Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Ramdan nekad demi idola

Posted: 09 Jan 2013 08:58 AM PST

Kuala Lumpur: Misbun Ramdan Misbun mengambil keputusan nekad untuk keluar daripada naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana ingin berlatih dengan idola yang juga bapanya, Datuk Misbun Sidek.

Ramdan menolak sama sekali tindakannya itu dipengaruhi bapanya, malah menegaskan yang Misbun langsung tidak tahu dan kedua-dua beranak itu belum berbincang mengenainya.


"Sebenarnya sejak bapa keluar dari BAM dua tahun lalu, saya mahu mengikutnya tapi beliau mahu saya kekal berlatih dalam badan induk itu," kata Ramdan ketika ditemui di gelanggang latihan Nusa Mahsuri, di Kelana Jaya.

Misbun dikatakan melarang anaknya keluar dari BAM demi masa depannya dan mahu Ramdan menuntut ilmu di bawah Hendrawan.


"Ketika itu bapa melarang saya dengan berkata 'dari kecil sampai besar engkau mengikut aku, sekarang perlu berdikari dan belajar daripada Hendrawan, lagipun banyak kemudahan boleh diperoleh di bawah BAM'.


"Sejak itu jiwa saya memberontak tapi saya takut untuk bertindak hinggalah berjaya muncul juara Sirkit Kebangsaan Terbuka Pahang dan GP Final di Alor Setar bulan lalu," kata Ramdan menceritakan punca sebenar yang membawa kepada tindakannya menghantar surat keluar daripada BAM.

Ketika ditanya adakah dia sedia menghadapi cabaran di luar, tanpa kemudahan latihan sempurna berbanding seperti di BAM, dia berkata: "Saya pasti bapa akan bantu. Bapa mana yang sanggup biarkan anaknya terkapai-kapai sendirian.


"Mengenai masalah kewangan dan penajaan, saya pasti bapa boleh dapatkan penaja. Soal sama ada bapa mahu melatih saya atau tidak, saya belum berbincang lagi dengannya kerana dia sering keluar memancing." Juara baru kebangsaan itu berkata, tujuan dia bermain badminton kerana minat yang timbul ketika sering mengikuti bapanya ke gelanggang, justeru dia menganggap selepas tidak lagi berlatih di bawah bapanya, dirinya bagaikan tiada hala tuju.

Sepanjang menjadi jurulatih, Misbun berjaya membawa adiknya Rashid memenangi pingat perak Olimpik Atlanta, menaikkan nama adik beradik Hashim, dengan Roslin muncul juara di kejohanan antarabangsa dan Muhd Hafiz meraih kejayaan terbesar di Seluruh England, membimbing Wong Choong Hann memenangi perak Kejohanan Dunia 2003 serta membawa Datuk Lee Chong Wei berada di ranking nombor satu dunia paling lama dalam sejarah pemain Malaysia selain memenangi perak Olimpik Beijing.


Ketika ini, Ramdan yang menjalani latihan di bawah kendalian bapa saudaranya Rahman Sidek akan tetap beraksi di Terbuka Malaysia minggu depan.


"Saya sasarkan untuk berada dalam kelompok 50 pemain terbaik dunia tahun ini, barulah senang untuk menyertai kejohanan besar walaupun sebagai pemain kelayakan," kata pemain yang berada di ranking ke-87 dunia itu.


Ramdan bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada BAM yang selama ini memberi ruang kepadanya berlatih dan mendapat kemudahan terbaik di negara ini, tanpa sebarang masalah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/09

LionsXII baham ATM

Posted: 09 Jan 2013 08:43 AM PST

Seremban: JUARA Piala Sumbangsih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) gagal melebarkan kemenangan mereka selepas tewas kepada LionsXII 0-1 pada perlawanan pertama saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.

Kapten LionsXII, Shahril Ishak muncul wira pasukan pelawat apabila bijak memanfaatkan peluang hasil sepakan sudut pada minit ke-66.


ATM yang turun dengan semangat tinggi selepas menjuarai Perlawanan Sumbangsih melakukan asakan bertali arus ke kubu LionsXII sebaik wisel perlawanan dimulakan menerusi gandingan Hairuddin Omar dan Marlon Alex James, bagaimanapun pertahanan pelawat terutama penjaga golnya, Izwan Mahmud berjaya menafikan keghairahan tuan rumah mendapatkan gol.

Peluang ATM untuk berada di depan diperoleh pada minit ke-20 menerusi Marlon yang berjaya merembat deras tapi ditepis Izwan manakala cubaan pemain sama pada minit ke-23 sedikit tersasar.


Begitupun pelawat yang berazam mencari mata pertama pada saingan pembuka tirai saingan Liga Super musim ini memberi tentangan sengit menerusi Shahril dan Irwan Shah yang menerajui barisan depan, namun beberapa peluang diperoleh tidak menjadi apabila penjaga gol ATM, Mohd Farizal Harun cemerlang menyelamatkan gawangnya.


Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan bagaimanapun usaha mendapatkan jaringan tidak kesampaian hingga tamat babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, anak buah B Sathianathan menggandakan asakan ke kubu lawan dan peluang mereka menembusi benteng pelawat itu diperoleh pada minit ke-49 tapi tendangan bebas Irwan Fadly Idrus dari jarak kira-kira 25 meter terus ke dakapan Izwan.


Marlon sekali lagi gagal memanfaatkan peluang jaringan pada minit ke-52 apabila tidak dapat menolak masuk bola hantaran lintang Bruno Martelotto sekalipun sudah berada hampir ke garisan gol manakala pada minit ke-58, Venice Elphi pula mensesiakan peluang apabila gagal menolak hantaran lintang James, walaupun Izwan sudah tersilap langkah.

Ketika ATM ghairah memburu gol, kapten LionsXII, Shahril meletakkan pasukan itu di depan selepas menanduk kemas bola sepakan sudut Nazrul Nazari untuk gol pertama pelawat.


Jaringan itu menyebabkan ATM tertekan dan Sathianathan bertindak mengeluarkan Marlon pada minit ke-77 dan memasukkan R Surendran, namun usaha mereka untuk menyamakan kedudukan tidak kesampaian apabila keputusan 0-1 kekal hingga hujung perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10

Jaringan Zairul legakan peminat

Posted: 09 Jan 2013 08:43 AM PST

Kota Bharu: Jaringan pemain pertahan, Mohd Zairul Fitree Ishak pada minit akhir perlawanan melegakan puluhan ribu penyokong Kelantan yang sanggup berhujan selepas gergasi Pantai Timur itu mengutip tiga mata penuh dengan menewaskan PKNS FC di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Mohd Zairul menjadi 'wira' Kelantan apabila menjaringkan gol pada minit ke-92 hasil sepakan percuma, dirembat dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol PKNS FC, Mohd Remezey.


Pada separuh masa pertama, Kelantan bermula garang, namun dikejutkan dengan jaringan pembukaan pasukan pelawat menerusi sepakan percuma selepas penyerang import PKNS FC, Patrick Ronaldinho dikasari. Mohd Helmi Remeli bijak menyempurnakan sepakan percuma ke penjuru kanan gol bagi menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-13.

Tersentak dengan keadaan itu, Kelantan menggandakan serangan dan hanya dalam tempoh lima minit, kapten Kelantan, Mohd Badri Radzi meledak gol penyamaan selepas memanfaatkan suasana kelam kabut di kotak penalti PKNS FC dengan merembat kencang bagi menewaskan Remezey.


Kelantan yang menurunkan penyerang importnya, Keita Mandjou terus mengasak namun gagal menambah jaringan sehingga tamat separuh masa pertama. Pada separuh masa kedua, rentak perlawanan bertukar pantas selepas hujan berhenti dan memberi peluang kepada kedua-dua pasukan mengatur gerakan. Kelantan melancarkan serangan bertali arus ke gawang PKNS FC, namun setiap gerakan berjaya dipatahkan sehingga anak buah Bojan Hodak semakin buntu mencari jaringan kemenangan. Peluang terbaik hadir untuk Kelantan mencipta jaringan kemenangan, namun tendangan lemah Mandjou pada minit ke-87 ditangkap kemas penjaga gol. Bagaimanapun, debaran berakhir apabila Mohd Zairul memastikan juara tiga piala itu bermula cemerlang musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10

Irfan belum puas hati

Posted: 09 Jan 2013 08:42 AM PST

Kuala Lumpur: Tiga mata diraih Selangor pada perlawanan pertama ketika bertemu Negeri Sembilan, kelmarin masih belum cukup untuk memuaskan hati pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim yang agak bimbang dengan ketumpulan jentera serangan.

Tanpa berselindung, Irfan mengaku anak buahnya terutama awang import, Forkey Doe hilang arah ketika melakukan penyudah sekali gus menyaksikan mereka gagal menyempurnakan banyak peluang terhidang.


"Aksi Doe tidak sampai ke tahap sepatutnya tapi saya tetap puas hati dengan persembahannya kerana menerusi gerakannya jugalah kita dapat menghasilkan gol.

"Saya nampak perlawanan pertama ini agak susah sikit kerana pemain sering hilang arah apabila sampai ke penghujung serangan," katanya.


Bagaimanapun, Irfan menegaskan, kemenangan ke atas Negeri Sembilan penting kerana ia memberi suntikan moral kepada barisan pemainnya menjelang dua kunjungan ke tempat lawan apabila bertemu Lions XII dan Terengganu.


"Bagi saya, perlawanan pertama amat penting untuk menaikkan semangat pemain bagi menghadapi dua perlawanan di tempat lawan.

"Yang penting kami perlu lebih agresif di depan gol apabila bertandang ke Singapura dan Terengganu.


"Saya juga berharap, setiap pemain menggunakan kelebihan mereka miliki pada perlawanan selepas ini."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10

Malang tak berbau

Posted: 09 Jan 2013 08:38 AM PST

Kuala Terengganu: Maafkan saya! Ungkapan itu tidak lekang dari bibir Nuraliff Zainal Abidin sebaik saja dia menanduk bola ke gol sendiri pada minit terakhir perlawanan Liga Super menentang Perak di Stadium TLDM, Lumut kelmarin.

Pemain pertahanan T-Team itu mengaku sanggup melakukan apa saja andai dapat mengundurkan masa bagi menghalang Seladang memenangi perlawanan itu.


Bekas pemain Sime Darby yang menyarung jersi T-Team musim ini sedar dia menjadi penyebab Titans pulang tangan kosong kerana jaringannya itu masuk mencecah jaring di minit ke-93, beberapa saat saja sebelum pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat.

"Saya amat menyesal kerana cubaan saya mengeluarkan bola menuju gawang sendiri dan gol itu pasti menghantui saya selama-lamanya.


"Apa yang saya mampu lakukan sekarang, memohon maaf kepada rakan sepasukan, jurulatih, pengurusan pasukan dan semua peminat Titans dan saya harap mereka memaafkan saya atas kesilapan besar itu," katanya.


Menurutnya, dia tidak berniat mengecewakan penyokong T-Team dan berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan seperti itu pada perlawanan akan datang.

"Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, namun saya harus terus tabah dan cekal menghadapi cabaran akan datang walaupun agak sukar buat masa ini untuk saya memaafkan diri sendiri." Ketua jurulatih, Peter Butler juga sukar menerima kenyataan pasukan bimbingannya pulang tanpa sebarang mata ke Kuala Terengganu kerana memang mahukan T-Team bermula cemerlang dalam saingan liga musim ini.


"Susah untuk saya percaya Titans kalah kerana masa kecederaan tiga minit sudah hampir tamat dan fikiran saya juga memikirkan yang bukan-bukan apabila melihat tandukan Nuraliff ke gol sendiri.

"Memang Perak bermain lebih baik pada babak pertama namun kami menunjukkan peningkatan selepas rehat dan mempunyai peluang untuk menjaringkan gol." Butler yang juga pengurus pasukan berkata, malang memang tidak berbau namun semua pemain harus memastikan kesilapan yang merugikan pasukan dapat dielakkan.


"Kami kehilangan penjaga gol utama apabila Iqbal (Suhaimi) digantung lima perlawanan namun Amirul (Abu Seman) melaksanakan tugasnya dengan baik hinggalah detik malang sebelum tamat perlawanan.


"Kami juga masih tidak dapat menggunakan khidmat Marzuki (Yusof) dan penggantinya, G Mahathevan juga terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan lutut namun Hassan (Basri) juga menggalas tugasan diberikan kepadanya dengan baik.


"Kini kami perlu melupakan detik hitam di Lumut dan memberi tumpuan penuh pada perlawanan kedua menentang Kelantan di gelanggang sendiri, Sabtu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10

Fandi tidak mudah panik

Posted: 09 Jan 2013 08:37 AM PST

Johor Bahru: Ketua jurulatih Johor Darul Takzim, Fandi Ahmad tidak panik dengan kekalahan 2-3 kepada Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Darulmakmur, kelmarin, sebaliknya yakin melakukan kebangkitan pada aksi seterusnya.

Pengendali skuad Harimau Selatan itu memberi alasan aksi pertama saingan liga sememangnya memberi tekanan tapi tidak mustahil pasukan bimbingannya bakal melakar kemenangan menentang Perak di Stadium Larkin, kelak.


Apapun beliau kelihatan hampa dengan persembahan pertahanan yang kurang berkomunikasi dan menjadi punca barisan serangan Pahang menghukum kealpaan itu selain berlaku salah faham antara pemain yang lambat menyekat gerakan lawan.

"Inilah bola sepak, jika leka dan terlalu beri ruang kepada lawan pasti akan dihukum dan saya kecewa dengan barisan pertahanan yang tidak konsisten walaupun pada babak pertama cukup mantap.


"Kita patutnya menjaringkan lebih dari dua gol pada babak pertama namun rembatan deras Norshahrul Idlan Talaha dan Daniel Guiza tersasar. Apapun saya masih puas hati dengan corak taktikal dipamer kesebelasan utama.


"Kami akan kaji semula kelemahan yang menjadi punca Johor Darul Takzim tewas dan saya akan perbaiki apa jua kesilapan pemain," katanya.

Dengan formasi 4-4-2, corak permainan kemas mula ditonjolkan kesebelasan utama Harimau Selatan apabila menguasai perlawanan dan Guiza menjadi pencetus jaringan menerusi dua gerakan untuk membuka ruang buat kapten Safiq Rahim dan Norshahrul menjaringkan gol bagi mendahului 2-0.


Namun impian meraih tiga mata pada perlawanan pertama lebur selepas dibolosi tiga gol kesan dari kegagalan benteng menghalang asakan Tok Gajah yang akhirnya menang 3-2.

"Saya ada dua hari saja untuk memperkemas kembali pasukan dan membuat persiapan lebih rapi memburu kemenangan pertama di laman sendiri," kata Fandi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10

'Ini bukan aksi terbaik kami'

Posted: 09 Jan 2013 08:37 AM PST

Ipoh: "Ini bukan yang terbaik dari kami!" Namun buat pengendali Perak, Mohd Azraai Khor Abdullah tiga mata diraih ke atas T-Team amat berharga pada permulaan kempen Liga Super musim ini.

Anak buahnya yang tidak memiliki sebarang kelebihan beraksi di Stadium TLDM, Lumut kerana pertama kali beraksi di situ, Azraai mampu menguntum senyum sebaik wisel penamat ditiup selepas 'dihadiahkan' kemenangan oleh pemain lawan, Nuraliff Zainal Abidin yang tertanduk bola ke gawang sendiri.


"Ia bukan aksi terbaik pemain Perak. Namun pemain berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan dan tidak mudah putus asa.

"Saya bersyukur kami memulakan kempen dengan nota kemenangan," kata Azraai yang puas hati persembahan keseluruhan anak buahnya.


Jurulatih berpengalaman itu mengaku jentera tengah Seladang agak longgar tanpa kehadiran kapten, Shahrulnizam Mustapa yang masih menjalani pemulihan.


Selain itu jentera serangan diketuai Abdul Hadi Yahaya juga gagal menyengat walaupun mempunyai beberapa peluang menjaringkan gol.

"Masih ada kelemahan. Apapun ini baru perlawanan pertama. Saya yakin pemain mampu meningkatkan keupayaan pada perlawanan akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10

Sesiapa saja berhak bertanding”

Posted: 09 Jan 2013 08:36 AM PST

Kuala Lumpur: Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar) menolak andaian yang beliau calon pilihan untuk mengisi kerusi tertinggi badan induk bola sepak tanah air itu andainya Sultan Ahmad Shah bersedia melepaskan jawatannya.

Menurutnya, sesiapa saja berhak untuk merebut jawatan itu jika berasakan diri mereka berkemampuan untuk menerajui FAM ke tahap lebih tinggi.


"Tidak, saya tidak sepatutnya menjadi calon (Presiden)," kata Tengku Mahkota Pahang itu mengenai kemungkinan beliau akan menyambung legasi ayahandanya di FAM.

"Jawatan itu terbuka untuk semua, jika anda mahukan perubahan, anda perlu memilih orang baru." Bagaimanapun, itu tidak bermakna Tengku Abdullah yang juga Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tidak berminat menerajui FAM sekiranya beliau mendapat kepercayaan kesemua ahli gabungan.


"Saya tidak menolak cuma saya fikir, saya tidak sepatutnya menjadi calon itu. Saya juga sudah lama dalam FAM. Kita lihatlah nanti, bila tiba masanya, barulah saya akan buat keputusan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan sekumpulan penyokong bola sepak tempatan yang mahu Sultan Ahmad Shah mengundur diri selepas 28 tahun menerajui FAM.

Kumpulan itu yang menggelarkan diri sebagai 'Presiden FAM Sila Letak Jawatan' (PFSLJ) mula berkempen sejak 2009 menuntut rombakan dalam pucuk pimpinan FAM yang didakwa masih berada di takuk lama.


Desakan itu semakin kuat kedengaran selepas Malaysia gagal mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2012 bulan lalu apabila terkandas di separuh akhir di tangan Thailand menerusi agregat 1-3.

Tengku Abdullah berkata, semua orang berhak menyuarakan pandangan tapi adalah tidak wajar untuk mengetepikan sumbangan yang diberikan selama ini oleh presiden.


"Tuanku sudah melakukan yang terbaik. Tuanku mungkin bukan 'super' Presiden tapi Tuanku sudah menyatukan kami semua selama ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10

Jawatankuasa Status tentukan kemelut Norshahrul

Posted: 09 Jan 2013 08:36 AM PST

Kuala Lumpur: Liga Malaysia sudah bermula namun kontroversi perpindahan pemain masih belum reda. Paling mendapat perhatian isu perpindahan pemain paling bernilai kebangsaan tiga tahun berturut-turut, Norshahrul Idlan Talaha dari Kelantan ke Johor Darul Takzim FC (JDT) musim ini.

Soal bayaran tebus kontrak pemain itu mencetuskan 'perang mulut' orang kuat kedua-dua pasukan itu iaitu Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.


Terbaru Annuar mempertikaikan tindakan Norshahrul atau turut dikenali sebagai Mat Yo berhubung pampasan sejumlah RM250,000 kepada Kafa menerusi bank draf sedangkan beliau mendakwa penyerang kebangsaan itu perlu membayar RM318,500 berdasarkan jumlah gaji dan elaun rumah selama 13 bulan baki kontrak.

Sehingga kini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) enggan memberikan kenyataan jelas kerana mahu perkara ini diputuskan menerusi mesyuarat jawatankuasa Status yang bersidang hari ini.


"Biarlah pihak sepatutnya (Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Datuk Takiyuddin Hassan) menjelaskan perkara ini dengan lebih tepat. Kita tunggu saja keputusan status Mat Yo esok (hari ini)," kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.


Takiyuddin pula seakan-akan 'menyepikan diri' apabila langsung tidak menjawab panggilan telefon pihak media untuk mengetahui perkembangan isu itu .

Selain isu bayaran, aksi Norshahrul bersama JDT pada perlawanan pertama Liga Super menentang Pahang kelmarin menjadi tanda tanya apabila Annuar mendakwa pemain berusia 26 tahun itu tidak sepatutnya diturunkan kerana masalah sijil perpindahan yang belum selesai.


Turut dinantikan daripada hasil mesyuarat Jawatankuasa Status hari ini isu perebutan bekas pemain Harimau Muda A, Mohd Affize Faisal Mamat antara Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera Malaysia (PBATM).

PBATM sudah mendaftar Affize untuk beraksi bersama skuad Gladiators musim ini, namun PBSNT mendakwa Affize sepatutnya mewakili negeri kelahirannya mengikut peraturan FAM selepas bebas kontrak dengan Harimau Muda A.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10

Isu Affize: PBSNT ambil sikap tunggu dan lihat

Posted: 09 Jan 2013 08:35 AM PST

Kuala Terengganu: Bagi mengelak suasana menjadi lebih keruh, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengambil sikap tunggu dan lihat selain menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan berhubung kemelut dihadapi bekas tonggak Harimau Muda A, Mohd Affize Faisal Mamat yang gagal mengikut peraturan badan induk itu.

Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh berkata, beliau menyerahkan keputusan mengenai pemain itu kepada kebijaksanaan FAM yang dijangka bermesyuarat hari ini dan keputusan terbaik diharap akan dapat dicapai dalam perbincangan itu.


"Saya enggan mengulas lebih lanjut dan membuat sebarang andaian berhubung kemelut pemain itu bagi mengelak keadaan menjadi lebih tegang sebaliknya menyerahkan kepada FAM untuk mencari jalan penyelesaian terbaik demi pembangunan bola sepak negara.

"Bagaimanapun, saya berharap keputusan yang bakal diputuskan perlu diteliti daripada pelbagai sudut termasuk peraturan FAM yang jelas menyatakan pemain yang tamat kontrak bersama pasukan Harimau Muda A perlu kembali ke pasukan negeri kelahiran," katanya.


Sebelum ini, pemain kelahiran Hulu Terengganu itu menjadi rebutan antara Terengganu dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) biarpun mengikut peraturan pasukan lain tidak boleh memancing pemain itu kecuali pasukan negeri kelahiran melepaskannya.


Berikutan sikap tidak profesional Affize selain pengurusan ATM yang tidak mengikut peraturan ditetapkan FAM, namanya tiada dalam pendaftaran pemain Liga M musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10

No comments:

Post a Comment