Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


47 tahun simpan tulang

Posted: 01 Jul 2013 09:33 AM PDT

Houston: Seorang doktor Amerika Syarikat yang menyimpan tulang tangan pesakit yang dipotong untuk dijadikan kenang-kenangan perang, mengembalikannya kepada lelaki terbabit 47 tahun kemudian.

Dr Sam Axelrad membawa pulang tulang tangan lelaki Vietnam itu pada 1966 selepas rakannya merebus anggota badan itu untuk menanggalkan semua daging dan otot yang ada padanya.


Tulang itu kemudian disusun semula seperti sepatutnya sebelum diserahkan kepada Axelrad sebagai cenderahati. Semalam melaporkan, Axelrad mengunjungi Vietnam sekali lagi untuk bertemu dengan lelaki pemilik tangan berkenaan, Nguyen Quang Hung, 73, yang pernah berkhidmat sebagai tentera Vietnam Utara.

Axelrad berkata, pada 2011 dia menemui tulang berkenaan dalam beg tentera di rumahnya yang dibiarkan selama beberapa dekad. Katanya, dia membawa pulang tulang tangan sebagai kenang-kenangan.


"Tetapi saya tidak melihatnya bertahun-tahun kerana ia boleh mengingatkan saya kepada pengalaman zaman perang," katanya. Selepas terjumpa tulang berkenaan, kata Axelrad dia berusaha mengesan lelaki terbabit dan cuba memulangkannya.


Sementara itu, Quang Hung berkata, dia pelik kerana ada doktor yang mahu menyimpan tulang manusia sebagai cenderahati.

Foto

AXELRAD (kiri) menunjukkan tulang tangan kanan Quang Hung.

Bagaimanapun, dia gembira kerana mendapat semula bahagian anggota badannya yang dipotong.


"Tangan saya terpaksa dipotong kerana dijangkiti kuman selepas terkena tembakan tentera AS," katanya. Axelrad bertemu Quang Hung di bandar An Khe, dekat Qui Nhon semalam. Quang Hung ditembak pada Oktober 1966 dalam serang hendap kira-kira 74 kilometer dari An Khe di tengah Vietnam.

Selepas terapung-apung mengikut aliran sungai, dia berlindung di kawasan gudang padi selama tiga hari sebelum dibawa helikopter tentera AS untuk mendapatkan rawatan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Akrobat maut terjatuh dalam persembahan

Posted: 01 Jul 2013 09:24 AM PDT

Carson City (Nevada): Seorang akrobat berpengalaman dan ibu kepada dua anak terbunuh selepas terjatuh dari ketinggian 15 meter ketika mengadakan persembahan di Las Vegas semalam.

Sarah Guyard-Guillot, 31, terhempas ke kawasan lapang di tepi pentas selepas wayar keselamatannya dipercayai terlucut. Wanita berasal dari Perancis itu sedang dinaikkan sebagai persediaan melakukan babak terakhir di MGM Grand apabila kemalangan berlaku. Saksi, Dan Mosqueda berkata, dia terdengar jeritan dan bunyi mengerang sebelum seorang lagi anggota kumpulan berkenaan menangis di atas pentas. Mosqueda berkata, pada awalnya penonton menyangka aksi itu memang disengajakan sebagai sebahagian daripada persembahan akrobatik. "Namun, kami mendengar jeritan, kemudian suara mengerang kesakitan dan ada orang menangis di atas pentas," katanya. Pertunjukan dihentikan serta-merta sejurus kemudian. Penganjur juga menawarkan untuk memulangkan harga tiket yang dibeli penonton sebelum meminta orang ramai beredar. Sarah dikejarkan ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

RM500,000 untuk baiki 2 tandas

Posted: 01 Jul 2013 09:23 AM PDT

London: Kerajaan Britain akan membelanjakan sebanyak £100,000 (RM500,00) untuk membaik pulih dua tandas yang digunakan oleh anggota Parlimen dan tetamu.

Kontrak yang diiklankan oleh pihak berkuasa Parlimen berkata, tandas itu yang dibina pada 1937, tidak menjalani sebarang baik pulih sejak 20 tahun lalu dan 'hayat penggunaannya sudah berakhir'.


"Tandas itu kini berada dalam keadaan yang tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi dengan kedudukannya di kawasan berprofil tinggi. "Tandas terbabit memberi imej buruk kepada Istana Westminster. "Kerja pemulihan diperlukan segera untuk meningkatkan kedudukannya kepada standard sebuah kawasan Warisan Dunia," menurut dokumen berkenaan.

Mathhew Sinclair dari Persekutuan Pembayar Cukai menyifatkan kos itu sebagai 'melampau'.


"Kos membaiki satu tandas itu sama dengan kos membuat sebuah rumah," katanya ketika ditemui, semalam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Ikrar Aquino

Posted: 01 Jul 2013 09:22 AM PDT

Manila: Presiden Benigno Aquino semalam berikrar untuk mendapatkan jet pejuang, radar pertahan udara dan kelengkapan lain dalam masa tiga tahun bagi mengukuhkan pasukan tentera udara Filipina.

"Saya berjanji, sebelum tempoh perkhidmatan saya berakhir, ruang angkasa kita akan dikawal dengan aset udara moden," kata Aquino ketika melawat pangkalan udara Clark di utara Manila.


Beliau tidak memberi butir lanjut mengenai pesawat dan kelengkapan itu. Bagaimanapun, pemerhati percaya ia membabitkan jet pejuang canggih, pesawat ronda jarak jauh, pesawat sokongan, pesawat pengangkut, helikopter penyerang dan pelbagai guna dan radar pertahanan udara.

Aquino yang penggal khidmatnya berakhir pertengahan 2016 merancang memodenkan angkatan tentera Filipina pada penggal tiga tahun pertamanya ketika ketegangan dengan China semakin meningkat berhubung tuntutan bertindih terhadap beberapa pulau dan perairan di Laut China Selatan.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

FPI ancam serang pusat hiburan degil

Posted: 01 Jul 2013 09:21 AM PDT

Jakarta: Front Pembebasan Islam (FPI) berjanji tidak akan menyerang tempat hiburan malam jika mereka mematuhi arahan tidak membuka premis itu sepanjang Ramadan.

"Ikut saja arahan. Jangan buka perniagaan. Kami tidak akan menyerang. Tetapi jika ada yang degil, kami akan bertindak," kata Ketua Dewan Pimpinan Daerah FPI Jakarta Habib Salim Assegaf. Mengulas ancaman polis untuk bertindak ke atas kumpulan yang menyerang premis hiburan pada bulan puasa, Habib berkata, pasukan keselamatan sepatutnya memberi tumpuan kepada premis yang melanggar peraturan daripada mengancamnya. Pihak berkuasa bandar raya Jakarta sebelum ini menetapkan tempat hiburan seperti bar, diskotik dan sauna ditutup sepanjang Ramadan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Nafi guna penapis rokok darah babi

Posted: 01 Jul 2013 09:20 AM PDT

Jakarta: Gabungan Syarikat Pembuat Rokok Indonesia menyifatkan dakwaan kononnya penapis rokok yang digunakan di negara itu mengandungi darah babi sebagai pembohongan yang sengaja diada-adakan.

Menurut persatuan itu, kajian Lembaga Penelitian Ubat dan Makanan Majlis Ulama Indonesia sudah menegaskan penapis rokok yang digunakan tidak mengandungi darah binatang itu.


Isu mengenai penggunaan penapis rokok darah babi itu dibangkitkan oleh Ketua Suruhanjaya Nasional Mengenai Tembakau, Dr Hakim Sorimuda Pohan pada satu kempen antimerokok di Banjarmasing, minggu lalu.

Setiausaha Agung Persatuan, Hasan Aoni Aziz berkata, isu darah babi pada penapis rokok pernah tersebar di Indonesia dan Australia. Ia mendorong MUI untuk melakukan siasatan dan hasilnya, tidak ada penapis rokok berdarah babi digunakan di Indonesia, termasuk yang diimport. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Kata dua untuk Mursi

Posted: 01 Jul 2013 09:19 AM PDT

Kaherah: Pembangkang Mesir memberi tempoh sehari untuk Mohamed Mursi meletak jawatan sebagai presiden negara itu atau berdepan kebangkitan rakyat.

Pergerakan Tamarod (Pemberontak) berkata, presiden daripada kumpulan Islam itu diberi tempoh sehingga jam 5 petang (11 malam waktu Malaysia) hari ini untuk melepaskan semua kuasanya dan membenarkan institusi negara membuat persediaan bagi pilihan raya awal. "Jika tidak, jam 5 petang akan menjadi permulaan kepada kempen kebangkitan rakyat menyeluruh," kata kenyataan dikeluarkan pertubuhan itu semalam. Tamarod mendakwa mengumpul lebih 22 tandatangan rakyat Mesir yang tidak lagi percaya kepada Mohamed Mursi. Pergerakan itu juga menjadi dalang protes besar-besaran semalam yang menyaksikan berjuta orang turun ke jalan raya menuntut Mohamed Mursi meletak jawatan pada ulang tahun pertama pelantikannya sebagai presiden. Sementara itu, Mohamed Mursi tegas mendakwa, dialog satu-satunya cara untuk mengatasi krisis politik Mesir.


Pada masa sama, tekanan untuk tentera campur tangan pula semakin meningkat. Menurut Tamarod, institusi negara diseru untuk menyertai penunjuk perasaan menghadapi Mohamed Mursi. "Tentera, polis dan institusi perundangan perlu menyatakan pendirian dengan jelas untuk bersama dengan penunjuk perasaan kerana ia akan menggambarkan kehendak orang ramai," katanya. Seorang pemimpin pembangkang, Hamdeen Sabbahi menyeru supaya tentera bertindak segera kerana pasukan itu "sentiasa bersama dengan rakyat" yang "menyatakan keinginan" mereka."- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Pertempuran tutup tirai Piala Konfederasi

Posted: 01 Jul 2013 09:19 AM PDT

Rio de Janeiro: Pernunjuk perasaan melontar bom minyak ketika bertempur dengan polis ketika kejohanan Piala Konfederasi menutup tirai dengan pasukan tuan rumah menumpaskan juara dunia Sepanyol pada perlawanan akhir.

Pesta bola sepak di Stadium Maracana menyaksikan Brazil mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Sepanyol bagi meraih kejuaraan itu kali ketiga berturut-turut tetapi tunjuk perasaan yang berlaku sepanjang kejohanan itu berterusan sehingga hari terakhirnya.


Lebih sejuta rakyat Brazil menguasai jalan raya sepanjang acara berkenaan, meluahkan kemarahan mereka terhadap perbelanjaan berjumlah AS$15 bilion (RM45 bilion) untuk menganjurkan Piala Konfederasi dan Piala Dunia tahun depan sedangkan perkhidmatan awam di negara itu tidak diendahkan.

Presiden Dilma Rousseff yang diejek ketika muncul bersama-sama Presiden FIFA Sepp Blatter pada acara perasmian di Brasilia dua minggu lalu, enggan hadir pada perlawanan akhir di Maricana.


Sebelum sepak mula, sekumpulan penunjuk perasaan, sebahagiannya bersenjatakan pemutar skru dan lastik, melakukan pembakaran di jalan raya dan melontar batu ke arah polis di luar stadium. Polis bertindak balas dengan menembak gas pemedih mata dan peluru getah.


Kejadian itu bertambah buruk apabila penunjuk perasaan melontar bom minyak.

Lebih 11,000 polis dan tentera dikerah bagi memastikan keselamatan 78,000 penonton di Maracana ketika tunjuk perasaan berterusan. "Kami menentang penswastaan stadium dan pemindahan secara paksa kerana Piala Dunia 2014 dan Olimpik 2016," kata jurucakap kumpulan penganjur tunjuk perasaan, Renato Cosentino.


Ratusan penunjuk perasaan juga berkumpul di daerah Tijuca, kira-kira sekilometer dari Maracana, menari sambil melaungkan slogan 'FiFA, bayar tambang bas saya' dan 'Maracana milik kami.' "Saya berada di sini kerana semangat patriotik. Saya menuntut lebih banyak pelajaran, kesihatan, pengangkutan dan kurangkan bola sepak," kata Nelson Couto sambil memakai jersi Brazil.

Ramai penunjuk perasaan kesal dengan tindakan kerajaan memperuntukkan berbilion dolar untuk membina stadium baru tetapi tidak mempedulikan isu pengangkutan, pelajaran dan kesihatan.


Bantahan terbesar dihadiri oleh 300,000 orang pada 20 Jun lalu di Rio. Meskipun berlaku kekacauan yang bermula di Sao Paulo pada awal Jun berhubung kenaikan kos pengangkutan awam, kaji selidik menunjukkan dua per tiga rakyat Brazil menyokong negara mereka menjadi tuan rumah Piala Dunia, pertama kali sejak 1950. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Ibu pejabat Ikhwanul Muslimin diserang

Posted: 01 Jul 2013 09:18 AM PDT

Kaherah: Ibu pejabat parti pemerintah Mesir, Ikhwanul Muslimin, diserbu kumpulan belia yang kemudian menyelongkar bangunan itu selepas penghuninya mengosongkan premis itu semalam.

Insiden itu berlaku ekoran keganasan semalaman yang turut mengorbankan lapan orang. Dianggap keganasan terburuk sejak orang ramai berkumpul untuk menyertai protes yang kebanyakannya aman bagi mengecam Ikhwanul Muslimin dan Presiden Mohamed Mursi, ia bermula selepas gelap dan berlanjutan selama beberapa jam.


Pengawal bangunan dilaporkan melepaskan tembakan ke arah belia yang melontar bom api serta batu. Jurucakap pertubuhan Islam itu berkata, keganasan berpunca daripada "samseng" dan akan menuntut penjelasan daripada polis kerana gagal memberikan perlindungan kepada mereka. Jurucakap itu berkata, dua kakitangan di dalam pejabat itu cedera kerana kebakaran sebelum pengawal pertubuhan itu berjaya membawa semua orang yang ada di dalamnya keluar.

Keganasan berkenaan dijangka membakar emosi anggota Ikhwanul Muslimin yang sebelum ini lama menjadi mangsa kezaliman rejim Hosni Mubarak.


Ikhwanul Muslimin menganggap mereka kini berdepan dengan serangan politik daripada kumpulan liberal dan pengikut Hosni sejak pemimpin mereka dilantik menjadi presiden tahun lalu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Pelampau mengganas lagi

Posted: 01 Jul 2013 09:16 AM PDT

Yangon: Perusuh membakar dua rumah di bandar pesisir pantai Thandwe di negeri Rakhine kata jurucakap kerajaan semalam, dalam keganasan terbaru penganut Buddha ke atas minoriti Muslim Myanmar.

Kata jurucakap itu, kira-kira 50 orang berkumpul di luar sebuah balai polis kelmarin selepas mendapat tahu seorang wanita dirogol oleh "seorang lelaki dari agama lain."

"Perusuh kemudian membakar dua buah rumah kira-kira jam 7 malam (8.30 malam waktu Malaysia) selepas polis mengarahkan mereka bersurai," katanya.

Sekurang-kurangnya 237 orang terbunuh di Myanmar sejak keganasan antara agama berlaku sejak tahun lalu, manakala kira-kira 150,000 lagi kehilangan tempat tinggal. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

No comments:

Post a Comment