Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Si mati 'hayati' hari berkabung

Posted:

Beijing: Seorang mahasiswa mengadakan majlis pengebumian untuk dirinya sendiri kerana tidak mahu 'terlepas' daripada mengalami peristiwa itu.

Untuk membolehkan ia berlangsung, Zeng Jia menggunakan wang simpanannya dan mengupah syarikat yang berkenaan mengadakan majlis itu sama seperti yang dilakukan terhadap orang yang sudah mati.


Selain dihiasi bunga-bungaan, majlis itu juga berlangsung di Wuhan dengan dihadiri sejumlah orang yang meratapi 'kematian' berkenaan serta dirakam jurugambar. Kata Zeng, berdasarkan apa yang dilaluinya majlis itu tidak menyebabkan dia takut atau ngeri.

"Sebaliknya ia memberi kesan positif kepada saya," katanya. Untuk menjayakan majlis itu, Zeng berbaring kaku dalam keranda berhias bunga selama sejam sambil satu anak patung Hello Kitty diletakkan di atas dadanya.


Di atas Zeng, digantung beberapa lipatan kertas berbentuk burung merpati. Zeng mengupah sekumpulan jurusolek yang mahir menghias mayat bagi membolehkan dirinya benar-benar menyerupai orang mati. Seorang lelaki berpakaian seragam tentera berdiri mengawal 'mayat' Zeng ketika rakan dan keluarganya memberi penghormatan terakhir.


Kata Zeng, dia terfikir mengapa orang lain menghabiskan masa dan penat lelah untuk seseorang apabila mereka sudah mati dan tidak lagi dapat menghargainya. "Saya mahu melihat bagaimana orang mengingati saya.

Foto

PELAWAT 'meratapi kematian' Zeng yang berbaring dalam keranda selama sejam.

Foto

ZENG berbaring dalam keranda selama sejam.

"Justeru, saya mengatur majlis pengebumian sendiri dan ternyata ia menyeronokkan," katanya. Selepas majlis itu berakhir, Zeng keluar dari keranda dan memberikan ucapan kepada semua yang hadir. "Mengalami kematian membolehkan saya menghargai hidup dengan lebih bermakna.


"Saya benar-benar gembira selepas keluar dari keranda," katanya. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/04

Tom Cruise mahu bertemu makhluk asing

Posted:

Hollywood: Bintang Hollywood Tom Cruise mahu membuat perjalanan ke angkasa.

Aktor itu berkata, dia akan menimbangkan untuk membelanjakan 130,000 pound (RM 606,366) untuk terbang menembusi orbit dan ingin sekali terserempak dengan makhluk asing.

Bercakap ketika mempromosikan filem sains fiksyen terbarunya, Oblivion, Cruise menambah: "Siapa yang tidak mahu melakukan seperti demikian?"

"Saya akan membiarkan beberapa orang lain mencubanya dulu tetapi ia pasti hebat. Saya sentiasa berharap ketika kanak-kanak dulu yang kita akan membuat perjalanan ke planet berlainan pada masa kini."


Bintang War of the Worlds itu mengikut jejak langkah selebriti lain seperti Ashton Kutcher yang bercadang ingin ke angkasa. Bintang Two and a Half Men itu sudah pun membayar RM606,366 untuk misi dua jam Virgin Galactic yang akan datang.


Cruise yang juga seorang pengikut Saintologi percaya ia bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk memikirkan bahawa makhluk asing wujud. Sesetengah rakan seagamanya percaya bahawa makhluk asing bergelar Xenu membawa manusia ke Bumi 75 juta tahun lalu.

Cruise berkata: "Saya tidak fikir anda boleh benar-benar mempercayainya.

"Ia mungkin agak sombong untuk memikirkan bahawa kita satu-satunya makhluk di seluruh semesta galaksi ini tetapi saya tidak pernah bertemu dengan makhluk asing."

Cruise berkata demikian ketika tayangan perdana Oblivion di Moscow, Russia, di mana dia melakonkan watak seorang daripada beberapa lelaki terakhir di bumi selepas peperangan dengan makhluk asing membinasakan planet ini pada 2073.

Bintang yang berketinggian 5 kaki 7 inci itu sudah berlatih untuk perjalanan itu dia pernah sekali terbang dalam simulator kapal angkasa di pusat angkasa Nasa di Houston, Texas. Itu adalah satu langkah besar buat seorang lelaki yang kecil. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/04

Warga kita, Sri Lanka kebas wang ATM

Posted:

Bangkok: Sekumpulan warga asing terdiri daripada empat rakyat Malaysia dan dua warga Sri Lanka ditahan dan didakwa memalsukan lebih 100 kad mesin teler automatik (ATM) untuk mengeluarkan kira-kira 10 juta baht (RM1.04 juta) di Thailand, kata Divisyen Ekonomi dan Jenayah Siber semalam.

Ketua divisyen terbabit Mejar Jeneral Phisit Pao-in berkata, polis diminta bank Komersial Siam agar menyiasat kecurian maklumat pengguna dan pemalsuan kad elektronik itu untuk mengeluarkan wang tunai di negara berkenaan.


Polis mendapati kad digunakan di kawasan Pratunam itu milik S Saseelam, 43, sebelum menemui 10 lagi kad ATM palsu ketika menyerbu kediaman suspek dan menahannya. Lima lagi rakan subahatnya turut ditahan dalam serbuan itu.

Polis berkata, mereka turut merampas 162 kad ATM palsu dan wang tunai 18,000 baht (RM1,887).


Phisit berkata, suspek mengakui mendapatkan kad ATM kosong di Malaysia sebelum diisi dengan maklumat yang diperoleh melalui alat pembaca daripada kad milik pengguna dari negara seperti Britain, Kanada dan Jerman. Suspek akan pergi secara berasingan untuk mengeluarkan hingga 60,000 baht (RM6,292) setiap kali ke mesin ATM di kawasan Pratunam dan Sukhumvit sebelum menyerahkan wang berkenaan kepada seorang rakyat India. Mereka dibayar 10 peratus daripada wang yang dikeluarkan itu. Polis berkata, dua suspek warga Sri Lanka itu adalah bekas anggota Pembebasan Tamil Eelam. Polis masih menyiasat sama ada ia terbabit dengan dana keganasan atau sebaliknya.


Suspek berkata, mereka sudah mengeluarkan wang sejak lebih sebulan dengan jumlah keseluruhan dianggarkan kira-kira RM1.04 juta. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/04

16 suspek geng tipu ditahan di Filipina

Posted:

Manila: Pihak berkuasa Filipina menahan 16 rakyat Taiwan yang mempunyai kaitan dengan penipuan Internet yang kebanyakannya mensasarkan pesara yang tinggal di China dan Taiwan, kata mereka semalam.

Suspek menyamar sebagai kakitangan bank dan memperdaya mangsa agar mendedahkan nombor akaun dan maklumat terperinci lain mereka, kata Ketua Divisyen Jenayah Komputer di Biro Siasatan Nasional Filipina, Ronald Aguto.


Dia berkata, suspek menghubungi pesara dan memberitahu bahawa akaun mereka perlu dinaik taraf atau ditukar. Ada juga yang menyamar sebagai pendakwa raya dan memperdaya mangsa agar menyelesaikan aduan yang tidak wujud dengan memasukkan wang ke dalam akaun sindiket.

Suspek terdiri daripada 15 lelaki dan seorang wanita ditahan semalam dalam tiga kediaman berasingan di pelabuhan bebas Teluk Subic kira-kira 80 kilometer di barat Manila. - Manila Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/04

Bilangan pelancong kunjungi Batam meningkat

Posted:

Batam: Bilangan pelancong mengunjungi Batam meningkat tahun ini terutama dari Malaysia dan Singapura, menurut data dikeluarkan semalam.

Jarak yang dekat antara Batam dan kedua-dua negara itu dan pelbagai pilihan pengangkutan menjadi sebab terhadap peningkatan itu.


Menurut data dari jabatan pelancongan pentadbiran bandar raya Batam, bilangan pelancong asing mengunjungi Batam pada tahun lalu berjumlah 1.22 juta orang meningkat daripada 1.16 juta pada tahun sebelumnya.

Majoriti pelancong datang dari China, India, Malaysia, Singapura, Korea Selatan dan Filipina. Agensi Statistik Riau melaporkan bahawa bilangan pelancong Singapura mengunjungi Batam pada Februari lalu berjumlah 69,378 orang dan 22,850 pula pelancong Malaysia. "Bilangan tinggi pelancong Malaysia dan Singapura mengunjungi Batam sudah sedia maklum memandangkan Batam bersempadan dengan dua negara terbabit," kata ketua pentadbiran pelanacongan Batam, Yusfa Hendri. Dia berkata, kebanyakan pelancong dari Malaysia dan Singapura mengunjungi Batam pada hujung minggu.- tempo.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/04

Penyokong bola Perancis disangka penyokong pemisah

Posted:

Ambon: Polis di timur Indonesia menahan 17 penyokong tempatan yang menyokong pasukan bola sepak Perancis, menyalah tafsir bendera negara itu sebagai simbol pemisah, kata polis semalam.

Kumpulan lelaki berkenaan yang juga pelombong di Pulau Buru di rangkaian Kepulauan Maluku menaikkan bendera Perancis di jalan raya sebelum perlawanan kelayakan Piala Dunia antara Perancis dan Sepanyol minggu lalu. Bagaimanapun, polis keliru dengan persamaan antara tiga warna bendera Perancis dengan bendera gerakan pemisah Republik Maluku Selatan (RMS). "Bendera RMS kelihatan benar-benar sama dengan bendera Perancis tetapi ia mempunyai lebih belang hijau," kata jurucakap polis Pulau Buru Istanto kepada media. "Lelaki terbabit ditahan semalaman hingga polis mengesahkan kepastian bendera itu memang bendera Perancis," katanya.- Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/04

No comments:

Post a Comment