Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


3 sangkut 24 jam

Posted: 30 Jun 2013 11:53 AM PDT

Kuala Lumpur: Tiga penjenayah yang dipercayai aktif dalam kegiatan samun kereta sekitar Lembah Klang ditahan dalam dua serbuan berasingan di ibu negara, kelmarin.

Semua suspek yang ditahan dalam tempoh 24 jam itu, dipercayai daripada dua kumpulan samun kereta dengan tangkapan terbaru dilakukan sepasukan polis dari Balai Polis Wangsa Maju pada jam 4.15 petang, kelmarin.


Dalam kejadian itu, unit kereta peronda polis (MPV) dari balai berkenaan menjejaki sebuah kereta Proton Perdana yang dilaporkan hilang di Taman Melati, di sini, Khamis lalu. Hasil pemantauan, kereta berkenaan dikesan dan disekat di Jalan 13/27 B, Taman Desa Setapak, sebelum polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun yang memandu kenderaan terbabit.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, hasil pemeriksaan dalam kereta itu polis menemui sebilah parang di bawah tempat duduk pemandu selain peralatan memecah kenderaan dipercayai digunakan suspek untuk melakukan aktiviti samun.


"Polis turut menemui beberapa bentuk kunci pendua, kikir besi, alat kawalan jauh kereta serta dua set nombor pendaftaran palsu dalam kereta berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Taman Bukit Maluri, di sini, itu mempunyai tujuh rekod jenayah lampau berhubung kes samun dan menceroboh.

Foto

PERALATAN yang digunakan suspek (berbaju biru) dirampas.

Foto

KERETA yang dilaporkan hilang di Taman Melati ditemui dalam serbuan di Taman Desa Setapak.

Sementara itu, dalam satu lagi serbuan jam 10 malam Jumaat lalu, dua lelaki berusia 30 dan 43 tahun yang menaiki sebuah kereta Toyota Alphard dicekup ketika cuba melarikan sebuah kereta mewah BMW X6 di kawasan rumah kedai Seksyen 1 Wangsa Maju, di sini.


Kejadian mengakibatkan 10 kereta yang diparkir sekitar Taman Sri Rampai rosak akibat dirempuh suspek ketika dikejar polis.

Kedua-dua suspek aktif melakukan samun kereta mewah sejak beberapa bulan lalu dan polis menemui gambar kereta mewah Toyota Alphard dan BMW yang dimuatkan dalam kontena dipercayai disamun serta untuk diseludup ke luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/01

Bengkel kereta dimamah api

Posted: 30 Jun 2013 11:48 AM PDT

Kuala Lumpur: Enam kenderaan pelbagai jenis musnah terbakar dalam kebakaran di sebuah bengkel baik pulih kenderaan di Persiaran Mewah, Bandar Tun Razak, semalam.

Dalam kejadian jam 2.22 petang itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan tujuh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak, Cheras, Jalan Hang Tuah, Pudu dan Sungai Besi terbabit operasi berkenaan.


Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.22 petang mengenai sebuah bengkel kereta yang terletak berhampiran Kilang Ramli Burger terbakar.

Menurutnya, jentera pertama sampai di lokasi kejadian tiga minit kemudian dan ketika itu api sudah marak dan kebakaran berkenaan memusnahkan hampir keseluruhan bengkel.


"Enam kenderaan milik pelanggan yang dihantar untuk dibaik pulih turut terbakar namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.


Menurutnya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/01

Buat untung sewa pistol

Posted: 30 Jun 2013 11:45 AM PDT

Kuala Lumpur: Perkhidmatan menyewakan pistol dalam kalangan sesama penjenayah dipercayai menjadi punca semakin kerap berlaku kes jenayah membabitkan senjata api di negara ini.

Senjata api itu disewakan dengan bayaran tertentu untuk sekali 'tugasan' jenayah seperti samun, rompakan selain untuk membalas dendam termasuk melakukan pembunuhan.


Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin sambil menekankan pihaknya memandang serius perkembangan ini dan sudah mengambil langkah perlu untuk membendungnya. "Berdasarkan beberapa kes lampau dan maklumat risikan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati terdapat kumpulan tertentu menyediakan khidmat sewaan senjata api dengan harga tertentu untuk tujuan jenayah.

"Individu dan kumpulan yang menyediakan perkhidmatan ini bergerak licik dan sering mengubah cara beroperasi bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu.


"Malah, mereka juga ada kepakaran mengawal selia senjata api berkenaan dengan baik, selain bijak mengelak daripada dikesan apabila penjenayah yang menyewa pistol mereka berjaya ditahan polis," katanya ketika ditemui Harian Metro.


Ketika ditanya berapa harga pistol disewakan itu, Mohd Bakri enggan mengulas lanjut, namun Harian Metro difahamkan ia antara RM3,000 dan RM5,000 membabitkan jenis Baretta, Smith & Wesson, Glock dan Colt yang diseludup dari Thailand.

Mohd Bakri berkata, siasatan pihaknya juga mendapati khidmat menyewakan pistol ini kebanyakannya didalangi kumpulan kongsi gelap dan anggota kumpulan mereka secara persendirian.


Menurutnya, perkhidmatan menyewa pistol dalam kalangan penjenayah wujud berikutan adanya permintaan menyebabkan pihak yang ingin mengaut keuntungan secara mudah bijak mengeksploitasi situasi itu. "Selagi terdapat permintaan terhadap sesuatu termasuk seperti senjata api, akan ada pihak yang mengeksploitasinya untuk mengaut keuntungan.

"Semestinya, senjata api yang disewakan itu digunakan untuk tujuan jenayah seperti samun selain membunuh bagi membalas dendam," katanya.


Mohd Bakri berkata, siasatan polis juga mendapati kebanyakan kes jenayah menggunakan senjata api yang kerap berlaku kebelakangan ini membabitkan geng kongsi gelap.


"Geng kongsi gelap ini terbabit pelbagai aktiviti jenayah, antaranya pelacuran, dadah dan perjudian. Dengan memiliki senjata api, imej mereka lebih tinggi dan dipandang hebat berbanding geng lain.


"Selain itu, dengan menggunakan senjata api aktiviti mereka seperti menjaga kawasan daripada diganggu kumpulan lain dan memeras ugut bagi mendapatkan wang perlindungan lebih lancar berbanding penggunaan senjata tajam," katanya.


Ditanya bagaimana senjata api boleh dimiliki penjenayah di negara ini, beliau berkata, lazimnya ia diseludup dari Thailand atau berjaya menembusi kawalan sempadan di Kelantan dan Kedah.


"Faktor sempadan negara yang luas dieksploitasi kumpulan ini bagi menyeludup masuk sebelum dihantar kepada pembeli, namun polis tidak berdiam diri dan sudah menempatkan pegawai dan anggota di lokasi strategik bagi mengekang masalah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/01

8 tin dalam kain

Posted: 30 Jun 2013 11:43 AM PDT

Kuantan: Lima wanita lengkap berbaju kurung dan bertudung nekad menyembunyikan lapan tin susu bayi dalam kain mereka ketika mencuri di sebuah pasar raya mengakibatkan kerugian RM634 di Jalan Sungai Lembing, di sini, jam 8 malam kelmarin.

Gelagat mencurigakan lima wanita terbabit masing-masing berusia 50 tahun yang dibantu tiga lelaki berusia 40 tahun dirakam kamera litar tertutup (CCTV) termasuk dua daripada suspek sempat memukul serta menolak seorang pekerja premis itu, Foon Koon Lan berusia 33 tahun.


Difahamkan, suspek memukul serta menolak mangsa selepas wanita itu dikatakan menjerit sekuat hati meminta bantuan orang awam ketika suspek berjalan keluar dari pasar raya.

Menceritakan semula kejadian itu, Foon berkata, sebelum itu, dia yang berada di kaunter premis berkenaan melihat lima wanita terbabit masuk secara bergilir sambil diekori tiga lelaki terbabit dan menyangka adalah pelanggan.


"Bagaimanapun, selepas itu saya lihat suspek keluar dan masuk semula beberapa minit kemudian menyebabkan saya curiga dengan pergerakan mereka sebelum melihat rakaman CCTV.


"Saya terkejut apabila rakaman pertama menunjukkan suspek wanita yang berbaju kurung bersama seorang lelaki memakai topi berwarna merah bercampur biru melihat ke kiri seperti memerhatikan keadaan sekeliling ketika berdiri di tepi rak.

"Selepas itu, wanita terbabit yang berseorangan berjalan ke rak lain di bahagian susu bayi sebelum saya melihat suspek menyumbat tin susu berkenaan ke dalam kain," katanya.


Menurutnya, dalam rakaman sama, rakan kepada suspek pertama yang memakai baju kemeja bersama seorang wanita bertudung merah jambu bercampur putih menarik susu sebelum menyumbat dalam baju.

Katanya, selepas melihat rakaman berkenaan dia cuba menghalang suspek yang berjalan sambil membawa tin susu sebelum suspek memukul dan menolaknya.


Foon berkata, suspek bertindak demikian kerana terkejut mendengar jeritannya meminta bantuan orang awam sebelum semua suspek bergegas melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan.


"Saya bersama seorang lagi rakan sekerja gagal menahan penjenayah terbabit kerana semua suspek cukup agresif termasuk wanita berkenaan manakala jeritan saya langsung tidak didengar orang awam, " katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Superintendan Abdul Aziz Ahmad ketika dihubungi, di sini, semalam mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu yang dipercayai sindiket 'Geng Susu Kangkang'.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/01

Ada parang dalam kereta terbabas

Posted: 30 Jun 2013 11:42 AM PDT

Miri: Cubaan seorang remaja lelaki melarikan diri dari pemeriksaan polis menyebabkan nyawanya hampir melayang selepas kereta dipandu terbabas lalu merempuh tiang elektrik, dalam kejadian di kawasan perumahan di Senadin, di sini, semalam.

Kejadian berlaku pada jam 1.30 pagi menyebabkan remaja berusia 16 tahun cedera sebelum dikejarkan ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.


Sebelum kejadian, sepasukan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (JSJ), Balai Polis Pusat Miri melakukan rondaan cegah sebelum terserempak remaja terbabit sedang merayau di Centre Points 2, di sini.

Menurut sumber, sebaik anggota terbabit memperkenalkan diri serta memberitahu mahu membuat pemeriksaan, remaja terbabit enggan memberi kerjasama lalu melarikan diri.


Katanya, remaja terbabit kemudian dilihat memasuki Proton Iswara berwarna putih di kawasan berhampiran lalu memecut sehingga hampir merempuh seorang anggota polis.


"Berikutan itu, anggota terbabit meminta Unit Kereta Peronda (MPV) dan mengejar remaja terbabit sejauh 10 kilometer selepas dia enggan memberhentikan keretanya walaupun diberi amaran.

"Bagaimanapun, kereta dipandu remaja terbabit hilang kawalan ketika memasuki simpang menuju ke kawasan perumahan sebelum merempuh tiang elektrik.


"Rempuhan kuat itu menyebabkan kereta dipandu remaja terbabit remuk teruk di bahagian hadapan, manakala dia mengalami kecederaan pada badan dan kepala sebelum dihantar ke Hospital Miri untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Katanya, remaja terbabit kemudiannya ditahan sejurus selepas menerima rawatan, manakala Proton Saga terbabit dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.


Sementara itu, jurucakap polis berkata siasatan awal mendapati remaja terbabit melarikan diri kerana menyedari tiada lesen memandu ketika mahu mengunjungi sebuah pusat hiburan.


Katanya, polis turut merampas sebilah parang, pisau, sebatang kayu golf serta kad pengenalan milik individu lain di dalam kenderaannya sebelum dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/01

No comments:

Post a Comment