itu, kontinjen negara turut gagal mencapai KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) apabila tidak mencapai sasaran tujuh pingat emas di Sukan Komanwel Glasgow dengan sekadar meraih enam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/07

Khe Wei positif tanpa kelibat Vivian

Posted: 06 Oct 2014 10:30 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemain beregu wanita negara, Woon Khe Wei sukar untuk menerima perubahan bakal dilakukan jurulatihnya, Rosman Razak untuk memisahkannya dengan Vivian Hoo buat sementara waktu.

Bagaimanapun, pemain berusia 25 tahun itu masih lagi percaya apa yang cuba dilakukan terhadap gandingan pemain beregu wanita negara mungkin ada kesan positif satu hari nanti.

"Perkara ini dibincang sebelum Sukan Asia 2014 Incheon, ia untuk mencuba eksperimen ini yang mungkin bakal memberi kesan bagus," kata pemain kelahiran Selangor itu.

Jelasnya, dia pada mulanya berpendapat keputusan untuk memisahkan gandingannya tidak sepatutnya dilakukan, namun selepas memikirkannya semula, dia beranggapan tindakan itu mungkin memberi kesan positif buatnya.

"Mana tahu, mungkin kita lebih bagus dengan pasangan baru, itulah yang menyebabkan saya boleh menerima perancangan jurulatih.

"Sebelum ini saya ada terfikir perkara ini tidak perlu dilakukan kerana sudah bergandingan dengan baik bersama Vivian.

"Bagaimanapun, saya percaya kepada diri sendiri berpasangan dengan siapa pun, masih boleh bermain baik," katanya yang meraih emas bersama Vivian di Sukan SEA 2013 Myanmar dan Sukan Komanwel 2014 Glasgow.

Khe Wei bakal bergandingan dengan Lim Yin Loo di Sirkit Kebangsaan Terbuka Perak 2014 dan Grand Prix Terbuka Korea, manakala Vivian berpasangan dengan Ng Hui Lin.

"Mungkin dalam latihan jurulatih melihat saya mampu bergandingan baik dengan Yin Loo, jadi marilah kita lihat sejauh mana perkembangan eksperimen ini.

"Ini juga kali pertama saya bergandingan dengan Yin Loo untuk mana-mana kejohanan.

Saya juga beranggapan tempoh percubaan selama dua bulan tidak mengganggu pemain.

"Selepas ini mungkin saya kembali bergandingan bersama Vivian kerana bermula tahun depan, kami akan mengumpul mata untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 Rio," katanya.

Foto

KHE Whei (depan) dan Vivian pada aksi separuh akhir berpasukan di Sukan Asia 2014 Incheon.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/07

Bukan tamak...

Posted: 06 Oct 2014 10:29 AM PDT

Kuala Lumpur: Pengendali sementara skuad hoki senior negara Arul Selvaraj sedia menggalas dua tugas serentak selaku ketua jurulatih tetap skuad senior serta remaja sekiranya Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) meletakkan kepercayaan kepadanya.

Arul yang ketika ini menggalas tugas hakiki selaku ketua jurulatih skuad remaja berkata, beliau tidak bermaksud untuk bersikap 'tamak', namun sekiranya MHC mahu menawarkan jawatan jurulatih senior, beliau berasa bertanggungjawab untuk menggalas tugas itu.

"Kalau benar MHC mahu berbincang mengenai jawatan itu, saya bersedia.

"Saya sedia galas dua tugas ini dan tidak anggap pelantikan itu sebagai beban.

"Setakat ini saya hanya mendengar semua cerita ini daripada akhbar tapi belum bertemu dengan mana-mana pihak MHC," katanya ketika dihubungi semalam.

Presiden MHC Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menerusi laporan Arena Metro sebelum ini berkata, Arul calon terbaik untuk terus membimbing pasukan negara meskipun beliau kecewa dengan kegagalan skuad hoki kebangsaan memenuhi sasaran meraih pingat emas Sukan Asia.

Tengku Abdullah menegaskan, beliau tidak menolak kemungkinan menyerahkan tugas itu secara tetap kepada Arul jika tidak menemui pengganti terbaik.

Arul dilantik jurulatih sementara pada awal Ogos lalu selepas MHC membuat kejutan merehatkan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

Arul berkata, meskipun pencapaian mara ke separuh akhir dianggap gagal, beliau menegaskan barisan pemain negara sudah mempamerkan aksi terbaik sepanjang saingan Sukan Asia.

"Saya dapat melihat kesungguhan setiap pemain, terutama pemain senior.

"Saya beri tanggungjawab kepada mereka untuk menggalas tugas selaku pemimpin membimbing barisan pemain muda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/07

Putera Adam idam aksi F1

Posted: 06 Oct 2014 10:27 AM PDT

Arau: "Saya mahu menjadi pelumba Formula One (F1) dewasa nanti," kata Putera Adam Halim Mu'azzam, 8, selepas muncul juara dua acara berbeza sempena Royal Perlis Kart Prix Rotax Asia Max Challenge 2014 di Litar Go-Kart Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra.

Putera Adam meraih tempat pertama kategori Micromax Asia Max Challenge dan kategori Micromax Rotax Max Malaysia, menewaskan 20 pelumba lain dari Malaysia, China, Hong Kong, Indonesia, India, Jepun, Filipina, Singapura, Sri Lanka dan Thailand dalam perlumbaan 15 pusingan di litar sepanjang 1.2 kilometer itu.

Menurutnya, tiada rahsia kejayaan, cuma si cilik yang belajar di Sekolah Seri Kuala Lumpur International School itu hanya bermain permainan video bagi mendapatkan 'mood' sebelum berlumba.

"Sebelum berlumba, saya akan cuba menenangkan diri dan berbual sama ada dengan bapa atau ibu dan meminta mereka berdoa kejayaan dan keselamatan saya di litar.

"Saya hanya bermain permainan video sebagai simulasi sebelum berlumba.

Sungguhpun tidak sama dengan keadaan litar sebenar, sekurang-kurangnya saya mendapat mood seolah-olah memandu ketika bertanding.

"Saya memandu dengan sepenuh hati dan konsisten sambil berwaspada kerana litar di UniMAP mempunyai selekoh tajam tambahan pula hujan lebat sebelum acara bermula," katanya yang juga anak sulung tiga beradik.

Program berkenaan anjuran Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Perlis dengan kerjasama UniMAP dan KRS Motorsports.

Sementara itu, Ketua Pasukan Go-Kart IS Racing Imran Shaharom berkata, keseluruhan krew pasukannya tidak menyangka Putera Adam akan menyapu dua kategori dalam kejohanan itu.

"Tambahan pula dia hanya berusia 8 tahun tapi berjaya mengatasi lawan lebih tua yang selalunya dimenangi pelumba berusia 10 atau 11 tahun.

"Kami berharap Putera Adam akan terus kekalkan prestasinya kerana ketika ini dia antara lima pelumba terbaik Asia dalam kategori bawah 12 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/07

No comments:

Post a Comment