Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kerja mengarut

Posted: 08 Jan 2013 01:18 PM PST

London: Tujuh anggota bomba bergegas menyelamatkan seekor tupai dalam satu operasi bernilai enam ribu pound (RM29,000).

Anggota bomba tiba di tempat kejadian dengan tiga jentera bomba selepas seorang penduduk melaporkan haiwan itu terperangkap dalam lalang di tengah kolam. Mereka membuat laluan ke tebing tasik menggunakan dua tangga dengan seorang anggota bomba masuk ke dalam air memujuk tupai yang ketakutan itu. Haiwan itu kemudian merapati "jambatan" sementara sebelum berlari menaiki anak tangga dan melompat ke tempat selamat.


Balai Bomba dan Penyelamat Herts, semalam mengesahkan insiden di Watford High Street itu. Jurucakapnya berkata: "Tiga jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian di mana seekor tupai terperangkap." Bagaimanapun, ahli Parlimen tempatan dari parti Konservatif, Richard Harrington mengkritik operasi menyelamat yang mengarut itu.

Harrington berkata: "Balai Bomba dan Penyelamat Herts melakukan tugas yang hebat - bagaimanapun, ia seolah-olah tindakan yang berlebihan dan membazir.


"Tidak pasti mengapa terlalu banyak jentera bomba dan anggota bomba yang dihantar ke tempat kejadian. "Persoalan yang serius perlu dijawab jika tindakan itu akan menyebabkan panggilan lebih serius lain tidak dapat dipenuhi," katanya.


Kaunselor daerah Herts, Steven Giles-Medhurst berkata: "Mereka biasanya menghantar tiga jentera bomba untuk kes melibatkan kemalangan jiwa.

Foto

TUPAI yang ketakutan berlari menaiki tangga ketika diselamatkan.

Foto

ANGGOTA bomba tiba di tempat kejadian.

"Ia keterlaluan bagi seekor tupai, tetapi mungkin soalan perlu dikemukakan," katanya.


Kos untuk menghantar sebuah jentera bomba bagi menangani panggilan palsu dianggarkan kerajaan bernilai 1,970 pound (RM9,600) pada 2008. Ia menyebabkan kos menyelamatkan tupai di daerah itu bernilai RM29,000. Haiwan berkenaan terperangkap kerana ia tidak dapat melompat menaiki tembok konkrit di kolam itu.

Pada Mac 2011 anggota bomba di Gosport, Hants, enggan memasuki tasik sedalam tiga kaki di mana seorang lelaki jatuh selepas mengalami serangan epilepsi. Peraturan keselamatan menggariskan mereka tidak boleh memasuki air lebih dalam daripada separuh paras but kecuali situasi mengancam keselamatan nyawa. Mereka percaya lelaki terbabit sudah mati. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/09

Bahana bekam

Posted: 08 Jan 2013 01:12 PM PST

Singapura: Seorang pengurus kejuruteraan mendakwa sesi bekam Cina yang tidak dilakukan dengan sempurna oleh pakar terapi menyebabkan dia melecur teruk T Arunn, 48, mendakwa kecederaan melecur dialaminya sangat teruk hingga mengambil masa 10 bulan untuk pulih, lapor akhbar Shin Min Daily.

Terapi bekam dengan api adalah perubatan alternatif Cina di mana ahli terapi memanaskan udara dalam gelas, logam atau cawan kayu menggunakan api dan kemudian menekapnya ke bahagian kulit.


Pengamal perubatan tradisonal percaya proses itu membantu pengaliran darah untuk memulihkan penyakit. Arunn berkata, dia pergi ke pusat kesihatan di Kompleks Fu Lu Shou di Bugis untuk mendapatkan rawatan. Menurutnya, sebelum ini dia tidak mengalami masalah ketika melakukan rawatan bekam dan kunjungannya ke pusat kesihatan itu yang pertama sekadar untuk mencuba.

Arunn berkata, ahli terapi meletakkan 11 cawan di belakangnya sebelum menanggalkan ia 15 minit kemudian.


Arunn memberitahu, dia berasa ahli terapi itu tidak begitu mahir. Selepas mereka menanggalkan semua cawan di belakang tubuhnya, bahagian belakang badannya berasa panas.


Apabila dia melihat bahagian belakang tubuhnya di cermin, dia terkejut melihat kulitnya melecur membentuk bulatan cawan berkenaan.

Ahli terapi terbabit memberitahunya cawan itu mungkin dibiarkan terlalu lama dan meyakinkannya tiada apa perlu dibimbangkan.


Bagaimanapun, apabila pulang ke rumah, kesakitan di belakang tubuhnya semakin menjadi-jadi. Dia kemudian mendapatkan nasihat doktor dan diberitahu kulitnya melecur tahap kedua.

Doktor di hospital tempat dia dirawat memberitahunya ada 11 bulatan kesan melecur di tubuhnya. Kira-kira empat peratus daripada seluruh permukaan kulitnya melecur tahap kedua. Ia bersamaan dengan saiz empat telapak tangan. - Shin Min Daily

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/09

Jokowi datuk bandar ketiga terbaik dunia

Posted: 08 Jan 2013 01:11 PM PST

Jakarta: Joko 'Jokowi' Widodo disenaraikan di tempat ketiga dalam Hadiah Datuk Bandar Dunia 2012 selepas IƱaki Azkuna, Datuk Bandar Bilbao, Sepanyol dan Lisa Scaffidi, Datuk Bandar Perth, Australia Barat.

Jokowi diberikan itu anugerah itu berikutan perkhidmatan cemerlangnya ketika menyandang jawatan Datuk Bandar Surakarta.


Antaranya membantu mengurangkan kadar jenayah yang tinggi dan menjadikan bandar itu sebagai pusat seni dan kebudayaan yang berjaya menarik pelancong antarabangsa, lapor World Mayor di laman webnya semalam. Jokowi juga dipuji kerana kempennya menentang rasuah. Azkuna yang berada di senarai teratas diberikan anugerah itu atas usahanya membina semula Bilbao dan menjadikannya bebas hutang pada 2011.

Lisa yang menduduki senarai kedua dan turut memenangi penghargaan World Mayor atas perkhidmatannya terhadap bandar raya Perth dikatakan berjaya meningkatkan profil antarabangsa bandar raya itu, selain memberi keutamaan kepada isu sara diri. World Mayor adalah projek yang diwujud dan dikendalikan oleh Yayasan Datuk Bandar yang bermula pada 2004. Ia bertujuan meningkatkan profil datuk bandar di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/09

Filem cetuskan kemarahan

Posted: 08 Jan 2013 01:09 PM PST

Jakarta: Beberapa kumpulan etnik Indonesia membuat laporan polis mengenai filem terbaru arahan Hanung Bramantyo.

Filem berkenaan mengisahkan percintaan pasangan berbeza agama, wanita keturunan Minang beragama Katolik dan lelaki Jawa beragama Islam yang berusaha mendapatkan restu daripada ibu bapa masing-masing.


Masyarakat Belia Minang Indonesia dan Badan Penyelaras Masyarakat dan Budaya Minangkabau membuat laporan polis atas alasan filem berkenaan mencetuskan rasa benci terhadap etnik Minang.

"Umum mengetahui bahawa kebanyakan orang Minang adalah penganut Islam yang taat tetapi filem itu menunjukkan sebaliknya," kata peguam etnik itu, Zulhendri Hasan.


Menurutnya, sebahagian besar masyarakat Minang tersinggung dengan dialog yang diucapkan oleh watak heroin yang dilakonkan Agni Pratistha yang berkata, dia gemar makan daging babi berempah, makanan yang haram dimakan penganut Islam.


Zulhendri berkata, Hanung sepatutnya menghasilkan filem antara pasangan berlainan agama tanpa menjelaskan latar belakang etnik mereka.

Beliau menggesa Lembaga Penapisan Filem (LSF) menarik balik filem berkenaan dari pawagam.


Bantahan terhadap filem Hanung bukan sesuatu yang baru. Sebelum ini, filem yang mengisahkan konflik antara pengikut berbeza kepercayaan agama di Indonesia dikecam Majlis Ulama Indonessia (MUI) dan mencetuskan bantahan beberapa kumpulan Islam, termasuk Front Pembela Islam.

Antara lain, bantahan itu berpunca daripada watak heroin dalam filem berkenaan yang menukar agamanya daripada Islam kepada Katolik. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/09

Halimah Speaker wanita pertama Singapura

Posted: 08 Jan 2013 01:09 PM PST

Singapura: Seorang wanita Islam akan menggantikan bekas Speaker Parlimen yang terpaksa melepaskan jawatan itu kerana terbabit dalam skandal seks.

Perdana Menteri, Lee Hsien Loong berkata, beliau akan mencalonkan Halimah Yaacob yang sekarang ini menjawat jawatan Menteri Negara di Kementerian Pembangunan Masyarakat Belia dan Sukan untuk jawatan berkenaan pada sidang Parlimen Isnin depan.


Halimah, 58, akan menjadi Speaker wanita pertama republik itu. Beliau akan menggantikan Michael Palmer, 44, yang meletak jawatan bulan lalu selepas mengaku secara terbuka bahawa beliau menjalinkan hubungan sulit dengan seorang pekerja kebajikan.

Ia adalah skandal seks berprofil tinggi terbaru melanda Singapura.


Halimah yang perlu meletak jawatan dari Kabinet sebelum memegang jawatan baru itu, berpengalaman luas dalam pergerakan buruh, kerja kemasyarakatan dan pendidikan pra-sekolah.


"Dalam Kabinet, Halimah bercakap dengan suara praktikal dan lembut, membantu kami membentuk dasar yang berkesan dengan sentuhan kemanusiaan," kata Lee dalam satu kenyataan, semalam.

Parti pembangkang mendesak Lee mengadakan pilihan raya kecil di kawasan Punggol Timur yang dikosongkan Palmer.


Parlimen Singapura yang mempunyai 87 kerusi dikuasai Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah republik berkenaan sejak 1959. Ketika ini, hanya enam anggota pembangkang menganggotai Dewan itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/09

Mengaku tembak rakan selepas dipersenda

Posted: 08 Jan 2013 01:08 PM PST

Kalasin: Seorang lelaki mengaku menembak mati rakannya dan mencederakan adik mangsa selepas mereka mempersendakannya dan mengetuk kepalanya berulang kali, kata polis semalam.

Polis menahan Krenkamol Chaweewong, 27, kerana menembak Kiat Phasdor, 28, dan Tortrakul Phasdor, 26 di kediaman mereka pada 5 Januari lalu.


Torttakul masih dalam keadaan kritikal di hospital.

Suspek yang mengaku menembak kedua-dua lelaki berkenaan memberitahu polis, mereka bertindak melampau apabila mengetuk kepalanya dan tidak menghormatinya di depan teman wanitanya pada satu majlis makan malam.


Menurutnya, dia merayu mereka supaya berhenti tetapi mereka terus mempersendakannya. Kerana hilang sabar, dia pergi ke traknya dan mengambil pistol lalu menembak kedua-dua beradik itu. Suspek berkata, dia menyesal terhadap tindakannya itu. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/09

No comments:

Post a Comment