Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tak tahan latihan

Posted: 30 Jul 2013 08:53 AM PDT

Kuala Lumpur: "Kadang-kala ada pemain terpaksa berbuka puasa di tepi gelanggang saja".

Itu antara cabaran bulan Ramadan perlu diharungi barisan pemain sepak takraw negara yang menjalani latihan bersama tiga kelab Thailand iaitu Chonburi, Kalasin dan Nakhon Pathom.


Selain itu menurut sumber, pemain juga menjalani latihan seperti biasa dengan sesetengah kelab mempunyai dua sesi latihan yang berlangsung pada sebelah pagi dan petang. "Kenapa masalah ini berlaku sekarang (menghilangkan diri), kenapa tidak dulu (sejak program bermula pada April)," kata sumber itu.

Isu pemain negara menghilangkan diri dari kelab Thailand dan pulang ke tanah air menarik perhatian pelbagai pihak dengan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sudah menggantung sementara tekong berbakat negara, Zulkifli Abd Razak yang menjadi pemain utama kelab Nakhon Pathom.


Zulkifli antara lima pemain yang dikenakan surat tunjuk sebab PSM bagi menjawab tuduhan dan dakwaan terhadap mereka dengan pilihan hukuman menanti antaranya digugurkan, digantung atau diturunkan ke skuad elit B.


Sementara itu Presiden PSM Datuk Ahmad Ismail berkata: "Saya sudah membuat keputusan tidak mahu mengumumkan nama mereka kerana ia membabitkan maruah dan sebagainya. Bagaimanapun mereka perlu menjawab surat tunjuk sebab dikeluarkan dua hari lalu (Sabtu) yang perlu dibalas dalam tempoh 14 hari mengikut peraturan ditetapkan." Ditanya mengenai jumlah sebenar pemain yang bertindak meninggalkan kelab di Thailand, beliau berkata tidak perlu baginya mendedahkan secara terperinci namun mengaku ada pemain yang balik ke Malaysia tanpa pengetahuan PSM dan kelab yang diwakilinya di Thailand.

Foto

AKSI pemain Malaysia, Nazirul Akmal (kiri) melakukan rejaman sambil pemain Myanmar melakukan tampanan, kelmarin.

"Saya rumuskan, semuanya berkaitan dengan sikap, disiplin dan komitmen yang semakin berkurangan. Sudah enam tahun saya cuba membawa masuk pemain dalam Liga Takraw Thailand (LTT) namun selepas pertama kali berjaya tahun ini sebaliknya pula yang berlaku. Mungkin pemain tidak nampak betapa bagusnya program yang dirancang ini.


"Peringkat awal program semuanya berjalan lancar namun bermula Ramadan macam-macam alasan saya dapat tahu. Saya pernah turun ke sana bagi memberikan motivasi dan semangat," katanya yang hadir menyaksikan final Kejohanan Jemputan Lima Negara awal pagi semalam.

Bagaimanapun Ahmad berkata, selepas mengadakan perbincangan dan memujuk pemain, hanya seorang (Zulkifli) yang tidak akan meneruskan program di Thailand yang dijangka berakhir pertengahan bulan depan.


Tindakan tegas PSM turut mendapat sokongan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong yang menyatakan, tiada tolak ansur dalam perkara membabitkan disiplin.


Kejohanan jemputan acara berpasukan itu yang berlangsung di MSN Keramat, awal pagi semalam menobatkan Myanmar sebagai juara apabila menewaskan skuad negara, 2-1 sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai persiapan ke Sukan SEA pada Disember.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/31

Lewandowski, Watzke berbalah

Posted: 30 Jul 2013 08:29 AM PDT

Dortmund, Jerman: Robert Lewandowski mendedahkan berdepan masalah dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Borussia Dortmund Aki Watzke dalam satu temubual dengan Sky selepas pasukannya menewaskan Bayern Munich, 4-2 minggu lalu.

Lewandowski menyatakan hasrat untuk menyertai Bayern pada musim panas ini dengan juara Liga Perdana, Manchester United turut memantau perkembangan penyerang itu namun Dortmund yang sudah kehilangan Mario Goetze kepada juara Bundesliga itu enggan menjualnya.


Jurulatih Dortmund Juergen Klopp awal bulan ini menyatakan Lewandowski akan berpindah ke Allianz Arena secara percuma apabila kontraknya berakhir pada musim panas tahun depan namun pada masa sama memberitahu penyerang Poland itu menjadi tonggak kejayaan kelab pada musim akan datang.

"Saya tahu Robert juga memiliki pandangan yang sama," katanya dalam akhbar Welt am Sonntag.


Pertemuan Piala Super Jerman Sabtu lalu menjadi tumpuan apabila pemain itu membuat penampilan kompetitif pertama buat Dortmund sejak kalah 1-2 di tangan Bayern pada final Liga Juara-Juara.


Meskipun gagal menjaringkan gol, prestasi keseluruhan tetap hebat dan dalam temubual selepas perlawanan itu, dia menyatakan tidak mempunyai masalah untuk mewakili kelab itu.

"Apabila berada di padang, saya hanya mahu bermain dengan baik dan menjaringkan gol," katanya. "Itu yang paling penting bagi saya, tidak kira di mana saya bermain.


"Saya gembira dengan pasukan ini namun saya mempunyai masalah dengan orang lain. Itulah isu yang sukar bagi saya." Kenyataannya itu dilihat ditujukan kepada Watzke dan pengarah sukan Michael Zorc yang enggan melepaskannya ke Bayern pada musim panas ini.

"Memang kenyataan Robert itu ditujukan kepada saya, tapi saya perlu buat keputusan terbaik untuk kelab. Saya boleh terima Robert berdendam terhadap saya," kata Watzke dalam akhbar Bild. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/31

Benitez sakit jantung

Posted: 30 Jul 2013 08:29 AM PDT

Doha: Penyerang antarabangsa Ecuador, Christian Benitez meninggal dunia pada usia 27 tahun kerana sakit jantung di Qatar kelmarin, umum Persekutuan Bola Sepak Ecuador (FEF).

Benitez yang beraksi 58 perlawanan buat Ecuador, adalah anak lelaki Ermen Benitez, seorang daripada penjaring gol terbanyak negara itu.


Kelab Qatar diwakilinya, El Jaish yang mengikat Benitez hanya tiga minggu lalu, terdahulu melaporkan kematiannya dalam laman web kelab itu (www.eljaish.com).

"Benitez berasa sakit perut yang amat sangat dan dikejarkan ke hospital. Selepas beberapa jam jantungnya gagal berfungsi," menurut FEF dalam laman web www.ecuafutbol.org.


"Persekutuan Bola Sepak Ecuador mengucapkan takziah kepada keluarga terdekat, ibu bapa, isteri, anak-anak dan rakan penyerang kami Christian Benitez." El Jaish berkata: "Kelab ini dengan penuh ikhlas menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga pemain itu.


"Dia menyertai kelab buat kali pertama ketika perlawanan menentang Qatar Sports Club dalam Piala Sheikh Jassem kelmarin tanpa merungut mengenai sebarang masalah kesihatan." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/31

Lima bandar raya baru warnai saingan Serie A

Posted: 30 Jul 2013 08:28 AM PDT

Milan: Juara Itali, Juventus akan memulakan cabaran mempertahankan gelaran Serie A ketiga berturut-turut dengan kunjungan ke Sampdoria selepas pengumuman jadual perlawanan di Milan, kelmarin.

Pencabar kejuaraan, AC Milan bertandang ke Hellas Verona, yang beraksi di saingan utama buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun manakala Inter Milan yang dikendalikan Walter Mazzarri dan Napoli di bawah bimbingan Rafael Benitez akan memulakan saingan di gelanggang sendiri menentang Genoa dan Bologna.


Pasukan yang baru dinaikkan, Sassuolo akan beraksi perlawanan pertama liga utama menentang Torino di tempat lawan.

AS Roma memulakan kempen dengan kunjungan ke Livorno, akan menentang Hellas Verona sebagai lawan pertama di laman sendiri dengan sektor Curva Sud di stadium itu ditutup.


Kelab itu dihukum selepas penyokong fanatik menghamburkan kata-kata berbaur perkauman terhadap pemain AC Milan, Mario Balotelli pada perlawanan terakhir menentang Napoli, musim lalu.


Buat kali pertama, Serie A akan menampilkan lima bandar raya sebagai tuan rumah membabitkan aksi kelab setempat.

Pertemuan setempat Rome membabitkan Roma menentang Lazio pada minggu keempat selain Milan menanti kunjungan pencabar kejuaraan Napoli.


Naib juara musim lalu itu akan menampilkan skuad baru di bawah kendalian Benitez selepas menjual penyerang, Edinson Cavani kepada Paris St Germain.

Jurulatih yang pernah memenangi Liga Juara-Juara itu sudah mendapatkan Gonzalo Higuain, Jose Callejon, Raul Albiol dari Real Madrid dan penjaga gol Liverpool, Pepe Reina.


Perlawanan tumpuan lain termasuk kunjungan Juve ke Inter pada minggu ketiga manakala juara bertahan itu akan menanti kunjungan AC Milan pada perlawanan ketujuh disusuli Napoli pada minggu ke-12. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/31

Alonso kena tegur

Posted: 30 Jul 2013 08:28 AM PDT

Rome: Presiden Ferrari Luca Di Montezemolo (gambar) menegur pemandu pasukan itu Fernando Alonso berikutan komennya mengenai perlumbaan di Grand Prix Hungary, kelmarin.

Alonso, juara dunia dua kali, tidak gembira dengan kedudukan tangga kelima yang menyaksikannya jatuh ke tangga ketiga kedudukan pemandu dan ketinggalan 39 mata berbanding juara dunia tiga kali, Sebastian Vettel.


Alonso berkata, Ferrari perlu memperbaiki jentera jika mahu menyaksikannya muncul juara dunia.

Ketika Montezemolo juga tidak puas hati dengan pencapaian jentera Ferrari, beliau mengingatkan Alonso perlu lebih mengutamakan kepentingan pasukan.


"Semua juara yang memandu jentera Ferrari sentiasa diminta mengutamakan pasukan berbanding diri sendiri," kata Montezemolo dalam laman web Ferrari.


"Inilah masanya untuk bertenang, mengelak berlaku polemik dan menunjukkan keinginan tinggi, bersama pasukan sama ada ketika perlumbaan atau sebaliknya." Kenyataan presiden itu terarah kepada Alonso yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-32, kelmarin.

Menurut kenyataan dalam laman web itu: "Kenyataan ini merujuk kepada komen Fernando Alonso yang kurang disenangi Montezemolo dan pasukan.


"Apabila Montezemolo memanggil pemandu Sepanyol itu untuk mengucapkan selamat hari lahir, beliau juga menegur Alonso." Alonso dikaitkan dengan perpindahan ke Red Bull kerana pemandu kedua pasukan itu Mark Webber akan bersara hujung musim ini.

Pengurus Alonso dilapor sudah bertemu dengan prinsipal pasukan Red Bull Christian Horner di Hungary walaupun Alonso mendakwa tidak mengetahui apa-apa mengenainya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/31

Bolt, Shelly-Ann ketuai skuad Jamaica

Posted: 30 Jul 2013 08:28 AM PDT

Kingston: Juara Olimpik, Usain Bolt dan Shelly-Ann Fraser-Pryce mengetuai skuad Jamaica ke Kejohanan Olahraga Dunia yang akan dikawal ketat di Moscow berikutan beberapa keputusan positif ujian dadah atlet negara itu.

Lima atlet termasuk pemenang pingat Olimpik, Asafa Powell dan Sherone Simpson diuji positif dengan bahan terlarang pada Kejohanan Kebangsaan Jamaica Jun lalu dan berdepan kes disiplin.


Semua atlet itu menafikan mereka mengambil bahan terlarang itu.

Powell mahupun Sherone, kedua-duanya diuji positif dengan oxilophrine, tidak dinamakan dalam skuad yang diumum Persatuan Pentadbir Olahraga Jamaica (JAAA), semalam bagi kejohanan dari 10 hingga 18 Ogos di ibu negara Russia itu.


Pemenang sembilan pingat Kejohanan Dunia Veronica Campbell-Brown, yang mendapat tiket wild card ke Moscow kerana memenangi acara 200 meter di Daegu, Korea Selatan pada 2011, turut diketepikan.


Veronica digantung sementara selepas diuji positif menggunakan bahan terlarang diuretik pada kejohanan Cabaran Dunia Jemputan Antarabangsa Jamaica, Mei lalu.

Powell menduduki tangga ketujuh 100m kejohanan kebangsaan namun dijangka dinamakan dalam skuad 4x100m selepas melakukan 9.88s pada kejohanan Liga Berlian Lausanne, 4 Julai lalu.


Pegawai Jamaica tidak menyatakan acara yang akan disertai atlet di Moscow namun Nesta Carter dijangka menyertai Bolt, Nickel Ashmeade dan Kemar Bailey-Cole dalam acara 100m berikutan ketiadaan juara dunia yang cedera, Yohan Blake. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/31

Yong Eun teraju Asia pertahan Trofi Diraja

Posted: 30 Jul 2013 08:27 AM PDT

Singapura: Pemain lelaki pertama Asia memenangi kejuaraan utama, Yang Yong Eun akan mengetuai pasukan benua itu pada kejohanan Trofi Diraja menentang pasukan Eropah diketuai Jose Maria Olazabal, umum penganjur semalam.

Yong Eun dari Korea Selatan, yang mengatasi pemain nombor satu dunia, Tiger Woods untuk merangkul Kejuaraan PGA AS 2009, mengambil alih daripada bintang Jepun, Joe Ozaki dalam usaha mempertahankan kejuaraan berpasukan tahunan itu di Kelab Golf Dragon Lake di Guangzhou, China dari 20 hingga 22 Disember ini.


Ozaki mengetuai Asia dalam lima daripada enam edisi terdahulu kejohanan lapan pemain itu.

"Saya berbesar hati mengambil alih tugas kapten pasukan Asia bagi menghadapi Trofi Diraja," kata Yong Eun.


"Saya komited membentuk satu pasukan kuat bagi mempertahankan Trofi Diraja. Saya akan melakukan yang terbaik untuk memastikan trofi ini kekal di Asia dan tidak sabar berdepan perlawanan dengan penuh minat." Asia memenangi kejohanan berpasukan itu, yang dianjurkan berdasarkan format Piala Ryder dengan kemenangan tipis di Brunei tahun lalu dengan Yong Eun dan rakan senegara, Kim Kyung Tae menang penentuan playoff selepas pertandingan tiga hari itu berakhir 8-8.


Di sebalik kekalahan itu, Olazabal kekal kapten Eropah yang mengintai peluang memenangi kejuaraan itu buat kali kelima. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/31

Sumbangan pengadil dihargai

Posted: 30 Jul 2013 08:24 AM PDT

Melaka: Seramai 60 bekas dan pengadil negeri serta kebangsaan dirai di Majlis Jasamu Dikenang anjuran Jawatankuasa Pembangunan Pengadil Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA) baru-baru ini.

Mereka termasuk bekas pengadil era 70-an sehingga bertaraf FIFA yang masih aktif mengendalikan perlawanan antarabangsa ketika ini.


Pegawai Pembangunan Pengadil MAFA, Abdullah Mat Derus berkata, majlis itu simbolik menghargai jasa mereka yang pernah bersama-sama membantu pembangunan bola sepak negara.

Katanya, sumbangan mereka terhadap meningkatkan kualiti bola sepak amat besar selain berjaya membentuk disiplin tinggi dalam kalangan pemain dan pengikut setia sukan terbabit.


Turut dirai Timbalan Exco Pengajian Tinggi Sains dan Teknologi Md Rawi Mahmud yang juga bekas pengadil di negara ini dari 1988-2000.


Sementara itu bagi bekas pengadil P Jiwaratnam, 53, majlis itu menemukan beliau dengan rakan lama yang menjadi pengadil pada era 70-an.

Menurutnya, pelbagai pengalaman dilalui sepanjang lebih 30 tahun termasuk hampir dipukul peminat akibat melayangkan dua kad merah ketika mengadili perlawanan sekitar awal 80-an di Bukit Baru, Melaka.


"Itu semua asam garam bertugas sebagai pengadil. Risiko tetap ada namun niat untuk berlaku adil biasanya disalah tafsir penyokong.

"Kini saya masih aktif menjadi pengadil perlawanan persahabatan. Malah saya akan terus berkhidmat selagi termampu. "Saya sebenarnya tidak pernah menduga, bermula sebagai tukang kebun sekolah akhirnya berjaya mengendalikan perlawanan peringkat kebangsaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/31

Program 'Komuniti Sedetik Bersama Ukhuwah Dijana' meriah

Posted: 30 Jul 2013 08:24 AM PDT

Kepala Batas: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Selamat, Tasek Gelugor mengadakan Program Komuniti Sedetik Bersama Ukhuwah Dijana berlangsung di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pinang Tunggal, Kepala Batas, Pulau Pinang di sini, baru-baru ini.

Sempena program itu, pelbagai acara sukan membabitkan pelajar di dua sekolah itu diadakan.


Program itu dianjur Unit Hal Ehwal Murid SMK Kampung Selamat.

Sebelum acara sukan dimulakan, pelajar dua sekolah itu mengikuti ceramah bertajuk 'Kepentingan Keluarga Dalam Menjana Pendidikan Anak-Anak' yang disampaikan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Kampung Selamat Wan Chik Ahmad. Pengerusi unit Zamri Abu Mat berkata, acara sukan diadakan bagi mengeratkan hubungan baik antara pelajar.


"Mereka menyertai pelbagai acara sukan dan program mendapat sambutan meriah," katanya.


Pengetua sekolah Arsun Jasin turut menggesa pelajar aktif dalam bidang sukan.

"Bidang sukan, termasuk bola sepak atau futsal jika dikendalikan mengikuti peraturan boleh menyihatkan tubuh badan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/31

Raket Sensous taruhan Apacs

Posted: 30 Jul 2013 08:23 AM PDT

Muar: Apacs Sports (M) Sdn Bhd (Apacs), syarikat pengedar barangan badminton berteknologi tinggi di negara ini, memperkenalkan siri model raket terbaru bagi memberi lebih pilihan kepada penggemar sukan berkenaan.

Siri terbaru diperkenal kali ini, Sensuous iaitu raket menggunakan teknologi terkini yang direka khas bagi generasi baru terutama peminat sukan badminton tempatan.


Pengarah Urusan Anthony Lim berkata, selain ringan dan tahan lama, produk terbaru Apacs itu juga mempunyai beberapa ciri yang memudahkan pemain memukul bulu tangkis dengan tepat dan sempurna.

Kata beliau, untuk siri Sensuous, enam model, Sensuous 222, Sensuous 333, Sensuous 555, Sensuous 686, Sensuous 888 dan Sensuous 999 diperkenal.


"Semua rangka siri ini menggunakan teknologi Grommet Sistem dan yang istimewa mengenai raket ini ia menampilkan lubang bercorak zig zag iaitu teknologi baru untuk memastikan tali lebih stabil serta tidak mudah bergerak.


"Raket siri Sensuous ini mempunyai kadar kelenturan lebih lembut iaitu hingga 9.5 dan boleh diregang hingga 35 LBS," katanya. Hadir sama, Pengurus Apacs Sports (M) Sdn Bhd Jebbery Lim.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/31

No comments:

Post a Comment