Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Pelapis lebih menyerlah

Posted: 02 May 2013 02:32 PM PDT

Pemain pelapis bimbingan Hendrawan lebih menyerlah pada GP Emas Terbuka Malaysia apabila dua daripada tiga perseorangan lelaki negara yang beraksi di suku akhir semalam, mara ke separuh akhir, kejohanan yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Goh Soon Huat, 23, lebih dulu menempah tempat ke separuh akhir selepas menang ke atas pemain berpengalaman Hong Kong, Chan Yan Kit 21-17, 21-15.


Sebelum itu pada pusingan ketiga sebelah pagi, dia mengejutkan pemain nombor dua Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk 21-18, 21-13.

"Ini pencapaian terbaik saya di kejohanan peringkat senior. Sebelum ini saya hanya melangkah ke suku akhir di GP Emas Terbuka India, tahun lalu," kata Soon Huat.


"Saya harap dapat ke final kerana saya beroleh keyakinan tinggi sepanjang menyertai kejohanan ini selepas kali pertama mengatasi Tanongsak, iaitu pemain ranking tertinggi pernah saya atasi," kata Soon Huat selepas mengenai kemenangan ke atas pemain nombor 25 dunia Thailand.


Iskandar Zulkarnain pula menang ke atas pemain India, RMV Gurusaidutt.

Hari ini dia akan berdepan Soon Huat, dengan satu slot final pasti menjadi milik Malaysia.


Begitupun Liew Daren kecundang kepada pemain muda China, Chen Yueken 10-21, 20-22, sekali gus tiada perseorangan elit negara beraksi di separuh akhir kali ini.

"Pada awalnya saya tidak dapat membaca permainannya, malah dia menang setiap permainan saya. Namun saya melakukan kesilapan mudah pada set kedua ketika saya sudah yakin untuk menang," kata Daren.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/03

Naim perlu timbang semula hasratnya

Posted: 02 May 2013 12:32 PM PDT

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab meminta Datuk Naim Mohamad menimbang semula hasratnya untuk meninggalkan badan induk berbasikal negara itu.

Naim yang menjadi Timbalan Presiden PKBM melahirkan hasratnya untuk meninggalkan persatuan terbabit apabila tempoh perkhidmatannya berakhir pada 2015, setahun sebelum berlangsung temasya Olimpik Rio di Brazil dengan skuad trek negara menjadi sandaran meraih emas pertama negara.


Abu Samah menjelaskan Naim dilihat sebagai antara calon pengganti dirinya selepas beliau sendiri turut meluahkan hasrat meninggalkan pucuk pimpinan persekutuan terbabit apabila mula mengisi jawatan terbabit sejak 1990.

"Memang saya mahu meninggalkan PKBM apabila tamat penggal ini. Bukan tiada orang lain yang mampu mengambilalih, namun Naim salah seorang yang berkemampuan kerana sudah lama menjadi orang nombor dua dan memahami apa diperlukan untuk melonjakkan persekutuan ke tahap lebih tinggi.


"Bukan tidak boleh digantikan dengan orang baru namun ia mungkin mengambil masa dalam membentuk individu terbabit. Masih terdapat masa panjang (sehingga 2015), jadi saya berharap beliau dapat mengubah hasratnya itu dan seandainya ia berlaku (mengubah fikiran) kami akan menerimanya dengan hati terbuka," kata Abu Samah.


Naim kelmarin menekankan hasratnya untuk tidak lagi bersama PKBM selepas penggal 2012-2015 berakhir.

Naim berkata usaha yang dilakukan untuk membawa balik pingat emas Sukan Olimpik 2012 terpaksa diba yar dengan harga mahal apabila turut menjejaskan tahap kesihatannya termasuk perlu menjalani pembedahan jantung, angioplasty. Beliau sebelum ini turut meletak jawatan sebagai pengurus skuad trek negara selepas kegagalan meraih pingat emas di London atas rasa tanggungjawabnya.


Ketiadaan Naim dalam mengurus skuad trek negara mencetuskan beberapa insiden menggemparkan di Kejohanan Lumba Basikal Asia (2012) di India baru-baru ini yang membabitkan isu seperti lagu NegaraKu dan menu makanan atlet bersaing.

Abu Samah berkata PKBM kini berada dalam landasan tepat dalam membangunkan sukan terbabit termasuk mendapat kerjasama penuh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan agensi lain dalam merealisasikan impian membina velodrom tertutup pertama negara yang dijadualkan siap sebelum Olimpik Rio.


"Saya memahami beliau mungkin mempunyai komitmen seperti individu lain, namun saya berharap hasratnya itu dapat dipertimbangkan semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/03

Hafizh diberi peluang beraksi wildcard Moto2 di LeMans

Posted: 02 May 2013 12:32 PM PDT

Kuala Lumpur: Hafizh Syahrin Abdullah (gambar) mara setapak lagi apabila pasukan PETRONAS Raceline Malaysia mengumumkan pelumba muda Malaysia itu disahkan akan mengisi slot wild card Moto2 pada Pusingan 4 Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) di Litar LeMans, Perancis pada 17 hingga 19 Mei ini.

Dalam meniti harinya untuk beraksi dalam musim penuh di pentas MotoGP, keputusan ini juga menyaksikan Hafizh menjadi pelumba Malaysia pertama beraksi secara wildcard di luar negara.


Selepas semusim beraksi di Kejuaraan CEV Sepanyol dan turut mempamerkan aksi cemerlang ketika wildcard di Sepang sepanjang tahun lalu, penyertaan wildcard kali ini diharapkan dapat menjadi medan pendedahan terbaik buat Hafizh.

"Saya menamatkan kempen pusingan pertama kelas Moto2 di Kejuaraan Sepanyol baru-baru ini dengan keputusan yang agak mengecewakan namun saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Saya mahu melupakan kekecewaan lalu dan mempersiapkan diri sepenuhnya untuk menghadapi cabaran baru di LeMans.


"Sebagai persiapan, kami akan ke Litar LeMans untuk melakukan ujian dan membiasakan diri dengan litar. Pasukan saya sedang bekerja keras mengatur segala-galanya, termasuklah juga menyediakan peralatan sepatutnya. Bukan mudah untuk saya berdepan dengan pelumba lain di litar yang asing buat saya, apatah lagi kami juga tidak mempunyai data mencukupi. Namun, saya bersedia menyahut cabaran wildcard ini. Pada masa sama, kami juga dapat mencari pelarasan terbaik sebelum menghadapi minggu perlumbaan nanti," kata Hafizh.


Kelas Moto3 lebih kepada kategori pengenalan dan menggunakan enjin 4-lejang dengan silinder tunggal berkuasa 250cc serta berat jentera sekitar 80 kilogram, ia lebih mudah untuk dikendalikan. Kelas Moto2 pula lebih besar dan berat (140kg), dijanakan dengan enjin empat silinder berkuasa 600cc, kuasanya 2.5 kali ganda lebih tinggi berbanding Moto3.

"Selain jentera, kualiti pelumba juga perlu diambil kira. Saingan Moto2 perlumbaan paling sukar antara ketiga-tiga kelas perlumbaan. Pelumba kelas ini membabitkan mereka yang berpengalaman termasuk dengan kehadiran tiga pelumba dari kelas Moto3 yang beralih kelas dan pelumba kategori MotoGP yang turun ke kelas Moto2," kata pengurus PETRONAS Raceline Malaysia, Barry Leong.


Wildcard LeMans adalah siri pertama dalam perancangan Hafizh tahun ini. Pasukan PETRONAS Raceline Malaysia turut memohon kepada promoter MotoGP untuk mengisi slot wildcard yang lain. Namun begitu, keputusan masih belum disahkan dan hanya akan diumumkan pada satu tarikh nanti.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/03

Rayuan Sessegnon diketepikan FA

Posted: 02 May 2013 12:16 PM PDT

London: Penyerang Sunderland, Stephane Sessegnon akan terlepas baki aksi perlawanan musim ini apabila rayuannya terhadap penggantungan tiga perlawanan selepas dibuang padang ketika menentang Aston Villa Isnin lalu gagal, menurut Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris.

Pengadil Lee Probert terus melayangkan kad merah kepada Sessegnon pada babak kedua kerana kekasaran ke atas Yacouba Sylla dalam perlawanan yang menyaksikan Black Cats tewas 1-6 dalam aksi Liga Perdana Inggeris.


Pemain berusia 28 tahun itu kini terlepas baki tiga perlawanan menentang Stoke, Southampton dan Tottenham ketika skuad kendalian Paolo Di Canio itu bersaing untuk terus kekal di Liga Perdana.

Pemain itu terkejut kerana dibuang padang dan Di Canio menyatakan kelab akan merayu hingga tempoh terakhir namun ia ditolak.


Menurut kenyataan FA: "Suruhanjaya Peraturan Bebas mendengar kesnya hari ini, Stephane Sessegnon didakwa melakukan kesalahan yang tidak sepatutnya bermakna penggantungan tiga perlawanan pemain Sunderland itu kekal berkuat kuasa serta-merta.


"Sessegnon dibuang padang kerana kekasaran serius ketika beraksi menentang Aston Villa pada Isnin, 29 April 2013." Insiden kad merah pemain antarabangsa Benin itu adalah kedua dalam kariernya di England, yang pertama ketika terikat 1-1 di Newcastle Mac lalu dalam perlawanan liga.

Ketiadaan Sessegnon memberikan impak besar kerana dia menyinar di bawah kendalian bos baru, Di Canio apabila meledak gol pertama ketika menang 3-0 dalam aksi setempat di Newcastle dan membantu kelab itu mencatat kemenangan ke atas Everton enam hari kemudian bagi membolehkan mereka kini terkeluar daripada zon penyingkiran. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/03

Bahang rebut empat teratas

Posted: 02 May 2013 12:16 PM PDT

Manchester United sudah mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris namun mereka masih mempunyai misi yang perlu dilunaskan apabila menanti kunjungan Chelsea.

Selepas dikecewakan dengan kekalahan dalam Piala Liga dan Piala FA di tangan kelab London itu musim ini, United berpeluang untuk menyukarkan hasrat Chelsea bagi merebut kedudukan kelompok empat teratas.


Ini pastinya berita buruk buat Chelsea yang berdepan jadual padat kebelakangan ini kerana terbabit dalam saingan Liga Europa iaitu pertandingan yang mereka mahu elakkan musim depan.

Dengan perebutan gelaran sudah berakhir, Manchester City pula selesa di tangga kedua, Reading dan Queens Park Rangers sudah tersingkir, tumpuan kini lebih terarah kepada saingan antara Chelsea, Arsenal, Tottenham Hotspur dan Everton bagi slot ke Liga Juara-Juara.


Chelsea kini menduduki tangga ketiga slot automatik Liga Juara-Juara dengan 65 mata, satu mata di depan Arsenal dan beraksi kurang satu perlawanan dan tiga mata mengatasi Spurs yang berdepan laluan sukar apabila mereka akan bertandang ke Stamford Bridge, pertengahan minggu depan.


Pasukan yang menghuni tangga keempat akan beraksi pada pusingan kelayakan Liga Juara-Juara.

Tekanan pasti akan memuncak apabila pertembungan Ahad ini turut membabitkan seteru lama antara pengurus sementara Chelsea Rafael Benitez dan Alex Ferguson.


Spurs yang masih mempunyai baki empat perlawanan seperti Chelsea akan menjadi pasukan pertama beraksi minggu ini menentang Southampton di gelanggang sendiri esok.

Pasukan di tangga keempat Arsenal akan beraksi beberapa jam selepas itu di Queens Park Rangers manakala pasukan di tangga keenam Everton yang masih enggan mengaku kalah dalam persaingan empat pasukan teratas, mesti mengalahkan musuh Merseyside Liverpool di Anfield bagi kali pertama dalam 14 tahun Ahad ini jika mahu terus menghidupkan peluang.


Gareth Bale (gambar) yang menyertai Tottenham dari Southampton pada 2007 percaya kelab utara London itu boleh menebus kekecewaan musim lalu apabila tempat mereka dalam Liga Juara-Juara dinafikan meskipun menamatkan kempen di tangga keempat kerana Chelsea memenangi trofi Liga Juara-Juara.


"Kami perlu terus berusaha untuk memastikan sasaran dilaksanakan," kata Bale. "Kami masih mempunyai baki empat perlawanan dan mahu menyelesaikan tugas itu dengan bergaya."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/03

Welbeck pasti bangkit: Ferguson

Posted: 02 May 2013 10:34 AM PDT

Manchester, England: Alex Ferguson menegaskan beliau tidak bimbang ketandusan jaringan Danny Welbeck buat Manchester United musim ini.

Welbeck hanya meledak dua gol untuk Red Devils dan satu daripadanya dalam Liga Perdana.


Ia statistik yang luar biasa terutamanya apabila sudah tiga kali mewakili England dan perbezaan ketara selepas meledak 12 gol musim lalu.

Walaupun banyak pihak mengkritik Welbeck kerana gagal menjaringkan gol secara konsisten, Ferguson menolak andaian itu.


Sambil mengakui beliau memutuskan untuk menggunakan Welbeck dalam banyak posisi berbeza, termasuk mengawasi Xabi Alonso ketika aksi timbal balik peringkat kalah mati Liga Juara-Juara bertemu Real Madrid, Ferguson masih gembira dengan perkembangan pemain berusia 22 tahun itu.


"Tahun lalu dia meledak 12 gol, tahun ini hanya dua gol, ia penurunan yang ketara," kata Ferguson.

"Namun penurunan itu tidak membimbangkan kami kerana dia masih menyesuaikan diri dengan baik dan masih mencari peluang menjaringkan gol, masih kelihatan untuk memanfaatkan peluang dan dengan semangat seperti itu akhirnya akan menjadikan dia konsisten menjaringkan gol.


"Mungkin dia tidak menghargai usaha kami meletakkan dia beraksi di pelbagai posisi dan kami mungkin terlebih menggunakannya kerana dia masih muda.

"Namun nilainya kepada kelab masih wujud kerana saya tahu dia mampu melakukan tugas untuk saya dalam mana-mana posisi yang ditugaskan." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/03

'Baiki sikap!'

Posted: 02 May 2013 10:34 AM PDT

Isteri Luis Suarez menasihatkan penyerang Liverpool itu untuk membaiki tingkah laku di padang bagi mencerminkan karakter sebenar dirinya di luar padang.

Suarez kini menjalani penggantungan 10 perlawanan kerana menggigit lengan Branislav Ivanovic dan menjelang tamatnya musim ini, dia akan digantung 20 perlawanan sejak menyertai Liverpool, tanpa pernah dibuang padang.


Suarez berkata, isterinya, Sofia, menasihatkannya untuk menjaga tingkah laku ketika beraksi.

"Isteri saya membuat pemerhatian seperti, 'Anda bertelagah dengan pengadil dan pertahanan secara keterlaluan, anda tidak harus melakukannya, jika tidak lebih baik anda tidak beraksi'.


"Saya meninggalkannya, berfikir mengenainya dan menyedari kebenaran yang diperkatakannya.


"Dia berkata orang ramai pasti akan memikirkan ia adalah karakter saya di luar padang, walaupun saya selalu tenang dan mudah untuk bergaul.

"Mendapat seorang isteri yang sentiasa memerhatikan dengan dekat ketika perlawanan adalah bagus. Dia lebih mengenali saya berbanding individu lain dan saya mahu pemerhatiannya membantu saya untuk beraksi lebih baik dan menjadi insan yang lebih gembira." Isteri Suarez sebelum ini menasihatkannya supaya lebih banyak bersenam dalam satu temuramah bersama akhbar The Sunday Times, yang disiarkan pada pagi sebelum insiden membabitkan Ivanovic.


"Dia adalah pengkritik utama, sentiasa hadir untuk memerhatikan saya," katanya.

"Dia bertanya kenapa saya bertekak dengan pengadil. 'Apa yang anda lakukan hari ini hanyalah menjerit, kenapa anda tidak memberikan tumpuan bermain bolasepak?' "Jika saya tidak menurut nasihat mereka (Sofia dan anak perempuannya, Delfina) tiada akan hadir dan menyaksikan saya bermain lagi selepas ini. Ini adalah antara perkara yang isteri saya perhatikan dan begitu juga orang lain, jadi ia membuatkan saya berfikir."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/03

Tindakan wajar

Posted: 02 May 2013 10:34 AM PDT

Badan pentadbir golf menyimpulkan pegawai Augusta National melakukan keputusan tepat tidak membatalkan pemain nombor satu dunia Tiger Woods (gambar) kerana tindakan drop yang tidak betul pada Masters AS baru-baru ini.

Royal & Ancient (R&A) dan Persatuan Golf Amerika Syarikat (USGA) mengeluarkan kenyataan bersama menjelaskan panjang lebar kontroversi berlaku membabitkan Woods pada pusingan kedua yang mencemarkan sedikit kejuaraan utama pertama tahun ini.


Woods secara kontroversi mengelakkan daripada dibatalkan daripada Masters apabila gagal menambah satu pukulan dalam catatan markahnya bagi drop yang tidak betul ketika pegawai mengenakan hukuman penalti dua pukulan terhadapnya.

Juara 14 kejohanan utama itu, yang membantu peningkatan rating TV dan pilihan utama menang di Augusta National, melakukan penalti drop pada pusingan kedua di lubang ke-15 par-lima bulan lalu.


Dibantu peraturan yang dipinda sejak Masters 2011, Woods tidak dibatalkan penyertaannya kerana menandatangani catatan kad markah yang tidak betul kerana kesilapannya adalah berdasarkan bukti rakaman televisyen.


R&A dan USGA mengenal pati peraturan awal berdasarkan fakta kukuh dan pegawai bertindak tepat tidak membatalkan Woods namun menegaskan pemain masih perlu memulangkan kad catatan markah yang betul serta memahami peraturan.

Badan induk sukan itu juga menegaskan pegawai tidak perlu mengingatkan pemain mengenai kesalahan yang mereka lakukan.


"Peraturan membabitkan Woods berdasarkan fakta luar biasa, menurut Peraturan 33-7, dan tidak boleh dianggap sebagai peraturan biasa atau tidak mengendahkan tanggungjawab pemain untuk memulangkan kad catatan markah yang tepat," kata R&A dan USGA dalam kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/03

Sistem amaran kokpit kembali digunakan

Posted: 02 May 2013 10:33 AM PDT

Silverstone, England: Pemandu Formula Satu diberi jaminan terhadap sistem amaran kokpit elektronik beroperasi dengan betul pada perlumbaan Grand Prix Sepanyol, minggu depan, selepas tidak digunakan pada empat perlumbaan pertama musim ini akibat masalah.

"Kami diberitahu mereka akan mempunyai sistem dipertingkatkan yang akan digunakan di Barcelona dan akan berfungsi dari situ," kata bekas pemandu Formula Satu dan steward perlumbaan, Derek Warwick, semalam.


Hubungan telemetri kereta dengan kawalan perlumbaan dibekalkan oleh Riedel Communications, bertindak sebagai sistem pengawasan elektronik memberi amaran kepada pemandu menerusi lampu kokpit berwarna merah, kuning dan biru sebagai tambahan kepada bendera amaran biasa dikibar di sekitar litar.

Badan pentadbiran FIA terpaksa menanggalkannya sewaktu perlumbaan awal jarak jauh kerana tidak boleh berfungsi.


Warwick, yang menjadi steward pada Grand Prix Britain, Belgium, Singapura dan Korea Selatan berkata, masalah menyebabkan sedikit kelonggaran wujud berhubung pelanggaran peraturan bendera namun pegawai tidak diarahkan supaya berlembut dengan pemandu.


"Anda tidak boleh menyalahkan pemandu jika berdepan masalah dari segi pakej sokongan," kata presiden Kelab Pelumba British (BRDC), pemilik litar Silverstone.

"FIA meminta kami meringankan denda dikenakan terhadap pemandu tapi kami juga masih ada aspek sama boleh digunakan untuk hukuman lain." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/03

Laluan mencabar uji peserta

Posted: 02 May 2013 10:33 AM PDT

Laluan mencabar dan pemandangan menarik bakal menanti peserta Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 pada sirkit pertama di Putrajaya awal bulan depan.

Itu yang digambarkan Pengarah Teknikal Perlumbaan, Muhd Sanusi Kamarul Azaha yang menjadi salah seorang individu bertanggungjawab mewujudkan laluan saingan yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM220,000 selain cabutan bertuah.


Katanya, saingan akan bermula di Dataran Diplomatik yang terletak di Presint 15, pusat pentadbiran negara itu dengan saingan kategori elit yang menggunakan format pertandingan Cross Country Olympic (XCO) selain kategori Terbuka Metro (Jamboree).

"Untuk saingan XCO, peserta dijanjikan dengan laluan mencabar yang bakal menguji kemahiran dan kemampuan mereka bagi menamatkan saingan dalam tempoh masa ditetapkan. Mereka akan mengharungi beberapa pusingan membabitkan laluan sejauh lima kilometer dengan 30 peratus jalan raya dan selebihnya off-road.


"Peserta turut dihidangkan pelbagai cabaran dalam laluan ini seperti mendaki, menuruni bukit, laluan sempit selain menuruni 112 anak tangga," katanya. Menariknya menurut Sanusi, ada lokasi di atas bukit yang membolehkan penonton menyaksikan secara dekat keseluruhan peserta bersaing, sesuatu yang jarang berlaku dalam XCO sekali gus membolehkan penonton turut merasai kehangatan perlumbaan. Saingan kejohanan itu yang dianjurkan Harian Met ro dengan kerjasama Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) menyasarkan 3,500 peserta akan tampil mengambil bahagian dan tarikh tutup pada 15 Mei ini.


Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) turut mengiktiraf dan memberi kerjasama penuh penganjuran itu.

Malah Timbalan Presidennya Datuk Naim Mohamad menegaskan lima sirkit perlumbaan akan dijadikan medan pemilihan atlet negara ke Sukan SEA Myanmar hujung tahun ini.


Maklumat lanjut mengenai syarat pertandingan, kategori dan penginapan, layari laman http://mtbgp.hmetro.com.my atau hubungi Pengarah Kejohanan Nor Azam Aziz (019-3245808) dan AJK, Riadz Radzi (019-6434049).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/03

No comments:

Post a Comment