Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tugas besar Neymar

Posted: 01 Jul 2013 11:01 AM PDT

Rio de Janeiro: Bintang Brazil Neymar (gambar) memikul tugas besar apabila dilabel sebagai 'pengganti Pele' sejak membuat penampilan pertama untuk negaranya pada 2010 di East Rutherford, New Jersey.

Pemain yang dilahirkan dengan nama Neymar da Silva Santos Junior itu berjaya menjaringkan gol buat negaranya yang amat mengharapkan wira bola sepak sekali gus harapan diletakkan kepadanya semakin memuncak.


"Kami bermain lebih baik daripada apa yang dijangkakan," kata Neymar selepas membantu Brazil menumpaskan juara dunia Sepanyol pada final Piala Konfederasi semalam.

"Saya amat gembira. Kami berjaya menggembirakan ramai orang tapi kami tidak boleh leka dengan kejayaan ini," katanya.


Pele sudah membuat satu penanda aras yang tinggi untuk dicapai Neymar apabila memenangi Piala Dunia pada usia 17 tahun namun pada usia itu Neymar baru saja menyertai bekas kelab Pele, Santos.


Dia juga gagal mengubah nasib malang pada Sukan Olimpik tahun lalu di London.

Foto

BINTANG Brazil meraikan kemenangan mereka.

Bagaimanapun semalam, pemain muda kelahiran Mogo Das Cruzes di Sao Paolo itu membuktikan dirinya boleh diharapkan untuk memenangi kejuaraan antarabangsa selepas mempamerkan aksi menakjubkan menentang Sepanyol apabila menyumbang gol selain turut mencipta gerakan gol buat Fred.


Cara pemain berusia 21 tahun itu memporak-perandakan pertahanan Sepanyol membuktikan dia memiliki keyakinan tinggi untuk mengikut jejak langkah Pele.

Sebelum kejohanan bermula, dia menyatakan skuad yang dibentuk itu tidak cukup bagus untuk muncul juara namun dengan dibarisi ramai pemain berbakat, Selecao kini dianggap pasukan terbaik apabila menjadi tuan rumah Piala Dunia tahun depan.


Neymar juga akan beraksi di La Liga bersama Barcelona dan dia akan bergandingan dengan Lionel Messi dan jika gandingan itu berjaya, sudah pasti akan mencetuskan kegerunan mana-mana pasukan di Sepanyol dan seluruh Eropah.


"Saya akan menyertai salah sebuah kelab terbesar dunia. Saya harap boleh menyesuaikan diri dengan cepat supaya boleh beraksi baik pada Piala Dunia tahun depan," kata Neymar. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Saingan makin sengit

Posted: 01 Jul 2013 10:58 AM PDT

Kuala Lumpur: Selepas lima pusingan berakhir dan memasuki musim rehat bersempena Ramadan tidak lama lagi, buruan mahkota juara Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2013 kini semakin sengit.

Memasuki pertengahan musim, saingan kelas perdana CP130 menyaksikan lima pelumba berbeza sudah bergelar juara dan sukar meramalkan siapa yang bakal dinobat juara keseluruhan pada hujung musim.


Usaha Azlan Shah Kamaruzaman mempertahankan gelaran juara keseluruhan 2012 bermula dengan baik apabila memenangi perlumbaan pusingan pertama di Batu Kawan, namun tewas kepada pelumba berpengalaman, Ahmad Fuad Baharudin pada pusingan kedua di Melaka.

Rakan sepasukan Azlan, Mohd Affendi Rosli pula memenangi perlumbaan pusingan ketiga di Kuala Terengganu diikuti Mohd Zamri Baba pada pusingan keempat di Muar, Johor.


Pelumba muda, Mohd Zaqhwan Zaidi pula memenangi pusingan kelima yang berakhir di Teluk Intan, Perak, semalam.


Di sebalik gelaran juara yang sering bertukar ganti, kematangan dan aksi konsisten menjadi faktor utama dalam saingan merebut gelaran juara keseluruhan musim ini.

Berbekal pencapaian konsisten menaiki podium pada empat daripada lima pusingan perlumbaan, pelumba berusia 17 tahun, Mohd Ramdan Mohd Rosli kini mendahului carta keseluruhan dengan 75 mata, dua mata mengatasi Mohd Zaqhwan dan Ahmad Fuad Baharudin yang berada di tangga kedua dan ketiga dengan 73 mata, namun dibezakan melalui jumlah kemenangan.


"Setakat ini kempen saya berjalan lancar dan terima kasih kepada pasukan yang banyak memberi sokongan. Walaupun mendahului, saya tidak boleh memandang ringan lima perlumbaan akan datang. "Ini kerana enam pelumba teratas hanya dipisahkan 13 mata dan jika gagal menamatkan mana-mana saingan selepas ini, kedudukan saya pasti jatuh. "Amat penting sekali untuk kekal fokus," kata Ramdan yang juga juara CP115 pada 2011.

Pungutan mata tidak begitu konsisten dilihat menjadi penghalang utama buat pelumba senior dalam kelas ini. Selain Ahmad Fuad, Azlan Shah terpaksa mengejar mata selepas tidak dapat beraksi pada Pusingan 4 akibat masalah kecederaan dan kini menghuni tangga keempat dengan 67 mata. Walaupun masih bergelut dengan kecederaan saraf tangan, rakan sepasukan Azlan, Mohd Affendi masih berupaya berada di kedudukan kelima keseluruhan dengan 63 mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Faizal sedia sahut cabaran

Posted: 01 Jul 2013 10:57 AM PDT

Johor Bahru: Selepas menyumbang dua gol untuk skuad negara ketika membenam Afrika Selatan 6-4 kelmarin, penyerang negara Faizal Saari tidak sabar menunjukkan kepada England, bukan satu masalah untuknya serta rakan sepasukan menumbangkan pasukan ranking keempat dunia itu apabila kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia, hari ini.

Ketika tumpuan lebih terarah kepada pasukan gergasi seperti Jerman dan England, skuad negara layak dipuji pujian apabila mempamerkan aksi meyakinkan selepas dua perlawanan dengan paling manis mencatat kemenangan ke atas Afrika Selatan, lawan yang tiga kali menewaskan skuad negara pada siri perlawanan persahabatan awal bulan lalu.


Meskipun menghormati status lawan, Faizal serta rakan sepasukan bertekad tidak memberi laluan mudah kepada England mencatat kemenangan.

"Dua gol yang saya jaringkan ketika bertemu Afrika Selatan permulaan bagus untuk saya serta rakan sepasukan.


"Kita akan bertemu England pada perlawanan seterusnya dan saya harap rakan sepasukan terus kekalkan fokus.


"England antara empat pasukan terbaik dunia dan kami perlu hormati mereka tapi bukanlah satu masalah untuk kami cuba mencatatkan kemenangan. Kami perlu sahut cabaran ini," katanya.

Foto

FAIZAL (kanan) meraikan jaringan pada perlawanan menentang Afrika Selatan di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Bahru, kelmarin.

Sedar sokongan penyokong amat diperlukan pada perlawanan terakhir hari ini untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam Kumpulan B, Faizal menggesa semua penyokong hoki negara hadir ke Stadium Hoki Taman Daya untuk memberikan suntikan semangat kepadanya dan rakan sepasukan.


"Kami mahu menunjukkan kepada diri sendiri dan rakyat Malaysia kami mampu memberikan persembahan terbaik sekali lagi. Untuk itu saya harap semua rakyat Malaysia dapat hadir ke stadium dan memberi semangat kepada kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Crutchley puji aksi skuad negara

Posted: 01 Jul 2013 10:54 AM PDT

Johor Bahru: Sama ada sekadar helah atau sebaliknya, ketua jurulatih England Bobby Crutchley pantas menyatakan anak buahnya bakal melalui perlawanan sukar apabila bertemu skuad negara hari ini.

Selepas seri dua perlawanan awal, England pasti mengharapkan kemenangan ke atas skuad negara pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B bagi membolehkan mereka bertemu lawan lebih mudah pada suku akhir.


"Corak permainan Malaysia lebih baik ketika ini. Mereka menunjukkan peningkatan drastik.

"Saya fikir bukan mudah apabila bertemu Malaysia pada perlawanan ketiga tapi kami juga perlu mempamerkan aksi lebih baik," katanya.


Crutchley berkata, kelebihan beraksi di tempat sendiri juga memberikan suntikan semangat kepada Malaysia.


"Saya lihat semangat pasukan Malaysia sangat luar biasa, begitu juga dengan penonton yang hadir ke stadium. Seperti yang saya katakan tadi, kami tidak memandang mudah perlawanan ini." Crutchley mengaku kemenangan amat dituntut daripada anak buahnya kerana ia pasti memberi suntikan semangat kepada mereka selepas sekadar seri ketika bertemu Afrika Selatan dan England.

"Saya rasa semua pasukan juga mahu mengelak daripada bertemu lawan sukar seperti Jerman dan Argentina pada suku akhir. Sebab itu kami perlu meraih kedudukan terbaik peringkat kumpulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

'Gol banyak buat England kerja keras'

Posted: 01 Jul 2013 10:53 AM PDT

Johor Bahru: Paul Revington sedar England pasti melakukan analisis corak permainan skuad negara sebelum kedua-dua pasukan bertemu hari ini selepas anak buahnya meledak 10 gol dalam dua perlawanan.

Pengendali dari Afrika Selatan itu berpendapat, kemampuan menghasilkan gol yang banyak itu pasti menyebabkan England bekerja lebih keras mengkaji kekuatan anak buahnya sekali gus memberikan tentangan sengit.


"Sebelum kita bercakap mengenai kekuatan England, saya rasa mereka akan melihat kemampuan kita kerana berjaya menjaringkan empat gol ketika menentang Pakistan dan enam gol ketika bertemu Afrika Selatan.

"Saya gembira dengan jumlah jaringan besar yang dapat kita lakukan dan itulah juga akan dirisaukan England dan menyebabkan mereka melakukan analisis terperinci mengenai skuad negara.


"Keyakinan dan kekuatan yang kita bina menerusi dua perlawanan sebelum ini cukup penting sebelum bertemu England," katanya.


Revington berkata, seperti sebelum ini, beliau serta pengurusan skuad negara akan turut mengkaji corak permainan England menerusi ulang tayang video.

"Sudah tentu sasaran utama untuk menang bagi membolehkan kami mengukuhkan kedudukan saingan peringkat kumpulan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Belian pukal punca ulat tiket berleluasa

Posted: 01 Jul 2013 10:48 AM PDT

Kelana Jaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengaku pembelian tiket secara pukal antara faktor ulat tiket terus bergiat aktif namun mereka belum menemui mekanisme terbaik untuk menyekat kegiatan itu kerana sistem pengagihan tiket kepada pasukan layak ke perlawanan akhir masih perlu terus dipraktikkan.

Biarpun ia bukan isu baru, kegiatan ulat tiket semakin menjadi-jadi menjelang final Piala FA, Sabtu lalu, mengakibatkan penyokong kedua-dua finalis Kelantan dan Johor Darul Takzim (DT) terpaksa menanggung kerugian membayar tiket dengan harga lebih tinggi.


Berdasarkan laporan Harian Metro Khamis lalu, ulat tiket yang bergerak aktif di Kota Bharu mendakwa mereka boleh membeli 500 hingga 1,000 tiket daripada 'orang dalam' Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Bagaimanapun KAFA yang menyangkal dakwaan itu melahirkan rasa kecewa hingga menyuarakan pendapat supaya penjualan tiket diuruskan FAM sepenuhnya jika itu cara terbaik membanteras kegiatan ulat tiket.


Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pengagihan tiket secara terus kepada pasukan bertanding perlu dilakukan bagi bersikap adil kepada penyokong pasukan terbabit.


"Pasti akan ada masalah jika kita jual semua tiket di Bukit Jalil (Stadium Nasional). Tujuan kita agihkan tiket kepada persatuan bola sepak negeri bagi memberi keutamaan kepada penyokong mereka mendapat tiket. "Kita juga mahu bersikap adil dengan memberikan jumlah tiket sama rata supaya tidak mahu ada jumlah penyokong pasukan yang tidak sama.

"Tapi kita sedar kerana pengagihan tiket ini juga boleh timbul masalah ulat tiket apabila mereka boleh membeli secara pukal daripada persatuan bola sepak negeri. Mereka mungkin membeli banyak tiket dengan alasan mewakili kelab penyokong atau mana-mana agensi. Mungkin ini boleh terjadi apabila ada pihak cuba mengaut keuntungan," katanya.


Final Piala FA Sabtu lalu menyaksikan Kelantan mempertahankan kejuaraan dengan menewaskan Johor DT, 1-0 namun cerita di sebalik kekecohan pembelian tiket masih terus hangat dibincangkan.

Ramai pihak berharap FAM dapat mencari jalan terbaik menangani masalah ulat tiket yang mengaut keuntungan dengan menjual tiket hingga RM80 sekeping berbanding RM40.


Daripada 87,000 tiket, FAM mengagihkan 30,000 tiket kepada Kelantan dan Johor DT manakala selebihnya dijual di Stadium Nasional Bukit Jalil dua hari sebelum perlawanan bermula. Setiap seorang dihadkan membeli empat keping tiket bagi pembelian di kaunter Stadium Nasional Bukit Jalil bagaimanapun penyokong boleh membeli secara pukal menerusi tempahan awal dengan persatuan negeri masing-masing.


"Kita menerima banyak pandangan termasuk jualan menerusi 'online' (dalam talian) dan juga menggunakan tempat duduk bernombor tapi cadangan ini perlu dikaji dengan teliti sebelum dilaksanakan. "Memang jualan tiket menerusi online bagus tapi ia tidak akan memberi keutamaan kepada penyokong pasukan yang bertanding dan kita perlu kaji cara terbaik," kata Hamidin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Tindakan Mat Yo biadap

Posted: 01 Jul 2013 10:47 AM PDT

Kota Bharu: Pelbagai pihak mengecam tindakan penyerang Johor Darul Takzim (DT), Norshahrul Idlan Talaha yang membuang pingat Piala FA ke dalam tong sampah sambil menyifatkannya sebagai biadap dan kurang ajar.

Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Rasmi Kelantan (KPBRK) Rozamri Mohd Ali berkata, tindakan Norshahrul atau Mat Yo itu tidak wajar selaku pemain kebangsaan dan profesional.


Rozamri berkata, selain biadap dan kurang ajar, Norshahrul juga tidak menghargai pingat dikalung Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra.

Katanya, dia sepatutnya menunjukkan contoh baik kepada pemain lain dan perlu menerima keputusan biarpun pasukannya gagal menjulang kejuaraan Piala FA.


"Setahu saya, perkara seperti ini belum pernah dilakukan mana-mana pemain bola sepak negara dan tindakan itu tidak wajar daripada seorang pemain profesional.


"Bagi saya, dia masih belum mencapai status profesional sebenar dengan tindakan biadap itu. Ini kerana, kalah dan menang adat permainan.

"Tindakan Norshahrul boleh merosakkan imej bola sepak negara dan dia sepatutnya menunjukkan contoh baik kepada pemain lain terutama yang meningkat naik," katanya.


Sementara itu, Timbalan Kelate.net Mahizi Mahmood pula menganggap dendam terhadap TRW yang ada dalam diri Norshahrul menjadi punca utama pemain yang menerima anugerah paling bernilai tiga tahun berturut-turut itu bertindak membuang pingat itu.

"Mungkin ada sesuatu yang tersimpan dalam hati Mat Yo terhadap Kelantan dan selepas kekecewaan gagal menjulang Piala FA menyebabkan dia gagal mengawal emosi."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

FELDA sekat LionsXII!

Posted: 01 Jul 2013 10:45 AM PDT

Kuala Lumpur: Jurulatih Selangor Irfan Bakti Abu Salim masih mengharapkan keajaiban akan berlaku dan trofi Liga Super tidak akan menyeberangi Tambak Johor buat kali pertama dalam sejarah.

Biarpun kedudukan pasukan peneraju liga LionsXII tampak sukar digugat apabila hanya memerlukan kemenangan ke atas FELDA United malam ini untuk mengesahkan kejuaraan, namun Irfan tetap percaya wakil dari Singapura itu bakal keciciran mata.


"Saya percaya kepada keajaiban. Orang selalu melihat LionsXII sebagai pasukan yang kuat dan mustahil dikalahkan, tapi saya rasa tidak kerana FELDA masih boleh buat kejutan, mereka sangat terdesak sekarang. FELDA perlukan kemenangan kerana mahu mengelak daripada tersingkir dari Liga Super musim depan.

"Bagi saya LionsXII pasti lebih tertekan kerana mereka begitu inginkan kemenangan," kata pengendali skuad Red Giants itu.


Berbaki dua lagi perlawanan liga, LionsXII yang dibimbing V Sundramoorthy mendahului dengan 40 mata, meninggalkan Selangor dan Johor Darul Takzim (DT) empat mata di tangga kedua dan ketiga.


Berbekal rekod cemerlang tidak pernah tewas dalam semua sembilan perlawanan liga di Stadium Jalan Besar musim ini, pasti satu tugas sukar untuk FELDA United yang bergelut di zon penyingkiran untuk menafikan kemenangan LionsXII.

Bagaimanapun Irfan tidak mahu anak buahnya terlalu memikirkan keputusan di Stadium Jalan Besar kerana beliau mempunyai tugasan besar bagi memastikan kemenangan ke atas T-Team di Stadium Shah Alam, malam ini.


Ini kerana, sekalipun jika gagal memintas LionsXII di tangga teratas, kedudukan mereka di tangga kedua perlu dipertahankan bagi memastikan slot ke Piala AFC tahun depan tidak terlepas ke tangan Johor DT yang juga masih berpeluang mengejar kejuaraan.

"Bagi Selangor, saya tidak mahu pemain turun ke padang dengan terlalu memikirkan keputusan yang akan diraih LionsXII, sebaliknya saya mahu mereka turun dengan memikirkan kita ada dua lagi misi penting untuk diharungi, menentang T-Team dan kemudian Johor DT. Kita harus menang kedua-dua perlawanan itu kerana kalau tidak muncul juara sekalipun, sekurang-kurangnya kita perlu meraih tempat kedua," kata Irfan.


Berbanding Selangor, tugas Johor DT lebih sulit kerana mereka perlu segera bangkit daripada kekecewaan kecundang di pentas final Piala FA di tangan Kelantan 1-0, Sabtu lalu.


Namun mereka seharusnya perlu mengambil kesempatan berdepan pasukan yang sudah tersingkir ke Liga Perdana musim depan, Negeri Sembilan untuk memungut mata sekali gus menyuntik kembali moral pasukan kendalian Fandi Ahmad itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Perak yakin pamer aksi bertenaga

Posted: 01 Jul 2013 10:43 AM PDT

Ipoh: Perak tidak hirau reputasi Kelantan selaku juara Piala FA. Sebaliknya bertekad membuat perhitungan dalam usaha memulihkan imejnya yang tercalar sebelum ini.

"Misi kami mengutip mata penuh supaya dapat memperbaiki kedudukan liga. Pemain sedar apa yang mereka harus lakukan untuk perlawanan ini.


"Walaupun lawan juara Piala FA, pemain Perak juga mempunyai sebab kuat untuk meningkatkan persembahan kerana ingin menamatkan cabaran di kedudukan terhormat," kata jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah.

Katanya Perak mengintai peluang berada dalam kelompok lima pasukan terbaik dan yakin ia mampu menjadi kenyataan jika mengutip mata penuh dalam baki dua perlawanan termasuk dengan ATM, Sabtu ini.


Justeru, Azraai berharap anak buahnya mampu mengulangi persembahan bertenaga seperti ketika menentang Pahang dan yang terbaru, LionsXII di Ipoh, minggu lalu.


"Jika mampu bermain seperti dalam dua perlawanan itu, tidak ada sebab mengapa kami tidak boleh berjaya. Pada peringkat ini pemain tahu apa yang mereka perlu lakukan kerana saya dalam proses menyediakan pasukan bagi menghadapi Piala Malaysia.

"Tiada ruang untuk penumpang dalam pasukan ini. Saya hanya mahu pejuang untuk mengharungi kempen itu," katanya. Jurulatih itu berkata, beliau mungkin menurunkan barisan sama seperti ketika bertemu LionsXII kecuali Khairi Kiman yang terpaksa diketepikan kerana penggantungan kad merah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Kijang bersiap hadapi Seladang

Posted: 01 Jul 2013 10:43 AM PDT

Kota Bharu: Kapten Kelantan Mohd Badri Radzi mahu rakan sepasukan lupakan seketika kegembiraan menjulang Piala FA dan kembali memberi tumpuan berdepan Perak di Ipoh, malam ini.

Kejayaan menjulang Piala FA dua tahun berturut-turut selepas menewas kan Johor Darul Takzim (DT), 1-0 menyuntik semangat pasukan kendalian Bojan Hodak untuk pertemuan menentang Perak.


Badri atau lebih dikenali sebagai Piya berkata, mereka perlu membuang seketika 'mood' gembira bergelar juara dan kembali fokus mencuri tiga mata daripada pasukan kendalian Azraai Khor Abdullah.

"Saya harap pemain dapat berikan tumpuan dan lupakan kejayaan bergelar juara Piala FA supaya tidak melakukan kesilapan yang merugikan pasukan, " katanya.


Badri turut mengaku tidak sabar-sabar meraikan kejayaan menjulang Piala FA musim ini bersama peminat di negeri sendiri.


"Saya juga teruja membawa pulang Piala FA, namun kami masih punya misi di Ipoh dan saya harap penyokong bersabar."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

No comments:

Post a Comment