Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Zamri menyerlah

Posted: 29 Jun 2013 01:18 PM PDT

Melaka: Perlumbaan berbasikal Jelajah 1Malaysia 2013 (J1M 2013) hari ini diungguli pelumba negara selepas Mohd Zamri Salleh dari pasukan Terengganu Cycling Team (TST) merampas Jersi Merah Raja Bukit milik Rustom Lim dari pasukan LBC-MVPSF Cycling Pilipinas.

Zamri kini mengumpul sembilan mata selepas berjaya memungut empat mata pada Peringkat Keempat dari Angsana Mall, Johor Baharu ke Rumah Melaka di Bukit Katil, Melaka, semalam.

Rustom kini berada di tangga kedua, enam mata manakala pelumba kebangsaan, Mohd Adiq Hussainie Othman di tempat ketiga, empat mata.

Dua lagi pelumba Malaysia, Mohd Harrif Salleh yang turut mewakili TST dan wakil OCBC Singapore Continental Cycling Team, Loh Sea Keong menguasai baki empat jersi yang menjadi rebutan.

Foto

SEA Keong meraikan kejayaan bersama Harrif (kiri) dan Zambri.


Harrif yang gagal mengulangi pencapaian muncul juara peringkat ketiga menamatkan perlumbaan semalam di belakang juara dari Australia, Anthony Giacopppo dari pasukan Huon Salmon-Genesys Wealth Adviser dalam pengakhiran kumpulan besar yang mencatat masa 5 jam 3 minit 23 saat untuk kekal sebagai Raja Pecut.


Sea Keong pula kekal menyarung Jersi Kuning selaku peneraju perlumbaan dengan masa 16:10:24s, hanya empat saat di depan pelumba Kazakhstan, Sergey Kuzmin yang mewakili pasukan Polygon Sweet Nice.

Sea Keong turut menyarung Jersi Biru selaku Pelumba Terbaik Asia dan Jersi Putih, Pelumba Terbaik Malaysia.

Peringkat kelima dan terakhir hari ini sejauh 169.8 kilometer bermula di Melaka dan berakhir di Putrajaya.- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/30

Raja ujian masa

Posted: 29 Jun 2013 01:14 PM PDT

Mohd Zaqhwan Zaidy sekali lagi membuktikan kehandalan apabila berjaya mencatat masa terpantas kategori CP130 buat kali keempat berturut-turut pada Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Teluk Intan, Perak, semalam.

Pelumba Givi Honda Yuzy Pachie itu mencatat masa terpantas 57.081 saat yang dilakukan pada pusingan kesembilan, 0.2s lebih pantas berbanding Mohd Affendi Rosli (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) sambil Mohd Ramdan Mohd Rosli (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) muncul pelumba ketiga terpantas, 57.552s.

Keputusan ini secara tidak langsung memberi nama jolokan baru buat Zaqhwan iaitu 'Raja Ujian Masa' selepas melakukan pencapaian serupa pada Pusingan 2 di Melaka, Pusingan 3 (Kuala Terengganu) dan Pusingan 4 (Muar).

Namun, Zaqhwan tidak mahu terlalu cepat berpuas hati kerana misi lebih penting adalah sesi Superpole esok.


"Memang saya gembira kerana berjaya mencatat masa terpantas sesi ujian masa untuk kali keempat berturut-turut namun ia sebenarnya tidak begitu penting.


"Misi lebih penting adalah sesi Superpole. Saya tidak mahu kecewa lagi kerana sering tidak bernasib baik pada sesi Superpole dan gagal merebut petak paling hadapan bagi perlumbaan akhir.

"Saya tidak mahu melakukan kesilapan lagi dan kalau boleh biarlah kali ini saya bermula dari petak pertama atau setidak-tidaknya dari barisan hadapan," jelas pelumba 18 tahun itu.

Mengulas saingan di Teluk Intan, Zaqhwan berkata, saingan sengit dan mencabar, tambahan pula beberapa bahagian selekoh litar semakin sempit jika dibandingkan musim lalu.

"Tentangan hebat pasti datang dari Norizman (Ismail) kerana dia memenangi dua perlumbaan berturut-turut di sini dan pasti dia mahu merebut gelaran hatrik pada perlumbaan kali ini."

Sementara itu, saingan CP115 menyaksikan Mohd Hafiz Nor Azman (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) merakam catatan terpantas, 58.622s, mengatasi catatan Mohd Amirul Ariff Musa (Givi Honda Yuzy Pachie), 58.691s.

Juara pusingan lalu, Ahmad Afif Amran (PETRONAS Yamaha-CKJ) merakam catatan ketiga terbaik, 59.060s.

"Saingan sangat sengit dan pelumba lain juga pantas. Sebab itulah saya perlu mempamerkan aksi terbaik dan saya gembira muncul pelumba terpantas.

"Namun Amirul juga pantas. Dia beraksi dalam kumpulan lain dan esok ketika sesi kelayakan Shoot-out, 10 pelumba terbaik kedua-dua kumpulan beraksi dalam satu sesi Shoot-out bagi menentukan kedudukan petak mula.

"Saya perlu fikirkan strategi tepat dan kalau boleh tidak mahu berada dalam kelompok ramai kerana menghalang kelajuan jentera," kata Hafiz.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/30

Ceburi industri pelancongan

Posted: 29 Jun 2013 01:13 PM PDT

Kuala Lumpur: Sama seperti orang lain, jaguh karate negara yang juga pemegang status atlet nombor satu Asia 2011, Mohd Hatta Mahamut turut mempunyai pelbagai cita-cita ketika kecil. Dia memendam angan-angan menjadi polis dan tentera, namun hanya satu impian yang mahu direalisasikan sekiranya dia tidak bergelar atlet.

Soalan (S): Jika bukan atlet, anda seorang...

Jawapan (J): Saya ingin menjadi ahli perniagaan dengan membuka rangkaian hotel sendiri.

S: Mengapa?

J: Bagi saya, rangkaian hotel perniagaan bertaraf antarabangsa sekali gus mampu melonjakkan lagi sektor pelancongan Malaysia.

S: Di mana lokasi pertama yang dijangka menjadi pilihan untuk hotel anda?

J: Untuk peringkat permulaan, saya akan membuka hotel di negeri asal saya, Perak dan juga di Pulau Pinang. Kedua-dua negeri ini sememangnya menjadi tarikan pelancong kerana latar belakang sejarahnya.

S: Diandaikan impian ini benar-benar menjadi kenyataan kelak?

J: Ya, tidak mustahil. Cuma buat masa ini saya tumpukan pada sukan karate dan akan beralih pada perniagaan sejurus bersara nanti. Bila saya bersara? itu tidak pasti lagi, setakat ini saja ingin lagi aktif dalam karate dan terus menyumbang kejayaan buat Malaysia.

S: Mungkin sudah fikirkan nama untuk hotel anda?

J: Belum lagi. Saya belum terfikirkan nama yang sesuai untuk hotel saya kelak. Mungkin bila tiba masanya nanti, saya akan fikirkan.

S: Siapa yang memberi galakan untuk anda membuka perniagaan hotel ini? Mungkin ada ahli keluarga yang mempunyai perniagaan sendiri.

J: Minat ini hadir daripada ayah saya yang mempunyai perniagaan dalam bidang kontraktor. Bila ada ahli keluarga yang sudah mempunyai perniagaan sendiri pastinya secara tidak langsung kita akan mempelajari selok-belok berniaga dengan sendiri. Rentetan itu, keinginan untuk memulakan perniagaan dengan memilih hotel hadir dalam diri saya.

S: Selain karate, apa aktiviti anda di masa lapang?

J: Jujurnya saya tidak banyak masa terluang. Terlalu sibuk dengan jadual latihan padat. Namun, jika ada masa saya gemar bermain futsal dan menonton wayang bersama rakan-rakan.

S: Dengan Ramadan yang bakal menjelang, kemungkinan anda akan dihantar beraksi ke luar negara?

J: Selaku atlet, menjadi musafir ketika Ramadan perkara biasa. Namun, bohonglah sekiranya saya tidak terasa sesuatu, ingatkan keluarga misalnya. Mujur Ramadan kali ini saya sekadar menjalani latihan di Hong Kong selama tiga hari sebelum dihantar ke Myanmar bagi kejohanan ujian Asia selama tiga atau empat hari. Tempoh ini tidaklah terlalu lama berbanding sebelumnya.

S: Sememangnya anda nampak garang di medan tempur, mungkin ada sifat 'kelembutan' dalam diri anda misalnya, cintakan haiwan?

J: Tidak dinafikan saya sayangkan kucing. Dulu masa kecil saya pernah mempunyai kucing Parsi. Namun, selepas ketiadaannya saya tidak lagi memelihara kucing. Lagipun, saya sibuk menjalani latihan di Bukit Jalil Kuala Lumpur. Cuma sekarang ini jika balik ke rumah di Perak, saya sering memberi kucing jiran makan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/30

Misi lakar kejutan

Posted: 29 Jun 2013 01:10 PM PDT

Johor Bahru: Paul Revington mengejutkan arena sukan tempatan dua minggu sebelum bermulanya saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia apabila menyatakan hasrat meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad hoki negara, namun desakan serta pujukan daripada pelbagai pihak berjaya mendorongnya kembali melatih skuad negara. Kini, pengendali dari Afrika Selatan itu mahu melupakan segala detik hitam itu dan berkongsi pendapatnya mengenai saingan yang berlangsung di Johor Bahru yang menawarkan tiket ke Piala Dunia 2014 di Belanda.

Soalan (S): Skuad negara dilihat agak bergelut pada siri perlawanan persahabatan untuk persiapan Liga Hoki Dunia. Adakah anda juga berasakan begitu?

Jawapan (J): Sebenarnya saya tidak terlalu hiraukan keputusan pada perlawanan persahabatan kerana ia hanyalah untuk menguji barisan pemain saya serta melihat sejauh mana keberkesanan taktikal yang kami gunakan. Saya yakin pada saingan sebenar nanti, setiap pemain akan menampilkan aksi yang berbeza.

S: Sejauh mana anda yakin ia bukan keputusan yang membimbangkan?

J: Saya rasa anda sendiri dapat saksikan pada setiap sesi latihan yang mana setiap pemain menunjukkan karakter serta keyakinan cukup tinggi. Mereka sangat gembira dan tidak sabar untuk beraksi di saingan Liga Hoki Dunia. Perkara seperti inilah yang cukup penting.

S: Selain latihan di padang, adakah ada kaedah lain yang anda lakukan dalam usaha memantapkan pasukan?

J: Kami ada melakukan beberapa 'kerja rumah' mengenai lawan yang akan ditemui pada Liga Hoki Dunia. Ia termasuklah rakaman video aksi pasukan lawan. Semua ini sudah dilakukan sejak berbulan lalu dengan tujuan untuk memantapkan pasukan.

S: Sejauh mana anda yakin Malaysia akan layak ke Piala Dunia kali ini?

J: Saya sentiasa yakin dengan kemampuan anak buah saya. Setiap kali kita turun beraksi, saya yakin mereka semua mampu menggalas tugas yang diberikan. Tidak kiralah dengan pasukan mana yang kami temui, saya tetap yakin kita akan dapat beraksi di Piala Dunia.

S: Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Pakistan, England dan Afrika Selatan. Pasukan manakah yang paling sukar bagi anda?

J: Saya rasa semua tiga pasukan ini. Jika anda lihat kepada kedudukan ranking dunia, kita pasukan yang menduduki ranking paling rendah. Jadi seperti yang sering saya ulangi sebelum ini, kami perlu mempamerkan aksi terbaik pada setiap perlawanan.

S: Jadi anda selesa melabelkan pasukan anda sebagai bukan pilihan?

J: Itu terpulang kepada anda jika anda selesa melihat kami sebagai bukan pilihan, tapi saya tidak fikir begitu. Apa yang penting setiap pemain saya dapat menunjukkan peningkatan pada setiap perlawanan.

S: Selepas kontroversi melanda anda sebelum ini, sekarang anda nampak lebih tenang.

J: Ketika ini saya memang cukup tenang dan segala-galanya nampak OK. Saya tidak sabar untuk menanti saingan sebenar Liga Hoki Dunia dan tidak mahu memikirkan apa yang berlaku sebelum ini. Biarlah kita sama-sama harungi dulu saingan ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/30

Delia bak 'guru'

Posted: 29 Jun 2013 01:07 PM PDT

Kuala Lumpur: Jika dalam arena skuasy, Datuk Nicol David tidak dinafikan ratu selaku pemain nombor satu dunia. Namun, pemain nombor tiga kebangsaan, Delia Arnold pula dianggap sebagai 'guru', terutama buat pelapis negara.

Bagi Teh Min Jie, Nicol dan pemain nombor dua kebangsaan, Low Wee Wern sememangnya hebat tetapi seniornya Delia banyak membantu mereka dari segi memberi khidmat nasihat.

Kata Min Jie, Nicol dan Wee Wern menjalani latihan luar negara serta sering tiada di tanah air, lantaran Delia menjadi orang harapan untuk dijadikan contoh dan idola.

Lebih-lebih lagi menurut Min Jie, Delia seorang yang tidak 'moody' dan sering 'enjoy' setiap kali di gelanggang latihan atau ketika beraksi. Sifat ceria Delia ini amat menyenangkannya dan rakan seangkatan lain. Ikuti sesi pertemuan antara Delia dan Min Jie, baru-baru ini.

Soalan (S): Anda menjadi contoh terbaik kami, apa pandangan anda terhadap prestasi kami ketika ini?

Jawapan (J): Pada pandangan saya, yang penting jurang antara pelapis dan elit semakin dekat. Dulu kamu masih kecil tapi kini rata-rata ramai sudah meningkat remaja dan pantas mempelajari rentak permainan yang bagus, malah, hampir menyamai kami. Tahap pelapis dan elit hampir kurang sama dan jika terus kekal konsisten, anda semua mampu pergi lebih jauh.

S: Oleh itu tiada masalah kami menjadi pengganti anda, Nicol atau Wee Wern sekiranya anda bertiga bersara nanti?

J: Tidak. Kamu semua sebagai pemain pelapis mempamerkan prestasi amat baik, malah 70 peratus lebih hebat berbanding dulu. Cuma anda perlu kekal konsisten. Jika tidak susah andai ada antara kami bertiga yang mengambil keputusan bersara.

S: Apa tips untuk menjadi pemain skuasy terbaik?

J: Pastinya saya inginkan muka baru dan pelapis menjadi pemain lebih baik daripada saya mahupun Nicol dan Wee Wern. Kami memang mahukan yang terbaik untuk dunia skuasy tempatan. Tips dari saya, apa yang penting anda perlu cintakan sukan ini terlebih dulu. Anda juga perlu kekal fokus setiap kali di gelanggang latihan mahupun ketika bersaing.

Jangan berlatih di waktu latihan yang ditetapkan saja, lebih baik sekiranya menjalani latihan setiap kali ada masa terluang.

S: Mungkin ada lagi nasihat yang ingin disampaikan untuk kami sebagai junior anda?

J: Sekiranya perlukan bantuan dan nasihat jangan malu atau segan untuk bertanya kerana saya berbesar hati menghulurkan bantuan kepada anda. Memang, rasa hormat terhadap senior itu akan menjadikan anda segan atau takut-takut untuk bertanya, tapi jangan risau kerana saya amat gembira menolong anda.

S: Selain dari sukan skuasy ada meminati sukan lain?

J: Saya hanya suka sukan raket. Selain skuasy saya suka bermain badminton dan tenis.

S: Jadi boleh dianggap ia aktiviti yang sering anda lakukan di masa lapang?

J: Ya. Saya sering bermain badminton dan tenis bersama keluarga. Itu aktiviti kami di masa lapang dan secara tidak langsung saya seperti menjalani 'latihan'.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/30

Pertembungan taktikal terhebat

Posted: 29 Jun 2013 01:03 PM PDT

Rio de Janeiro: Bola sepak memang tidak mengenal usia tapi final Piala Konfederasi antara pasukan tuan rumah Brazil dan juara dunia Sepanyol, awal pagi esok akan mengetengahkan dua jurulatih berpengalaman luas yang pernah menyaksikan segala-galanya.

Luiz Felipe Scolari dan Vicente del Bosque mengharapkan pertemuan ini dan perlawanan di Stadium Maracana menjadi saksi pertarungan taktikal.


Mereka menikmati kejayaan di peringkat kelab. Del Bosque, 62, berjaya membawa Real Madrid menjulang dua gelaran Liga Juara-Juara terakhir lebih sedekad lalu sebelum akhirnya dipecat.

Real kini hanya mampu memerhatikan, apa yang mereka hilang 11 tahun lalu kini menjadi milik Sepanyol.


Del Bosque mengambil alih pasukan Sepanyol daripada juara Euro 2008, Luis Aragones untuk membentuk pasukan yang kemudiannya berjaya meraih Piala Dunia 2010 dan Euro 2012 dan kini berharap menjuarai Piala Konfederasi buat kali pertama.


Scolari pula berdepan naik turun sepanjang kariernya sebagai pengurus.

Pengurus berusia 64 tahun dari Passo Fundo gagal meraih gelaran di Alagoas dan bekas pertahanan itu pernah digelar 'perna-de-pau' (kaki kayu), sedangkan Del Bosque menjulang lima gelaran bersama Real.


Mereka mungkin menghampiri usia persaraan tapi berjaya memodenkan pasukan kebangsaan masing-masing.

Del Bosque berjaya membentuk Sepanyol menjadi mesin kemenangan dengan 29 kemenangan perlawanan kompetitif berturut-turut.


Scolari pula sedar mengenai kritikan di Brazil tapi sekurang-kurangnya kejayaan pertama di Piala Dunia akan dapat membantunya.


"Kami sudah mencapai matlamat utama, mara ke final dan menyatakan kepada penyokong Selecao, kami mempunyai pasukan bagus yang mampu mara ke final Piala Dunia," kata Scolari.


"Begitupun, pada masa ini matlamat kami adalah menjuarai Piala Konfederasi." Del Bosque pula menyatakan tiada apa perlu ditakutkan Sepanyol selepas menewaskan Itali meskipun Brazil menjadi pasukan pilihan di laman sendiri.


"Kami berdepan juara dunia lima kali di depan penyokong mereka di Stadium Maracana dan saya anggap mereka adalah pasukan pilihan tapi kami pasti pamer aksi terbaik," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/30

Neymar janji juara

Posted: 29 Jun 2013 01:02 PM PDT

Rio de Janeiro: Bintang Brazil, Neymar berjanji membantu Brazil meraih gelaran Piala Konfederasi buat kali ketiga berturut-turut dengan menewaskan juara dunia, Sepanyol untuk membuktikan kepada peminat mereka boleh mengharapkan sesuatu yang hebat sebaik dia tiba ke La Liga bersama Barcelona.

"Kami akan bermain demi keluarga dan rakan tapi paling penting buat seluruh negara Brazil," kata pemain berusia 21 tahun itu menjelang perlawanan mendebarkan dengan Sepanyol di Stadium Maracana.


"Kami bersedia menghadapi perlawanan bersejarah itu. Kami pasti mempertahankan maruah negara." Neymar menjaringkan gol dalam ketiga-tiga perlawanan kumpulan sebelum mencipta peluang jaringan buat Fred dan Paulinho pada perlawanan separuh akhir menentang Uruguay.

"Ia pasti menjadi perlawanan yang hebat. Kedua-dua pasukan mahu mencipta sejarah," katanya.


Menurutnya, biarpun Brazil bersedia merebut hadiah lebih besar tahun depan apabila menjadi tuan rumah Piala Dunia buat kali pertama sejak 1950, kejayaan menewaskan Sepanyol pasti memberi mesej Selecao yang baru sudah tiba.


Sepanyol yang tidak pernah berjaya muncul juara Piala Konfederasi, turun beraksi berbekal 29 perlawanan tanpa kalah dan memburu kejuaraan kejohanan utama keempat selepas meraih kejayaan di Euro 2008 dan 2012 selain Piala Dunia 2010.

Brazil pula menyertai kejohanan itu selepas memecat pengurus, Mano Manezes sebelum melantik pemenang Piala Dunia 2002, Luiz Felipe Scolari, biarpun beliau menghadapi musim kurang memuaskan ketika mengendalikan kelab bola sepak Chelsea dan Palmeiras.


"Ini menjadi final sejati yang mengetengahkan pemain hebat. Ia wajar menjadi perlawanan hebat dan saya harap pulang dengan gembira sebagai juara bersama pasukan," kata Neymar. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/30

Martinez teruja aksi final

Posted: 29 Jun 2013 01:01 PM PDT

Fortaleza, Brazil: Pemain tengah Sepanyol, Javi Martinez menyifatkan final Piala Konfederasi menentang Brazil di Rio de Janeiro bagaikan impian menjadi nyata selepas menang penalti ke atas Itali di separuh akhir.

"Perlawanan akhir menentang Brazil di Maracana, bagaikan impian zaman kecil saya yang kini menjadi kenyataan," kata bintang Bayern Munich itu selepas Sepanyol menang penentuan penalti, 7-6 ke atas Itali di Fortaleza.


Martinez berkata, dia benar-benar gembira dapat menentang rakan sekelab yang mewakili Brazil iaitu Dante dan Luiz Gustavo pada final awal pagi esok.

Pemain berusia 24 tahun itu lega apabila rakan sepasukannya, Jesus Navas meledak gol kemenangan apabila Martinez dijadual mengambil sepakan penalti kelapan.


"Saya sepatutnya mengambil sepakan berikutnya dan degupan jantung saya begitu kencang," kata Martinez. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/30

Pengubat duka

Posted: 29 Jun 2013 01:00 PM PDT

Salvador: Selepas berdepan kekecewaan di separuh akhir Piala Konfederasi dan meskipun masih letih, Itali dan Uruguay cuba bangkit untuk merebut kedudukan tempat ketiga esok.

Uruguay akan memulakan perlawanan dengan kelebihan fizikal berbeza selepas tewas 1-2 di tangan Brazil sehari sebelumnya.Namun lain pula bagi Itali yang ditundukkan menerusi jaringan penalti 7-6 oleh Sepanyol, yang masih kepenatan.


Lantaran itu, jurulatih Itali Cesare Prandelli bimbang anak buahnya tidak mampu kembali cergas sepenuhnya ditambah pula dengan cuaca panas lembab di Estadio Castelao.

Malah, beliau juga menyuarakan cadangan penukaran format perlawanan bagi membuka peluang pemainnya kembali cergas.


"Jika di final mungkin keadaan cuaca agak lebih baik. Kita tidak bermain di Maracana setiap hari. Namun jika ke sana, kami terpaksa berhempas pulas menentang Uruguay. Ini kerana kami tidak sempat berehat," kapten pasukan Itali, Gianluigi Buffon yang juga penjaga gawang Juventus. Perlawanan menentang Sepanyol dilihat sukar buat skuad kendalian Prandelli hinggakan media Itali melaprkan Chiellini, Andrea Pirlo, Claudio Marchisio, Daniele De Rossi dan Andrea Barzagli mungkin terpaksa disisihkan akibat kecederaan dan penat.


Penyerang mereka, Mario Balotelli dan pemain pertahanan kanan, Ignazio Abate sudah disisihkan akibat kecederaan. Tetapi, penyerang Uruguay Luis Suarez tetap menyifatkan setiap pasukan tidak boleh memandang remeh kehebatan the Azzuri.

"Meskipun tanpa Balotelli mereka tetap bahaya. Mereka masih mempunyai pemain hebat berkualiti seperti Sebastian Giovinco. Kami perlu menggunakan peluang terbaik yang ada kerana mereka masih mampu menghukum kami," kata pemain Liverpool itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/30

Tiada tekanan

Posted: 29 Jun 2013 12:59 PM PDT

LONDON: Andy Murray menegaskan dia mampu menangani tekanan menjadi pemain pilihan menjulang gelaran Wimbledon selepas pemain nombor dunia itu mara ke pusingan keempat dengan penuh gaya.

Rafael Nadal, Roger Federer dan beberapa lagi pemain utama tersingkir awal di Kelab All England itu tapi Murray menikmati permainan yang hebat.


Juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) itu mengetepikan pemain pilihan nombor 32 Sepanyol, Tommy Robredo 6-2, 6-4, 7-5 di pusingan ketiga untuk layak ke minggu kedua tanpa tercicir satu set dalam tiga perlawanan pertamanya.

Nadal, Federer, Jo-Wilfried Tsonga dan Marin Cilic pula tersingkir ketika Murray baru saja bermain di separuh babak perlawanan. Lantaran itu, laluan ke final pemain berusia 26 tahun itu dilihat lebih mudah.


"Tanpa kehadiran mereka, tekanan lebih tertumpu pada saya. Saya tidak membaca akhbar tapi ada tersimpan di bilik loker. Saya hanya menjeling ke arah tajuk muka depan.


"Tetapi saya perlu bersikap profesional dan mengelak perkara remeh mengganggu tumpuan. Saya hanya perlu fokus.

"Saya rasa sudah melakukan yang terbaik. Saya bermain dengan baik dan ia perlawanan hebat buat saya setakat ini," katanya yang dijangka bertemu pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic di final.


Lebih menarik, Murray bukan saja dibantu ketiadaan pencabar utama lain namun turut menikmati tempoh rehat dua hari sebelum kembali beraksi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/30

No comments:

Post a Comment