Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Dua jam bawah jeti

Posted: 09 Jan 2013 09:22 AM PST

Tasmania: Sambil berpelukan erat dalam air dengan wajah ketakutan, keluarga ini terpaksa berlindung di bawah jeti lebih dua jam ketika kebakaran hutan Australia memusnahkan bandar tempat mereka tinggal.

Ketika api membakar kediaman mereka, Tammy dan Tim Holmes membawa lima cucu mereka ke satu-satunya tempat yang diharapkan tidak terkena api.


Dengan oksigen makin berkurangan dalam udara yang tercemar itu, mereka berpaut pada struktur kayu berkenaan dan berpelukan semasa sendiri sebagai sokongan ketika harapan untuk keluar dari bencana itu kian tipis. Pada satu ketika, api turut membakar jeti terbabit dan memaksa Holmes menceduk air dari laut untuk memadamkan api itu.

Akhirnya, selepas dua jam setengah dalam air, Holmes berjaya mendapatkan sampan kecil yang digunakan mereka untuk melarikan diri ke hotel di luar zon kebakaran.


Sementara itu, ibu kepada kanak-kanak terbabit, Bonnie Walker bimbang keluarganya sudah terbunuh.


Dia meninggalkan anaknya, Charlotte, dua; Esther, empat; Liam, sembilan, dan Matilda yang berusia 11 tahun serta Caleb, enam tahun di bawah jagaan ibu bapanya ketika dia menghadiri majlis pengebumian.

Bonnie memberitahu dia memandu ke majlis pengebumian di Hobart ketika api membakar di kedua-dua belah jalan raya dan melepasinya sebelum api sampai di jalan raya dan memisahkan dia daripada keluarganya.


Dia memberitahu rangkaian ABC Australia: "Kami hanya menunggu di telefon dan menerima mesej pada jam 3.30 petang mengatakan ibu dan bapa sudah dipindahkan, mereka dikelilingi oleh api. Saya terus berdoa.

"Jadi, saya menguatkan semangat menerima kenyataan mungkin kehilangan anak dan ibu bapa saya," katanya.


Dengan bekalan oksigen makin berkurangan dalam udara yang tercemar, Bonnie berkata, bapanya, "berusaha berdepan dengan risiko" untuk mendapatkan sampan kecil dari pantai.


Holmes memberitahu bagaimana dia mengarahkan isteri, cucu dan anjing peliharaan, Polly ke jeti berdekatan apabila melihat asap dari hutan yang terbakar di bumbung.


Walaupun tiga jentera bomba tiba, lelaki berusia 62 tahun itu, menyedari dia tidak dapat mempertahankan kediaman yang dibinanya sendiri itu.


"Saya melihat ke arah anggota bomba dan berkata, "Saya perlu pergi kepada Tammy dan kanak-kanak itu," katanya kepada West Australian.


"Selama dua jam setengah berikutnya, kami berpelukan di bawah jeti ketika kebakaran kian marak dan menyebabkan asap tebal, abu dan sisa kebakaran yang menyebabkan kami kekurangan oksigen.


"Ada masa, kami perlu masuk lebih dalam di permukaan air kerana ia terlalu panas dan ada juga ketika, jeti itu turut terbakar. Saya dapat menceduk sedikit air dan menyimbahnya ke jeti untuk memadamkan api itu," katanya. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10

Pakar pemusnah bom edar dadah dijel 4 tahun

Posted: 09 Jan 2013 09:12 AM PST

London: Seorang wira perang yang bertukar kerjaya dari unit pemusnah bom tentera menjadi penyeludup heroin dipenjarakan, semalam.

Bekas Lans Korperal, Naomi Thriepland, 25, pernah mendapat pujian kerana tugas memusnahkan bahan letupan (IED) di Afghanistan.


Bagaimanapun, selepas berhenti kerja dia menyertai kegiatan penyeludupan dadah untuk memperoleh taraf kehidupan lebih baik buat dirinya dan anak perempuannya yang berusia tujuh tahun, lapor mahkamah Agung Canterbury. Naomi ditahan di Coquelles, Perancis dalam kereta yang diparkir serta mengandungi heroin yang bernilai lebih 170,000 pound (RM826,976). Anak perempuannya turut ada bersamanya ketika itu dan Naomi berkata kepada pihak berkuasa ketika itu mereka sedang mengunjungi Disneyland, Paris.

Naomi yang kini hamil dan berasal dari Dalton-in-Furness, Cumbria, mengakui menyeludup dadah dan dijatuhkan hukuman penjara empat tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10

Lepas bedah baru tahu tiada kanser

Posted: 09 Jan 2013 09:10 AM PST

Singapura: Seorang ahli perniagaan terkenal Malaysia menjalani pembedahan di republik ini kerana disyaki menghidap kanser, tetapi kemudian mendapati dia tidak menghidap penyakit itu.

Dia kini menyaman Pusat Kanser Nasional Singapura (NCC) dan konsultan kanan di pusat itu kerana kerugian dialami.


Datuk Seri Hii Chii Kok, 54, yang menetap di Kuala Lumpur, semalam mendakwa, pusat terbabit gagal memberikan nasihat sewajarnya, tidak memberi pertimbangan terhadap keputusan pelbagai ujian lain dan gagal memaklumkan kepadanya mengenai penyakit itu. Kedua-dua defendan menafikan dakwaan itu dan menjelaskan dalam dokumen mahkamah yang difailkan, mereka tidak pernah memberitahu Hii yang dia menghidap kanser pankreas. Mereka menegaskan terdapat pelbagai pendapat pakar lain menunjukkan bahawa dalam kesnya, kanser tidak dapat dielakkan dan pembedahan adalah disyorkan.

Hii adalah Pengarah Urusan syarikat senaraian awam di Kuala Lumpur, Kumpulan Universiti SEGi dan Pengerusi Eksekutif syarikat pelaburan persendirian, Kumpulan HCK Capital.


Pada Jun 2010 selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Malaysia, Hii dirujuk ke NCC, di mana dia dinasihatkan menjalani rawatan imbasan bagi memastikan 'bintik panas' atau ketumbuhan berkanser.


Ujian itu menunjukkan terdapat beberapa bintik panas dalam pankreasnya. Dia dinasihatkan agar menjalani Prosedur Whipple - pembedahan untuk mengasing, atau membuang bahagian dalam pankreas, duodenum dan sebahagian perutnya. Selepas pembedahan Ogos 2010, bahagian pankreas yang dipotong itu didapati tiada sel kanser. Dia dibenarkan keluar hospital 10 hari kemudian.

Hii mendakwa ujian lain dilakukan NCC, termasuk ujian darah dan air kencing, semuanya menunjukkan keputusan normal, tetapi NCC tidak memaklumkan kepadanya mengenai keputusan itu atau kepentingannya.


Dia kemudian kembali ke NCC pada September 2010 untuk kajian semula dan diberitahu dia semakin pulih. Namun, kira-kira dua minggu kemudian di Kuala Lumpur, dia muntah darah dan tidak sihat. Ini menyebabkan dia terpaksa menjalani pembedahan di Kuala Lumpur. - Straits Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10

Laman web Susilo digodam

Posted: 09 Jan 2013 09:09 AM PST

Jakarta: Laman web Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, presidentsby.info digodam oleh sekumpulan penggodam yang memperkenalkan diri mereka sebagai Jember Hacker Team.

Di laman web terbabit, penggodam itu berkata: "Ini adalah balas dendam daripada Jember Hacker Team." Sehingga jam 12.40 tengah hari semalam, laman web terbabit masih tidak dapat diakses.


Laman web itu biasanya menyediakan maklumat berkaitan dengan aktiviti, lawatan dan ucapan Susilo.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10

21 bom dirampas skuad elit

Posted: 09 Jan 2013 09:09 AM PST

Jakarta: Skuad elit antipengganas Indonesia, Densus 88, merampas 21 bom aktif dalam serbuan di rumah suspek pengganas, Syarifuddin, di Bolang, Enrekang di Sulawesi Selatan, semalam.

Jurucakap polis Indonesia, Boy Rafli, berkata, bom buatan sendiri itu merangkumi 20 bom paip dan sebutir bom yang dipasang dalam bekas makanan. Katanya, polis turut merampas pelbagai bahan bukti termasuk tombak, senjata buatan sendiri, badik serta buku keagamaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10

4 ditahan miliki dadah RM30j

Posted: 09 Jan 2013 09:03 AM PST

Bangkok: Polis semalam menyerbu sebuah kediaman di Nakhon Pathom dan merampas 814,000 pil methamphetamine serta 12 kilogram serbuk meth atau ais.

Empat orang turut ditahan dalam serbuan itu.


Mereka ialah Monchai Boonpol, 30; Surasak Plaboothong, 28; Nikorn Ritdee, 29; dan Thanchanok Yaemtat, 31, dan kini berdepan tuduhan memiliki serta mengedar dadah. Polis menganggarkan nilai jalanan rampasan dadah itu ialah sebanyak 300 juta baht (RM30 juta).

Polis berkata, pihaknya bertindak atas maklumat seorang daripada suspek, Ritdee yang terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah. Kumpulan itu menyimpan bekalan penghantaran dadah di pinggir kawasan metropolitan Bangkok sebelum diedarkan kepada pelanggan di sekitar bandar raya itu. Semua suspek mengakui mereka mengikut arahan daripada seorang tahanan di penjara Nakhon Pathom agar menghantar dadah dari utara negara itu yang dibekalkan oleh suku kaum Lisu.


Polis berkata, suspek kelima yang juga isteri kepada Boonpol, Nannapat Pimploy dapat melarikan diri dan kini masih diburu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10

Cukai RM370.6j lesap

Posted: 09 Jan 2013 09:02 AM PST

Jakart: Sejak 2011, sejumlah pegawai percukaian mencuri, bersubahat mencuri dan menipu pembayar cukai korporat yang menyebabkan kerajaan kerugian sekurang-kurangnya RM370.6 juta, kata Naib Presiden Indonesia, Boediono, semalam.

Menurut Boediono, penipuan itu terbongkar selepas syarikat pembayar cukai membuat semakan dan disahkan ketika data berkenaan diteliti.


Pendedahan itu dibuat Boediono dalam laporan mengenai pelaksanaan Arahan Presiden 2011 supaya kes percukaian negara itu diselesaikan segera.

Boediono berkata, pasukan yang ditubuhkan bagi menguruskan kes cukai berkenaan menjalankan tugas dengan baik.


"Penyelarasan antara pihak yang terbabit berjalan lancar, manakala Mahkamah Agung memberi sokongan kuat kepada mereka," katanya. Turut hadir mendengar penjelasan itu, Menteri Penyelarasan Politik, Perundangan dan Hal Ehwal Keselamatan, Djoko Suyanto, Menteri Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia, Amir Syamsuddin, Peguam Negara, Basrief Arief dan Ketua Polis Indonesia, Jeneral Timur Pradopo.


Badan penyiasat itu ditubuhkan bagi menyelidik pelbagai penipuan cukai bekas pegawai badan percukaian Indonesia, Gayus Tambunan.

Gayus didapati bersalah dan dihukum penjara lebih 26 tahun.


Selepas aktiviti penipuan Gayus dikesan, satu demi satu skandal dikesan membabitkan berpuluh-puluh orang yang bersubahat pada 2010.

Antara individu yang terbabit ialah hakim, anggota polis yang menyiasat kes berkenaan, pendakwa, rakan sekerja Gayus serta sejumlah eksekutif syarikat yang terbabit. - JP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10

Benigno sokong perketat peraturan pemilikan senjata api

Posted: 09 Jan 2013 09:02 AM PST

Manila: Presiden Filipina, Benigno Aquino, berkata beliau menyokong langkah mengetatkan peraturan pemilikan senjata api, tetapi membantah jika ia diharamkan terus di negara itu.

Kata Aquino, pengharaman pemilikan senjata api mungkin nampak mudah dan berkesan, tetapi ia boleh menimbulkan kesan tidak dijangka.


"Ada beberapa cara boleh diambil bagi menyelesaikan isu ini," katanya kepada media, semalam.

Aquino memberi kenyataan ekoran kejadian beberapa kejadian ganas membabitkan senjata api di Filipina, baru-baru ini.


Antara insiden yang menggemparkan, seorang lelaki mengamuk dengan melepaskan tembakan, membunuh tujuh mangsa. Menurut Aquino, kerajaan sedang mengkaji beberapa langkah pencegahan, termasuk cadangan aktivis yang mahu pemilik senjata api dilarang membawa objek itu di luar rumah. Kes pembunuhan di Filipina adalah antara yang tertinggi di kalangan negara Asia Tenggara. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10

Seludup dadah jenayah terbesar di Lapangan Terbang Jakarta

Posted: 09 Jan 2013 09:02 AM PST

Jakarta: Kes penyeludupan dadah adalah jenayah paling banyak dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sukarno - Hatta di Cengkareng, kata pihak berkuasa semalam.

Menurut ketua polis di situ, CH Patoppoi, pada tahun lalu kejadian penyeludupan dadah meningkat 43 peratus kepada 50 kes berbanding 2011. "Peningkatan itu mungkin disebabkan lapangan terbang ini menjadi pusat akses strategik," katanya.


Patoppoi berkata, peningkatan kes pada tahun lalu agak besar, tetapi pada masa sama, kegiatan itu turut dikesan berlaku di pelbagai pelabuhan di Indonesia.

Katanya, sindiket penjenayah menggunakan perkhidmatan kurier dan keldai dadah - sama ada warga tempatan atau asing - untuk menyeludup bahan larangan berkenaan.


"Sindiket dadah tidak lagi menghasilkan bahan itu di sini, sebaliknya membeli dari luar negara kerana lebih menguntungkan," katanya. Pada 2012, seramai 67 orang ditahan kerana menyeludup dadah, termasuk enam warga asing. - tempo.co

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10

No comments:

Post a Comment