Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


'Kami bukan pengundi hantu'

Posted: 02 May 2013 02:31 PM PDT

"Memang saya ingin pulang untuk mengundi di kampung saya di Terengganu tapi saya pulang dengan duit saya sendiri dan saya bukan pengundi hantu."

Itu kata Munirah Awang, 27, pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, semalam.


Dia berkata demikian ketika ditanya mengenai maklumat yang disebar meluas melalui laman media sosial semalam kononnya Barisan Nasional (BN) mengimport pengundi 'hantu' dari Sabah dan Sarawak serta luar negara untuk mengundi di Semenanjung pada hari pengundian Ahad ini.

Malah, laman sosial Facebook (FB) turut memuatkan gambar sekumpulan warga asing Bangladesh dan Nepal berkumpul di LCCT kononnya dibawa masuk ke negara ini untuk dijadikan pengundi 'hantu' pada Ahad ini.


Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam turut mendakwa pihaknya memiliki bukti ada 16 penerbangan direkodkan dari Sabah dan Sarawak khususnya dari Kuching, Kota Kinabalu, Sandakan, Miri dan Sibu ke Semenanjung sejak beberapa hari lalu hingga Ahad ini, yang kononnya membawa pengundi hantu untuk BN. Munirah berkata, dia langsung tidak tahu mengenai hal itu, sebaliknya dia membeli tiket dengan wangnya sendiri sejak beberapa hari lalu dan akan pulang semula ke Sabah pada 7 Mei.


"Bagi saya, itu semua hanya gimik politik pihak tertentu untuk menarik perhatian rakyat. Saya terpaksa mengambil penerbangan jam 9.15 malam ke Kuala Lumpur kerana mempunyai urusan pada waktu siang. "Saya tidak kisah untuk pulang mengundi walaupun sibuk dengan tugasan kuliah kerana mahu melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi dan rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, dua penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, malam tadi turut menafikan mereka pengundi hantu yang dibawa pulang dengan menaiki pesawat khas disewa BN.


Nor' Aini Mat Lazim, 22, yang pulang untuk mengundi di kampungnya di Kelantan berkata, menjadi perkara biasa untuk penduduk berasal dari Semenanjung yang bekerja di Sabah untuk pulang mengundi di kampung halaman masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/03

'Janji sama di Kampung Buah Pala'

Posted: 02 May 2013 01:36 PM PDT

Putrajaya: Deklarasi Putrajaya untuk penjawat awam seluruh negara yang diumumkan pembangkang kelmarin disifatkan sebagai janji Kampung Buah Pala, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata, deklarasi itu sama seperti janji yang pernah ditabur pembangkang kepada penduduk Kampung Buah Pala di Pulau Pinang pada pilihan raya 2008, sekiranya pihak pembangkang menang.


"Saya sudah teliti (deklarasi itu), mereka berjanji kepada rakyat untuk menyelesaikan masalah jika menang dalam pilihan raya pada 2008.

"Tetapi sampai sudah masalah tidak diselesaikan, sebaliknya diusir dari kampung terbabit, tetapi akhirnya BN (Barisan Nasional) yang datang membantu menyelesaikan masalah itu," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Bicara Intelek Kebajikan Guru bersama Guru di Putrajaya di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/03

Dua bulan sakit misteri

Posted: 02 May 2013 01:35 PM PDT

Sepang: "Sudah berkali-kali saya berulang-alik ke hospital, tetapi sehingga kini saya tidak tahu penyakit yang dialami kerana doktor tidak dapat mengesannya," kata warga emas, Bera@Arsad Marseman, 73, yang mengidap penyakit misteri sejak dua bulan lalu.

Menurutnya, dia serik kerana sering berulang-alik ke Hospital Banting dan Hospital Seremban untuk mendapatkan rawatan selain mengenal pasti punca sebenar masalah kesihatan yang dihadapinya. "Sudah dua bulan saya tidak dapat keluar rumah dan pergi ke mana-mana kerana mengalami sakit kepala dan sering pening apabila bangun dari tempat tidur. "Malah, saya tidak boleh terkena sinaran cahaya matahari kerana ia menyebabkan mata saya silau sehingga terasa mahu pitam," katanya ketika ditemui selepas menerima rombongan ziarah calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek Ng Chok Sin di rumahnya di Kampung Ulu Chuchoh, di sini.


Ng bersama rombongannya meluangkan masa satu jam untuk bertanya khabar dan mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai keadaan Arsad. Kedatangan beliau bersama rombongannya di rumah Arsad ternyata menggembirakan hati warga emas terbabit. Arsad yang sudah kematian isteri sejak setahun lalu berkata, penyakit yang dialaminya menyebabkan dia tidak berupaya bergerak dan membuat kerja seperti biasa. "Saya hanya terbaring di tempat tidur sepanjang hari serta meminta bantuan anak atau menantu untuk membawa saya ke bilik air atau ke mana saja. "Kami sekeluarga mahu mengucapkan terima kasih kepada beliau (Ng) kerana datang menziarahi saya walaupun keadaan saya serba kekurangan," katanya. Sementara itu, Chok Sin berkata, beliau berjanji membantu Arsad setakat mana yang boleh selain mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/03

Chef Joe anggap perselisihan selesai

Posted: 02 May 2013 01:35 PM PDT

Kuala Lumpur: Juri tetap rancangan realiti masakan popular MasterChef Malaysia Selebriti musim kedua (MCMS2), Moh Johari Edrus atau Chef Joe menganggap perselisihan faham yang timbul antara dirinya dengan aktor juga peserta MCMS2, Zain Saidin sudah selesai.

Sebelum ini dalam episod Isnin lalu yang disiarkan Astro Ria, ramai penonton setia rancangan terbabit mengecam Zain kerana dikatakan bersikap biadap terhadap juri tetap MCMS2, terutama Chef Joe. Tidak kurang ada mengaitkan sikapnya dengan rancangan popular dibintanginya, Oh My English yang turut disiarkan Astro dan mendakwa Zain tidak sesuai memegang peranan sebagai guru gara-gara episod MCMS2 itu.


Sebelum itu, Zain memberikan kenyataan apa yang dipaparkan itu hanya sebahagian daripada lakonan dan pihak produksi cuba memerangkapnya dengan menampilkan dirinya dalam situasi berkenaan.

Diminta mengulas kembali kenyataan diberikan kekasih kepada pelakon popular Rozita Che Wan itu, Chef Joe menjelaskan, dia tidak mahu mengulas lanjut, memandangkan pertelingkahan antara mereka sudah diselesaikan.


"Juri MCMS2 dijemput menjadi tetamu rancangan MeleTop, kelmarin. Pihak produksi turut menjemput Zain. Dalam program itu Zain sudah memohon maaf terhadap tindakannya.


"Saya bersama dua lagi juri iaitu Chef Zubir dan Chef Amran sudah pun memaafkan Zain. Secara tidak langsung apa saja isu dan perkara yang cuba dibangkitkan pada anggapan kami ia sudah pun selesai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/03

'Saya minta'

Posted: 02 May 2013 01:34 PM PDT

Kuala Lumpur: "Memang saya yang minta untuk keluar dari syarikat produksi MIG Productions dan 99 Kali Rindu adalah filem terakhir dengan mereka. Jika nak diikutkan, saya masih ada setahun lagi kontrak dengan MIG, tetapi saya minta dipertimbangkan untuk keluar lebih awal kerana jadual tidak menentu," kata pelakon Aeril Zafrel.

Aeril mengulas isu dirinya yang didakwa sudah keluar daripada pengurusan MIG untuk memberi tumpuan kepada kerjayanya di Hollywood seperti heboh diperkatakan ramai ketika ini.


Menurut Aeril, pihak MIG juga menerima keputusannya untuk keluar daripada pengurusan MIG berkuat kuasa pada 9 Mei ini.

"Sepatutnya, saya mengikat kontrak tiga tahun dengan mereka. Namun, selepas berfikir masak-masak saya putuskan untuk bergerak sendiri kerana tidak ingin menyusahkan pihak lain. "Pada masa sama, saya perlu bahagikan masa dengan kelas agama dan lebih mudah untuk saya mengatur jadual bila bergerak sendiri. "Permintaan saya untuk keluar juga dipertimbangkan pihak MIG dengan syarat saya habiskan kerja dulu termasuk komitmen untuk mempromosikan filem 99 Kali Rindu," katanya. Sementara itu, ditanya hubungan rapatnya dengan pelakon Wawa Zainal yang juga pasangannya dalam filem 99 Kali Rindu, Aeril mengakui dia selesa berkawan dengannya. "Kami rapat dan selalu keluar sama sejak digandingkan dalam Klik. Saya percaya lelaki mana yang tidak tertarik dengan Wawa. Saya memang suka dengan keayuan wajahnya. Tapi, alangkah baiknya jika hubungan lelaki dan wanita itu halal di sisi agama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/03

No comments:

Post a Comment