Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Belajar pengalaman Suarez: Rodgers

Posted:

Liverpool: Brendan Rodgers menggesa Daniel Sturridge menjadikan pemain paling kontroversi dalam dunia bolasepak sebagai pemangkin meningkatkan persembahannya di Liverpool.

Nama Sturridge semakin melonjak selepas dibeli dengan harga £12 juta (RM56 juta) dari Chelsea pada Januari selepas berjaya menjaringkan lima gol dalam lapan perlawanan.


Pengurus Kop, Rodgers mungkin banyak memberikan nasihat tapi beliau sedar contoh terbaik sebenarnya adalah Luis Suarez.

Tiada siapa mampu menandingi kontroversi dicetuskan pemain dari Uruguay itu. Dia baru-baru ini menumbuk pemain pertahanan Chile, Gonzalo Jara pada pertembungan yang menyaksikan pasukannya tewas 0-2.


Namun, Rodgers menekankan kebijaksanaan pemain itu di padang menenggelamkan sikap buruknya, terutama kesungguhannya pada sesi latihan.


"Bagi saya, dialah tonggak pasukan. Jika diimbas sejarah kelab ini, legenda seperti Ian Rush, Kenny Dalglish dan Robbie Fowler turut memiliki senario hampir sama.

Foto

KESUNGGUHAN Suarez boleh dijadikan contoh buat Sturridge.

"Luis pemain dan pemimpin yang hebat. Sebab itulah sebagai pengurus pasukan, saya sukakan dia, Dia mempamerkan kesungguhan dalam semua perlawanan.


"Meskipun dia kepenatan kerana terpaksa mengharungi perjalanan jauh tapi dia tetap terus bekerja keras di padang latihan tapi tiada siapa yang menyanjung usahanya itu." Kesungguhan Suarez kini mula dipraktikkan Sturridge dan Rodgers yakin bintang muda England itu mula memahami etika kerja yang diperlukan untuk menjadi seorang bintang.

"Daniel baru berusia 23 tahun dan perlu memperbaiki aksinya. Dia sentiasa terbuka mendengar nasihat. Ini senario kerja yang baru namun kami sudah berbincang dan menonton video mengenainya.


"Bolasepak bukan sains yang sukar kerana jika ada pemain yang mempamerkan aksi hebat, memang bagus jika kami tayangkan pencapaiannya kepada pemain lain." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/31

Kenang rekod Messi

Posted:

London: Tahun 2012 adalah tahun gemilang buat bintang Barcelona dari Argentina, Lionel Messi.

Pemain bertubuh kecil yang lincah itu menjaringkan 91 gol, memecahkan rekod yang sebelum ini bertahan selama 40 tahun dicipta legenda Bayern Munich dan Jerman, Gerd Muller.


Untuk meraikan tahun ajaib Messi, artis Dave Williams menghasilkan sebuah poster yang menakjubkan, mempamerkan setiap satu daripada 91 gol dijaringkan bintang Barca itu pada tahun lalu.

Williams sebelum ini pernah merakamkan aksi Kejuaraan Eropah tahun lalu apabila menghasilkan poster hebat memaparkan kesemua 16 pasukan yang layak beraksi pada Euro 2012.


Kini tumpuannya terarah kepada tahun luar biasa Messi.


Williams turut menyatakan bagaimana beliau memulakan projeknya itu.

"Selepas menyaksikan video kesemua 91 gol Messi di YouTube, saya sedar ia satu peristiwa yang unik," katanya.


"Saya tidak fikir rekod jaringan sepanjang tahun itu mampu diulangi.

"Saya menyedari kepelbagaian jaringan yang dilakukannya menerusi penalti, sepakan percuma, sentuhan mudah depan pintu gol dan tandukan tetapi dia juga menjaringkan gol peribadi yang hebat sama ada rembatan yang kencang, bola lambung, gol jelek ataupun cantik dan hasil gerakan licik atau dalam erti kata lain apa saja bentuk jaringan yang pernah kita bayangkan.


"Untuk melakukannya secara konsisten pada pertemuan menentang pasukan sehebat Brazil, Real Madrid, Atletico dan Valencia selama 12 bulan amat menakjubkan dan sebab itulah saya ingin raikan pencapaiannya itu dalam bentuk poster yang boleh disimpan orang ramai, mengenang pencapaian luar biasa pemain itu." Williams bagaimanapun hanya menghasilkan cetakan terhad poster itu iaitu 91 salinan, satu untuk setiap jaringan yang dilakukan bintang Argentina itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/31

McIlroy nasib baik

Posted:

Houston: Rory McIlroy tidak memperbaiki peluangnya merampas kembali ranking nombor satu dunia tapi berjaya memastikan peluang beraksi dalam dua pusingan lagi pada Terbuka Houston Jelajah PGA Amerika Syarikat.

Steve Wheatcroft, layak beraksi menerusi kelayakan Isnin lalu, mendahului saingan selepas menyamai catatan sebelumnya, 67 pukulan untuk mengumpul 10 bawah par 134.


Wheatcroft melakukan lima birdie tanpa bogey dan mendahului Jason Kokrak dan pendahulu kelmarin DA Points satu pukulan.

Biarpun kedudukan jauh daripada senarai pendahulu, McIlroy tetap menjadi tumpuan.


Catatan dua bawah par 70 yang dilakukannya selepas melakukan tiga birdie dan satu bogey untuk mengumpul satu bawah par 143, dan melepasi had kelayakan.


"Seperti yang saya katakan, tiada siapa suka disingkirkan," kata McIlroy.

"Saya gembira berjaya meneruskan saingan. Pada masa ini masalah utama saya adalah ketahanan mental bukannya daripada segi peralatan ataupun perkara lain. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/31

Bintang Asia pamer belang

Posted:

Kuala Lumpur: Indonesia layak ke separuh akhir Piala Axiata selepas menewaskan Filipina, 4-0 di Surabaya, semalam.

Di Stadium KLBA, Cheras, Bintang Asia memusnahkan harapan Singapura untuk berada dalam kelompok empat teratas dengan kemenangan 4-0, yang meletakkan mereka di tangga kedua.


Kini Indonesia mengumpul 19 mata daripada enam perlawanan diikuti Bintang Asia, 15 mata selepas enam perlawanan.

Malaysia dan Thailand menyusuli mereka dengan 14 mata manakala pasukan Eropah mengumpul 12 mata tetapi ketiga-tiganya hanya bermain lima perlawanan.


Pasukan tuan rumah bersama, Indonesia nyata terlalu kuat buat Filipina yang hanya mengumpul dua mata setakat ini dalam saingan Piala Axiata.


Paul J Vivas-Peter G Magnaye adalah satu-satunya gandingan yang berjaya merampas satu set daripada Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan sebelum tumpas 21-18, 17-21, 21-11.

Ketiga-tiga pencabar lain mudah dijinakkan pasukan tuan rumah.


Manakala di Kuala Lumpur, Bintang Asia berdepan permulaan mendebarkan apabila perseorangan wanita Tai Tzu Ying dicabar hebat Gu Juan sebelum menang 14-21, 21-11, 21-12.

"Pada set pertama, saya perlukan masa untuk membaca permainan lawan. Saya boleh membaca permainannya di set kedua dan ketiga. Seronok dapat meraih satu lagi mata kemenangan buat Asia," kata juara Terbuka Malaysia itu.


Bagi perseorangan lelaki Lee Hyun Il menganggap dirinya bernasib baik kerana mudah menewaskan wakil Singapura Derek Wong.


"Rentak permainan memihak kepada saya. Selepas Olimpik, saya perlukan rehat dan hanya mula bermain bulan lalu dan kedatangan ke Malaysia sentiasa membuahkan hasil," katanya.


Namun Pengurus Singapura Chua Yong Joo puas hati dengan aksi anak buahnya.


"Secara keseluruhan saya puas hati dengan kesungguhan pasukan. Ada yang boleh buat lebih baik manakala yang lain menepati ramalan.


"Pemain perseorangan lelaki kami, Aston Chen bermain dengan baik dalam empat perlawanan tapi beregu campuran kami (Danny Bawa Chrisnanta-Vanessa Neo) boleh melakukan dengan lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/31

Tak lokek ilmu

Posted:

Kuala Lumpur: Aksinya megah di medan tempur satu ketika dulu. Siapa tidak kenal R Puvaneswaran, jaguh karate negara serta pemenang dua pingat emas Sukan Asia.

Lantaran rasa cinta yang masih mendalam terhadap sukan karate, Puvaneswaran memilih untuk menjadi jurulatih kebangsaan sejurus mengucapkan selamat tinggal pembabitan sebagai atlet.


Namun, beliau sentiasa merendah diri dan tidak malu untuk belajar daripada sesiapa saja walaupun anak kecil.

Statusnya yang kini bergelar jurulatih kebangsaan tidak menghalangnya untuk terus belajar dan ia juga cuba diterapkan kepada anak buahnya.


"Jangan terlalu bangga diri. Manusia tidak semuanya sempurna dan walau sehebat manapun anda, pasti ada kelemahan. Kita jangan malu untuk belajar daripada sesiapa saja. "Selaku jurulatih, saya tidak malu untuk terus belajar walaupun daripada murid saya sendiri. Saya juga mengambil pengajaran daripada kanak-kanak. Menerusi pengajaran seperti ini dan jika kita tidak lupa diri, saya yakin kita akan berjaya," katanya.


Tidak cukup menabur bakti sebagai jurulatih kebangsaan, wira negara berusia 39 tahun itu turut menjadi jurulatih di beberapa sekolah kebangsaan sekitar Lembah Klang.

"Kalau boleh saya ingin mengajar karate di mana-mana saja. Saya ingin bangunkan lagi sukan ini di Malaysia dan ia perlu bermula di peringkat akar umbi," katanya yang menjadi jurulatih di Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Indah, SK Puchong Perdana, SK Taman Desa, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 4 dan SMK Puchong Perdana.


Diminta mengulas masanya bersama keluarga, Puvaneswaran lantas menjawab karate sentiasa nombor satu di hatinya berbanding keluarga.

"Keluarga terutama isteri amat memahami cinta saya pada karate. Karate nombor satu dan kemudian, baru keluarga.


"Keluarga sentiasa memberi sokongan dan perkara ini tidak pernah menimbulkan masalah buat kami.


"Namun tanpa sokongan isteri, tidak mungkin saya berjaya seperti sekarang."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/31

Honda guna jentera Future 125

Posted:

KUALA LUMPUR: Bagi melahirkan lebih ramai pelumba berkualiti tinggi, Boon Siew Honda Sdn Bhd mengumumkan perlumbaan satu pengeluar Honda menggunakan jentera Future 125 dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2013 bakal membuka tirai di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 6 dan 7 April ini.

Menggantikan model terdahulu, Wave 110, perlumbaan satu pengeluar yang sebelum ini dikenali Cabaran Honda Wave Future turut diberi nama baru, Cabaran Honda Future 2013.


Dilancarkan Julai tahun lalu, Honda Future adalah jentera underbone keluaran terbaru Boon Siew Honda Sdn Bhd dalam pasaran motosikal Malaysia. Jentera ini bagaimanapun dinaik taraf ke enjin 135cc berbanding kapasiti asal 125cc bagi tujuan perlumbaan.

Model Future ini juga adalah jentera underbone keempat keluaran Honda yang digunakan dalam siri perlumbaan satu pengeluar ini. Sebelum ini, antara jentera yang digunakan termasuklah Wave-s 125, Icon dan Wave 110 sepanjang dua musim lalu.


Timbalan Pengerusi Boon Siew Honda Sdn Bhd, Datuk Sri Tan Hui Jing (gambar) berkata, pengenalan jentera ini dilihat langkah wajar bagi melancarkan peralihan pelumba muda daripada siri satu pengeluar ke kelas terbuka.


"Rekod lalu membuktikan graduan siri satu pengeluar terpaksa bertungkus-lumus menyesuaikan diri sejurus menyertai kelas terbuka dan ada yang tidak berjaya. Antara sebab utama berlakunya situasi seperti ini ialah kerana pelumba muda hanya didedahkan kepada jentera 'standard' ketika beraksi dalam perlumbaan satu pengeluara," kata Hui Jing.

"Dengan meletakkan Honda Future 135cc sebagai jentera utama, pelumba berpeluang mendapat pendedahan dan berlatih memacu jentera berkuasa tinggi lebih awal dalam karier mereka sekali gus memudahkan proses peralihan ke kelas terbuka yang jauh lebih mencabar." Hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau layari laman rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di www.malaysiancubprix.com untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/31

Christina impi jadi model

Posted:

Kuala Lumpur: Siapa sangka perenang kebangsaan negara, Christina Loh ingin bergelar seorang model andai tidak bergelar atlet.

Soalan (S): Jika bukan atlet anda seorang...


Jawapan (J): Model! Ia impian saya sejak kecil.

S: Mengapa? J: Sebenarnya saya cintakan fesyen atau bidang seni. Lantaran itu berminat untuk bergelar model terkemuka kelak.


S: Mungkin impian itu menjadi realiti kerana anda punyai rupa paras yang cantik serta tinggi.


J: Ikutkan hati, memang saya benar-benar ingin bergelar model tapi struktur tubuh saya sebagai perenang dan agak berotot mungkin tidak mengizinkan. Tapi, ia tidak mustahil bukan? Jika ada peluang mungkin saya teruskan. S: Ada mendapat sokongan keluarga? J: Ada. Ibu bapa menyokong minat saya dalam dunia model dan fesyen. Cuma, saya akan teruskan selepas bersara daripada sukan renang.

S: Kerana gemarkan fesyen anda mungkin ingin menyambung pengajian dalam bidang ini? J: Ya, usia saya baru 18 tahun dan sudah tiba masanya memikirkan soal pengajian. Cuma ibu bapa lebih cenderung menasihati saya mengambil jurusan selain fesyen kerana bagi mereka ia agak kompetitif. Apapun, bidang yang akan saya pilih tetap dalam dunia seni. Saya mungkin memilih pengajian seni halus atau seni hiasan dalaman.


S: Ada koleksi seni hasil buatan tangan' sendiri? J: Saya ada melukis tetapi ia disimpan rapi ibu di rumah. S: Kelebihan lain? J: Saya kini gemar membuat seni rias kuku. Ia seakan-akan hobi buat saya. S: Menarik kerana seni rias kuku agak sukar dan perlukan ketelitian. Ada memberi khidmat untuk keluarga atau rakan-rakan? J: Saya hanya melakukannya untuk diri sendiri terlebih dulu sebelum menawarkan khidmat untuk mereka. S: Selain renang ada meminati sukan lain? J: Tiada. Cuma saya ada cerita di sebalik pembabitan dalam sukan ini. Awalnya, saya aktif dalam sukan renang bersama rakan baik sebelum dia kemudian terpilih ke sukan terjun. Saya kecewa kerana terpaksa menjalani latihan seorang diri hingga meminta jurulatih memilih saya menyertai ke acara terjun.

Malangnya, beliau enggan kerana tubuh saya yang tinggi. Saya amat sedih hingga enggan menceburi sukan renang lagi.


Mujur, ibu memberi 'kata dua' dan semangat kepada saya dengan mengatakan, jika ingin berenang baik lakukan dengan baik serta jangan sekadar lepaskan batuk di tangga saja. Selepas itu baru saya sedar dan berlatih dengan gigih hingga ke tahap ini.


S: Apa sasaran anda tahun ini? J: Saya ingin menyerlah di Kejohanan Dunia Barcelona pertengahan tahun ini. Saya ingin memperbaiki masa peribadi di sana. Saingan pasti mencabar apatah lagi akan menyaingi perenang senior tetapi saya optimis. Selain itu, saya ingin lakukan yang terbaik di Sukan SEA Myanmar.


S: Jika orang tidak mengenali anda, mereka menganggap anda seorang...


J: Pemalu. Saya agak malu berhadapan dengan orang yang tidak dikenali.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/31

Impian jadi kenyataan

Posted:

Kuala Lumpur: Tidak dinafikan 2012 boleh dianggap tahun paling bersejarah dalam dunia permotoran negara. Kejayaan Zulfahmi Khairuddin menaiki podium perlumbaan Moto3 meletakkan sukan ini di landasan pembangunan tepat.

Seorang lagi pelumba produk Cub Prix, Hafizh Syahrin Abdullah terpilih menyertai perlumbaan Moto2 sekali gus membuka membuka mata terhadap kehebatan anak muda negara di litar lumba.


Begitupun, adakah jalan dirintis barisan pelumba sepanjang 20 tahun penganjuran Kejuaraan Cub Prix itu semudah disangka? Imej 'mat rempit' sering dikaitkan dengan pelumba meskipun mereka bertanding selaku pelumba profesional.

Bagi pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing, Md Affendi Rosli, penyertaan dalam Cub Prix banyak membantunya menjadi seorang yang lebih berdisiplin dan cepat matang apatah lagi mengharungi dunia perlumbaan yang mencabar.


"Selepas 20 tahun, saya lihat Cub Prix platform terbaik bagi pelumba yang betul-betul berminat untuk pergi lebih jauh," katanya.


Menurut Affendi, kejayaan seperti Zulfahmi perlukan dedikasi selain faktor usia memainkan peranan penting.

"Generasi kini lebih beruntung kerana tidak perlu mengeluarkan banyak belanja berbanding kami. Menerusi program satu pengeluar, pelumba muda berpotensi diberikan motosikal, latihan dan peralatan perlumbaan oleh pengeluar.


"Secara tidak langsung, permulaan di peringkat awal memberi kelebihan untuk lebih cepat ke peringkat lebih tinggi iaitu MotoGP. Kini orang sudah mula membuka mata terhadap Cub Prix dan memberi sokongan terhadap perlumbaan ini, termasuk ibu bapa dan media." Jelasnya, bukan hanya perlumbaan yang diberi perhatian tetapi juga aspek persediaan sebelum perlumbaan dan keselamatan yang perlu dititikberatkan oleh pelumba.

Seperti pelumba lain, dia juga menantikan dengan penuh debaran bagaimana format baru 'Shoot Out' dan pertambahan pusingan mampu memberi impak ketara musim ini.


"Perubahan format musim ini pasti menguji ketahanan pelumba dan jentera. Secara tidak langsung ia persediaan terbaik untuk membawa pelumba negara ke pentas dunia," katanya.


Bagi pelumba muda Petronas Yamaha CKJ, Ahmad Afif Amran, 18, minat mendalam membawanya menyertai perlumbaan Cub Prix.


"Perlumbaan Cub Prix banyak membantu saya menjadi seorang pelumba yang berkeyakinan tinggi dan paling penting membentuk saya menjadi seorang yang lebih berdisiplin," kata pelumba yang menyertai kategori CP115.


"Jika tahun lalu saya berjaya menduduki lima tempat teratas perlumbaan Underbone Kejuaraan Perlumbaan Asia (ARRC), tahun ini saya mahu tiga tempat terbaik pula."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/31

Musim baru, cabaran lebih sengit

Posted:

Musim ke-20 Kejuaraan Cub Prix Petronas AAM Malaysia Petronas turut membawa lembaran baru buat beberapa pelumba yang sekian lama mengabdikan diri dalam dunia perlumbaan.

Pengorbanan yang mereka lakukan bukannya kecil memandangkan ia penerus karier, sama ada berjaya atau sebaliknya.


Mohd Zamri Baba yang pernah mengungguli saingan CP115 2006 kini bertukar angin apabila bersaing dengan pasukan baru, PETRONAS Yamaha CKJ.

Bekas pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline itu mengaku bukan mudah bersama pasukan baru dan perlu lebih bergantung kepada pengalaman selain bantuan pasukan, biarpun turut yakin memberi cabaran bermakna musim ini.


"Musim 2011-2012 mengecewakan saya, biarpun pasukan bertungkus lumus memberikan yang terbaik untuk pelumba tapi kami tetap buntu," katanya yang mula berlumba secara aktif sejak 2004.


"Saya bertuah meraih kejayaan pada perlumbaan terakhir di Batu Kawan tahun lalu," kata pelumba yang terus berjuang untuk kategori CP130.

Namun dia mengaku peluang meraih kejuaraan bersama pasukan baru masih samar dan perlu memberi perhatian terhadap aspek mekanikal sebelum memulakan aksi musim ini.


"Mereka baru kali pertama menyertai CP130. Pengalaman baru bagi mereka dan tekanan bagi saya untuk mempamerkan persembahan terbaik.

"Banyak yang perlu dilakukan terhadap pelarasan untuk memastikan kemenangan. Kita lihat saja di Batu Kawan." Lain pula ceritanya dengan Md Rafie Md Naser yang kini bergelar pengurus pasukan Modenas RS Moto Racing.


Bekas pelumba Motul YY Pang dan Modenas RS Motobert itu sedar tugas berat yang menantinya berikutan kepulangan pasukan Modenas RS Moto Racing selepas dua tahun menyepi sama ada mampu memberi impak dalam saingan kategori CP115.


Tiga anak buahnya, Md Farid Ahmad, Md Fhamin Abd Mutalib dan Md Hafizuddin Azhar disandarkan harapan memberi cabaran sepanjang musim ini.


"Kami akan berjuang merebut kejuaraan. Berdasarkan ujian pramusim, kami mampu berada di kelompok pertengahan.


"Mereka amat berbakat tapi perlu lebih bersungguh-sungguh. Farid dan Fhahmin mempamerkan peningkatan manakala Hafizuddin sebelum ini bertanding dalam kategori Wira bersama Unisel.


"Pengalaman sebagai pelumba pasti akan saya manfaatkan untuk membantu pasukan musim ini. Apapun kita perlu lihat kemampuan pasukan pada perlumbaan pertama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/31

Cub Prix beri impak

Posted:

Kuala Lumpur: Tempoh 20 tahun bukan satu jangka masa singkat dan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang menginjak usia dua dekad memberi impak ketara terhadap dunia sukan permotoran negara.

Imej negatif yang dilabel kepada pelumba motosikal kini bertukar sebaliknya dan semakin ramai anak muda berjaya membawa Malaysia ke mercu dunia.


Shahrol Yuzy, Zamri Baba, Azlan Shah Kamaruzaman dan terkini Zulfahmi Khairuddin dan Hafizh Syahrin Abdullah adalah graduan Cub Prix yang tidak boleh disangkal lagi. Justeru musim ke-20 hadir dengan cabaran yang tidak kurang hebatnya. Perlumbaan kategori CP115 hadir menerusi format baru, 'Shoot Out' bagi menentukan grid pelumba berbanding saringan digunakan sebelum ini.

Lebih mengujakan, bilangan pusingan perlumbaan juga ditambah apabila kategori CP130 memerlukan pelumba mengharungi 18 pusingan dan bukan lagi 15 pusingan.


Kategori CP115 pula ditambah kepada 15 pusingan berbanding 12 manakala 12 pusingan diperlukan untuk menamatkan saingan Wira, berbanding 10 sebelumnya.


Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM), Ron Hogg berkata, sejak diperkenal pada awal 1990-an, boleh dikatakan hampir keseluruhan kejuaraan melalui perubahan dan berjaya meraih pencapaian membanggakan.

"Apa yang tidak berubah selepas 20 tahun, wawasan kami tetap sama iaitu membawa penunggang kita ke pentas antarabangsa dan kini, saya yakin kami menuju ke haluan yang tepat.


"Apatah lagi selepas menyaksikan kejayaan produk Cub Prix seperti Shahrol Yuzy, Zamri, Azlan Shah, Zulfahmi dan Hafizh Syahrin.

"Berdasarkan pencapaian itu, Cub Prix sudah menepati matlamat penganjurannya dan sistem mencari dan membentuk juara masa depan nyata berjalan lancar." Jelasnya, Malaysia tidak ketandusan bakat pelumba tapi masih banyak perlu dilakukan apatah lagi mereka belum mencapai kematangan sebagai pelumba. Pelumba seawal usia 13 tahun, turut diberi peluang mencuba bakat dalam perlumbaan sebagai langkah pertama bergelar pelumba handalan negara.


"Pada masa ini, pelumba kelas Wira beraksi sekitar awal 2000 adalah pelumba terbaik dimiliki sirkit kejuaraan ini." Mengenai perubahan format perlumbaan, semua ini bagi menjanjikan perlumbaan lebih mendebarkan dan menghiburkan musim ini.


"Saingan memburu takhta kejuaraan pasti semakin sengit dan menjadikannya lebih mencabar dan sukar diramalkan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/31

No comments:

Post a Comment