Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Macam pelarian

Posted: 07 Jan 2013 02:27 PM PST

Kuala Lumpur: Seorang ibu tunggal beranak tiga sekali lagi membuat aduan di Biro Pengaduan Awam MCA, di sini, ekoran tidak tahan lagi diganggu samseng along.

Sebelum ini, ibu tunggal berkenaan mengadu di biro sama tahun lalu.


Mangsa yang mahu dikenali sebagai Zarina, 30-an, berkata, hidupnya kini dalam ketakutan dan berpindah lebih empat kali kerana diancam samseng along termasuk dua kali anak bongsunya yang berusia lima tahun diculik kumpulan terbabit.

Beliau berkata, anaknya diculik kumpulan along pada 2009 dan Februari tahun lalu.


Katanya, dia kini merempat di sebuah kem tentera di Selangor semata-mata untuk lari dari samseng along.


"Saya diburu along selepas bekas suami membuat pinjaman RM15,000 dan kini hutang itu meningkat RM60,000.

Foto

ZARINA bersama anak bongsunya yang pernah diculik samseng along.

"Tanpa pengetahuan, suami membuat pinjaman menggunakan nama saya hingga kumpulan along mencari saya dan kini lebih empat kali berpindah rumah demi keselamatan diri serta tiga anak perempuan berusia lima hingga 12 tahun," katanya di sini, semalam. Menurutnya, dia trauma selepas anak bongsunya diculik along pada Februari tahun lalu selama sebulan selepas tidak mampu membayar pampasan RM4,000 ekoran tiada wang.


"Saya berusaha mendapatkan wang itu dengan meminjam daripada saudara-mara dan kawan-kawan sebelum membayar kepada along terbabit bagi membebaskan anak saya," katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam pada Disember 2011.

Harian Metro 6 Januari tahun lalu melaporkan, Zarina membuat aduan di MCA selepas diburu along dan sudah tiga kali berpindah rumah ekoran hutang yang dipinjam suaminya sebanyak RM15,000.


Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Micheal Chong berkata, bagi mengelakkan mangsa terus diburu, dia sudah berjumpa Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah hari ini (semalam) bagi membincangkan perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

Geng Chia curi kereta tumpas

Posted: 07 Jan 2013 02:24 PM PST

Kuala Lumpur: Kumpulan samun dan curi kenderaan dikenali sebagai Geng Chia yang bergiat aktif sekitar Lembah Klang tumpas selepas empat anggota geng itu ditahan pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Jumaat lalu.

Lelaki berusia 30-an dan 40-an itu ditahan ketika menjamu selera di sebuah restoran di Taman Intan Baiduri, Kepong, jam 11.30 malam.


Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, pemeriksaan polis dalam kenderaan SUV milik kumpulan itu menemui sepucuk pistol Revolver bersama dua peluru selain pelbagai barangan dipercayai hasil samun.

"Susulan penahan empat lelaki terbabit, polis menemui tiga lagi kenderaan lain iaitu sebuah Perodua Myvi, Kia Spectra dan BMW 3 Series yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.


"Keempat-empat kenderaan itu dicuri di Bukit Sentosa, Serdang, Sungai Besi dan Kampung Baru Subang," katanya.


Beliau berkata, siasatan awal mendapati, anggota kumpulan itu kembali bergiat aktif melakukan jenayah terbabit sebaik seorang daripada mereka dipercayai ketua kumpulan bebas hukuman perintah sekatan pertengahan tahun lalu.

"Modus operandi kumpulan itu ialah mengekori mangsa di kawasan perumahan sebelum menyerang mangsa ketika mangsa hendak masuk rumah atau memakir kenderaan.


"Berdasarkan laporan, kami percaya mereka menggunakan senjata api jika terdesak," katanya.

Katanya, siasatan mendapati anggota kumpulan terbabit mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan samun dengan seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah dikehendaki.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

Polis cari saksi utama kes samun

Posted: 07 Jan 2013 02:24 PM PST

Kuala Lumpur: Polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang lelaki yang juga saksi utama berhubung satu kes samun yang dilaporkan berlaku di ibu negara tahun lalu bagi menghadiri perbicaraan di Mahkamah Seksyen 4 (Jenayah) Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Irfan Rana Muhammad, 35, diminta menghadiri perbicaraan yang dijadualkan berlangsung jam 9 pagi pada 9 Januari ini.


Menurut Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Inspektor Mohd Hanis Abd Wahab berkata, saksi terbabit diperlukan bagi menghadiri perbicaraan kes mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat serta mengenali lelaki terbabit diminta menghubungi balai polis berhampiran. Mereka boleh menghubungi saya di talian 017-4801897 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) 03-21460584/585," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

Cermin gelap gagal sorok judi Internet

Posted: 07 Jan 2013 02:24 PM PST

Shah Alam: Berselindung di sebalik cermin gelap, 'rahsia' perniagaan yang dijalankan gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila dua premis yang menjalankan kegiatan perjudian Internet di Seksyen U20, di sini, diserbu Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Sabtu lalu.

Serbuan terhadap premis terbabit jam 10 malam itu, bukan kali pertama kerana premis itu berdegil dan terus beroperasi.


Dalam serbuan itu, 19 lelaki dan tiga wanita berusia 20-an hingga 30-an ditahan ketika leka bertaruh.

Pegawai Turus D7 IPK Selangor, Deputi Superintendan Rohan Shah Ahmad berkata, serbuan sempena Ops Dadu dijalankan di premis yang dikenal pasti menjalankan perjudian Internet walaupun sudah diserbu beberapa kali.


Menurutnya, dalam serbuan itu, lima penjaga premis masing-masing empat wanita Indonesia dan seorang lelaki Bangladesh berusia 20-an ditahan kerana menyalahgunakan pasport dengan bekerja di Malaysia.


"Pemeriksaan mendapati semua warga asing terbabit tidak memiliki permit kerja sah selain premis terbabit tiada lesen perniagaan.

"Polis merampas 70 komputer yang mempunyai perisian pelbagai permainan judi, termasuk slot dan rolex serta wang RM510 dari kedua-dua premis itu," katanya.


Dalam serbuan itu, bekalan air dan elektrik semua premis yang diserbu dipotong dengan bantuan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memastikan premis terbabit tidak beroperasi pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

Penculik tak sempat joli RM30 juta

Posted: 07 Jan 2013 02:21 PM PST

Ipoh: Empat penjenayah tidak sempat merasai wang tebusan RM30 juta yang diminta daripada keluarga seorang wanita diculik apabila dua daripada mereka maut ditembak anggota polis malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, sepasukan polis khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim mengesan lokasi mangsa disembunyikan di sebuah bangunan lama menjual getah di Kilometer 76, Jalan Sitiawan-Taiping, di sini. Difahamkan, suspek sebelum ini menculik mangsa berusia 52 tahun dan meminta wang tebusan RM30 juta daripada ahli keluarga mangsa yang menjalankan perniagaan di negeri ini.


Mangsa yang dikurung selama 12 hari diselamatkan selepas lokasi itu dijejaki polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, mangsa diculik di depan rumahnya di Taiping pada 26 Disember lalu oleh sekumpulan penjenayah.


Berikutan itu, menurutnya, pihaknya segera membentuk satu unit khas diselaras Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk A Paramasivam, sejurus menerima laporan kehilangan mangsa.


"Kami mengambil pendekatan berhati-hati ketika siasatan dan risikan dijalankan terutama bagi memastikan mangsa tidak cedera. "Ketika polis menghampiri lokasi persembunyian itu, dua suspek melepaskan tiga das tembakan ke arah anggota polis menyebabkan polis membalas tembakan," katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.

Susulan itu, dua suspek itu mati ditembak polis.


"Pemeriksaan polis di tempat kejadian menemui sepucuk pistol automatik model Walther.22; sebutir peluru hidup; tiga kelongsong peluru; sepucuk pistol mainan jenis Penthum dan 44 biji bebola besi.

"Anggota polis turut menemui dua pasang gari; satu topeng muka; sepasang sarung tangan kain; tiga sarung kaki wanita; satu bahan bacaan berbahasa Cina dan makanan ringan," katanya.


Shukri berkata, kedua-dua suspek yang ditembak mati itu dikenali sebagai Low Wei Yuan, 42, dari Jalan Puchong, Selangor dan Lim Chun Cheit, 35, dari Kangar, Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

No comments:

Post a Comment