Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Pemain mahu Revington

Posted: 09 Jul 2013 09:13 AM PDT

Kuala Lumpur: Walaupun masih membisu mengenai masa depannya, sudah ada desakan daripada barisan pemain meminta Paul Revington kekal memikul tugas sebagai ketua jurulatih skuad hoki negara.

Bagi mereka, Revington perlu kekal kerana andai beliau meninggalkan tugasnya selepas saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia berakhir, bukan mudah bagi penggantinya menggalas tugas selepas itu.


Skuad negara kini masih mempunyai satu tugas besar iaitu turun pada saingan Piala Asia di Ipoh bermula 24 Ogos yang menjanjikan satu tiket slot ke Piala Dunia, peluang terbaik untuk skuad negara ke pentas tertinggi itu sejak membuat penampilan terakhir pada 2002.

Meskipun berada dalam senarai pilihan untuk mengisi baki slot ke Piala Dunia, ia masih tidak pasti kerana segala-galanya bergantung kepada lima kejohanan antara benua yang bakal berlangsung selepas ini termasuk Piala Asia.


"Saya tidak kisah kami dibimbing mana-mana jurulatih tapi setakat ini kami sudah serasi bersama Revington. Dia seorang jurulatih yang bagus.


"Saya rasa kalau ganti jurulatih lain dalam tempoh dua bulan sebelum Piala Asia memang tidak munasabah sebab sudah tentu kami perlu sesuaikan corak permainan dengan jurulatih baru," kata ketua pasukan, Mohd Shahrun Nabil Abdullah.

Perkara sama diakui penyerang veteran negara, Chua Boon Huat yang begitu mengharapkan jurulatih berusia 39 tahun dari Afrika Selatan itu kekal membimbing pasukan.


"Apapun kita tunggu keputusannya tapi saya harap Revington kekal sebab dia baru saja membimbing skuad negara," katanya.

Revington terus berteka-teki ketika ditanya mengenai keputusannya selepas berakhir saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru tapi beliau seolah-olah memberi petanda untuk kekal apabila menegaskan akan fokus terhadap saingan Piala Asia pula selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/09

Pit bukan untuk media

Posted: 09 Jul 2013 09:02 AM PDT

London: Insiden seorang jurukamera cedera dirempuh tayar kereta Formula Satu pada perlumbaan Grand Prix Jerman, Ahad lalu memaksa supremo sukan itu, Bernie Ecclestone mengarahkan semua krew televisyen dan gambar tidak berada di pit sepanjang perlumbaan.

Mekanik bertugas memakai topi keledar di pit tapi ada kumpulan yang tidak memakai peralatan keselamatan, termasuk media tapi dibenarkan berada di tempat sama sekali gus memaksa pihak bertanggungjawab mengetatkan prosedur keselamatan di litar perlumbaan.


Ahad lalu, jurukamera, Paul Allen yang ditugaskan merakamkan gambar bagi pihak Pengurusan Formula Satu (FOM) dan Ecclestone menyifatkan kemalangan akibat tayar kereta Mark Webber dari Red Bull itu terpencil.

"Mekanik berada di tempat kejadian dan tayar itu boleh terkena sesiapa saja di situ," kata Ecclestone.


"Jurukamera itu tidak melihat ke arah tayar dan dia berada di tempat dan waktu yang salah. Selepas ini, semua krew televisyen dan gambar akan hanya dibenarkan untuk menjalankan tugas di sebalik dinding keselamatan." Allen mengalami kecederaan tulang selangka selain beberapa tulang rusuknya retak. Dalam satu kenyataan, FOM berkata, keadaan jurukamera itu stabil dan dijangka pulih sepenuhnya dalam waktu singkat.


Ketua pasukan Mercedes Ross Brawn berkata, sudah tiba masanya semua pihak perlu memikirkan semula soal keselamatan di litar.

"Semua yang berada di litar perlu memakai topi keledar," katanya. "Memang wajar kita menilai semula semua perkara berkaitan keselamatan." Sementara itu, ketua pasukan Red Bull Christian Horner yang pernah didenda kerana kegagalannya menyediakan peralatan keselamatan kepada ahli pasukan sependapat dengan Brawn.


"Semua jentera F1 memiliki kuasa yang tinggi dan tidak mustahil ia boleh mencederakan sesiapa saja," katanya selepas menyaksikan pemandunya, Sebastian Vettel menang buat pertama kali di litar Nuerburgring. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/09

Ikon Politeknik Malaysia

Posted: 09 Jul 2013 09:00 AM PDT

Melaka: Pemain T-Team, G Mahathevan antara sembilan pemain Liga M yang dipilih sebagai ikon bola sepak Politeknik Malaysia anjuran Majlis Sukan Politeknik (MSP) di sebuah hotel di Bukit Jalil, semalam.

Selain pemain tinggi lampai itu, bintang Kelantan Mohd Farisham Ismail, Muhammad Afham Zulkipeli (UiTM FC), penjaga gol Tumpat FC, Judtanna Eh Put dan Mohd Faizuddin Manjur Ahmad (Johor FA) turut menerima anugerah itu.


Rakan sepasukan Mahathevan, Abd Latiff Suhaimi (T-Team), Hazwan Fakrullah Mohd Zuridi (Kuantan FA), Mohd Afif Amiruddin (PDRM) dan Wan Izzat Izzruddin Alif Wan Ismail turut terpilih sebagai ikon.

Majlis penganugerahan disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Politeknik Kementerian Pendidikan Malaysia Datuk Mohlis Jaafar menerusi pemakaian blazer ikon MSP.


Hadir sama Pengarah Bahagian Kebajikan Pelajar Wan Zulkifli Wan Zakaria dan Pengarah Politeknik Kota Bharu Azahan Othman.


Mohlis berkata, tujuan politeknik memperkenalkan ikon itu bagi memperakui mereka sebagai 'role model' kepada warga politeknik yang aktif dalam bidang sukan.

Menurutnya, usaha itu juga antara langkah menarik pelajar menyambung pengajian dan membuktikan politeknik bukan kubur kepada karier atlet.


Sementara itu, Farisham bangga menerima penghormatan itu dan mengharapkan pelajar yang memiliki karier sukan tidak perlu ragu-ragu mengikuti sesi pengajian di politeknik.

"Politeknik memberi ruang luas kepada warganya berjaya dalam kedua-dua bidang," katanya yang juga bekas penuntut pengajian Diploma Automatif Diesel di Politeknik Kota Bharu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/09

MPS pertahan kejuaraan

Posted: 09 Jul 2013 09:00 AM PDT

Seremban: Kemantapan pasukan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) terserlah apabila menewaskan Majlis Daerah Jempol (MDJ), 3-1 sekali gus mempertahankan kejuaraan Kejohanan Bola Sepak Piala Menteri Besar Negeri Sembilan 2013 di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), baru-baru ini.

Kejayaan itu membolehkan MPS meraih RM15,000 selain piala manakala dua pemain pasukan itu, Fadzli Razi Ismail dan Mohd Fakhrul Razi dinobat Pemain Terbaik Perlawanan Akhir dan Penjaring Terbanyak dengan 10 gol untuk membawa pulang RM500 serta barangan sukan.


Selaku naib juara, MDJ menerima RM10,000 dan turut dinobat Pasukan Paling Bersih (fair play) untuk meraih sagu hati RM1,000.

Tempat ketiga dimenangi Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) yang menewaskan Dusun Nyior FC, 2-1 untuk masing-masing membawa pulang RM5,000 dan RM3,000 serta piala iringan.


Kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) itu disertai 20 pasukan daerah dengan saingan dijalankan secara liga sebelum peringkat kalah mati dan separuh akhir.


Setiausaha Kehormat PBNS Datuk Abd Halim Abd Latif berkata, kejohanan itu sebahagian aktiviti pembangunan bola sepak PBNS untuk mencungkil bakat baru dalam kalangan pemain akar umbi bagi meningkatkan mutu sukan di negeri itu.

"Saya puas hati dengan perjalanan kejohanan dan persembahan kedua-dua finalis. Kami yakin ramai pemain muda boleh diketengahkan dan berdasarkan persembahan pemain, Negeri Sembilan sebenarnya tidak ketandusan pemain berbakat. Saya yakin menerusi kejohanan ini, usaha membangunkan bola sepak negeri pada peringkat akar umbi akan berjaya," katanya.


Abd Halim mewakili Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Presiden PBNS, menyampaikan hadiah kepada pemenang. Turut hadir Pegawai Daerah Jempol Wan Razali Wan Awang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/09

Fatehah idam takluk Adelaide

Posted: 09 Jul 2013 08:58 AM PDT

Kuala Lumpur: Rentetan kejayaan meraih pingat perak acara keirin dan gangsa dalam acara pecut di Grand Prix Jerman dua minggu lalu memberikan pelumba pecut negara Fatehah Mustapa suntikan semangat baru menjelang saingan di GP Adelaide.

Kemenangan menewaskan pelumba Russia, Ekaterina Gnidenko yang menduduki ranking kedua dunia acara keirin disifatkan kejayaan menggembirakan buat Fatehah sekali gus memberi petanda kilauan pingat di siri Piala Dunia Klasik itu bukan perkara mustahil andai dia terus berusaha.


Fatehah akan turun beraksi di GP Adelaide, kejohanan yang menawarkan mata untuk melayakkannya beraksi di Kejohanan Dunia di Melbourne tahun depan dalam dua acara sama iaitu pecut dan keirin.

Bagaimanapun dia perlu melipat gandakan usaha di kejohanan yang berlangsung hujung minggu ini apabila bakal bersaing dengan pemenang emas Olimpik pecut, Anna Meares dan juga jaguh Asia, Lee Wai Sze dari Hong Kong yang kini mengungguli ranking pertama dunia acara itu. "Saya harap kali ini saya dapat sekali lagi merangkul pingat. Namun cabarannya bukan mudah. Ramai pelumba handalan turun. Anna, Wai Sze selain beberapa pelumba lain dari Jepun.


"Potensi mendapatkan pingat memang ada namun tidak tahu lagi macam mana dan semuanya terpulang pada hari perlumbaan," katanya. Pencapaian Fatehah dipuji ketua jurulatih negara John Beasley yang mengaku mutu kayuhan atlet Terengganu itu semakin matang dan sekiranya terus diberi peluang, tidak mustahil dia mampu menghadiahkan pingat di Olimpik.


Biarpun kepenatan kerana terpaksa menempuh perjalanan jauh dari Melbourne ke Adelaide, Fatehah berkata, ia tidak mendatangkan sebarang masalah buat dirinya yang sudah bersedia menghadapi kejohanan bersama rakan seperjuangan termasuk Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Muhammad Edrus Md Yunos. Fatehah memperbaiki kedudukannya dalam ranking dunia apabila melonjakkan diri dari kedudukan ke-28 ke 19 dalam acara pecut dan 17, keirin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/09

'Lawan pedang wajar dipertingkat'

Posted: 09 Jul 2013 08:58 AM PDT

Kuala Lumpur: Pertandingan Sukan Malaysia (SUKMA) menjadi platform terbaik mengekalkan tahap kompetitif dan perlu diadakan setiap tahun.

Begitulah rumusan pengurus Persatuan Lawan Pedang Wilayah Persekutuan Wong Thien Boon yang mahu melihat martabat sukan Malaysia meningkat ke tahap lebih tinggi.


Kejayaan lima pingat emas diraih kontinjen itu pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2013 berakhir kelmarin, memberi petanda masa depan cerah dalam sukan itu.

"Pencapaian Wilayah Persekutuan dan Johor dalam pelbagai disiplin acara lawan pedang SUKMA sewajarnya dipertingkatkan. Kita perlu mengadakan lebih banyak pertandingan tempatan dan menyertai pertandingan luar negara untuk menguji kemampuan sebenar.


"Bagi saya, berdasarkan bakat dicungkil dan pencapaian atlet lawan pedang, kita berada pada tahap membanggakan dan ada antaranya menyerlah pada usia 15 tahun dan mereka perlu lebih kerap menyertai pertandingan," katanya.


Pada SUKMA XVI, kontinjen Wilayah Persekutuan meraih lima pingat emas berbanding dua pada SUKMA dua tahun lalu. "Menerusi pelbagai program pembangunan acara lawan pedang dilakukan dalam tempoh dua tahun, jumlah atlet kompetitif dalam acara epee, foil dan sabre semakin bertambah.

"Selain Johor, kawasan Lembah Klang mempunyai infrastruktur dan jumlah atlet menceburi lawan pedang semakin meningkat.


"Justeru, kami harap Majlis Sukan Negara (MSN) mengkaji semula cadangan dihantar kepada mereka untuk dinilai demi kemajuan sukan ini di Malaysia. Kita kemudian boleh bergerak ke peringkat Asia dan merebut tiket beraksi pada Sukan Olimpik," katanya merujuk kepada kertas cadangan dihantar MSN, baru-baru ini berhubung usaha menjadikan lawan pedang acara tahunan SUKMA. "Sekarang acara ini diadakan dua tahun sekali, ia tidak menyeronokkan atlet yang suka bersaing. Lawan pedang dilihat mudah tapi memerlukan kepantasan, kepintaran pergerakan dan kekuatan mental.

"Malah, kita tidak perlu takut mendapatkan khidmat jurulatih berkualiti supaya asas lawan pedang dipelajari dengan betul dan bukan apabila sudah tewas, baru hendak mencari jurulatih memperbetulkan asas yang salah dan memakan masa memperbaikinya."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/09

UiTM Perlis laksana perintah berkurung

Posted: 09 Jul 2013 08:58 AM PDT

Arau: Tuan rumah perkampungan sukan sempena Sukan Malaysia (SUKMA) Perlis 2014, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis bercadang mewujudkan perintah berkurung bagi peserta dan pegawai kontinjen yang menginap di universiti berkenaan pada temasya itu tahun depan.

Rektor UiTM Perlis Prof Datuk Dr Ahmad Redzuan Abd Rahman (gambar) berkata, ia bakal dibincangkan di peringkat jawatankuasa penganjuran SUKMA Perlis dalam masa terdekat.


Menurutnya, usul itu bagi memastikan keselamatan peserta dan atlet di universiti yang bakal menempatkan lebih 6,000 atlet dari seluruh negeri terkawal.

Beliau berkata demikian ketika mengulas insiden seorang remaja perempuan berusia 19 tahun dilapor pegawai pengiring pasukan bola baling Wilayah Persekutuan yang dirogol bergilir-gilir dalam keadaan separuh sedar di bilik penginapan Kolej kedua Universiti Putra Malaysia (UPM) minggu lalu.


"Insiden itu amat mengejutkan dan mendukacitakan selepas kejohanan sukan yang sepatutnya menjadi tempat mencipta kejayaan dicemari.


"Ia satu pengajaran kepada semua pihak selain cabaran kepada UiTM perlis yang bakal menjadi perkampungan sukan kepada lebih 6,000 atlet SUKMA 2014 di negeri ini tahun depan," katanya selepas merasmikan Majlis meraikan Juara UiTM Perlis di sini, malam kelmarin.

Menurut Ahmad Redzuan, UiTm akan memberi tumpuan aspek keselamatan dan ketenteraman atlet.


"Saya sokong jika perintah berkurung diwujudkan, mungkin kita mengetatkan waktu keluar masuk ke Perkampungan Sukan.

"Mungkin juga kita akan tetapkan tiada atlet atau pegawai kontinjen keluar masuk dari Perkampungan Sukan selepas jam 12 tengah malam," katanya.


Menurutnya, selain itu, beberapa tindakan lain juga sudah diambil selain menambah bilangan anggota polis bantuan yang bertugas di UiTM pada temasya itu.


Katanya, hingga hari ini, lebih 150 sukarelawan dan pegawai bakal bertugas di UiTM pada temasya pertengahan tahun depan itu.


Sementara itu, semua pasukan dan atlet yang mengharumkan nama UiTM Perlis diraikan pada majlis berkenaan termasuk pasukan perahu layar negara yang mewakili Malaysia pada temasya Olimpik London tahun lalu selain pasukan bola sepak UiTM Perlis yang menjuarai Divisyen 1 Liga Bola Sepak IPT Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/09

Messi, Neymar datang: Effendi

Posted: 09 Jul 2013 08:56 AM PDT

Subang: Peminat kelab bola sepak gergasi Sepanyol FC Barcelona berpeluang melihat kehebatan gandingan Lionel Messi dan Neymar apabila kedua-dua pemain bintang itu sah akan hadir pada siri Jelajah Asia 2013 ke Malaysia bulan depan.

Pengarah Urusan BSC Soccer (M) Sdn Bhd Effendi Jagan Abdullah menafikan spekulasi penyerang Argentina dan Brazil itu tidak akan bersama juara La Liga bagi aksi menentang Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Ogos ini kerana masih bercuti.


"Semua pemain termasuk Messi dan Neymar bersama skuad ke Kuala Lumpur bagi Jelajah Asia ini dan dakwaan kedua-dua pemain bintang itu tidak datang tidak benar. Kesemua pemain Barcelona melapor diri dengan kelab pada 29 Julai ini dan mereka menjalani latihan sebelum pergi ke Palestin pada 3 dan 4 Ogos ini bagi program amal sebelum memulakan Jelajah Asia ke Bangkok Thailand.

"Perlawanan dengan Malaysia penting bagi Barcelona kerana itu perlawanan terakhir pra musim sebelum pulang ke Sepanyol bagi menghadapi perlawanan pembuka tirai Piala Super menentang Atletico Madrid. "Semua pemain pasti datang melainkan mereka yang mengalami kecederaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengumuman Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) menjadi pengangkutan rasmi Jelajah Asia Barcelona 2013 di Malaysia.


Menerusi kerjasama itu, Prasarana menerusi RapidKL menyediakan gerabak LRT yang dicat khas dengan lakaran gambar pemain Barcelona dan skuad kebangsaan serta dua bas mewah yang bakal digunakan sebagai pengangkutan pasukan itu di Kuala Lumpur bermula 8 hingga 10 Ogos ini.


Pastinya kunjungan kelab juara Eropah empat kali itu amat dinanti-nantikan apatah lagi dengan kehadiran ramai barisan bintang Sepanyol seperti kapten Carles Puyol, Xavi, Iniesta dan pemain terbaik dunia Messi serta pemain baru dari Santos, Neymar.

Neymar yang menyertai Barcelona bulan lalu dengan bayaran perpindahan €57 juta (RM233 juta) menyinar ketika membantu Brazil menjuarai Piala Konfederasi baru-baru ini.


Menurut Effendi, biarpun perlawanan itu bakal berlangsung pada hari ketiga umat Islam negara ini menyambut Aidilfitri, beliau yakin 87,000 tiket yang disediakan akan habis dijual.

"Biasanya peminat menunggu saat akhir untuk membeli tiket tapi setakat ini 10,000 tiket sudah dijual menerusi jualan dalam talian dan itu tidak termasuk tiket yang dijual kepada syarikat korporat. "Ini bukan sekadar perlawanan kerana kami menyediakan pelbagai aktiviti termasuk sesi bertemu peminat dan sesi latihan terbuka sehari sebelum perlawanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/09

Negeri Sembilan buru slot ke Piala Malaysia

Posted: 09 Jul 2013 08:56 AM PDT

Seremban: Selepas gagal mengekalkan rentak terbaik pada Liga Super musim ini, Negeri Sembilan tidak mahu igauan buruk itu berlarutan apabila membuat perhitungan dengan Sabah dalam perlawanan play-off Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam ini.

Skuad Hoben Jang Hoben mahu memastikan slot terakhir milik mereka dalam usaha mempertahankan reputasi pasukan yang pernah dua kali menjulang kejuaraan berprestij itu.


Jurulatih Ridzuan Abu Shah mahu pemain memberikan persembahan terbaik sekali gus mengesahkan tempat ke saingan Piala Malaysia musim ini.

Beliau juga akan turunkan kesebelasan terbaik termasuk tonggak berpengalaman, Norhafiz Zamani Misbah selaku kapten pasukan selain Mohd Hamsani Ahmad, Mohd Fauzi Nan, Eddy Helmi Manan, Shahurain Abu Samah, S Sivanesan dan penyerang import, Leandro Barbosa Fabio yang bergandingan dengan Mohd Nazrin Mohd Nawi di barisan depan.


"Walaupun Sabah daripada Liga Perdana, kita tidak memandang mudah cabaran pasukan itu. Apatah lagi ia perlawanan penentuan untuk ke Piala Malaysia dan pastinya lawan akan memberi tentangan habis-habisan.


"Saya harap pemain memberi sepenuh perhatian dan berhati-hati dengan taktikal lawan kerana kesilapan pasti membuatkan kita terperangkap," katanya.

Ridzuan mengaku anak buahnya bakal menghadapi tugas mencabar kerana beraksi pada hari pertama Ramadan.


"Sebagai pasukan yang tidak pernah tercicir menyertai Piala Malaysia, saya sudah ingatkan pemain berjuang habis-habisan demi memastikan kemenangan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/09

Hamidin mampu bawa aura positif

Posted: 09 Jul 2013 08:55 AM PDT

Kelana Jaya: Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia FAM Datuk Azzuddin Ahmad berpandangan penggantinya Datuk Hamidin Mohd Amin bertanggungjawab mengeratkan hubungan membabitkan ahli gabungan badan induk itu.

"Antara perkara utama yang perlu mendapat perhatian beliau (Hamidin) merapatkan hubungan dengan ahli. Tiada siapa yang sempurna termasuk saya, mungkin terdapat kelemahan yang saya sendiri tidak dapat melihat dan ahli gabungan di luar dapat melihatnya namun saya percaya Hamidin mampu melakukannya bagi membawa FAM ke peringkat yang lebih tinggi," katanya pada majlis perpisahan beliau yang berlangsung di Wisma FAM, semalam.


Jelasnya, setiap individu pasti mengamalkan pendekatan yang berbeza dan Hamidin seorang yang mempunyai kemampuan membawa perubahan berkenaan.

"Saya mempunyai latar belakang ketenteraan namun beliau mempunyai pengalaman dalam mentadbir bola sepak tempatan selama 20 tahun. Sebagai individu yang pernah menjadi Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Naib Presiden FAM dan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, beliau lebih mengetahui aspek mana yang perlu ditingkatkan," kata Azzuddin yang kini menjadi Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).


Sebelum ini hubungan ahli gabungan terutamanya dengan sekreteriat FAM dilihat tegang terutamanya dengan penggantungan membabitkan tiga presiden persatuan peringkat negeri iaitu Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa, Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang didapati bersalah melanggar Artikel 88.


Malah tindakan beberapa persatuan negeri yang membayar wang denda menggunakan duit syiling dilihat secara tanda protes terhadap badan induk bola sepak negara itu.

Sementara itu Azzuddin mengesahkan Australia akan diterima secara rasmi sebagai ahli gabungan AFF pada satu mesyuarat penghujung Ogos depan.


Beliau turut menjelaskan negara berkenaan turut tidak akan menyertai Piala AFF 2014 walaupun sudah diterima sebagai ahli gabungan namun akan bertanding pada pertandingan membabitkan wanita dan peringkat umur.

"Terdapat kebimbangan yang disuarakan ahli gabungan AFF seandainya Australia turut berminat untuk menyertai Piala AFF 2014. Namun saya boleh mengesahkan mereka tidak bercadang berbuat demikian dan kehadiran Australia sebagai ahli ke-12 AFF perlu dilihat menerusi sudut yang positif kerana mereka mampu memberi sumbangan dalam pelbagai aspek," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/09

No comments:

Post a Comment