Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Kilauan emas kabur

Posted: 05 Oct 2014 01:04 PM PDT

Incheon: Badminton sering kali dijadikan sandaran terbaik Malaysia untuk memecah kebuntuan memenangi pingat emas pada temasya Sukan Olimpik.

Tidak terkecuali bagi Sukan Olimpik Rio 2016 namun persoalannya temasya Sukan Asia Incheon berakhir kelmarin mendedahkan lagi kelemahan kem badminton negara.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terlalu bergantung kepada pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei hinggakan seolah-olah tiada usaha untuk mencari penggantinya dan khidmatnya akan ditagih selagi termampu.

Chong Wei akan berusia 34 tahun sebelum ke Rio dan dia mungkin sukar mempertahankan dua pingat perak yang dimenanginya pada temasya di Beijing 2008 dan London 2012.

Foto


Dua beregu, Goh V Shem-Tan Wee Kiong (lelaki) dan Vivian Hoo-Woon Khe Wei (wanita) boleh disandarkan meraih pingat namun mereka belum cukup matang dan konsisten untuk mencabar beregu handalan dunia.


Sasaran BAM meraih dua perak di Incheon jauh meleset apabila sekadar mengutip empat gangsa menerusi Chong Wei, V Shem-Wee Kiong, Vivian-Khe Wei dan berpasukan lelaki.

Lin Dan juara dunia lima kali dari China, mampu sekali lagi meranapkan impian Chong Wei selepas menewaskan musuh utamanya itu dua kali pada perlawanan penentuan emas Sukan Olimpik.

Bukan Lin Dan saja mampu mencabar keinginan Chong Wei memecah badi kejuaraan utama sebaliknya rakan senegara Lin Dan yang juga juara dunia Chen Long.

"Chong Wei masih boleh beraksi pada Sukan Olimpik. Cuma adakah dia bertanding untuk merebut emas atau sekadar mengintai pingat tanpa mengira warna apa.

"Saya rasa kalau bercakap mengenai memburu emas, dia masih berpeluang walaupun agak sukar. Tapi jika untuk meraih pingat, saya yakin dia masih boleh.

"Anda perlu realistik kerana dengan usia yang makin meningkat, laluan buatnya tidak semudah dulu. Ia pasti sukar berbanding Olimpik 2008 dan 2012," jelas jurulatih perseorangan negara Tey Seu Bock.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Danyal sokong perubahan

Posted: 05 Oct 2014 12:58 PM PDT

Incheon: Satu perubahan drastik perlu dilakukan berikutan kegagalan atlet kontinjen negara memenuhi sasaran lapan pingat emas pada temasya Sukan Asia Incheon berakhir kelmarin.

Chef de Mission negara Datuk Danyal Balagopal Abdullah bersetuju perubahan perlu bagi membaiki kelemahan susulan aksi hambar pada temasya edisi ke-17 itu.

Malaysia hanya meraih lima emas, 14 perak dan 14 gangsa berbanding sembilan emas, 18 perak dan 14 gangsa di Guangzhou empat tahun lalu.

"Jelas ada kemerosotan prestasi dalam sukan terjun dan ia perlu ditangani. Mungkin ada cara yang kita lakukan tidak betul.


"Kita perlu membetulkannya dan mendapatkan pandangan pakar. Kita sudah berada di tahap tertinggi dalam berbasikal dan memanah juga mencapai tahap terbaik dan kita perlu membaiki sana sini untuk terus meningkat," ujar Danyal.


Beliau juga menegaskan pentingnya memberikan tumpuan kepada acara Sukan Olimpik namun sukan lain tidak boleh dibiarkan kerana ia membantu menaikkan imej negara.

"Kita perlu mengkaji semula cara kita membangunkan sukan. Kita tidak meraih sebarang pingat dalam acara olahraga, renang dan gimnastik yang jika digabung menawarkan lebih 100 pingat emas. Jadi ia memalukan.

"Jika program di peringkat akar umbi sudah dilakukan, di manakah hasilnya? Ini bermakna sesuatu yang tidak betul atau tiada fokus terhadap usaha ini.

"Apa yang kita perlu lakukan adalah bersedia menghadapi Olimpik 2020 di Tokyo seperti persediaan kita menjelang Sukan Komanwel 1998." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Hanya lima sukan menyerlah

Posted: 05 Oct 2014 12:57 PM PDT

Incheon: Jika pingat menjadi perkiraan, lima jenis sukan iaitu skuasy, karate, pelayaran, menembak dan memanah dianggap cemerlang pada temasya Sukan Asia Incheon berakhir kelmarin.

Menerusi lima sukan itu, lima emas dihasilkan dua menerusi skuasy, dua karate dan satu pelayaran.

Skuad skuasy negara memang sudah bertaraf dunia apatah lagi menampilkan ratu skuasy dunia Datuk Nicol David yang melengkapkan pingat emas keenam pada temasya Sukan Asia selepas memenangi acara individu dan berpasukan wanita.

Sayang sekali skuad lelaki gagal merebut emas berpasukan berikutan kesilapan taktikal yang menyaksikan pemain veteran Azlan Iskandar tumbang pada perlawanan pertama pertembungan final menentang India.


Karate membanggakan dengan dua emas menerusi Lim Chee Wei (individu kata lelaki) dan Syakilla Salni Jefry Krishnan (kumite wanita) kerana skuad kali ini menampilkan peserta muda yang menguasai temasya Sukan SEA Myanmar tahun lalu dengan tujuh emas.


Pelayaran pula menamatkan penantian emas selama lapan tahun selepas Faizal Norizan-Ahmad Syukri Aziz mengungguli acara 420 lelaki.

Menembak juga tidak kurang hebatnya apabila Nur Suryani Taibi (50m rifle prone wanita) dan Muhammad Ezuan Nasir Khan (50m rifle prone lelaki) merangkul pingat perak, mengulangi pencapaian penembak Peter Lim pada 1986 di Seoul.

Skuad memanah recurve lelaki terdiri daripada Khairul Anuar Mohamad, Atiq Bazil Bakri dan Haziq Kamaruddin patut dipuji kerana mencatat sejarah meraih pingat perak sulung dalam sukan itu.

Bowling, terjun, berbasikal dan badminton boleh dikategorikan dalam tahap sederhana manakala sepak takraw, bola sepak, hoki, olahraga dan wushu antara sukan yang gagal menyerlah.

Sekalipun gagal mempertahankan sekurang-kurangnya pingat perak seperti dimenangi empat tahun lalu, skuad hoki bagaimanapun boleh dipuji berikutan persembahan yang lebih bermutu berbanding pada Sukan Komanwel Glasgow.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Cabaran penerjun lebih kompetitif

Posted: 05 Oct 2014 12:56 PM PDT

Incheon: Ada nada bimbang berikutan kegagalan skuad terjun negara bertindak baik pada temasya Sukan Asia Incheon berakhir kelmarin.

Negara lain makin meningkat manakala Malaysia bagaikan di takuk lama.

Tuan rumah Korea Selatan dan jirannya Korea Utara makin memberikan tumpuan kepada sukan itu sekali gus menyaksikan skuad negara gagal mengulangi pencapaian di Guangzhou, empat tahun lalu.

Skuad itu meraih empat perak dan lima gangsa pada 2010 namun di Incheon, mereka hanya mampu merangkul dua perak dan tiga gangsa.

Foto

PANDELELA gagal raih emas.


Jurulatih terjun Yang Zhuliang akur Malaysia tidak boleh lagi mengambil mudah saingan di peringkat Asia kerana cabaran kini lebih kompetitif.


"Tiada siapa memberi perhatian kepada Malaysia di Guangzhou empat tahun lalu. Penerjun kita tidak diberi harapan tinggi tapi keadaan berbeza kali ini.

"Kita berjaya melayakkan diri dalam sembilan daripada 10 kuota pada Sukan Olimpik London dua tahun lalu dan kita negara kedua terbaik Asia di belakang China.

"Pandelela Rinong juga menang gangsa Sukan Olimpik. Selain China, tiada negara Asia lain pernah meraih pingat di Olimpik, jadi kejayaan Malaysia mula menarik tumpuan mereka yang mahu menjadi seperti kita," kata Zhuliang.

Jurulatih dari China itu menegaskan kualiti penerjun negara makin meningkat sekalipun pingat diraih berkurangan.

Dua perak negara disumbang Ooi Tze Liang-Ahmad Amsyar Azman dalam acara 3 meter papan anjal seirama lelaki dan Cheong Jun Hoong-Wendy Ng dalam acara 3m papan anjal seirama wanita.

Tze Liang yang memenangi emas 3m papan anjal Sukan Komanwel Glasgow turut merangkul gangsa dalam 10m platform seirama bersama Chew Yi Wei manakala Pandelela-Leong Mun Yee (10m platform seirama wanita) dan Jun Hoong (3m papan anjal wanita) menokok dua lagi gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Taraf atlet negara tercicir: Kok Chi

Posted: 05 Oct 2014 12:53 PM PDT

Kuala Lumpur: Selepas gagal mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) di Sukan Komanwel Glasgow Julai lalu, kontinjen negara mengulangi episod sama di temasya Sukan Asia Incheon apabila tidak mampu memenuhi sasaran pingat yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Malaysia hanya memungut lima emas, 14 perak dan 14 gangsa sepanjang dua minggu aksi sukan terbesar Asia itu berlangsung, tersasar jauh daripada KPI yang ditetapkan badan induk sukan negara yang mahukan lapan pingat emas di bawa pulang dari bumi Korea Selatan.

Namun, di sebalik prestasi hambar barisan kontinjen negara itu Chef de Mission Chef Datuk Danyal Balagopal Abdullah tetap menyifatkan pencapaian itu bukanlah suatu kegagalan mutlak, tetapi beranggapan atlet negara kurang bernasib baik biarpun sudah menunjukkan kesungguhan masing-masing bagi memburu sasaran itu.

Nada serupa turut dikongsi Setiausaha Kehormat MOM Datuk Sieh Kok Chi (gambar) yang berpandangan semua atlet sudah mencurahkan segala-galanya namun akur taraf atlet negara agak tercicir berbanding negara lain yang semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Kalau berdasarkan kepada sasaran pingat emas yang kurang daripada lapan kita sasarkan itu sememangnya nampak seperti kita gagal, tapi bagi saya kita hampir mencapainya.

"Kita kena memahami dan melihat kepada faktor nasib juga, kerana kadang-kadang kita boleh memenangi sesuatu acara tetapi tewas disebabkan oleh perkara lain.

"Contoh seperti Azizulhasni Awang yang berjaya menamatkan perlumbaan acara keirin di tempat kedua, tapi tiba-tiba dia dipersalahkan oleh pengadil.

"Begitu juga dengan atlet pelayaran dan juga bowling yang menerima nasib kurang baik kali ini, walaupun prestasi mereka sebenarnya sama hebat dengan atlet lain.

Jadi bagi saya, secara prinsipnya kita tidaklah gagal di sana dan masih ada ruang untuk mereka perbaiki aksi pada temasya akan datang," katannya.

Dalam perkembangan sama, Kok Chi menyeru agar semua pihak kembali fokus dan bersatu membentuk barisan kontinjen lebih mantap menjelang Sukan SEA Singapura yang dijadualkan berlangsung sekitar pertengahan tahun depan.

"Temasya Sukan SEA Singapura makin hampir tidak kurang lapan bulan daripada sekarang.

Kita harus memantapkan program selepas ini untuk bangkit memberi saingan lebih kuat kepada negara-negara jiran terutama Thailand dan mengembalikan maruah negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Semua salah PSM

Posted: 05 Oct 2014 12:53 PM PDT

Kuala Lumpur: Kegagalan di Sukan Asia Inchoen tanggungjawab kepimpinan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM)!

Itu kesimpulan Presiden Kelab Rekreasi dan Kebajikan Bekas Pemain Sepaktakraw Malaysia, Rommi Suhendra Norsal selepas skuad negara sekadar pulang dengan dua pingat gangsa menerusi acara regu dan berpasukan, pencapaian terburuk sejak ia pertama kali diperkenalkan pada Sukan Asia 1990.

Selain dilabelkan sukan paling memalukan oleh ketua kontinjen negara, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, kegagalan pengurus pasukan, Mohd Zamri Abdul Rahman hadir ke Incheon turut mencetuskan persoalan sehingga memaksa bekas ketua jurulatih negara, Jamaluddin Hassan menggalas bebanan tugas yang tidak sepatutnya.

"Kegagalan ini perlu dipertanggungjawab sepenuhnya kepada kepimpinan PSM.

Selama ini peminat hanya melihat kekalahan adalah berpunca daripada pemain namun sekarang terbukti ia adalah akibat daripada pentadbiran dan pengurusan yang lemah," kata bekas tekong negara itu.

Katanya, situasi yang berlaku menunjukkan kelemahan PSM dan badan induk berkenaan seharusnya bersedia dengan melantik penolong pengurus atau sebagainya bagi menguruskan perkara berkaitan pemain namun tanggungjawab berkenaan dilepaskan kepada Jamaluddin.

"Ia sesuatu yang tidak patut berlaku apabila ketua jurulatih perlu memikirkan soal mengenai makan-minum, kebajikan dan sebagainya, sedangkan beliau seharusnya memberikan tumpuan yang penuh dalam merencanakan strategi dan percaturan di gelanggang.

"Saya bersetuju dengan kenyataan Danyal yang mengatakan sukan ini memalukan.

Ini kerana Malaysia pernah meraih pencapaian yang lebih tinggi dengan musuh negara hanyalah Thailand namun kini tewas kepada negara baru belajar," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Angkara bonus?

Posted: 05 Oct 2014 12:47 PM PDT

Kuala Lumpur: Kekalahan mengejut 0-4 Selangor kepada FELDA United FC (FUFC) hampir menutup peluang Merah Kuning ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini walaupun masih berbaki tempoh 90 minit untuk saingan suku akhir kedua Jumaat ini.

Malah ada yang melihat kekalahan teruk berkenaan turut mempunyai kaitan dengan pembayaran bonus kepada pemain yang berjaya melayakkan pasukan muncul lapan pasukan terbaik.

"Bonus berkenaan mungkin antara yang menyumbang kekalahan berkenaan. Pemain dijanjikan bayaran kira-kira RM20,000 seorang sebelum saingan suku akhir bermula namun sebaliknya yang berlaku.

"Sehingga kini bonus berkenaan masih tidak kelihatan," menurut sumber.

Foto

PENYERANG Selangor, Paulo Rangel (tengah) dikawal ketat.


Bagaimanapun dia menjelaskan ia bukanlah punca tunggal menyumbang kekalahan berkenaan kerana pemain Selangor sudah memberikan aksi terbaik namun ternyata lawan lebih bagus pada aksi di Stadium Shah Alam, malam itu.


"Tiga pemain import lawan (Zah Rahan Krangar, Edward Junior Wilson dan Makeche Ndumba) berjaya memainkan peranan dan impak besar yang menyumbang kepada kemenangan pelawat," jelasnya.

Pengendali FUFC, Irfan Bakti Abu Salim berkemungkinan besar sudah boleh membaca corak permainan dan perancangan taktikal jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic yang tidak melakukan banyak perubahan dalam kesebelasan utama yang digunakannya sejak awal musim ini.

Irfan sebaliknya bertindak menurunkan dua penyerang import, tidak seperti biasa apabila hanya menurunkan seorang penyerang import, bagi mengasak kubu Selangor selain terlebih dulu bertindak merehatkan Indra Putra Mahayuddin dan pertahanan dari Russia, Yaroslav Krushelnitskiy.

Percaturan berkenaan ternyata berbaloi apabila Ndumba meledak hatrik disusuli satu jaringan Wilson untuk membawa bekalan selesa untuk suku akhir kedua.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Tok Gajah perlu manfaat peluang

Posted: 05 Oct 2014 12:43 PM PDT

Kuantan: Skuad Tok Gajah diingat supaya memanfaatkan segala peluang yang ada pada suku akhir kedua Piala Malaysia bertemu PDRM di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Pengurus pasukan Datuk Che Nasir Salleh berkata, terikat 1-1 pada aksi pertama tidak memberikan tekanan kepada pemain untuk mencatat kemenangan sekali gus layak ke separuh akhir piala berprestij itu.

Katanya, semangat juang tinggi dipersembahkan ketika seri di Stadium Darul Makmur membuktikan kekurangan seorang pemain tidak menjejaskan misi mempertahankan piala berprestij itu.

"Saya percaya semua pemain akan memastikan baki 90 minit di Shah Alam menjadi milik Tok Gajah.

"Segalanya diharap menjadi lebih baik buat pasukan kerana prestasi semasa kini berada pada tahap terbaik biarpun PDRM mahu layak ke pusingan seterusnya," katanya.

Mengulas jentera serangan yang tumpul, Che Nasir berkata, keadaan itu akan lebih baik untuk memastikan gawang The Cop dibolosi terutama sentuhan berbisa Dickson Nwakaeme.

Katanya, jentera tengah dan pertahanan diharap lebih kreatif dan bersedia kerana PDRM dijangka mengamalkan aksi bertahan jika dilihat kepada gol tempat lawan.

"Justeru, semua pemain perlu bijak memanfaatkan segala peluang kerana sebarang kesilapan akan mengundang padah buat pasukan.

"Saya turut mengingatkan pemain supaya kekal fokus sepanjang permainan sehingga wisel penamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Fauzi mahu kekal momentum

Posted: 05 Oct 2014 12:43 PM PDT

Seremban: Pemain tengah PDRM Mohd Fauzi Majid yang menjaringkan gol tunggal pasukan ketika mengikat Pahang 1-1 pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darulmakmur, Jumaat lalu bertekad mengulangi aksi cemerlang pada suku akhir kedua, hujung minggu ini.

Biarpun mengakui sedikit terkilan selepas harapan meraih kemenangan tidak kesampaian, pemain berkenaan mahu melupakan segera kekecewaan dan menggesa rakan sepasukan memberi fokus pada perlawanan kedua.

Menurut Fauzi, pemain skuad Sang Saka Biru perlu kembali memberikan persembahan terbaik dan tidak mengulangi kesilapan yang boleh menjejaskan impian ke separuh akhir.

"Kami beraksi di bawah keupayaan sebenar di Kuantan hingga memberi ruang kepada pemain Tok Gajah menjaringkan gol penyamaan.

"Jika bukan kerana kecekapan penjaga gol Azizon Abd Kadir, sudah tentu kami tewas sekaligus memberi laluan berliku menghadapi suku akhir kedua nanti," katanya.

Menurutnya, biarpun begitu, dia bersyukur dapat memanfaatkan peluang menjaringkan gol dalam perlawanan itu.

Katanya, semua pemain perlu mengambil iktibar daripada persembahan di Kuantan apabila turun beraksi pada saingan suku akhir kedua nanti, jika tidak mahu impian mara ke separuh akhir terjejas.

Dia percaya peluang The Cops melakar kejutan untuk berada kelompok empat pasukan terbaik masih ada kerana memiiki kelebihan jaringan di tempat lawan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Serang kilat!

Posted: 05 Oct 2014 12:41 PM PDT

Kuala Terengganu: Pengendali skuad Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim mahu anak buahnya kekal fokus sambil memperkemas corak permainan berdepan Johor Darul Takzim (Johor DT) pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia hujung minggu ini.

Sekalipun gagal mencatat kemenangan selepas diikat 0-0 di Kuala Terengganu, beliau mengakui perluang kedua-dua pasukan masih seimbang.

"Tidak ada kelebihan beraksi di gelanggang sendiri termasuk juga di Stadium Larkin.

"Malah tekanan tuan rumah akan bertambah memburu jaringan dan tumpuan mereka hanyalah memburu gol.

"Disinilah peluang buat pemain Terengganu mencuri kesempatan atas kecuaian lawan dengan melancarkan serangan kilat meledak gol," katanya.

Beliau berpuas hati dengan komitmen dan persembahan pemain dan semangat mereka kini semakin berkobar.

"Seperti saya katakan mereka pasti akan bermain berhabis-habisan untuk menang.

"Mereka akan menyerang dan tidak lagi banyak mengawal bola di posisi tengah jadi inilah peluang kami membuat kejutan," katanya.

Apa yang penting, kata Abdul Rahman pemain Terengganu tidak harus tenggelam dengan sorakan dan tindakan provokasi penyokong Johor DT.

"Saya mahu pemain tenang, fokus dan tidak terbawa-bawa gelagat penonton.

"Misi kita adalah layak ke separuh akhir dan hanya itu perlu difikirkan pemain," katanya.

Foto

PEMAIN Terengganu perlu manfaat tekanan dihadapi Johor DT.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

No comments:

Post a Comment