Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


50 polis dilatih kawal George

Posted: 31 Jul 2013 11:20 AM PDT

London: Seramai 50 anggota polis dilatih untuk mengawal anak Putera William dan Kate Middleton sepanjang masa.

Siasatan media mendapati langkah itu diambil apabila pasukan keselamatan yang bertugas di kediaman keluarga diraja Britain itu di Sandringham tidak memiliki anggota bersenjata mencukupi untuk sepanjang masa. Justeru pihak yang berkenaan cuba mendapatkan pakar daripada pasukan keselamatan lain untuk mengawal putera diraja yang dilahirkan pada minggu lalu.


Pada masa sama, beberapa anggota polis sedia ada dilatih untuk memenuhi tugasan berkenaan.

Peningkatan ketara polis bersenjata itu diperlukan bagi mengawal kawasan kediaman seluas hampir 8,100 hektar di Norfolk pada setiap masa.


Rumah agam dengan 10 bilik tidur itu didakwa menjadi kediaman pasangan William dan Kate serta anak mereka, Putera George.


Khabar angin juga semakin kencang mengaitkan George akan menghabiskan kebanyakan masanya di Anmer Hall, bangunan abad ke-19 yang terletak kira-kira 3 kilometer dari Sandringham House.

Foto

WILLIAM dan Kate bersama anak mereka, George.

Tugas William sebagai juruterbang helikopter tentera di Wales bakal tamat September ini dan dia mungkin melaksanakan satu lagi tugasan lain. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/01

Anjing baham zakar tuan

Posted: 31 Jul 2013 11:14 AM PDT

Little Rock (Arkansas): Biasanya tidak ramai yang dapat membayangkan anjing boleh menjadi musuh yang paling menakutkan sehinggalah keadaan sudah terlewat.

Nasib malang itu menimpa seorang lelaki lumpuh beberapa hari lalu.


Media semalam melaporkan lelaki terbabit tinggal di Trumann, Arkansas dan baru saja membela seekor anjing tanpa tuan dengan harapan dapat menjadi temannya.

Bagaimanapun anjing itu terpaksa dibunuh selepas ia membaham hingga putus satu daripada buah zakar lelaki terbabit ketika mangsa tidur pagi kelmarin.


Polis berkata, lelaki itu lumpuh dari paras pinggang ke bawah menyebabkan dia tidak rasa sakit di bahagian berkenaan.


Sejurus kemudian, kata sumber polis, lelaki terbabit terjaga daripada tidur dan berasa seperti "terbakar" pada kemaluannya.

"Dia terkejut apabila mendapati anjing yang baru tiga minggu dipelihara itu berada di celah kangkangnya dengan kesan darah di kaki dan mulut," katanya.


Mangsa yang berusia 39 tahun itu mengaku tidur berbogel. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/01

Pembunuh mohon lanjut pengajian di universiti

Posted: 31 Jul 2013 11:13 AM PDT

Oslo: Banduan yang terbabit dalam kes pembunuhan beramai-ramai yang menggemparkan dunia pada 2011 dilaporkan memohon untuk melanjutkan pengajian dalam sains politik di Universiti Oslo, lapor media semalam.

Anders Behring Breivik yang kini menjalani hukuman penjara selama 21 tahun di Penjara Ila pernah membuat permohonan sama sebelum ini tetapi ditolak kerana membabitkan proses yang rumit.


Bagaimanapun pengarah penjara, Knut Bjarkeid berkata permohonan terbaru Breivik kemungkinan besar akan diluluskan.

Breivik, 34, didapati bersalah membunuh 77 orang dalam siri serangan terancang pada Julai 2011. Militan yang membenci Muslim itu sebelum ini mendakwa serangan berkenaan adalah cubaannya menghalang Islamisasi Norway dan mahu membentuk pertubuhan "fasis demokratik" untuk menguasai negara itu dari dalam penjara. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/01

'Budak ikan' impi untuk bersekolah

Posted: 31 Jul 2013 11:11 AM PDT

Beijing: Pan Xianhang yang baru berusia lapan tahun tidak dapat tidur pada waktu malam.

Dikenali sebagai Budak Ikan di kalangan penduduk setempat di Wenling, seluruh tubuh Pan diselaputi 'sisik' tebal akibat penyakit kulit Ichthyosis sejak lahir.


Justeru sejak kecil hidup Pan sentiasa dibayangi kesakitan melampau.

Memetik ibu Pan, media tempatan melaporkan budak itu cuma mengimpikan dapat bersekolah seperti kanak-kanak lain dan bebas daripada gangguan daripada penyakit kulitnya.


Penyakit itu juga menjejaskan pembentukan kelopak mata, hidung, mulut dan telinga Pan, selain mengehadkan pergerakan tangan dan kakinya.


Sebuah yayasan penyakit kulit berkata, setiap tahun dianggarkan lebih 16,000 bayi dilahirkan dengan masalah sama seperti dialami Pan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/01

Jual ginjal untuk langsai hutang

Posted: 31 Jul 2013 11:10 AM PDT

Semarang: Terdesak dibelenggu hutang dan sentiasa diganggu pemungut hutang seorang pemandu nekad menawarkan buah pinggangnya untuk dijual.

Penduduk Bongsari di Semarang Barat, Jawa Tengah, Ramski Oyong berkata dia buntu untuk mengatasi masalah berkenaan.


Mengaku dijerat hutang Rp100 juta (RM31,600) Ramski berharap dengan menjual satu buah pinggangnya dia dapat membebaskan diri daripada masalah yang merunsingkan fikirannya itu. "Saya terfikir untuk menjual buah pinggang pada awal tahun ini dengan harga Rp100 juta," katanya.

Selain diganggu pemungut hutang Ramski juga rimas kerana berdepan desakan daripada mentuanya.


Sebelum ini, kata Ramski, surat hak milik rumah mentuanya disita seorang pegawai polis dan dia dituntut menyelesaikan masalah berkenaan.


"Saya berhutang Rp50 juta kepada pegawai polis itu dan surat hak milik tanah dan rumah mentua menjadi cagaran," katanya. Kini, kata Ramski, dia cemas kerana masalah itu kian menghimpitnya.

"Hutang saya semakin bertambah dan tidak pernah cuba diatasi sehinggakan saya pernah ditahan selama tiga hari di penjara.


"Saya hanya dibebaskan selepas polis mengambil surat hak milik rumah mentua," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/01

Tentera tembak mati enam komunis

Posted: 31 Jul 2013 11:09 AM PDT

Manila: Tentera Filipina semalam menembak mati enam pemberontak komunis yang diketuai seorang wanita dalam pertempuran di Tarlac, utara negara itu.

Jurucakap tentera Lt Kol Ramon Zagala berkata, pihaknya sebelum itu menerima maklumat daripada penduduk mengenai sembilan anggota Tentera RaKyat Baru (NPA) cuba mendapatkan sokongan di sebuah kampung di wilayah berkenaan.


Tiga anggota komunis itu melarikan diri ketika pertempuran yang berlarutan selama beberapa jam. Zagala tidak menyebut nama wanita yang mengetuai kumpulan itu kecuali berkata, keenam-enam yang mati itu adalah antara 19 saja anggota NPA yang dipercayai masih beroperasi di Tarlac, menurut perisikan tentera.

Pemberontakan NPA dilancarkan oleh anggota komunis yang berpusat di Tarlac pada 1969 sebelum ia merebak ke seluruh negara hingga meragut lebih 30,000 nyawa.


Tentera menganggarkan jumlah pemberontak itu di seluruh Filipina kini hanya 4,000 orang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/01

1.2 juta penduduk bergelap

Posted: 31 Jul 2013 11:08 AM PDT

Manila: Seluruh sebuah wilayah di Filipina bergelap malam tadi selepas syarikat pembekal elektrik memutuskan bekalan kerana hutang tertunggak berjumlah AS$93 juta (RM279 juta).

Langkah itu mengejutkan penduduk wilayah Albay di tengah Filipina, tempat lebih 1.2 juta orang menetap.


"Sungguh gelap malam tadi. Keadaan seperti taufan kerana hujan," kata seorang penduduk, Cristie Recebido. Menurutnya, kedai di Legazpi, ibu negeri wilayah itu tutup awal sementara masalah bekalan tenaga elektrik di hospital dan pejabat semakin meruncing.

Jabatan Tenaga berkata, notis memutuskan bekalan sudah disampaikan kepada syarikat terbabit selepas ia gagal menyelesaikan hutang berjumlah AS$93 (RM279 juta) sepanjang 15 tahun lalu.


Gabenor Albay, Joey Salceda berkata, dia akan berusaha menyelesaikan masalah itu dalam masa dua hari. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/01

Al-Qaeda mungkin terbabit

Posted: 31 Jul 2013 11:07 AM PDT

Bangkok: Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) yang diminta pegawai perisik Thailand untuk membantu mengesahkan video mengandungi ancaman membunuh bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra, tidak menolak kemungkinan pembabitan al-Qaeda.

Sumber perisikan Thai berkata, pegawai CIA yakin mereka yang menghasilkan video itu adalah amatur. Tiga bahasa digunakan iaitu Arab, Urdu dan Inggeris. Meskipun tidak memberi tumpuan terhadap teori lelaki dalam video itu anggota al-Qaeda memandangkan tidak ada lambang kumpulan itu pada video berkenaan, CIA bagaimanapun tidak menolak kemungkinan ia dihasilkan oleh al-Qaeda.


Jika benar, ia kali pertama kumpulan berkenaan mencampuri isu berkait dengan kekacauan di selatan Thai.

Dalam video itu, lelaki terbabit mendakwa mereka anggota al-Qaeda mengancam akan membunuh Thaksin kerana pembunuhan beramai-ramai penduduk Islam wilayah itu pada 2004.


"Al-Qaeda tidak mengaku atau menafikan terbabit dalam menghasilkan video itu. Kerana itu kami perlu bersifat pesimis dengan tidak menolak kemungkinan mereka terlibat dan pada masa sama, tidak memandang ringan ancaman itu," katanya.


Sumber itu berkata, Malaysia tidak berkait dengan penerbitan video itu.

"Apa yang boleh kita minta Malaysia membantu ialah untuk membantu mengecam sama ada lelaki bernama 'Mansoor Ahmed Volvo' wujud," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/01

Suspek bukan warga Malaysia

Posted: 31 Jul 2013 11:07 AM PDT

Bangkok: Timbalan Perdana Menteri Pracha Promnog berkata semalam, kumpulan antikerajaan dengan anggota warga asing dan tempatan bertanggungjawab menerbitkan video YouTube yang mengancam membunuh bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra.

Pracha enggan mendedahkan nama negara suspek asing itu dengan alasan ia boleh menjejaskan hubungan dua negara. Bagaimanapun, dia bertegas menyatakan, suspek itu bukan warga Malaysia.


Pegawai perisik dilapor sudah menerima maklumat mengenai tiga lelaki dalam video itu, dua daripadanya dengan muka ditutup dan memegang senjata.

Menurut Pracha, polis akan menghubungi agensi perisikan di beberapa negara sebelum mengambil keputusan untuk menangkap mereka, - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/01

Al-Qaeda ikrar bebas pejuang

Posted: 31 Jul 2013 11:06 AM PDT

Dubai: Pemimpin al-Qaeda Ayman al-Zawahri semalam mengecam layanan Amerika Syarikat terhadap tahanan yang mogok lapar di Teluk Guantanamo.

Dalam rakaman audio yang dimuat naik ke Internet, Beliau turut mengancam untuk membebaskan tahanan berkenaan dengan apa cara sekalipun. "Mogok lapar yang dilancarkan saudara kita di Guantanamo mendedahkan keburukan sebenar Amerika Syarikat. Kami bersumpah dengan nama Tuhan bahawa kami akan melakukan apa saja untuk membebaskan semua pejuang kami, khususnya Omar Abdel Rahman, Aafia Siddiqui, Khaled Sheikh Mohammed," kata Aymanmerujuk kepada militan yang ditahan oleh Amerika Syarikat.


Kira-kira 166 orang yang ditangkap dalam operasi selepas serangan 11 September 2001 ke atas Amerika Syarikat kini ditahan di pangkalan tentera negara itu di Guantanamo Bay, Cuba.

Ramai melancarkan mogok lapar kerana membantah penahanan mereka tanpa bicara. Sebahagian mereka diberi makan secara paksa.


Ayman turut mengecam penggunaan serangan pesawat tanpa juruterbang yang mensasarkan aktivis Islam dengan menyifatkannya sebagai kekalahan kempen Amerika di Afghanistan, Pakistan dan Yaman.


Dalam ucapannya itu, pemimpin al-Qaeda itu juga mengecam pembabitan Hizbullah dengan menyelar pemimpinnya, Hassan Nasrallah dalam perang saudara di Syria. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/01

No comments:

Post a Comment