Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Linangan air mata iringi MALCOY 9

Posted: 30 Jul 2013 12:00 PM PDT

Subang Jaya: Linangan air mata keluarga mengiringi pemergian kumpulan kedua Malaysia Kontinjen 9 (MALCOY 9) yang akan berkhidmat di Lubnan selama setahun.

Malah rata-rata ahli keluarga pegawai dan anggota membabitkan seramai 152 orang tidak dapat menahan sebak kerana terpaksa berpisah dengan suami dan anak tambahan Aidilfitri bakal menjelang tidak lama lagi.


Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, MALCOY 9 menjalani latihan kursus selama tiga bulan merangkumi sebulan latihan perkhidmatan tunggal dan dua bulan latihan integrasi.

Menurutnya, latihan itu dikawal selia Markas Angkatan Bersama bertempat di Kompleks Markas 4 Brigade dan Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD) di Kuantan, Pahang.


"Malcoy 9 keseluruhannya berjumlah 310 pegawai dan anggota membabitkan dua penghantaran. Penghantaran pertama sudah disempurnakan pada 23 Julai lalu membabitkan 158 orang dan hari ini (semalam) seramai 152 orang.


"Diharapkan dengan latihan kursus itu mempersiapkan anggota MALCOY 9 daripada aspek mental dan fizikal," katanya.

Foto

RAJA Mohamed Affandi (tengah) bersama anggota MALCOY 9.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/31

JAKIM pun bantah

Posted: 30 Jul 2013 11:57 AM PDT

Kuala Lumpur: Cadangan pembinaan pembangunan komersial bersebelahan Masjid Wilayah Persekutuan turut mendapat bantahan daripada Jabatan kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jawatankuasa Pentadbiran Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPMWPKL).

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha menerusi kenyataan medianya, menegaskan pembangunan yang dicadangkan itu didapati tidak prihatin terhadap sensitiviti kawasan persekitaran sebuah pusat ibadat bertaraf masjid negeri.


"Sebenarnya pada 2006, JAKIM pernah membuat bantahan terhadap cadangan pembangunan di tapak sama yang dikemukakan pemaju menerusi DBKL pada 11 Oktober 2006.

"Justeru, kami masih lagi berpegang teguh pada pendirian yang sama seperti tujuh tahun lalu kerana memikirkan konflik sosial yang boleh berlaku pada masa depan.


"Malah seperti juga penduduk, JPMWPKL turut percaya pembangunan komersial itu akan mengundang konflik sosial serta berkemungkinan terdapat bantahan daripada penghuni mengenai aktiviti keagamaan di masjid seperti seruan azan, khutbah dan syarahan agama," katanya yang juga merangkap Pengerusi JPMWPKL.


Kata Othman lagi, pembangunan komersial itu akan menyebabkan pertumbuhan premis seperti restoran, pusat hiburan, kelab malam dan karaoke yang berunsurkan maksiat seperti yang berlaku di Bangsar dan tempat lain.

"Kami juga ingin menarik perhatian DBKL mengenai impak cadangan pembangunan terbabit terhadap alam persekitarannya.


"Ia berkaitan keperluan minimum 10 peratus kawasan hijau bagi memastikan kawasan yang hendak dibangunkan mempunyai cukup ruang udara serta boleh dijadikan sebagai tempat riadah," katanya.

Berdasarkan tinjauan hanya lot terbabit masih menjadi kawasan hijau di situ, manakala di sekitarnya padat dengan pembangunan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/31

Peluang dapat topi keledar percuma

Posted: 30 Jul 2013 11:57 AM PDT

Shah Alam: Sempena cuti musim perayaan, orang ramai khususnya penunggang motosikal berpeluang memiliki topi keledar sempena Kempen Selamat Balik Kampung anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya Selangor (JKJR), Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) Berhad dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Program kali ke-3 itu diadakan bertujuan mendidik masyarakat agar sentiasa berhati-hati dan mementingkan aspek keselamatan semasa menunggang motosikal di jalan raya.


Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, program itu akan diadakan di perhentian bas Jalan Persiaran Kayangan Jumaat ini bermula jam 3.30 petang.

"Kempen ini akan menggunakan konsep pertukaran topi keledar lama yang tidak lagi menepati spesifikasi keselamatan dengan topi keledar baru yang lebih berkualiti," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBSA di Dewan MBSA, di sini semalam.


Mohd Jaafar berkata, antara golongan sasaran kempen siswa institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), pekerja industri dan juga orang perseorangan.


"Topi keledar itu sumbangan SIRIM dan JKJR," katanya.

JKJR juga mengedarkan pelekat keselamatan sebagai kesedaran kepada orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/31

Orang bodoh tak faham nilai agama

Posted: 30 Jul 2013 11:55 AM PDT

Putrajaya: "Ini gejala buruk yang melanda masyarakat kita di Malaysia...kita harap ia (usaha menggugat kesucian agama) tidak sampai ke tahap mencetuskan situasi genting seperti yang berlaku di beberapa negara Islam lain di dunia," kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada rakaman video terbaru yang tersebar di laman sosial dengan memaparkan seorang individu yang membawa tiga anjing bersiar-siar berhampiran perkarangan masjid dengan suara latar takbir raya.


Muhyiddin berkata, walaupun negara aman, perkembangan mutakhir itu menunjukkan tiada persefahaman dan pengertian mendalam tentang keharmonian agama dan kaum di negara ini.

Menurutnya, perkara itu dilihat mengganggu dan menggugat ketenteraman jiwa masyarakat Islam di negara ini.


"Adakah ini manifestasi dilakukan sesetengah pihak selepas melihat kita lemah, sekali gus mudah diperkotak-katikkan atau mungkin kita tidak tegas dan berani bertindak sehingga membiarkan pihak tertentu mencemarkan kesucian agama kita," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim Rumah amal Bestari (RAKB) dianjurkan Eden Inc Bhd di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, semalam.


Katanya, mereka yang cuba mencetuskan kontoversi agama ini adalah orang yang bodoh dan tidak faham dengan nilai agama serta kehormatan terhadap agama lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/31

Terkejut dengar bunyi dentuman kuat

Posted: 30 Jul 2013 11:53 AM PDT

Alor Setar: "Saya terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat kira-kira 100 meter di depan rumah lalu berlari untuk melihat apa berlaku. Saya mendapati berlaku kemalangan antara sebuah lori tangki dengan kereta.

"Ketika itu, saya nampak dua mangsa dalam kereta itu tidak sedarkan diri, malah seorang daripadanya dipercayai sudah tidak bernyawa apabila banyak darah di kepalanya," kata seorang saksi kemalangan yang mahu dikenali sebagai Ali.


Ali, 50-an, berkata, ketika kejadian, dia sedang memesin rumput di halaman rumahnya di Batu 6, Jalan Alor Setar-Sungai Petani, dekat sini, sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat kemalangan kira-kira jam 4.30 petang.

Katanya, dia ternampak seorang wanita yang berada dalam kereta berkenaan masih bergerak sebelum pengsan, manakala pemandu lelaki sudah meninggal dunia akibat badannya tersepit pada stereng kenderaan itu.


"Saya cuba untuk membantu wanita itu kerana yakin dia masih hidup, tetapi tidak berani kerana bimbang keadaannya bertambah buruk menyebabkan saya menghubungi ambulans dan polis untuk memaklumkan kejadian itu.


"Pada waktu sama, saya cuba mengintai dalam kereta itu kerana bimbang mungkin ada penumpang lain dalam kenderaan berkenaan, tetapi mendapati hanya dua mangsa berada di dalamnya," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Ali berkata, laluan berkenaan yang juga jalan lama ke Sungai Petani kerap berlaku kemalangan maut, malah boleh dikatakan hampir setiap tahun banyak nyawa yang terkorban akibat kemalangan di kawasan itu.


Katanya, sikap pengguna jalan raya yang memandu laju atau memotong kenderaan lain di kawasan itu sesuka hati menyebabkan kerap berlaku kemalangan walaupun jalan raya di situ lurus dan tidak mempunyai selekoh berbahaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, pihaknya meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu supaya menghubungi talian 04-7321222 sambungan Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/31

No comments:

Post a Comment